Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE 561: PENJELASAN RIWAYAT MEMAKAN SECUBIT GARAM SEBELUM MAKAN

PENJELASAN_BERKAITAN_RIWAYAT_MEMAKAN_SECUBIT_GARAM_SEBELUM_MAKAN.jpg

 

Soalan

Assalamualaikum, benarkah ada hadis atau Sunnah Nabi berkenaan Nabi memakan secubit garam? Saya tidak menjumpai soalan dan jawapan saya mahu setakat ini dari laman web sini setakat hari ini.

Mohon beri keterangan berkenaan hal ini. Terima kasih.

Ringkasan Jawapan

Semua hadis-hadis yang menyebutkan tentang makan sedikit garam sebelum menjamah makanan dan setelah selesai makan adalah tidak sahih daripada Nabi SAW. Meskipun begitu sekiranya seseorang itu ingin mengamalkan memakan secubit garam sebelum dan selepas makan maka ia tidaklah menjadi suatu kesalahan dengan syarat tidak menyandarkan amalan tersebut kepada Rasulullah SAW.

Huraian Jawapan

Alhamdulillah kami panjatkan kesyukuran kepada Allah SWT. Selawat dan salam kepada junjungan Nabi SAW, para isteri dan keluarga baginda SAW, seterusnya golongan yang mengikut jejak langkah baginda SAW hingga ke hari akhirat.

Riwayat Pertama

Riwayat yang dimaksudkan ialah berkenaan wasiat Nabi SAW kepada Saidina Ali RA dengan lafaz riwayat yang amat panjang, potongan berkenaan makan garam itu adalah seperti berikut:

وَإِذَا أَكَلْتَ فَابْدَأْ بِالْمِلْحِ وَاخْتِمْ بِالْمِلْحِ

Maksudnya: Apabila kamu hendak makan maka mulai dan akhirilah dengan garam1.

(Musnad al-Harith)

Komentar Hadis:

Hadis ini diriwayatkan oleh al-Harith daripada gurunya, ‘Abd al-Rahim bin Waqid, beliau berkata Hammad bin ‘Amru menceritakan kepada kami, daripada al-Sariy bin Khalid bin Syaddad, daripada Jaʻfar bin Muhammad, daripada ayahnya, daripada datuknya, daripada Saidina Ali RA bahawa beliau berkata Rasulullah SAW menyebutkan hadis di atas kepada beliau.

Setelah melakukan penelitian, kajian mendapati sanad hadis ini terdapat perawi yang daif iaitu al-Sariy bin Khalid, Hammad bin ‘Amru dan ‘Abd al-Rahim bin Waqid. Al-Zahabi menyebutkan bahawa ‘Abd al-Rahim bin Waqid merupakan guru kepada al-Harith bin Abi Usamah dan merupakan perawi yang daif2. Dalam Mizan al-Iʻtidal, al-Zahabi menukilkan kritikan al-Khatib lagi yang menyebutkan bahawa hadis-hadisnya munkar kerana diriwayatkan daripada perawi dalam kalangan daif dan majhul3. Manakala Hammad bin ‘Amru pula dikritik oleh al-Bukhari sebagai munkar al-hadis4. Ibn Hibban mengkritik Hammad sebagai pemalsu hadis dan dia memalsukan hadis menggunakan nama perawi-perawi thiqah5. Kemudian, al-Sariy bin Khalid pula seorang perawi yang tidak dikenali dan menurut al-Azdi periwayatannya tidak dijadikan hujah6.

Al-Baihaqi membawa hadis ini dalam Dala’il al-Nubuwwah secara ringkas dengan menyebutkan awal matan hadis sahaja lalu beliau berkata hadis ini merupakan hadis palsu, kata beliau:

وَهُوَ ‌حَدِيثٌ ‌مَوْضُوعٌ، وَقَدْ شَرَطْتُ فِي أَوَّلِ الْكِتَابِ أَلَّا أُخَرِّجَ فِي هَذَا الْكِتَابِ حَدِيثًا أَعْلَمُهُ مَوْضُوعًا

Maksudnya: Hadis ini adalah palsu dan aku telah syaratkan pada awal penulisan kitabku ini bahawa aku tidak akan mengeluarkan hadis-hadis yang aku ketahui ia palsu.7

