Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE 590: BENARKAH RIWAYAT YANG MELARANG MEMANGGIL ORANG LAIN DENGAN ANJING, ANJIR DAN ANJAY?

BENARKAH_RIWAYAT_YANG_MELARANG_MEMANGGIL_ORANG_LAIN_DENGAN_ANJING_ANJIR_DAN_ANJAY.jpg

 

Soalan

Assalamualaikum SS Mufti, saya ada terbaca satu hadis/kisah saya pun tak pasti, tetapi ia menyebutkan berkenaan bahawa jika seseorang mencela orang lain dengan panggilan wahai keldai, wahai anjing, wahai babi maka nanti Allah SWT akan bertanya kepadanya pada hari kiamat: Apakah engkau melihat aku menciptakan (dia) sebagai anjing, keldai atau babi?. Adakah benar hadis ini dan adakah ucapan anjir, anjay dan seumpamanya yang digunakan oleh anak muda pada hari ini termasuk dalam larangan tersebut?

Ringkasan Jawapan

Ucapan anjing, anjir, anjay atau seumpamanya termasuk dalam perkataan yang keji dan tidak baik. Oleh itu, umat Islam wajib menjauhi perkataan-perkataan sedemikian kerana ia boleh menyebabkan pergaduhan dan pertelingkahan sesama saudara Islam bahkan bukan Islam. Jika hendak berbicara maka tuturkanlah perkara-perkara yang baik sahaja kerana Nabi SAW menyeru umatnya untuk berbuat demikian. Mudah-mudahan Allah SWT memelihara lidah umat Islam daripada menuturkan ucapan-ucapan yang keji dan tidak baik.

Huraian Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Asasnya, agama Islam sentiasa dan menggalakkan umatnya untuk sentiasa menuturkan perkataan-perkataan yang baik kepada sesama manusia sama ada muslim atau bukan Islam. Perkara ini berlandaskan kepada satu hadis, Nabi SAW bersabda:

وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَاليَوْمِ الآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ

Maksudnya: “Sesiapa yang beriman kepada Allah SWT dan hari Akhirat, maka hendaklah dia berkata yang baik atau diam.” [1]

Riwayat al-Bukhari

Berkenaan dengan riwayat yang ditanya dalam soalan, maka riwayat yang dimaksudkan terdapat dalam Musannaf Ibn Abi Syaibah, iaitu al-‘Ala’ bin al-Musayyib meriwayatkan daripada ayahnya, beliau berkata:

لَا تَقُلْ لِصَاحِبِكَ: يَا حِمَارُ، يَا كَلْبُ، يَا خِنْزِيرُ. فَيَقُولَ لَكَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ: أَتُرَانِي خُلِقْتُ كَلْبًا أَوْ حِمَارًا أَوْ خِنْزِيرًا؟

Maksudnya: Janganlah berkata kepada saudaramu: Wahai keldai, wahai anjing dan wahai babi. Pada hari kiamat kelak Dia (Allah SWT) akan bertanya kepadamu: Adakah engkau melihat aku menciptakan dia sebagai anjing? keldai? atau babi? [2]

Riwayat Ibn Abi Syaibah

Ibn Abi Syaibah juga meriwayatkan hadis ini dengan jalur lain melalui Ibrahim al-Nakhaʻi dengan lafaz berikut:

إِذَا قَالَ الرَّجُلُ لِلرَّجُلِ: يَا حِمَارُ، يَا كَلْبُ، يَا خِنْزِيرُ؛ قَالَ اللَّهُ لَهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ: أَتَرَانِي خَلَقْتُ كَلْبًا أَوْ حِمَارًا أَوْ خِنْزِيرًا؟

Maksudnya: Jika seseorang lelaki mengatakan kepada seseorang lelaki yang lain dengan wahai keldai, wahai anjing dan wahai babi. Allah SWT akan bertanya kepadanya pada hari kiamat: Adakah engkau melihat aku menciptakan dia sebagai anjing? keldai? atau babi?[3]

Riwayat Ibn Abi Syaibah

Kedua-dua jalur periwayatan ini terhenti kepada tabiin iaitu al-Musayyib bin Rafiʻ dan Ibrahim al-Nakhaʻi, maka sanad hadis ini adalah maqtuʻ iaitu bersumberkan daripada tabiin.[4] Disebabkan hadis ini tidak sabit daripada Nabi SAW justeru dari sudut akidah ia tidak boleh dijadikan hujah yang pasti, namun panggilan seperti ini tidak dibenarkan oleh Islam (haram).

Dalam hal ini, Imam al-Nawawi menyebutkan dalam bab larangan menggunakan lafaz celaan ketika berbicara dengan manusia bahawa:

ومن الألفاظ المذمومةِ المستعملة في العادة قوله لمن يخاصمهُ: يا حمارُ، يا تيس، يا كلبُ، ونحو ذلك، فهذا قبيح لوجهين: أحدهما أنه كذبٌ، والآخر أنه إيذاءٌ.

Maksudnya: Antara lafaz yang tercela yang biasa digunakan bagi mencela orang yang berselisih dengannya adalah perkataan: “wahai keldai”, “wahai kambing”, “wahai anjing” atau seumpamanya. Perkataan ini tercela pada dua keadaan: yang pertama merupakan dusta dan yang kedua merupakan menyakiti orang lain.[5]

Berdasarkan perbahasan di atas, maka ucapan anjing, anjir, anjay atau seumpamanya termasuk dalam perkataan yang keji dan tidak baik. Umat Islam hendaklah menjauhkan perkataan-perkataan sedemikian kerana ia boleh menyebabkan pergaduhan dan pertelingkahan sesama saudara Islam bahkan bukan Islam.

Kesimpulan

Sebagai seorang muslim hendaklah bersifat dengan segala sifat yang diajarkan oleh Allah SWT melalui perantaraan Nabi Muhammad SAW. Selain itu, sedaya upaya menjauhi sifat-sifat yang mazmumah(keji) seperti menuturkan perkataan-perkataan yang keji terhadap sesama manusia. Hal ini kerana ia termasuk perkara-perkara yang boleh mendatangkan dosa serta merenggangkan hubungan silaturahim sesama manusia. Di samping itu, umat Islam juga perlu menjauhkan diri daripada perkara-perkara yang boleh menyakiti saudara seagama kita khususnya. Mudah-mudahan Allah SWT memelihara lidah umat Islam daripada menuturkan ucapan-ucapan yang keji dan tidak baik. Wallahuaʻlam.

 

Rujukan: 

[1] Muhammad bin Ismail al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, ed. Muhammad Zuhair Nasir al-Nasir (t.tp.: Dar Tuq al-Najah, 1422), hadis no. 6018, jld. 8: hlm. 11.

[2] Abu Bakr bin Abi Syaibah, Musannaf Ibn Abi Syaibah, ed. Kamal Yusuf al-Hut (al-Riyad: Maktabah al-Rusyd, 1409), hadis. no 26100, jld. 5: hlm. 282.

[3] Ibid., 283.

[4] Ibid., 282-283.

[5] Yahya bin Syaraf al-Nawawi, al-Azkar (t.tp.: Dar Ibn Hazm, 2004), hlm. 577.