Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM KHAS HAJI DAN KORBAN SIRI KE – 66: LARANGAN MEMOTONG KUKU DAN BULU BAGI MEREKA YANG BERKORBAN DI LUAR NEGARA YANG BERBEZA TARIKH HARI RAYA AIDILADHA

IFHK66.JPG

Soalan

Assalamualaikum, saya nak tanya berkaitan hukum korban, di Malaysia hari raya Aidiladha jatuh pada hari Ahad dan di Arab Saudi  jatuh pada hari Sabtu. Jika saya melakukan korban di Saudi atau negara yang raya pada hari Sabtu, dari segi hukum tidak dibenarkan untuk memotong kuku dan bulu di badan, adakah ia mengikut tarikh di Malaysia atau negara yang saya lakukan korban. Dan bilakah gugurnya larangan tersebut. Adakah pada hari Sabtu atau Ahad. Terima kasih

Ringkasan Jawapan

Larangan memotong kuku dan rambut bagi mereka yang melaksanakan ibadah korban bermula pada 1 Zulhijah waktu Malaysia, kerana penentuan tarikh Zulhijah mengikut negeri yang ia berada.  Manakala larangan tersebut akan gugur setelah haiwan korban tersebut disembelih seperti yang dinyatakan di dalam hadis (حَتَّى يُضَحِّ) maksudnya (sehingga selesai sembelihan). Hal ini juga termasuk bagi mereka yang melakukan ibadah korban di luar negara yang berbeza tarikh hari raya Aidiladha, kerana had larangan memotong kuku dan rambut ialah sehingga selesai haiwan disembelih.

Huraian Jawapan

Ibadah korban bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT dan merupakan syiar agama Islam bagi menghayati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim AS dan anaknya Nabi Ismail AS dalam melaksanakan segala perintah Allah SWT.[1]

Umat Islam yang berniat untuk menunaikan ibadah korban, mereka disarankan untuk tidak memotong kuku dan bulu-bulu di badan bermula pada awal bulan Zulhijah sehingga hari pelaksaan sembelihan. Hal ini berdasarkan hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Ummu Salamah isteri Baginda Nabi SAW menyatakan bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ كَانَ لَهُ ذِبْحٌ يَذْبَحُهُ فَإِذَا أُهِلَّ هِلاَلُ ذِي الْحِجَّةِ فَلاَ يَأْخُذَنَّ مِنْ شَعْرِهِ وَلاَ مِنْ أَظْفَارِهِ شَيْئًا حَتَّى يُضَحِّ

Maksudnya: Sesiapa yang memiliki haiwan korban untuk disembelih, apabila kelihatan anak bulan Zulhijah, maka janganlah dia mengambil satu apa pun (yakni memotong) daripada rambutnya, mahupun daripada kukunya sehingga dia selesai berkorban.

Riwayat Muslim (1977)

Menurut Imam al-Nawawi, makruh bagi mereka yang berniat untuk melakukan ibadah korban memotong kuku dan rambut sehinggalah haiwan korban itu disembelih. Hal ini sepertimana yang dinyatakan di dalam karyanya:

مَذْهَبُنَا أَنَّ إزَالَةَ الشَّعَرِ وَالظُّفْرِ فِي الْعَشْرِ لِمَنْ أَرَادَ التَّضْحِيَةَ مَكْرُوهٌ كَرَاهَةَ تَنْزِيهٍ حَتَّى يُضَحِّيَ

Maksudnya: Menurut mazhab kami (al-Syafi’i), sesungguhnya memotong rambut dan kuku pada sepuluh hari (iaitu 1 hingga 10hb) bulan Zulhijah bagi mereka yang hendak menunaikan ibadah korban adalah makruh, iaitu makruh tanzih sehingga selesai haiwan korban disembelih[2]

Syeikh Ibrahim al-Baijuri menyatakan bahawa, mereka yang melakukan korban disunatkan untuk tidak memotong kuku dan rambut sehingga haiwan korbannya disembelih walaupun ia disembelih pada hari terakhir hari tasyrik. Begitu juga pada hari Jumaat, seseorang itu disunatkan untuk memotong kuku, namun bagi mereka yang melaksanakan ibadah korban makruh untuk melakukannya. Hal ini kerana dapat mengambil ganjaran yang diberikan iaitu pengampunan daripada dosa dan diberi kebebasan daripada api neraka.[3]

