Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM HAJI DAN KORBAN SIRI KE-57: ADAKAH LARANGAN MEMOTONG RAMBUT BAGI ORANG YANG MELAKUKAN KORBAN MELIPUTI SEGALA JENIS BULU PADA BADAN

IFH57

 

SOALAN

Assalamualaikum Dato’ Mufti , saya ada persoalan yang ingin diajukan berkenaan Ibadah korban. Saya ada membaca tentang larangan memotong kuku dan rambut bagi  mereka yang ingin melaksanakan ibadah tersebut, apakah yang dimaksudkan dengan larangan tersebut?, apakah rambut tersebut meliputi semua bulu yang ada pada badan kita?.

Sekian, terima kasih Dato’.

 

RINGKASAN JAWAPAN

Hukum menghilangkan rambut atau kuku pada badan bagi orang yang ingin melaksanakan korban adalah makruh. Larangan menghilangkan bulu ini tidak hanya tertumpu kepada rambut sahaja bahkan ia meliputi seluruh bulu yang terdapat pada badan si pelaksana korban seperti rambut, bulu ketiak, janggut, misai, bulu ari-ari dan selainnya. Sementara itu, perbuatan menghilangkan bulu dan kuku ini meliputi segala perbuatan yang boleh menghilangkan kedua-duanya seperti mencukur rambut atau memendekkannya dan memotong kuku atau mematahkannya. Oleh itu, orang yang ingin melaksanakan ibadah korban disunatkan untuk tidak menghilangkan segala bulu yang ada pada badannya dan kuku dengan apa jua cara yang boleh menghilangkannya demi meraih pahala sunat amalan itu.

 

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Antara perkara yang disunatkan bagi  orang yang ingin berkorban untuk tidak memotong rambut di kepalanya, wajahnya, atau badannya, tidak juga memotong kukunya bermula 1 Zulhijah sehingga dia selesai menyembelih korbannya. Hal ini berdasarkan hadis daripada Ummu Salamah R.Anha bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ كَانَ لَهُ ذِبْحٌ يَذْبَحُهُ فَإِذَا أُهِلَّ هِلَالُ ذِي الْحِجَّةِ، فَلَا يَأْخُذَنَّ مِنْ شَعْرِهِ، وَلَا مِنْ أَظْفَارِهِ شَيْئًا حَتَّى يُضَحِّيَ

Maksudnya: Sesiapa yang mempunyai binatang korban untuk disembelih, maka apabila terlihatnya anak bulan Zulhijah, janganlah dia mengambil satu apa pun (yakni memotong) daripada rambutnya, mahupun daripada kukunya sehingga dia selesai berkorban.

Riwayat Muslim (1977), Abu Daud (2791)

Menurut Imam al-Syawkani menyatakan hadis ini digunakan sebagai dalil larangan memotong kuku atau mencukur rambut bagi orang yang hendak melaksanakan ibadah korban.[1]

(Rujuk: Nail al-Awtar, 5/133)

Oleh itu, larangan memotong kuku dan rambut bagi orang  yang ingin melaksanakan korban adalah makruh bukan haram. Ini bertepatan dengan pendapat yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi bahawa mazhab Syafie berpandangan sesungguhnya memotong atau mencukur rambut dan kuku pada sepuluh terawal bulan Zulhijah bagi mereka yang ingin melaksanakan ibadah korban adalah makruh tanzih sehingga dia selesai menyembelih binatang korbannya.[2]

(Rujuk: Al-Majmuk Syarh al-Muhazzab, 8/392)

Bulu yang dimaksudkan tidak hanya tertumpu kepada rambut sahaja bahkan meliputi segala bulu yang ada pada tubuh badan si pelaksana korban. Menurut Imam al-Damiri menyatakan:

 أ(ويسن لمريدها) أي: غير المحرم (أن لا يزيل شعره ولا ظفره في عشر ذي الحجة حتى يضحي)؛ لحديث أم سلمة المتقدم، وسواء في ذلك ‌شعر ‌الرأس واللحية ‌والإبط ‌والعانة ‌والشارب وغيرها

Bermaksud: Sunat bagi orang yang ingin melaksanakan korban iaitu selain daripada orang yang berihram untuk tidak mencabut (memotong) rambut dan kukunya pada sepuluh awal Zulhijah sehingga dia melaksanakan korban berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Ummu Salamah RA, sama ada bulu pada kepala, janggut, ketiak, ari-ari, misai dan selainnya.

