Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA HAJI DAN KORBAN SIRI KE-28 : HUKUM WASWAS PADA BILANGAN TAWAF IFADHAH

IF HAJI 28

Soalan :

Assalamualaikum Dr, saya nak bertanya jika membuat tawaf haji (dalam keadaan istihadah) saya telah ikut panduan seperti yang diberitahu tabung haji (kerana sebelum tawaf saya telah merujuk kepada tabung haji) dan seterusnya saie. selang dua hari, ada seorang rakan jemaah asyik menyatakan dia waswas dalam tawafnya sama ada cukup atau tidak lalu dia tambah satu pusingan tawaf dan saei 7 pusingan semula. Saya tidak waswas pada mulanya kerana yakin cukup pusingan cuma tiba tiba terfikir tentang cukup atau tidak tawaf saya. Lalu saya ke Masjidil Haram dan tambah satu pusingan tawaf (saya berkata dalam hati jika betul kurang pusingn tawaf haji, maka saya tambah 1 pusingan ini) dan seterusnya saei semula 7 pusingan. Jadi Dr. saya nak tanya adakah sah tawaf saya itu? Saya cuba melawan dengan terfikir 1 pusingan itu tapi gagal walaupun saya yakin saya cukup pusingan itu.

Jawapan :

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT :

وَلَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنْسَانَ وَنَعْلَمُ مَا تُوَسْوِسُ بِهِ نَفْسُهُ

Maksudnya : Dan demi sesungguhnya, Kami telah mencipta manusia dan Kami sedia mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya

(Surah Qaf : 16)

Takrif waswas :

Waswas daripada segi bahasa bermaksud suara (bisikan) halus daripada angin dan lain-lain. [Lihat : al-Mausu'ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (43/146)]

Manakala daripada segi istilah, terdapat banyak takrifan yang telah diberikan oleh para ulama, antaranya :

  1. Was-was bermaksud percakapan di dalam diri sendiri seperti dibisikkan ke dalam diri insan perasaan berbolak-balik samada telah melakukan sesuatu atau belum melakukan sesuatu.
  2. Was-was bermaksud sesuatu yang dibisikkan oleh syaitan ke dalam diri manusia.
  3. Was-was ialah apa yang dibisikkan ke dalam diri manusia ketika melakukan sesuatu perkara kepada tahap yang terlalu berhati-hati sehinggakan apabila telah melakukan sesuatu, dia akan mengulangi perkara itu secara berlebihan dan keterlaluan.
  4. Was-was ialah penyakit pada akal manusia yang apabila dia bercakap maka percakapannya adalah sia-sia.[Lihat : al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah       (43/147)]

 

Mengenai permasalahan waswas ini Allah SWT telah berfirman :

الَّذِي يُوَسْوِسُ فِي صُدُورِ النَّاسِ (5) مِنَ الْجِنَّةِ وَالنَّاسِ (6)

Maksudnya : “Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia. (Iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia”

(Surah an-Nas : 5-6)

Menurut al-Maraghi, “Bisikan was-was itu dinyatakan berada di dalam dada manusia, kerana sudah lazim dalam bahasa orang Arab mengatakan bahawa gurisan jiwa itu ada di dalam hati, sedang hati itu berada di dalam dada.” [Lihat : Tafsir al-Maraghi (15/7748)]

Bagi mendapatkan perbahasan yang lebih lanjut mengenai permasalahan waswas, bolehlah merujuk kepada artikel kami di dalam Bayan Linnas Siri ke-103 dan Irsyad al-Fatwa ke-158.

Berbalik kepada soalan yang telah ditanyakan, kita harus mengetahui bahawa tawaf ifadhah adalah merupakan antara rukun-rukun haji sebagaimana firman Allah SWT :

وَلْيَطَّوَّفُوا بِالْبَيْتِ الْعَتِيقِ

Maksudnya: Dan hendaklah mereka tawaf akan Baitullah (Kaabah) yang tua sejarahnya itu.

(Surah al-Haj: 29)

 

Di antara syarat sah tawaf tersebut, seseorang itu hendaklah menyempurnakan tawafnya sebanyak 7 kali pusingan. [Lihat : al-Fiqh al-Manhaji (2/141)]

Dan sekiranya dia telah ragu-ragu atau waswas mengenai bilangan tawafnya, dia tidak akan terkeluar daripada dua situasi ini :

(1) Ketika masih lagi sedang melakukan tawaf. Contohnya : Ketika dia sedang melakukan tawaf, tiba-tiba telah waswas pada bilangan tawafnya adakah kali ke-6 atau ke-7.

Sekiranya demikian, hendaklah dia mengambil bilangan yang paling sedikit.

