Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE 570: BENARKAH TERDAPAT ANJURAN MENGKHATANKAN ANAK SEAWAL USIA 7 HARI?

ADAKAH_TERDAPAT_ANJURAN_MENGKHATANKAN_ANAK_SEAWAL_USIA_7_HARI.jpg

Soalan

Assalamualaikum wrth, adakah terdapat saranan dalam agama untuk mengkhatankan anak seawal usia mereka 7 hari? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Ringkasan Jawapan

Dalam mazhab Syafie disunatkan mengkhatankan bayi seawal usianya 7 hari, jika ingin menangguhkannya maka sunat dilakukan pada hari ke-40 kelahirannya atau pada ketika usia kanak-kanak itu mencapai umur 7 tahun (mengikut kiraan Qamariah).

Huraian Jawapan

Islam sangat menekankan aspek kebersihan dan kesihatan, kerana seseorang perlu berada dalam keadaan bersih dan sihat untuk melaksanakan ibadah dengan sempurna. Berkhatan adalah salah satu simbol penjagaan kebersihan dan kesihatan dalam Islam.

Menurut pandangan muktamad dalam mazhab Syafie:

ووجب ختان للمرأة والرجل حيث لم يولدا مختونين

Maksudnya: Wajib berkhatan bagi lelaki dan juga perempuan sekiranya dia lahir dalam keadaan yang belum dikhatankan.[1]

Walau bagaimanapun, ulama menyebutkan bahawa berkhatan ini menjadi wajib dengan sebab baligh. Namun, disunatkan berkhatan ketika bayi itu berusia seawal 7 hari selepas hari kelahirannya.[2] Hal ini sepertimana yang dilakukan oleh Nabi SAW, dalam satu riwayat disebutkan bahawa:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَتَنَ الْحَسَنَ وَالْحُسَيْنَ يَوْمَ السَّابِعِ مِنْ وِلَادَتِهِمَا

Maksudnya: Nabi SAW telah mengkhatankan Saidina Hasan dan Saidina Husin RA pada hari ketujuh selepas hari kelahiran kedua-duanya.[3]

Meskipun begitu, jika hendak menangguhkannya maka sunat melakukannya pada hari ke-40 selepas kelahiran. Bahkan, jika ingin ditangguhkan lagi maka boleh melakukannya pada ketika kanak-kanak tersebut telah mencapai umur 7 tahun (mengikut kiraan umur Qamariah) kerana selari dengan perintah untuk menyuruhnya solat.[4]

Selain itu, jika umur bayi yang hendak dikhatankan itu belum mencapai usianya 7 hari sama ada bayi lelaki mahupun perempuan maka hukumnya adalah makruh.[5]

Kesimpulan

Berdasarkan perbahasan di atas, dalam mazhab Syafie disunatkan mengkhatankan bayi seawal usianya 7 hari jika ingin menangguhkannya maka sunat dilakukan pada hari ke-40 kelahirannya atau pada ketika usia kanak-kanak itu mencapai umur 7 tahun (mengikut kiraan Qamariah). Manakala, jika bayi itu belum mencapai usianya 7 hari sama ada bayi lelaki mahupun perempuan maka hukumnya adalah makruh. Wallahuaʻlam.

 

Rujukan: 

[1] Zainuddin Ahmad bin ‘Abd al-Aziz al-Malibari, Fath al-Muʻin bi Syarh Qurrah al-‘Ain bi Muhimmat al-Din (t.tp.: Dar Ibn Hazm, t.t.), hlm. 591.

[2] Syams al-Din Muhammad bin Abi al-‘Abbas al-Ramli, Nihayah al-Muhtaj ila Syarh al-Minhaj (Beirut: Dar al-Fikr, 1984), jld. 8: hlm. 36-37.

(وَيُنْدَبُ تَعْجِيلُهُ فِي سَابِعِهِ) أَيْ سَابِعِ يَوْمِ وِلَادَتِهِ لِأَنَّهُ - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ - خَتَنَ الْحَسَنَ وَالْحُسَيْنَ يَوْمَ سَابِعِهِمَا

[3] Muhammad bin ‘Ali al-Syaukani, Nail al-Autar, ed. ‘Isam al-Din al-Sababiti (Mesir: Dar al-Hadith, 1993), jld. 1: hlm. 145.

[4] Zainuddin Ahmad bin ‘Abd al-Aziz al-Malibari, Fath al-Muʻin bi Syarh Qurrah al-‘Ain bi Muhimmat al-Din, hlm. 591.

فإن أخر عنه ففي الأربعين وإلا ففي السنة السابعة لأنها وقت أمره بالصلاة.

[5] Syams al-Din Muhammad bin Abi al-‘Abbas al-Ramli, Nihayah al-Muhtaj ila Syarh al-Minhaj, jld. 8, hlm. 37.

وَيُكْرَهُ قَبْلَ السَّابِعِ