Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE 564: PAHALA BAGI MEREKA YANG TIDAK LANCAR MEMBACA AL-QURAN

 PAHALA_BAGI_MEREKA_YANG_TIDAK_LANCAR_MEMBACA_AL-QURAN.jpg

 

Soalan

Adakah betul ada hadis mengenai sesiapa yang membaca al-Quran atau iqra dalam keadaan lancar mendapat satu pahala, tetapi bagi yang membacanya dengan pelat atau tidak lancar mendapat seperti sebutan pelat pada huruf Ra mendapat dua pahala. Sebab satu pahala itu untuk dia membaca dan satu lagi pahala kerana dia berusaha untuk membaca walaupun tidak lancar. Adakah hadis ini sahih dan mempunyai sanad? Terima kasih.

Ringkasan Jawapan

Benar, terdapat dalil daripada hadis Nabi SAW yang menunjukkan bahawa mereka yang membaca al-Quran dengan lancar mendapat satu ganjaran daripada Allah SWT. Manakala mereka yang membaca al-Quran dengan tidak lancar mendapat dua pahala di sisi Allah SWT. Hadisnya adalah sahih iaitu diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam Sahih Muslim. Namun, maksud hadis ini bukanlah menunjukkan orang yang tidak lancar membaca al-Quran itu pahalanya lebih banyak berbanding orang yang lancar membaca al-Quran. Bahkan orang yang lancar itu lebih afdal dan lebih banyak pahalanya. Walau bagaimanapun, umat Islam dianjurkan untuk sentiasa memperbaiki bacaan al-Quran dan mempelajari setiap ilmu yang memahamkan diri tentang ayat-ayat Allah SWT. Selain itu, dianjurkan juga untuk memperbanyakkan bacaan al-Quran kerana di akhirat kelak ia akan memberi syafaat kepada pembacanya.

Huraian Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Salah satu anugerah yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada umat Nabi Muhammad SAW ialah walaupun mereka tidak memahami setiap apa yang dibaca daripada al-Quran maka mereka tetap diganjari pahala oleh Allah SWT. Perkara ini jelas berdasarkan hadis bahawa Nabi SAW bersabda:

مَن قَرَأَ حَرْفًا مِنْ كِتَابِ اللَّهِ فَلَهُ بِهِ حَسَنَةٌ ، وَالْحَسَنَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا ، لَا أَقُوْلُ آلم حَرْفٌ، وَلَكِنْ أَلِفٌ حَرْفٌ وَلَامٌ حَرْفٌ وَمِيْمٌ حَرْفٌ

Maksudnya: “Sesiapa yang membaca satu huruf di dalam al-Quran maka dia mendapat satu kebaikan dan setiap kebaikan itu digandakan menjadi sepuluh kebaikan yang semisal dengannya. Aku tidak mengatakan Alif Lam Mim itu satu huruf akan tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf”. 

(Riwayat al-Tirmizi)

Jika orang yang membaca al-Quran namun tidak memahami bacaan al-Quran pun mendapat pahala, jadi bagaimana pula orang yang tidak lancar ketika membacanya?

Dalam hal ini, Saidatina Aisyah RA meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda:

الْمَاهِرُ بِالْقُرْآنِ مَعَ السَّفَرَةِ الْكِرَامِ الْبَرَرَةِ، وَالَّذِي يَقْرَأُ الْقُرْآنَ وَيَتَتَعْتَعُ فِيهِ، وَهُوَ عَلَيْهِ شَاقٌّ، لَهُ أَجْرَانِ

Maksudnya: “Orang yang mahir membaca al-Quran, maka di akhirat dia akan ditemani oleh para malaikat para pencatat yang mulia. Manakala orang yang membaca al-Quran dengan gagap dan menghadapi kepayahan ketika membacanya, maka dia mendapat dua pahala.”