Hal yang sama dinukilkan oleh al-Suyuti dalam al-Lali’ al-Masnuʻah.8

Riwayat Kedua

Abu ‘Ali ‘Abd al-Rahman bin Muhammad bin Ahmad bin Fadalah bahawa al-Fadl bin ‘Abbas al-Khadib al-Harawi menceritakan kepada kami, beliau berkata Muhammad bin al-Munzir bin Saʻid Syukr al-Harawi, beliau berkata ‘Abdullah bin Musa bin Ziyad al-Tajiru al-Marwazi, beliau berkata Abu Hammam Muhammad bin Muhabbab, beliau berkata ‘Isa bin Khalid al-Raqqiy, beliau berkata daripada Maimun bin Mihran, daripada Ibn ‘Abbas RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

‌‌‌ثَلاثُ ‌لُقْمَاتٍ ‌بِالْمِلْحِ ‌قَبْلَ ‌الطَّعَامِ ‌وَثَلاثٌ ‌بَعْدَ ‌الطَّعَامِ ‌تُصْرَفُ ‌بِهِنَّ ‌عَنِ ‌ابْنِ ‌آدَمَ ‌اثْنَانِ ‌وَسَبْعُونَ ‌نَوْعًا ‌مِنَ ‌الْبَلاءِ، ‌مِنْهَا ‌الْجُنُونُ، ‌وَالْجُذَامُ، ‌وَالْبَرَصُ

Maksudnya: Tiga suap garam sebelum dan selepas makan melindungi diri  anak adam daripada 72 jenis bala antaranya penyakit gila, kusta dan sopak.9

Komentar Hadis:

Al-Zahabi menyebutkan Abu ‘Ali ‘Abd al-Rahman bin Muhammad bin Ahmad bin Fadalah sebagai periwayat hadis namun dia seorang syiah rafidah.10 Dalam jalur sanad bagi hadis ini terdapat dua orang perawi yang majhul iaitu al-Fadl bin ‘Abbas al-Khadib al-Harawi dan ‘Abdullah bin Musa bin Ziyad al-Tajiru al-Marwazi. Hal ini kerana kedua-dua perawi ini tidak ditemui biodatanya setelah penelitian dilakukan.

Riwayat Ketiga

Ibn al-Jauzi menyebutkan dalam kitabnya al-Mauduʻat dalam bab kelebihan garam bahawa Hibah Allah bin Ahmad al-Jariri menceritakan kepada kami, beliau berkata Ibrahim bin ‘Umar al-Barmaki menceritakan kepada kami, beliau berkata Abu Bakr Ibn Bakhit menceritakan kepada kami, beliau berkata, Abu al-Qasim Abdullah bin Ahmad bin ‘Amir menceritakan kepada kami, beliau berkata ayahku Ahmad bin ‘Amir menceritakan kepadaku, beliau berkata ‘Ali bin Musa al-Rida menceritakan kepadaku,  beliau berkata Abu Musa bin Jaʻfar menceritakan kepadaku, beliau berkata ayahku Jaʻfar bin Muhammad menceritakan kepadaku, beliau berkata ayahku Muhammad bin ‘Ali menceritakan kepadaku, beliau berkata ayahku ‘Ali bin al-Husain menceritakan kepadaku, beliau berkata ayahku al-Husain bin ‘Ali menceritakan kepadaku, beliau berkata ayahku ‘Ali bin Abi Talib RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

‌يَا ‌عَلِيُّ ‌عَلَيْكَ ‌بِالْمِلْحِ فَإِنَّهُ شِفَاءٌ مِنْ سَبْعِينَ دَاءً الْجُذَامُ وَالْبَرَصُ وَالْجُنُونُ

Maksudnya: Wahai Ali, makanlah garam kerana ia menjadi penawar bagi 70 penyakit seperti kusta, sopak dan gila.11

Komentar Hadis:

Ibn al-Jauzi menyebutkan bahawa hadis ini tidak sahih daripada Nabi SAW. Bahkan, dalam sanadnya terdapat perawi yang ditohmah berdusta iaitu ‘Abdullah Ibn Ahmad bin ‘Amir atau ayahnya, kedua-dua mereka meriwayatkan daripada naskhah Ahli Bayt dan kesemuanya adalah batil.12

