Soalan: Apakah terdapat doa berbuka puasa daripada hadith?
Jawapan :
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Berdasarkan soalan di atas, kita dituntut di dalam agama untuk sentiasa berdoa kepada Allah walaupun ketika makan. Tambahan pula, doa orang yang berpuasa adalah mustajab. Terdapat satu hadith di dalam Sunan Abi Daud:
- Daripada Ibn Umar RA berkata, bahawa Nabi SAW apabila hendak berbuka, Baginda SAW membaca (doa):
ذَهَبَ الظَّمَأُ، وَابْتَلَّتِ الْعُرُوقُ، وَثَبَتَ الْأَجْرُ إِنْ شَاءَ اللَّهُ
Maksudnya: "Telah hilang dahaga, telah basah urat-urat dan telah ditetapkan pahala insyaAllah". [Riwayat Abu Daud (2357)][Syeikh al-Arna’outh menghukum sanad hadith ini adalah hasan]
Menurut Imam al-Nawawi di dalam al-Azkar, makna “الظَّمَأُ” di dalam hadith di atas adalah dahaga. Ini berdasarkan firman Allah SWT:
ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمْ لَا يُصِيبُهُمْ ظَمَأٌ
Maksudnya: “Yang demikian kerana sesungguhnya (tiap-tiap kali) mereka merasai dahaga”. [Lihat: al-Taubah:120]
Tambahan pula, terdapat satu lagi doa yang masyhur dalam masyarakat kita apabila hendak berbuka adalah:
- Daripada Muaz bin Zuhrah, telah sampai kepadanya bahawa Nabi SAW bersabda apabila hendak berbuka:
اللَّهُمَّ لَكَ صُمْتُ، وَعَلَى رِزْقِكَ أَفْطَرْتُ
Maksudnya: “Ya Allah Ya Tuhan kami kerana Engkau aku berpuasa dan dengan rezeki Engkau aku berbuka”. [Riwayat Abu Daud (2358)] [Imam al-Nawawi di dalam al-Azkar menghukum hadith ini sebagai mursal iaitu sanadnya terputus iaitu nama sahabat gugur di dalam sanad hadith ini]
Kami berpandangan bahawa setiap orang boleh dibolehkan berdoa dengan apa jua doa selagimana maksud atau makna doa itu tidak bertentangan dengan al-Qur’an dan hadith Nabi SAW tanpa menyandarkannya kepada Rasulullah SAW. Akan tetapi, jika ingin dilihat dari sudut status hadith, doa yang pertama lebih sahih dari sudut sanadnya berbanding hadith yang kedua.
Di sini kami sertakan beberapa lagi lafaz doa yang dinukilkan oleh Ibn Sunni di dalam kitabnya. Antaranya adalah:
- Daripada Muaz bin Zuhrah, adapun Rasulullah SAW bersabda apabila hendak berbuka:
الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَعَانَنِي فَصُمْتُ، وَرَزَقَنِي فَأَفْطَرْتُ
Maksudnya: “Segala puji bagi Allah yang telah membantuku maka disebabkan itu aku telah berpuasa dan Dia telah memberi rezeki kepadaku maka aku berbuka dengannya”. [Lihat: Amal al-Yaum wa al-Lailah (479)] [Syeikh al-Arna’outh menghukum sanad hadith ini adalah mursal kerana Muaz bin Zuhrah tidak mendengar langsung daripada Nabi SAW]
- Daripada Ibn Abbas RA, bahawa Nabi SAW bersabda ketika berbuka:
اللَّهُمَّ لَكَ صُمْنَا، وَعَلَى رِزْقِكَ أَفْطَرْنَا، فَتَقَبَّلْ مِنَّا، إِنَّكَ أَنْتَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ
Maksudnya: “Ya Allah Ya Tuhan kami kerana Engkau kami berpuasa dan dengan rezeki Engkau kami berbuka maka terimalah daripada kami, sesungguhnya Engkau Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui ”. [Lihat: Amal al-Yaum wa al-Lailah (480)] [Syeikh al-Arna’outh menghukum sanad hadith ini adalah dhaif]
- Daripada Abdullah bin ‘Amr berkata bahawa Nabi SAW apabila hendak berbuka beliau bersabda:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ بِرَحْمَتِكَ الَّتِي وَسِعَتْ كُلَّ شَيْءٍ أَنْ تَغْفِرَ لِي
Maksudnya: “Ya Allah Ya Tuhan kami, aku memohon kepada-Mu dengan rahmat-Mu yang mana meliputi semua perkara agar Engkau ampunkan aku”. [Riwayat Ibn Majah (1753)][Syeikh Syuaib al-Arna’outh mengatakan sanad hadith ini adalah hasan]
Penutup
Kesimpulannya, kita dituntut untuk sentiasa berdoa kepada Allah SWT dalam apa jua keadaan sekalipun. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kekuatan dan kesihatan yang baik dalam menghadapi dan menyempurnakan bulan Ramadhan yang mulia ini. Amin.
Wallahua’lam