(Riwayat Muslim)

Hadis ini merupakan hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam Sahih Muslim. Maksud orang yang tidak lancar mendapat dua ganjaran itu ialah sebagaimana yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi bahawa dua ganjaran yang diperolehi itu adalah kerana pertamanya bagi pembacaannya itu dan yang keduanya disebabkan kepayahannya dalam membaca al-Quran. 

Walaupun begitu, maksud hadis ini bukanlah menunjukkan orang yang tidak lancar membaca al-Quran itu pahalanya lebih banyak berbanding orang yang lancar membaca al-Quran. Bahkan orang yang lancar itu lebih afdal dan lebih banyak pahalanya. Ini kerana mereka ditemani dengan para malaikat di akhirat dan dia memperolehi banyak ganjaran. Mana mungkin mereka yang sering menjaga bacaan al-Quran dan mempelajari al-Quran mendapat ganjaran yang lebih sedikit berbanding mereka yang tidak lancar membaca al-Quran, cuma kelebihan-kelebihan itu tidak disebutkan dalam riwayat di atas.

Sebagai umat Islam, seharusnya memperbanyakkan bacaan al-Quran kerana pada hari akhirat kelak al-Quran akan memberi syafaat kepada pembacanya. Hal ini sebagaimana yang disebutkan dalam satu hadis, Abu Umamah al-Bahili bahawa Nabi SAW bersabda:

اقْرَءُوا الْقُرْآنَ فَإِنَّهُ يَأْتِى يَوْمَ الْقِيَامَةِ شَفِيعًا لأَصْحَابِهِ اقْرَءُوا الزَّهْرَاوَيْنِ الْبَقَرَةَ وَسُورَةَ آلِ عِمْرَانَ فَإِنَّهُمَا تَأْتِيَانِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ كَأَنَّهُمَا غَمَامَتَانِ أَوْ كَأَنَّهُمَا غَيَايَتَانِ أَوْ كَأَنَّهُمَا فِرْقَانِ مِنْ طَيْرٍ صَوَافَّ تُحَاجَّانِ عَنْ أَصْحَابِهِمَا اقْرَءُوا سُورَةَ الْبَقَرَةِ فَإِنَّ أَخْذَهَا بَرَكَةٌ وَتَرْكَهَا حَسْرَةٌ وَلاَ تَسْتَطِيعُهَا الْبَطَلَةُ

Maksudnya: “Bacalah al-Quran. Sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat sebagai pemberi syafaat kepada pembacanya. Bacalah al-Zahrawan iaitu al-Baqarah dan Ali Imran kerana keduanya nanti datang pada hari kiamat seakan-akan awan atau cahaya matahari ataupun seperti burung yang berbulu yang terbang mengelilingi pembacanya. Bacalah surah al-Baqarah kerana sesungguhnya membacanya ada keberkatan dan meninggalkannya adalah penyesalan. Tukang sihir tidak akan mampu menandinginya.”

(Riwayat Muslim)

Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa yang dimaksudkan dengan perumpamaan dalam hadis di atas adalah bermaksud pahala daripada bacaan al-Quran yang datang dalam bentuk awan dan sebagainya.

Selain itu, umat Islam juga perlu sentiasa memperbaiki bacaan al-Quran dan mempelajari setiap ilmu yang memahamkan diri tentang ayat-ayat Allah SWT. Nabi SAW memuji golongan yang mempelajari dan mengajarkan al-Quran, Uthman bin ‘Affan RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:

خَيْرُكُمْ مَنْ تَعَلَّمَ الْقُرْآنَ وَعَلَّمَهُ

Maksudnya: “Sebaik-baik kalian adalah mereka yang belajar al-Quran dan mengajarkannya.”