Riwayat Keempat

Abu Mansur Muhammad bin Muhammad bin ‘Uthman al-Sawwaq mengkhabarkan kepada kami, beliau berkata Abu al-Qasim Ibrahim b in Ahmad bin Jaʻfar al-Khiraqi mengkhabarkan kepada kami, beliau berkata Abdullah bin Muhammad bin ‘Ali bin Nufairah menceritakan kepada kami, beliau berkata Abu al-Tayyib al-Sayyad Muhammad bin Ishaq al-Khuzaʻi menceritakan kepadaku, beliau berkata ‘Ali bin Husain menceritakan kepada kami, beliau berkata Musa bin Ibrahim menceritakan kepada kami, beliau berkata daripada Hisyam bin ‘Urwah, daripada ayahnya, daripada Aisyah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda dalam hadis yang panjang:

وَمَنْ أَكَلَ الْمِلْحَ قبلَ الطَّعامِ وبعدَ الطَّعامِ فَقَدْ أَمِنَ مِنْ ثَلَاثِمَائةِ وَسِتِّين نَوْعًا مِنَ الدَّاءِ أَهْوَنُهَا الْجُذَامُ والْبَرَصُ

Maksudnya: dan sesiapa yang memakan garam sebelum menjamah makanan dan setelah selesai makan, maka dia terselamat daripada 360 jenis penyakit, yang paling ringan sakitnya ialah kusta dan sopak.13 

Komentar Hadis:

Dalam sanad hadis ini terdapat beberapa perawi yang dikritik oleh ulama hadis seperti Musa bin Ibrahim. Ibn ‘Adi menyebutkan Musa bin Ibrahim sebagai Syaikh Majhul dan beliau banyak meriwayatkan hadis munkar daripada para perawi thiqah.14 Ibn ‘Adi menyebutkan bahawa hadis ini adalah batil dan tidak ada yang meriwayatkannya melainkan ‘Abdullah bin Muhammad bin ‘Ali bin Nufairah. Dalam hal ini, pentahkik al-Tuyuriyyat tidak menyatakan apa-apa komentar terhadap biodata ‘Abdullah bin Muhammad bin ‘Ali bin Nufairah dan Abu al-Tayyib al-Sayyad Muhammad bin Ishaq al-Khuzaʻi.15 Menurut Abu Tahir al-Silafi, hadis yang membicarakan tentang garam ini yang diriwayatkan secara marfuʻ adalah palsu manakala yang diriwayatkan secara mauquf oleh ‘Ali bin Abi Talib RA adalah munkar jiddan.16

Berdasarkan perbincangan para ulama berkenaan dengan hadis-hadis yang membicarakan tentang memakan garam sebelum menjamah makanan maka dapat disimpulkan bahawa hadis-hadisnya adalah palsu. Meskipun begitu sekiranya seseorang itu ingin mengamalkan memakan secubit garam sebelum dan selepas makan maka ia tidaklah menjadi suatu kesalahan dengan syarat tidak menyandarkan amalan tersebut adalah daripada Rasulullah SAW.

Kesimpulan

Semua hadis-hadis yang menyebutkan tentang makan sedikit garam sebelum menjamah makanan dan setelah selesai makan adalah tidak sahih daripada Nabi SAW.

Meskipun begitu sekiranya seseorang itu ingin mengamalkan memakan secubit garam sebelum dan selepas makan maka ia tidaklah menjadi suatu kesalahan dengan syarat tidak menyandarkan amalan tersebut adalah daripada Rasulullah SAW.

Wallahu a'lam

Rujukan:

