Soalan
Assalamualaikum wrth SS Datuk, terdapat satu kemusykilan yang hendak ditanya. Adakah hadis di bawah ini benar daripada Rasulullah SAW?
قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: من زار قبر أبويه أو أحدهما في كل جمعة غفر له، وكتب برا
Mohon jawapan daripada pihak SS Datuk. Terima kasih.
Ringkasan Jawapan
Riwayat yang menceritakan berkenaan dengan “Sesiapa yang menziarahi kubur kedua ibu bapanya atau salah seorang daripada mereka pada setiap hari Jumaat maka akan diampunkan dosanya dan ditulis kepadanya kebaikan” adalah riwayat yang palsu.
Huraian Jawapan
Setelah melakukan carian riwayat ini dijumpai dalam beberapa kitab seperti al-Muʻjam al-Ausat[1], al-Muʻjam al-Saghir[2], Syuʻab al-Iman[3], Misykah al-Masabih[4] dan lain-lain dengan lafaz seperti berikut:
مَنْ زَارَ قَبْرَ أَبَوَيْهِ أَوْ أَحَدِهِمَا فِي كُلِّ جُمُعَةٍ غُفِرَ لَهُ، وَكُتِبَ بَرًّا
Maksudnya: Sesiapa yang menziarahi kubur kedua ibu bapanya atau salah seorang daripada mereka pada setiap hari Jumaat maka akan diampunkan dosanya dan ditulis kepadanya kebaikan.
Imam al-Tabarani menyebutkan bahawa hadis ini diriwayatkan secara bersendirian daripada Rasulullah SAW oleh Yahya bin al-‘Ala’.[5] Kemudian, menurut Imam al-Tabarani juga hadis ini tidak diriwayatkan oleh sesiapa pun daripada jalur Abu Hurairah RA melainkan al-Nuʻman bin Syibl.[6]
Mulla ‘Ali al-Qari menyebutkan hadis ini sebagai hadis yang palsu.[7] Imam al-Tibrizi menyebutkan bahawa hadis ini diriwayatkan oleh Imam al-Baihaqi dalam Syuʻab al-Iman secara mursal (perawi sahabat digugurkan daripada sanad).[8]
Manakala menurut Imam al-‘Iraqi hadis ini diriwayatkan secara marfuʻ oleh Muhammad bin al-Nuʻman dan sebenarnya sanad hadis ini adalah terputus (muʻdal) bahkan Muhammad bin Nuʻman ialah perawi yang majhul(tidak dikenali) dan gurunya Yahya bin al-ʻAla’ dikritik sebagai matruk (hadisnya ditinggalkan). [9] Imam al-Suyuti memasukkan hadis ini dalam karyanya hadis palsunya iaitu al-Lali’ al-Masnuʻah fi al-Ahadith al-Mauduʻah.
Kesimpulan
Riwayat yang menceritakan berkenaan dengan “Sesiapa yang menziarahi kubur kedua ibu bapanya atau salah seorang daripada mereka pada setiap hari Jumaat maka akan diampunkan dosanya dan ditulis kepadanya kebaikan” adalah riwayat yang palsu berdasarkan pandangan Mulla ‘Ali al-Qari dan Imam al-Suyuti.
Hal ini kerana, terdapat beberapa orang perawi yang bermasalah dalam sanadnya seperti Muhammad bin al-Nuʻman dan Yahya bin al-ʻAla’ dan jalur sanad riwayat ini diriwayatkan secara tafarrud(bersendirian) oleh Yahya bin al-ʻAla’. Wallahuaʻlam.
Rujukan:
[1] Abu al-Qasim al-Tabarani, al-Muʻjam al-Ausat, ed. Tariq ‘Iwadullah (Kaherah: Dar al-Haramain, t.t.), jld. 6: hlm. 175.
[2] Abu al-Qasim al-Tabarani, al-Muʻjam al-Saghir, ed. Muhammad Syakur (Beirut: al-Maktab al-Islami, 1985), jld. 2: hlm. 160.
[3] Abu Bakr al-Baihaqi, Syuʻab al-Iman ed. Mukhtar Ahmad al-Nadwi (Riyad: Maktabah al-Rusyd, 2003), jld. 10: hlm. 297.
[4] Al-Tabrizi, Misykah al-Masabih (Beirut: al-Maktab al-Islami, 1985), jld. 1: hlm. 553.
لَا يُرْوَى هَذَا الْحَدِيثُ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَّا بِهَذَا الْإِسْنَادِ، تَفَرَّدَ بِهِ يَحْيَى بْنُ الْعَلَاءِ
[5] Abu al-Qasim al-Tabarani, al-Muʻjam al-Ausat, jld. 6: hlm. 175.
[6] Abu al-Qasim al-Tabarani, al-Muʻjam al-Saghir, jld. 2: hlm. 160.
لَا يُرْوَى عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ إِلَّا بِهَذَا الْإِسْنَادِ تَفَرَّدَ بِهِ النُّعْمَانِ بْنِ شِبْلٍ
[7] Mulla ‘Ali al-Qari, Mirqah al-Mafatih Syarh Misykah al-Masabih (Beirut: Dar al-Fikr, 2002), jld. 4: hlm. 1259.
[8] Al-Tabrizi, Misykah al-Masabih, jld. 1: hlm. 553.
رَوَاهُ الْبَيْهَقِيُّ فِي شعب الْإِيمَان مُرْسلا
[9] Al-ʻIraqi, al-Mughni ‘an Hamal al-Asfar fi al-Asfar fi Takhrij Ma fi al-Ihya’ min al-Akhbar (Beirut: Dar Ibn Hazm, 2005), hlm. 1873.
أخرجه الطَّبَرَانِيّ فِي الصَّغِير والأوسط من حَدِيث أبي هُرَيْرَة وَابْن أبي الدُّنْيَا فِي الْقُبُور من رِوَايَة مُحَمَّد بن النُّعْمَان يرفعهُ وَهُوَ معضل وَمُحَمّد بن النُّعْمَان مَجْهُول وَشَيْخه عِنْد الطَّبَرَانِيّ يَحْيَى بن الْعَلَاء البَجلِيّ مَتْرُوك