(Riwayat al-Bukhari)

Kesimpulan

i. Benar, terdapat dalil daripada hadis Nabi SAW yang menunjukkan bahawa mereka yang membaca al-Quran dengan lancar mendapat satu ganjaran daripada Allah SWT.

ii. Manakala mereka yang membaca al-Quran dengan tidak lancar mendapat dua pahala di sisi Allah SWT. Hadisnya adalah sahih, diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam Sahih Muslim.

iii. Namun, maksud hadis ini bukanlah menunjukkan orang yang tidak lancar membaca al-Quran itu pahalanya lebih banyak berbanding orang yang lancar membaca al-Quran. Bahkan orang yang lancar itu lebih afdal dan lebih banyak pahalanya.

iii. Walau bagaimanapun, umat Islam dianjurkan untuk sentiasa memperbaiki bacaan al-Quran dan mempelajari setiap ilmu yang memahamkan diri tentang ayat-ayat Allah SWT. Selain itu, dianjurkan juga untuk memperbanyakkan bacaan al-Quran kerana di akhirat kelak ia akan memberi syafaat kepada pembacanya.

Wallahuaʻlam.

 

Rujukan: 

1. Muhammad bin ‘Isa bin Saurah al-Tirmizi, Sunan al-Tirmizi, ed. Ibrahim ‘Atuwwah ‘Awwad (Mesir: Syarikah Maktabah wa Matbaʻah Mustafa al-Halabi, 1975), hadis no. 2910, jld. 5: hlm. 175.

2. Muslim bin al-Hajjaj, Sahih Muslim, ed. Muhammad Fu’ad ‘Abd al-Baqi (Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi, t.t.), hadis no. 798, jld. 1: hlm. 549.

3. Yahya bin Syaraf al-Nawawi, al-Minhaj Syarh Sahih Muslim bin al-Hajjaj (Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi, 1392), jld. 6: hlm. 85.

وَأَمَّا الَّذِي يَتَتَعْتَعُ فِيهِ فَهُوَ الَّذِي يَتَرَدَّدُ فِي تِلَاوَتِهِ لِضَعْفِ حِفْظِهِ فَلَهُ أَجْرَانِ أَجْرٌ بِالْقِرَاءَةِ وَأَجْرٌ بِتَتَعْتُعِهِ فِي تِلَاوَتِهِ وَمَشَقَّتِهِ

4. Ibid.

قَالَ الْقَاضِي وَغَيْرُهُ مِنَ الْعُلَمَاءِ وَلَيْسَ مَعْنَاهُ الَّذِي يَتَتَعْتَعُ عَلَيْهِ لَهُ مِنَ الْأَجْرِ أَكْثَرُ مِنَ الْمَاهِرِ بِهِ بَلِ الْمَاهِرُ أَفْضَلُ وَأَكْثَرُ أَجْرًا لِأَنَّهُ مَعَ السَّفَرَةِ وَلَهُ أُجُورٌ كَثِيرَةٌ وَلَمْ يَذْكُرْ هَذِهِ الْمَنْزِلَةَ لِغَيْرِهِ وَكَيْفَ يَلْحَقُ بِهِ مَنْ لَمْ يَعْتَنِ بِكِتَابِ اللَّهِ تَعَالَى وَحِفْظِهِ وَإِتْقَانِهِ وَكَثْرَةِ تِلَاوَتِهِ وَرِوَايَتِهِ كَاعْتِنَائِهِ حَتَّى مَهَرَ فِيهِ وَاللَّهُ أَعْلَمُ

5. Muslim bin al-Hajjaj, Sahih Muslim, ed. Muhammad Fu’ad ‘Abd al-Baqi, hadis no. 804, jld. 1: hlm. 553.

6.  Yahya bin Syaraf al-Nawawi, al-Minhaj Syarh Sahih Muslim bin al-Hajjaj, jld. 6: hlm. 90.  

قَالَ الْعُلَمَاءُ الْمُرَادُ أَنَّ ثَوَابَهُمَا يَأْتِي كَغَمَامَتَيْنِ

7. Muhammad bin Ismail al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, ed. Muhammad Zuhair bin Nasir al-Nasir (t.tp.: Dar Tuq al-Najah, 1422), hadis no. 5027, jld. 6: hlm. 192.