Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA KHAS HAJI DAN KORBAN SIRI KE-68:HUKUM MEMAKAI PELITUP MUKA KETIKA DALAM IHRAM

 

Irsyad_Fatwa_Haji_dan_Korban_68.jpg

Soalan:

Assalamualaikum Datuk Mufti, di sini terdapat satu soalan berkaitan ibadat umrah dan haji yang ingin diajukan. Memandangkan umat Islam dah boleh mengerjakan ibadat umrah, apakah hukumnya jika memakai face mask ketika dalam ihram?

 

Ringkasan Jawapan

Berdasarkan hujah dan dalil yang telah dikemukakan, hukum memakai pelitup muka (face mask) bagi orang yang berada dalam ihram ini adalah harus kerana ia adalah sebahagian daripada langkah berjaga-jaga dari dijangkiti wabak. Bahkan di musim wabak yang masih berpotensi untuk berjangkit ini,  umat Islam dituntut untuk menjaga kesihatan dengan mematuhi Garis Panduan dan Operasi Standard (SOP) antara satu sama lain kerana penjagaan kesihatan juga merupakan salah satu dari tuntutan agama.

 

Huraian Jawapan:

Alhamdulillah segala puji bagi Allah tuhan semesta alam selawat dan salam ke atas junjungan besar nabi Muhammad SAW serta mereka yang mengikut jejak langkah baginda hingga hari kiamat.

Perkataan ihram sinonim dengan ibadat haji dan umrah yang mana ia menandakan seseorang itu telah beniat dan berada dalam situasi mengerjakan ibadat haji atau umrah. Oleh itu, terdapat beberapa larangan apabila seseorang itu sedang berada dalam keadaan ihram. Antaranya ialah seorang Jemaah dilarang untuk memakai pakaian selain dari pakaian ihram.

Hal ini sebagai mana dalam hadis yang diriwayatkan oleh ‘Abdullah bin Umar dalam perkara-perkara yang tidak boleh dipakai ketika ihram:

عَنِ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا، أَنَّ رَجُلًا سَأَلَ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَا يَلْبَسُ الْمُحْرِمُ مِنَ الثِّيَابِ؟ فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «لَا تَلْبَسُوا الْقُمُصَ، وَلَا الْعَمَائِمَ، وَلَا السَّرَاوِيلَاتِ، وَلَا الْبَرَانِسَ، وَلَا الْخِفَافَ، إِلَّا أَحَدٌ لَا يَجِدُ النَّعْلَيْنِ، فَلْيَلْبَسِ الْخُفَّيْنِ، وَلْيَقْطَعْهُمَا أَسْفَلَ مِنَ الْكَعْبَيْنِ، وَلَا تَلْبَسُوا مِنَ الثِّيَابِ شَيْئًا مَسَّهُ الزَّعْفَرَانُ وَلَا الْوَرْسُ»

Maksudnya: “Daripada Ibn Umar R.A, bahawa seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW: apakah pakaian bagi orang yang berihram? Maka jawab Rasulullah SAW: “Jangan dipakai baju, serban, seluar, jubah yang ada penutup kepala, khuf (stoking kulit) kecuali jika seseorang tidak mendapati selipar maka pakailah khuf yang telah dipotong apa yang menutup bahagian buku lali dan janganlah memakai pakaian yang telah terkena za’faran atau wars (sejenis minyak wangi).”[1]

(Riwayat Muslim: 1177)

Berdasarkan hadis tersebut, pakaian yang berjahit seperti kemeja, seluar, topi dan sepatu adalah dilarang sama sekali untuk dipakai ketika ihram. Imam Nawawi telah datangkan pandangan ulama berkenaan hadis tersebut yang mana tidak harus bagi orang yang sedang berihram memakai kemeja, seluar dan pakaian-pakaian yang berjahit.[2]

(Rujuk Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim: 8/73)

Oleh itu, dalam isu memakai pelitup muka (face mask) ketika mengerjakan ibadat haji dan umrah terutama sekali di musin pandemik ini adalah satu norma yang baharu bagi ibadat ini. Hal ini perlu dilihat dalam konteks hukum menutup muka dalam ihram yang mana para ulama telah menyatakan hukum menutup muka ketika dalam ihram seperti mana berikut:

  1. Hukum menutup muka bagi lelaki.

Menurut ulama mazhab Syafie, harus hukumnya bagi kaum lelaki yang sedang berihram menutup mukanya seperti mana yang dinyatkan oleh Imam Nawawi di dalam karyanya:

مذهبنا أنه يجوز للرجل المحرم ستر وجهه ولا فدية عليه

Maksudnya: “Menurut mazhab kami adalah harus bagi lelaki yang berihram menutup wajahnya serta tiada fidyah ke atasnya.”[3]

  1. Hukum menutup muka bagi wanita ihram

Di dalam hal ini, haram bagi wanita yang berada dalam keadaan Ihram menutup mukanya kerana larangan tersebut terdapat dalam sepotong hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar, beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:

نَهَى النِّسَاءَ فِي إِحْرَامِهِنَّ عَنِ القُفَّازَيْنِ وَالنِّقَابِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW melarang wanita yang berada dalam ihram dari memakai sarung tangan dan niqab”.