(Rujuk: Al-Najm al-Wahhaj, 9/501)

Sementara itu, maksud larangan menghilangkan bulu dan kuku pula meliputi pelbagai cara yang boleh menghilangkan kedua-duanya seperti memotong kuku atau mematahkannya atau bercukur rambut atau memendekkannya. Imam Nawawi menukilkan pandangan ulama-ulama mazhab Syafi’i dalam perkara ini, kata beliau:

قَالَ أَصْحَابُنَا وَالْمُرَادُ بِالنَّهْيِ عَنْ أَخْذِ الظُّفُرِ والشعر النهى عن إزالة الظفر بقلم أوكسر أَوْ غَيْرِهِ وَالْمَنْعُ مِنْ إِزَالَةِ الشَّعْرِ بِحَلْقٍ أَوْ تَقْصِيرٍ أَوْ نَتْفٍ أَوْ إِحْرَاقٍ أَوْ أَخْذِهِ بِنَوْرَةٍ أَوْ غَيْرِ ذَلِكَ وَسَوَاءُ شَعْرُ الْإِبْطِ وَالشَّارِبِ وَالْعَانَةِ وَالرَّأْسِ وَغَيْرُ ذَلِكَ مِنْ شُعُورُ بَدَنِهِ

Bermaksud: Para ulama Syafi’iyyah berkata maksud larangan memotong kuku dan rambut dengan adalah (cara) memotong atau menghilangkan kuku dengan memotong atau mematahkannya atau selainnya dan larangan menghilangkan bulu adalah  dengan cara bercukur, memendekkan, mencabut, membakar, menggunakan ubat penghilang atau selainnya dan sama ada bulu ketiak, misai, ari-ari, rambut dan selainnya daripada bulu-bulu yang ada pada badannya.

(Rujuk: Syarh al-Nawawi ala Muslim, 13/138-139)

 

KESIMPULAN

Berdasarkan perbahasan dan perbincangan ulama di atas, maka dapat disimpulkan bahawa hukum menghilangkan rambut atau kuku pada badan bagi orang yang ingin melaksanakan korban adalah makruh. Larangan menghilangkan bulu ini tidak hanya tertumpu kepada rambut sahaja bahkan ia meliputi seluruh bulu yang terdapat pada badan si pelaksana korban seperti rambut, bulu ketiak, janggut, misai, bulu ari-ari dan selainnya.

Sementara itu, perbuatan menghilangkan bulu dan kuku ini meliputi segala perbuatan yang boleh menghilangkan kedua-duanya seperti mencukur rambut atau memendekkannya dan memotong kuku atau mematahkannya. Oleh itu, orang yang ingin melaksanakan ibadah korban disunatkan untuk tidak menghilangkan segala bulu yang ada pada badannya dan kuku dengan apa jua cara yang boleh menghilangkannya demi meraih pahala sunat amalan itu.

[1]  الْحَدِيثُ اُسْتُدِلَّ بِهِ عَلَى مَشْرُوعِيَّةِ تَرْكِ أَخْذِ الشَّعْرِ وَالْأَظْفَارِ بَعْدَ دُخُولِ عَشْرِ ذِي الْحِجَّةِ لِمَنْ أَرَادَ أَنْ يُضَحِّيَ.

[2]  مَذْهَبُنَا أَنَّ إزَالَةَ الشَّعَرِ وَالظُّفْرِ فِي الْعَشْرِ لِمَنْ أَرَادَ التَّضْحِيَةَ مَكْرُوهٌ كَرَاهَةَ تَنْزِيهٍ حَتَّى يُضَحِّيَ.