Dalilnya adalah sebagaimana hadis Abu Said al-Khudri RA bahawa Nabi SAW telah bersabda :

إِذَا شَكَّ أَحَدُكُمْ فِي صَلَاتِهِ، فَلَمْ يَدْرِ كَمْ صَلَّى ثَلَاثًا أَمْ أَرْبَعًا، فَلْيَطْرَحِ الشَّكَّ وَلْيَبْنِ عَلَى مَا اسْتَيْقَنَ

Maksudnya : “Sekiranya salah seorang di antara kalian yang ragu-ragu di dalam solatnya, dia tidak tahu bilangan rakaatnya, apakah sudah tiga atau empat. Maka buanglah keraguan itu, dan binalah (ambilah) apa yang pasti (iaitu yang sedikit)” [HR Muslim (571)]

Ini adalah sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Imam Nawawi bahawa :

ولو شك في عدد الطواف أو السعي لزمه الأخذ بالأقل ولو غلب على ظنه الاكثر لزمه الاخذ بالاقل المتقين كما سبق في الصلاة

Maksudnya : “Sesiapa yang telah syak pada bilangan tawaf atau saienya, wajib ke atas dia mengambil bilangan yang paling sedikit sekalipun dia cenderung pada bilangan yang banyak (dalam sangkaannya), tetap wajib ke atasnya mengambil bilangan yang sedikit yang diyakini sebagaimana di dalam bab solat yang lepas (iaitu syak pada bilangan rakaat)” [Lihat : al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab (8/21)]

Syeikh Hasan bin Ahmad al-Kaff juga menyebutkan perkara yang sama bahawa, “Tawaf adalah sebanyak tujuh kali (pusingan) secara yakin. Dan sekiranya datang syak pada bilangannya, ambilah yang paling sedikit seperti solat (syak pada bilangan rakaat)” [Lihat : al-Taqrirat al-Sadidah m/s : 481]

Hal ini dikuatkan lagi oleh nukilan Ibnu Munzir di dalam kitabnya bahawa telah menjadi Ijma’ dalam kalangan para ulama bagi sesiapa yang ragu-ragu di dalam (bilangan) tawafnya hendaklah dia mengambil apa yang pasti (yakin). [Lihat : al-Ijma’ m/s : 55]

(2) Sudah selesai melakukan tawaf dan meninggalkannya. Contohnya : Seseorang itu sudah pun selesai menunaikan tawaf ifadhah dan telah pulang ke hotel. Tidak lama kemudian, datang waswas di dalam dirinya adakah dia telah tawaf cukup sebanyak 7 kali pusingan atau pun tidak.

Di dalam situasi ini, Imam Nawawi telah menyatakan bahawa :

إذا شك بعد فراغه فلا شئ عليه

Maksudnya : “Sekiranya dia ragu-ragu setelah selesai menunaikan tawaf (dan meninggalkannya) maka tiada apa-apa ke atas dirinya (tawafnya sah)” [Lihat : al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab (8/22)]

Dan keraguan tidak akan memberi apa-apa kesan setelah selesainya (sesuatu ibadah). [Lihat : al-Taqrirat al-Sadidah m/s : 481]

Oleh yang demikian, bagi sesiapa yang berada di dalam situasi kedua ini, keraguan yang datang selepas selesai dan yakin akan ibadah tersebut, tidak akan membatalkannya.

 

Kesimpulan :

Berdasarkan kepada persoalan di atas, setelas diteliti pandangan para ulama mengenainya, kami berpendapat bahawa tawaf haji yang dilakukan oleh puan adalah sah dan tidak perlu mengulanginya semula. Hal ini bertepatan dengan kaedah :

الْأَصْلُ بَقَاءُ مَا كَانَ عَلَى مَا كَانَ والْيَقِينُ لَا يَزُولُ بِالشَّكِّ

Maksudnya : “Asal (hukum) sesuatu perkara adalah kekal mengikut keadaan sebelumnya dan perkara yang sudah diyakini tidak boleh dihilangkan oleh keraguan” [Lihat : al-Asybah wa al-Nazair libni Nujaim m/s : 47-49]

Adapun mengulanginya semula disebabkan oleh pemberitahuan orang yang tsiqah dan adil sedangkan dia meyakini yang sebaliknya hukumnya adalah sunat dan bukannya wajib. Akan tetapi Imam Nawawi menegaskan bahawa ianya hanya sekiranya dia masih berada di (tempat) tawaf adapun selepas selesai dan telah beredar daripadanya, maka tiada apa-apa ke atas dirinya. [Lihat : al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab (8/22) dan Mughni al-Muhtaj (2/258)]

Akhir sekali, marilah kita sama-sama berdoa semoga Allah SWT menerima amal ibadah kita.