Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-204: DOA MALAM AL-QADAR

 

 

 

Soalan: Apakah hadith berkaitan doa yang diajar oleh Nabi SAW kepada Aisyah RA apabila bertemu malam al-Qadar?

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Di dalam bulan Ramadhan yang mulia ini, Allah SWT telah menjadikan satu malam yang istimewa berbanding malam-malam lain yang mana dilipat gandakan setiap amalan yang dilakukan pada malam tersebut. Tambahan pula, kita juga dituntut untuk memperbanyakkan berdoa pada setiap malam Ramadhan terutama pada sepuluh malam terakhir. Berdasarkan soalan di atas, memang terdapat hadith yang menceritakan berkaitan doa yang diajar oleh Nabi SAW kepada isterinya iaitu Aisyah RA apabila bertemu malam yang mulia ini.

 

  • Daripada Aisyah RA, bahawa beliau bertanya Nabi SAW: “Wahai Nabi Allah, jika aku bertemu dengan malam al-Qadar maka apa yang sepatutnya aku ucapkan. Nabi SAW bersabda:

 

اللهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ، فَاعْفُ عَنِّي

Maksudnya: “Ya Allah Ya Tuhan Kami, sesungguhnya Kamu Maha Pengampun dan amat suka akan keampunan, maka berikanlah keampunan kepadaku”. [Riwayat al-Tirmizi (3513), Ibn Majah (3850) dan Ahmad (25384)][Imam al-Tirmizi menilai hadith ini sebagai hasan sahih. Manakala Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menghukum sanad hadith ini sebagai sahih dan perawi-perawinya adalah thiqah]

 

Imam al-Nawawi berkata bahawa ashab kami (ulama’ Syafieyyah) mengatakan disunatkan memperbanyakkan membaca doa ini pada malam al-Qadar. Begitu juga, disunatkan membaca al-Qur’an, zikir-zikir dan doa-doa yang disunatkan pada tempat-tempat yang mulia. [Lihat: al-Azkar, 191]

 

Tambahan pula, jika diamati sebahagian orang membaca dengan sedikit penambahan pada lafaz doa tersebut iaitu dengan menambah lafaz “كَرِيمٌ”:

 

اللَّهُمَّ إِنَّكَ عُفُوٌّ كَرِيمٌ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي

Maksudnya: “Ya Allah Ya Tuhan Kami, sesungguhnya Kamu Maha Pengampun lagi Maha Pemurah dan amat suka akan keampunan, maka berikanlah keampunan kepadaku”.

 

Penambahan ini tidak didapati di dalam Sunan al-Tirmizi yang telah ditahqiq dan ia juga tidak didapati di dalam kitab-kitab hadith yang lain. Antaranya, Syeikh al-Albani mengatakan penambahan lafaz itu tiada asal daripada sumber-sumber yang disebutkan dan ia juga tidak terdapat di dalam sumber-sumber yang dikatakan diambil daripadanya. Maka, zahirnya lafaz itu adalah mudrajah (penambahan daripada perawi atau orang lain dan ia bukanlah daripada Nabi SAW) daripada sebahagian orang yang menyalin atau mencetak kerana lafaz tersebut tidak terdapat di dalam cetakan hindiyyah bagi Sunan al-Tirmizi yang terdapat padanya Syarah Tuhfah al-Ahwazi oleh al-Mubarakfuri dan tidak ada juga pada yang lainnya. Selain itu, yang menguatkan bahawa lafaz tersebut adalah tambahan kerana Imam al-Nasa’ie di dalam sebahagian riwayatnya telah meriwayatkan melalui jalur yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi dan keduanya melalui guru mereka berdua (Imam al-Nasa’ie dan Imam al-Tirmizi) iaitu Qutaibah bin Said dengan sanadnya tanpa ada penambahan. [Lihat: Silsilah al-Sahihah, 1011,1012/7]

 

Walaupun begitu, kami berpandangan bahawa setiap orang boleh dibolehkan berdoa dengan apa jua doa selagimana maksud atau makna doa itu tidak bertentangan dengan al-Qur’an dan hadith Nabi SAW tanpa menyandarkannya kepada Rasulullah SAW. Akan tetapi, jika dia berdoa dengan apa yang disebutkan di dalam al-Qur’an atau hadith Nabi SAW maka itu adalah lebih baik.

 

Penutup

Kesimpulannya, kita dituntut untuk memperbanyakkan beribadah dan sentiasa berdoa kepada Allah SWT dalam apa jua keadaan sekalipun. Lebih-lebih lagi di sepuluh terakhir bulan Ramadhan kerana padanya terdapat satu malam yang istimewa. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kesihatan yang baik agar segala amal ibadah kita dapat dilaksankan dengan sempurna di bulan Ramadhan yang masih berbaki ini dan semoga Allah SWT mempertemukan kita dengan malam al-Qadar. Amin.

 

Wallahua’lam