Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA HAJI DAN KORBAN SIRI KE-61: POLEMIK MASYARAKAT TERHADAP PENENTUAN HARI WUKUF DI ARAFAH

ifhk61.JPG

Soalan

Assalamualaikum, baru-baru ini kerajaan Arab Saudi mengumumkan bahawa hari wukuf di Arafah lebih awal berbanding tarikh di Malaysia. Persoalannya adakah tarikh puasa sunat hari Arafah mengikut tarikh wukuf di Arab Saudi atau mengikut tarikh di Malaysia. Mohon penjelasan daripada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. Terima Kasih.

Ringkasan Jawapan

Di Malaysia penentuan tarikh awal bulan Zulhijah berdasarkan hasil cerapan dan diumumkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-raja. Penentuan hari Arafah adalah mengikut perkiraan melihat anak bulan Zulhijah pada 9 hari bulan mengikut waktu dan tarikh tempatan walaupun berbeza tarikh wuquf di Arab Saudi. Hal ini kerana matla’ atau tempat terbit bulan dan matahari berbeza mengikut tempat masing-masing

Oleh itu, umat Islam di Malaysia hendaklah menunaikan puasa sunat hari Arafah mengikut perkiraan tarikh melihat anak bulan Zulhijah di Malaysia dan tidak mengikut tarikh wukuf di Arab Saudi. Di samping itu, umat Islam digalakkan untuk berpuasa hari Tarwiyah sehari sebelum hari Arafah iaitu pada 8 Zulhijah.

Huraian Jawapan

Hari Arafah ialah hari yang ke-9 dalam bulan Zulhijah dan sehari sebelum umat Islam menyambut perayaan Aidiladha. Pada hari ini juga Allah SWT menganugerahkan padanya pelbagai kelebihan dan fadilat. Antaranya ia merupakan hari yang Allah SWT banyak membebaskan hamba-Nya daripada api neraka. Di samping itu, bagi umat Islam yang tidak mengerjakan ibadah haji atau wukuf mereka disunatkan untuk berpuasa,[1] Allah SWT akan mengampunkan dosa mereka setahun yang sebelum dan yang selepasnya. Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Qatadah RA bahawa Nabi SAW bersabda:

صيامُ يومِ عَرفةَ إنّي أحْتسبُ على اللهِ أن يُكفّرَ السنَةَ التي بعدهُ والسنةَ التي قبلهُ

Maksudnya: Puasa pada hari Arafah, sesungguhnya aku berharap agar Allah menjadikannya sebagai pengampun segala dosa selama setahun yang akan datang dan setahun sebelumnya.

Riwayat Muslim (1162)

Seringkali terjadi polemik penentuan hari wukuf di Arafah, kebiasaannya jika penetapan hari tersebut berbeza di antara Malaysia dan Arab Saudi. Persoalannya adakah penentuan hari tersebut perlandaskan penglihatan anak bulan atau mengikut hari wukuf di Arafah. Dalam hal ini, melihat kepada kaedah penentuan bilangan bulan dalam kalendar hijrah berlandaskan dengan cerapan melihat anak bulan atau dengan mencukupkan hitungan 30 hari jika anak bulan tidak kelihatan.[2] Firman Allah SWT:

يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْأَهِلَّةِ قُلْ هِيَ مَوَاقِيتُ لِلنَّاسِ وَالْحَجِّ

Maksudnya: Mereka bertanya kepadamu (Muhammad) tentang anak-anak bulan. Katakanlah itu adalah penunjuk waktu bagi manusia (waktu-waktu berpuasa, berbuka, iddah seseorang wanita) dan waktu ibadah haji.

(Surah Al-Baqarah:189)

Dalam hal ini juga, penetapan hari dalam bulan hijrah secara umumnya atau hari arafah khususnya, adalah ditentukan oleh sesuatu tempat berdasarkan keupayaan penampakan anak bulan. Ini kerana matla’ atau kawasan terbitnya matahari dan bulan berbeza bagi sesuatu negara dan tempat bahkan bagi setiap tempat itu mempunyai matla’ tersendiri. Imam Khatib al-Syirbini menjelaskan di dalam karyanya menyatakan bahawa, sekiranya sesuatu negara melihat anak bulan maka kawasan yang berhampiran dengannya boleh mengambil pendekatan hukum yang sama (iaitu dalam penentuan hari dan tarikh kelendar hijrah). Manakala bagi negeri yang berjauhan seperti Iraq dan Hijaz maka ia tidak dibolehkan, hal ini kerana matla’ bagi tempat tersebut adalah berbeza.[3]

Di samping itu, sebaiknya puasa pada hari arafah pada 9 haribulan Zulhijjan disertakan dengan berpuasa sunat tarwiyah[4] iaitu hari ke-8 Zulhijah sehari sebelum hari Arafah bagi mereka yang melakukan ibadah haji atau tidak. Imam Syamsuddin al-Ramli menyatakan bahawa:

وَيُسَنُّ صَوْمُ الثَّمَانِيَةِ أَيَّامٍ قَبْلَ يَوْمِ عَرَفَةَ كَمَا صَرَّحَ بِهِ فِي الرَّوْضَةِ سَوَاءٌ فِي ذَلِكَ الْحَاجُّ وَغَيْرُهُ، أَمَّا الْحَاجُّ فَلَا يُسَنُّ لَهُ صَوْمُ يَوْمِ عَرَفَةَ يَلِ يُسْتَحَبُّ لَهُ فِطْرُهُ وَلَوْ كَانَ قَوِيًّا لِلِاتِّبَاعِ