(Sunan Abi Daud: 1827)

            Oleh yang demikian, berdasarkan 2 pandangan hukum yang telah dinyatakan, hukum memakai pelitup muka adalah seperti mana hukum menutup muka ketika dalam ihram yang mana harus bagi kaum lelaki dan tidak bagi kaum perempuan. Namun begitu, dalam mendepani wabak covid ini perlu juga diambil kira peningkatan kes di negara Arab Saudi yang mana telah mencatat sebanyak lebih 746,000 kes dan 9000 kematian.[4] Tambahan lagi, wabak ini berjangkit melalui cecair pernafasan melalui hidung dan nafas seseorang yang dijangkiti Covid-19 iaitu dengan bersin, batuk atau menghembuskan nafas.[5]

            Oleh itu, pemakaian pelitup muka merupakan salah satu langkah untuk mencegah kadar keboleh jangkitan wabak ini dari terus merabak seperti mana yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).[6] Justeru itu, di sini terdapat beberapa pandangan kontemporari yang telah dikeluarkan antaranya ialah:

1) Dar al-Ifta’ al-Misriyyah (Lembaga Fatwa Mesir)

Harus bagi orang yang berihram memakai pelitup muka (face mask) untuk mencegah virus Corona yang mana ia telah terbukti bahayanya dan jangkitannya melalui pernafasan dari hidung dan mulut.[7]

2) Majelis Ulama Indonesia (MUI)

Keputusan Majelis Ulama Indonesia tentang pemakaian pelitup muka diharuskan terdapat penularan penyakit berbahaya, cuaca yang ekstrim atau buruk dan terdapat ancaman kesihatan yang mana dengan menanggalkan pelitup muka akan merbahayakan kesihatan.[8]

3) Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-89 

Di dalam muzakarah tersebut, keputusan telah diputuskan bahawa jemaah haji dan umrah ketika di dalam ihram diharuskan menutup sebahagian muka dengan memakai mask (penutup mulut dan hidung) serta tidak perlu membayar dam.[9]

Kesimpulan:

Berdasarkan hujah dan dalil yang telah dikemukakan, hukum memakai pelitup muka (face mask) di musim pandemik bagi orang yang berada dalam ihram ini adalah harus kerana ia adalah sebahagian daripada langkah berjaga-jaga dari dijangkiti wabak. Bahkan di musim wabak ini umat Islam dituntut untuk menjaga kesihatan dengan mematuhi Garis Panduan dan Operasi Standard (SOP) antara satu sama lain kerana penjagaan kesihatan juga merupakan salah satu dari tuntutan agama.

Hal ini juga selaras dengan kaedah fiqhiyyah:

الضروريات تبيح المحظورات

Maksudnya: “Sebarang kemudaratan mengharuskan perkara yang dilarang.”[10]

Wallahu A’lam

 

[1] An-Naisaburi, Muslim bin al-Hajaj Abu al-Hasan al-Qusyairi. T.T. Sohih Muslim. Tahqiq: Muhammad Fu’ad ‘Abd al-Baqi. Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi. J2 h834.

[2] An-Nawawi, Abu Zakaria Muhyiddin Yahya bin Syarf. 1392H. Al-Minhaj Syarh Sohih Muslim. Cetakan 2. Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabiy. J8 h73. Teks asal:

وَأَجْمَعَ الْعُلَمَاءُ على أنه لا يجوز للمحرم لبس شئ مِنْ هَذِهِ الْمَذْكُورَاتِ وَأَنَّهُ نَبَّهَ بِالْقَمِيصِ وَالسَّرَاوِيلِ عَلَى جَمِيعِ مَا فِي مَعْنَاهُمَا وَهُوَ مَا كَانَ مُحِيطًا أَوْ مَخِيطًا

[3] An-Nawawi, Abu Zakaria Muhyiddin Yahya bin Sharaf. Al-Majmuk Syarh Al-Muhazzab. Dar al-fikr. J3, H379.

[4] https://www.bharian.com.my/dunia/lain-lain/2022/03/930618/arab-saudi-tamatkan-kebanyakan-sekatan-covid-19 diakses pada 16/3/2022.

[5] https://www.moh.gov.bn/COVID-19/SitePages/FAQ_copy(2).aspx 17/3/2022

[6] https://www.who.int/health-topics/coronavirus#tab=tab_1 diakses pada 16/3/2022.

[7] ‘Allam, Syauqi Ibrahim. 2020. Fatawa al-Nawazil Waba’ Corona; Covid-19. Dar al-Ifta’ al-Misriyyah. H474 teks asal: فيجوز للمحرم رجلا أو امرأة لبس الكمامة الطيبة، توقيا من فيروس كورونا المستجد، بعدما استفحل أمره وثبت خطره عن طريق العدوى المنتقلة عن طريق الرذاذ المتناثر من الأنف أو الفم، ولا فدية عليهز

[8] https://mui.or.id/produk/fatwa/29828/fatwa-tentang-pemakaian-masker-bagi-orang-yang-sedang-ihram/ diakses pada 16/3/2022.

[9] http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/index.php/main/mainv1/fatwa/pr/10241 Diakses pada 16/3/2022.

[10] Al-Suyuthi, Jalal al-Din. 1990M/1411H. Al-Asybah wa Al-Nazoir. Cetakan 1. Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, hlm 84.