Oleh itu, larangan memotong kuku dan rambut bagi mereka yang melaksanakan ibadah korban bermula pada 1 Zulhijah waktu Malaysia, kerana penentuan tarikh Zulhijah mengikut negeri yang ia berada.[4] Manakala larangan tersebut akan gugur setelah haiwan korban tersebut disembelih seperti yang dinyatakan di dalam hadis (حَتَّى يُضَحِّ) maksudnya (sehingga selesai sembelihan). Hal ini juga termasuk bagi mereka yang melakukan ibadah korban di luar negara yang berbeza tarikh hari raya Aidiladha, kerana had larangan memotong kuku dan rambut ialah sehingga selesai haiwan disembelih.

Selain itu boleh juga merujuk artikel yang bertajuk: IRSYAD AL-FATWA HAJI DAN KORBAN SIRI 12: ANJURAN UNTUK TIDAK MEMOTONG KUKU DAN RAMBUT BAGI YANG INGIN MELAKUKAN IBADAH KORBAN APABILA TIBANYA 1 ZULHIJAH sebagai maklumat tambahan.

Wallahu’alam

 

[1] Dr. Mustafa al-Khin, Dr. Mustafa al-Bugha, ‘Ali al-Syarbaji, Fiqh al-Manhaji ala Mazhab al-Imam al-Syafi’i, (Damsyik: Dar al-Qalam li Taba’ah wa al-Nasyr wa al-Tauzi’, 1413H) 1/232

ثم إن من أبرز المعاني المتعلقة بالأَضحية إحياء معنى الضحية العظمى التي قام بها إبراهيم عليه الصلاة والسلام، إذ ابتلاء الله تعالى بالأمر بذبح ابنه

[2] Abu Zakaria Mahyuddin Yahya bin Syarf al-Nawawi, al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, (Dar al-Fikr) 8/392

[3]

ويسن لمن يريد التضحية أن لا يزيل شعره و ظفره في عشر ذي الحجة حتى يضحي، ولو أخر التضحية الى آخر أيام التشريق استمر كذلك حتى يضحي. ومثل شعره وظفره جلدة لا تضر ازالتها ولا حاجة له فيها، فيكره له ازالة ذلك ولو في يوم الجمعة ونحوه للنهي عنها في خبر مسلم، والمعنى فيه شمول المغفرة والعتق من النار لجميع ذلك.

[4] Syamsuddin, Muhammad bin Ahmad al-Khatib al-Syirbini,  Mughni al-Muhtaj ila Ma’rifah Ma’ani alfaz al-Minhaj, (Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1415H) 2/144-145

(إذَا رُئِيَ بِبَلَدٍ لَزِمَ حُكْمُهُ الْبَلَدَ الْقَرِيبَ) مِنْهُ قَطْعًا كَبَغْدَادَ وَالْكُوفَةِ؛ لِأَنَّهُمَا كَبَلَدٍ وَاحِدَةٍ كَمَا فِي حَاضِرِي الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ (دُونَ الْبَعِيدِ فِي الْأَصَحِّ) كَالْحِجَازِ وَالْعِرَاقِ. وَالثَّانِي: يَلْزَمُ فِي الْبَعِيدِ أَيْضًا (وَالْبَعِيدُ مَسَافَةُ الْقَصْرِ) وَصَحَّحَهُ الْمُصَنِّفُ فِي شَرْحِ مُسْلِمٍ؛ لِأَنَّ الشَّرْعَ عَلَّقَ بِهَا كَثِيرًا مِنْ الْأَحْكَامِ (وَقِيلَ بِاخْتِلَافِ الْمَطَالِعِ. قُلْتُ: هَذَا أَصَحُّ، وَاَللَّهُ أَعْلَمُ) ؛ لِأَنَّ أَمْرَ الْهِلَالِ لَا تَعَلُّقَ لَهُ بِمَسَافَةِ الْقَصْرِ، وَلِمَا رَوَى مُسْلِمٌ عَنْ كُرَيْبٍ