Maksudnya: Sunat berpuasa pada hari ke lapan sehari sebelum hari Arafah seperti yang dinyatakan di dalam kitab al-Raudah bagi mereka yang mengerjakan ibadah haji atau selainnya. Pun begitu, bagi mereka yang mengerjakan ibadah haji, tidak disunatkan untuk berpuasa pada hari Arafah bahkan disunatkan kepada mereka untuk tidak berpuasa walaupun dalam keadaan sihat kerana mengikut sunnah.[5]

Justeru itu, di Malaysia penentuan tarikh awal bulan Zulhijah berdasarkan hasil cerapan dan diumumkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-raja. Penentuan hari Arafah adalah mengikut perkiraan melihat anak bulan Zulhijah pada 9 hari bulan mengikut waktu dan tarikh tempatan walaupun berbeza tarikh wukuf di Arab Saudi. Hal ini kerana matla’ atau tempat terbit bulan dan matahari berbeza mengikut tempat masing-masing

Oleh itu, umat Islam di Malaysia hendaklah menunaikan puasa sunat hari Arafah mengikut perkiraan tarikh melihat anak bulan Zulhijah di Malaysia dan tidak mengikut tarikh wukuf di Arab Saudi. Di samping itu juga, umat Islam digalakkan untuk berpuasa hari tarwiyah sehari sebelum hari Arafah iaitu pada 8 Zulhijah.

Wallahu’alam

 

[1] Zakaria bin Muhammad bin Zakaria al-Ansari, Asna al-Matalib fi Syarh Raud al-Talib, (Dar al-Kitab al-Islamiy) 1/430

 (فَصْلٌ يَوْمُ عَرَفَةَ) وَهُوَ تَاسِعُ ذِي الْحِجَّةِ (أَفْضَلُ الْأَيَّامِ) لِأَنَّ صَوْمَهُ كَفَّارَةُ سَنَتَيْنِ كَمَا يَأْتِي بِخِلَافِ غَيْرِهِ وَلِأَنَّ الدُّعَاءَ فِيهِ أَفْضَلُ مِنْهُ فِي غَيْرِهِ وَلِخَبَرِ مُسْلِمٍ «مَا مِنْ يَوْمٍ أَكْثَرَ مِنْ أَنْ يُعْتِقَ اللَّهُ فِيهِ مِنْ النَّارِ مِنْ يَوْمِ عَرَفَةَ» وَأَمَّا قَوْلُهُ - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ - «خَيْرُ يَوْمٍ طَلَعَتْ فِيهِ الشَّمْسُ يَوْمُ الْجُمُعَةِ» فَمَحْمُولٌ عَلَى غَيْرِ يَوْمِ عَرَفَةَ بِقَرِينَةِ مَا ذُكِرَ (وَيُسْتَحَبُّ لِغَيْرِ الْحَاجِّ صَوْمُهُ)

[2] Dr. Mustafa al-Khin, Dr. Mustafa al-Bugha, ‘Ali Al-Syarbaji, Al-Fiqh al-Manhaji ala Mazhab Imam al-Syafi’e, (Damsyik: Dar al-Qalam li Taba’ah wa al-Nasyr wa al-Taizi’, 1413H) 2/77

يثبت دخول شهر رمضان بأحد أمرين: الأول: رؤية الهلال، ليلة الثلاثين من شعبان، وذلك بأن يشهد أمام القاضي شاهد عدل أنه قد رأى الهلال. الثاني: إكمال شعبان ثلاثين يوماً: وذلك فيما إذا تعسرت رؤية الهلال بسبب غيوم، أو إذا لم يتقدم شاهد عدل يشهد بأنه قد رأى الهلال، فيتمم شهر شعبان ثلاثين يوماً، إذ هو الأصل ما لم يعارضه شيء.

[3] Syamsuddin, Muhammad bin Ahmad al-Khatib al-Syirbini,  Mughni al-Muhtaj ila Ma’rifah Ma’ani alfaz al-Minhaj, (Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1415H) 2/144-145

(إذَا رُئِيَ بِبَلَدٍ لَزِمَ حُكْمُهُ الْبَلَدَ الْقَرِيبَ) مِنْهُ قَطْعًا كَبَغْدَادَ وَالْكُوفَةِ؛ لِأَنَّهُمَا كَبَلَدٍ وَاحِدَةٍ كَمَا فِي حَاضِرِي الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ (دُونَ الْبَعِيدِ فِي الْأَصَحِّ) كَالْحِجَازِ وَالْعِرَاقِ. وَالثَّانِي: يَلْزَمُ فِي الْبَعِيدِ أَيْضًا (وَالْبَعِيدُ مَسَافَةُ الْقَصْرِ) وَصَحَّحَهُ الْمُصَنِّفُ فِي شَرْحِ مُسْلِمٍ؛ لِأَنَّ الشَّرْعَ عَلَّقَ بِهَا كَثِيرًا مِنْ الْأَحْكَامِ (وَقِيلَ بِاخْتِلَافِ الْمَطَالِعِ. قُلْتُ: هَذَا أَصَحُّ، وَاَللَّهُ أَعْلَمُ) ؛ لِأَنَّ أَمْرَ الْهِلَالِ لَا تَعَلُّقَ لَهُ بِمَسَافَةِ الْقَصْرِ، وَلِمَا رَوَى مُسْلِمٌ عَنْ كُرَيْبٍ

[4] Abu Zakaria Mahyuddin bin Syarf al-Nawawi, al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, (Dar al-Fikr) 8/82

وَالثَّامِنُ يُسَمَّى يَوْمَ التَّرْوِيَةِ

[5] Syamsuddin Muhammad bin Abi al-‘Abbas Ahmad bin Hamzah Syihabuddin al-Ramli, (Beirut: Dar al-Fikr, 1404H) 3/207


Print   Email
  • A A
    Reset | PT Sans
  • A- A A+