  1. Abu Muhammad al-Harith bin Muhammad Dahir al-Tamimi, Bughyah al-Bahith ‘an Zawa’id Musnad al-Harith, ed. Husain Ahmad Salih al-Bakiri (Madinah: Markaz Khidmah al-Sunnah wa al-Sirah al-Nabawiyyah, 1992), hadis no. 469, jld. 1: hlm. 526.
  2. Syams al-Din al-Zahabi, Diwan al-Duʻafa’ wa al-Matrukin, ed. Hammad Muhammad al-Ansari (Mekah: Maktabah al-Nahdah al-Hadithah), hlm. 248. عبد الرحيم بن واقد: شيخ للحارث بن أبي أسامة، ضعفه الخطيب.
  3. Syams al-Din al-Zahabi, Mizan al-Iʻtidal fi Naqd al-Rijal, ed. ‘Ali Muhammad al-Bijawi (Beirut: Dar al-Maʻrifah li al-Tibaʻah wa al-Nasyr, 1963), jld. 2: hlm. 602. قال الخطيب: في حديثه مناكير لانها عن ضعفاء ومجاهيل.
  4. Muhammad bin Ismaʻil al-Bukhari, al-Tarikh al-Saghir, ed. Mahmud Ibrahim Zayid (Halab: Maktabah Dar al-Turath, 1977), jld. 2: hlm. 291. حَمَّاد بن عَمْرو أَبُو إِسْمَاعِيل النصيبي مُنكر الحَدِيث ضعفه عَليّ بن حجر
  5. Muhammad bin Hibban, al-Majruhin min al-Muhaddithin wa al-Duʻafa’ wa al-Matrukin, ed. Mahmud bin Zayid (Halab: Dar al-Wa’y, 1396), jld. 1: 252. حَمَّاد بْن عَمْرو النصيبي كنيته أَبُو إِسْمَاعِيل يضع الْحَدِيث وضعا عَلَى الثِّقَات روى عَنهُ بن كاسب لَا تحل كِتَابَة حَدِيثه إِلَّا عَلَى جِهَة التَّعَجُّب
  6. Ibn Hajar al-‘Asqalani, Lisan al-Mizan, ed. ‘Abd al-Fattah Abu Ghuddah (t.tp.: Dar al-Basya’ir, 2002), jld. 4: hlm. 22. لا يعرف. قال الأزدي: لاَ يُحْتَجُّ به.
  7. Abu Bakr al-Baihaqi, Dala’il al-Nubuwwah, ed. ‘Abd al-Muʻti Qalʻaji (Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1988), jld. 7: hlm. 229.
  8. Jalal al-Din al-Suyuti, al-Lali’ al-Masnuʻah fi al-Ahadith al-Mauduʻah, ed. Solah bin Muhammad bin ‘Uwaidah (Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1996), jld. 2: hlm. 312. وَأخرج البَيْهَقيّ أَوله فِي الدَّلَائِل ثمَّ قَالَ وَهُوَ حَدِيث طَوِيل فِي الرغائب والآداب قَالَ وَهُوَ حَدِيث مَوْضُوع قَالَ ‌وَقَدْ ‌شرطت فِي أول الْكتاب بِأَن لَا أخرج فِي هَذَا الْكتاب حَدِيثا  أعلمهُ مَوْضُوعا واللَّه أَعْلَم
  9. ‘Abd al-Rahman bin Muhammad bin Ahmad bin Fadalah, Fawa’id Abi ‘Ali bin Fadalah, buku elektronik al-Maktabah al-Syamilah , hadis no. 16, hlm. 17.
  10. Syams al-Din al-Zahabi, Mizan al-Iʻtidal fi Naqd al-Rijal, jld. 2: hlm. 587. عن أبي أحمد الغطريفى، حافظ، صاحب حديث، لكنه رافضي
  11.  Jamal al-Din ‘Abd al-Rahman bin ‘Ali bin Muhammad al-Jauzi, al-Mauduʻat, ed. ‘Abd al-Rahman Muhammad Uthman (Madinah: al-Maktabah al-Salafiyah, 1966), jld. 2: hlm. 289.
  12. Ibid. هَذَا حَدِيثٌ لَا يَصِحُّ عَنْ رَسُولِ الله صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَالْمُتَّهَم بِهِ عبد الله ابْن أَحْمَدَ بْنِ عَامِر أَو أَبُوهُ فَإِنَّهُمَا يرويان نُسْخَة عَنْ أَهْل الْبَيْت كلهَا بَاطِلَة.
  13. Abu Tahir al-Silafi Ahmad bin Muhammad al-Asbahani, al-Tuyuriyyat, ed. Dasman Yahya Maʻali dan ‘Abbas Sakhr al-Hasan (Riyad: Maktabah Adwa’ al-Salaf, 2004), jld. 3: hlm. 1228.
  14. Abu Ahmad bin ‘Adi al-Jurjani, al-Kamil fi Duʻafa’ al-Rijal, ed. ‘Adil Ahmad ‘Abd al-Maujud dan ‘Ali Muhammad Mu’awwad (Beirut: al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1997), jld. 8: hlm. 65.‌ موسى ‌بْن ‌إِبْرَاهِيم شيخ مجهول، حدث بالمناكير عن قوم ثقات أو من لا بأس بهم
  15.  Abu Tahir al-Silafi Ahmad bin Muhammad al-Asbahani, al-Tuyuriyyat, jld.3: hlm. 1225.
  16.  Ibid. قلت: فالحديث موضوع مرفوعا، ومنكر جدّا موقوفا على علي بن أبي طالب - رضي الله عنه - والله أعلم