Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM HAJI DAN KORBAN SIRI KE-36: HUKUM JIKA WANITA DATANG HAID KETIKA MELAKSANAKAN IBADAH HAJI PADA HARI ‘ARAFAH

ifkh36.png

SOALAN

Assalamualaikum Sahibus Samahah Mufti. Apakah hukum wanita yang datang haid ketika melaksanakan ibadah haji pada Hari ‘Arafah? Apakah yang sepatutnya dilakukan olehnya?

Mohon penjelasan Tuan Mufti. Terima kasih.

JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Bagi menjawab soalan ini, secara ringkasnya, haid dan nifas sebenarnya tidak termasuk dalam perkara yang ditegah dan halangan dalam berihram. Justeru itu, ia tidak menjadikan ibadah haji bagi perempuan tersebut rosak atau batal. Oleh itu, perempuan tersebut hendaklah terus melaksanakan ibadah wuquf di padang ‘Arafah dan menyempurnakan semua amalan-amalan haji baginya, selain daripada ibadah tawaf dan sa’ie sahaja.

Hal ini kerana ibadah sa’ie tidak dilakukan kecuali selepas daripada selesai melaksanakan tawaf. Manakala ibadah tawaf pula, syarat baginya adalah perlu suci daripada hadas kecil dan besar. Oleh itu, apabila perempuan tersebut telah suci daripada haid dan nifas, maka dia hendaklah mandi wajib. Apabila telah selesai mandi wajib, maka dia perlulah menyempurnakan ibadah tawaf dan sa’ie yang dia tangguhkan sebelum itu.

Walau bagaimanapun, jika sekiranya sucinya itu datang lewat, dan dalam masa yang sama, jika dia menunggu sehingga suci akan menyebabkan dia terlepas rombongan pulang atau tiket penerbangannya, maka dibolehkan baginya untuk melakukan ibadah tawaf dan saie. Maka, dalam keadaan demikian, dia dikenakan dam (denda) seekor unta dengan mengambil pandangan para ulama’ mazhab Hanafi. (Lihat rujukan berikut: al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab 1:232, Hasyiah Qalyubi Wa Umairah 2:124-125, Badai al-Sona’i 2:142, al-Mughni 3:458 dan Bidayah al-Mujathid 1:292)

Justeru itu, nasihat kami laksanakanlah haji mengikut apa yang telah diperintahkan oleh Rasulullah SAW seperti dalam sabdaan-nya:

خُذُوا عَنِّي مَنَاسِكَكُمْ

Maksudnya: Ambillah daripadaku ibadah haji kalian.

Hadith riwayat al-Nasa’ie: (3062)

Kesimpulan

Berdasarkan perbahasan dan perbincangan di atas, kami menyimpulkan bahawa haid dan nifas pada ketika hari ‘Arafah tidak merosakkan dan menjejaskan ibadah haji. Hal ini kerana haid dan nifas tidak termasuk dalam perkara yang ditegah dan halangan dalam berihram. Oleh itu, perempuan yang didatangi haid pada ketika hari ‘Arafah hendaklah menyempurnakan wuquf dan amalan-amalan haji yang lain baginya, selain daripada ibadah tawaf dan sa’ie. Ini kerana kedua-dua ibadah tersebut bergantung kepada syarat suci daripada hadas untuk melaksanakannya.

Jika sekiranya perempuan tersebut telah suci, maka hendaklah dia mandi wajib. Kemudian selepas daripada itu, hendaklah dia menyempurnakan tawaf dan sa’ie yang ditangguhkan sebelumnya. Namun begitu, jika sekiranya sucinya datang lewat dan dia risau terlepas rombongan pulang, maka dibolehkan baginya untuk melaksanakan tawaf dan sa’ie dengan disertakan dengan bayaran dam (denda) seekor unta bersandarkan kepada pandangan para ulama’ mazhab Hanafi.

Disamping itu juga, kami syorkan juga supaya merujuk keputusan muzakarah haji yang telah diputuskan dalam isu ini. Semoga pencerahan ini memberi kebaikan kepada kita dan kefahaman yang sahih dalam memahami syariat-Nya, serta taufiq dan hidayah untuk melaksanakan ibadah ikhlas semata-mata kerana-Nya. Amin.

WaAllahu a’lam.