Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM KHAS HAJI DAN KORBAN SIRI KE 75: HUKUM IBU BAPA MELAKSANAKAN KORBAN UNTUK ANAK YANG BELUM BALIGH

HUKUM_IBU_BAPA_MELAKSANAKAN_KORBAN_UNTUK_ANAK_YANG_BELUM_BALIGH.jpg

 

Soalan

Assalamualaikum w.b.t, Saya ada satu persoalan. Apakah hukum ibu bapa melaksanakan ibadah korban untuk anak yang belum baligh?  Mohon pandangan SS Datuk Mufti.

Ringkasan Jawapan

Ibu bapa diharuskan untuk melaksanakan korban untuk anak-anak yang belum baligh dengan syarat harta yang digunakan untuk membeli binatang korban mestilah diambil daripada harta ibu bapa dan bukan harta anak-anak.

Huraian Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Ibadah korban merupakan bentuk pengabdian diri kepada Allah SWT untuk menjelaskan rasa kesyukuran dan pengorbanan kepada agama. Allah SWT berfirman bahawasanya:

فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ

Maksudnya: “Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur)”.

Surah al-Kauthar (2)

Salah satu di antara syarat-syarat yang dituntut kepada seseorang itu untuk layak melaksanakan ibadat korban adalah baligh dan berakal. Ia bermaksud bahawa kanak-kanak yang belum mencapai umur baligh dan orang gila tidak disunatkan untuk melaksanakan korban kerana keadaan mereka yang bukan mukalaf[1].

Secara umumnya, hukum pelaksanaan ibadah korban untuk orang lain tanpa mendapat keizinan pemiliknya adalah tidak sah. Ini berdasarkan kenyataan Khatib al-Syirbini dalam kitabnya:

وَلَا تَضْحِيَةَ عَنْ الْغَيْرِ بِغَيْرِ إذْنِهِ

Maksudnya: “Dan tidaklah seseorang melakukan korban ke atas orang lain tanpa keizinannya”.

Seorang mukalaf tidak diharuskan untuk melaksanakan ibadat korban bagi orang lain yang masih hidup kecuali setelah mendapat keizinan tuannya. Hukum ibadat tersebut juga tidak sah menurut mazhab al-Syafi’i. Hal ini demikian kerana pelaksanaan korban juga termasuk salah satu daripada perbuatan ibadat. Pada asasnya, seseorang itu tidak boleh melakukan ibadat bagi pihak lain dan perbuatan tersebut ditegah dalam agama kecuali sekiranya ada dalil yang membenarkannya dan lebih-lebih lagi jika ia berbuat demikian tanpa keizinan orang tersebut[2].

Bagi ibu bapa yang ingin melaksanakan korban bagi pihak anak-anaknya yang belum baligh. Khatib al-Syirbini ada menyatakan bahawa korban si wali untuk individu di bawah tanggungannya (seperti anak, orang gila, orang yang terhalang daripada menguruskan harta) dengan mengguna pakai harta anaknya adalah haram. Ia juga tidak sah sekiranya korban tersebut dilakukan untuk janin di dalam perut seperti mana tidak sah pembayaran zakat fitrah untuk kandungan yang masih berada di dalam perut ibunya. Ini berdasarkan kenyataan yang dinyatakan oleh al-Bulqini dan al-Azraie dan juga pendapat al-Mawardi dan ulama-ulama mazhab al-Syafi’i[3].

Hal ini bermaksud bahawa seorang wali sama ada bapa atau datuk tidak harus melaksanakan ibadah korban kepada anak-anak di bawah pemeliharaannya iaitu anak-anak yang belum baligh dengan menggunakan harta anak. Akan tetapi, jika korban tersebut dilaksanakan dengan menggunakan harta si wali maka sah hukumnya. Ini merujuk kepada kenyataan al-Ramli[4]:

وَلِلْأَبِ وَالْجَدِّ فِعْلُ ذَلِكَ عَنْ وَلَدِهِ مَحْجُورِهِ مِنْ مَالِ نَفْسِهِ كَمَا لَهُ إخْرَاجُ فِطْرَتِهِ مِنْ مَالِهِ عَنْهُ

Maksudnya: “Dan harus bagi bapa dan datuk membuat korban bagi anak di bawah pemeliharaannya, daripada hartanya sendiri seperti mana dia mengeluarkan zakat fitrah bagi anaknya menggunakan hartanya”.

Kaedahnya seperti binatang korban diambil daripada harta wali, kemudian dia menghadiahkannya kepada anak tersebut dan menyembelih binatang bagi pihak si anak (dengan keizinannya). Oleh yang demikian, wali tersebut akan mendapat pahala kerana memberi hibah manakala si anak akan mendapat pahala kerana ibadah korbannya[5].

Kesimpulan

Hukum ibu bapa melakukan ibadah korban bagi pihak anak yang belum mencapai umur baligh adalah diharuskan selama mana harta yang digunakan untuk melaksnakan korban tersebut diambil daripada harta ibu bapa dan bukan harta milik si anak.

Wallahu A'lam

 

Rujukan: 

[1] Dr. Mustafa al-Khin dan Dr. Mustafa al-Bugha, al-Fiqh al-Manhaji ala Mazhab al-Imam al-Syafi’i. (Damsyiq: Dar al-Qalam, 1992). Jld 1. Hlm 232.

إنما تسن الأضحية في حق من وجدت فيه الشروط التالية: البلوغ والعقل، إذ من لم يكن بالغاَ عاقلاً سقط عنه التكليف

[2] Al-Khatib al-Syirbini, Syamsuddin Muhammad bin Muhammad. Mughni al-Muhtaj ila Ma’rifah Maani Alfaz al-Minhaj. Ed: Ali Muhammad Ma’wad. (t.tp: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 1994). Jld 6. Hlm 137.

)وَلَا تَضْحِيَةَ(أَيْ لَا تَقَعُ )عَنْ الْغَيْرِ(الْحَيِّ )بِغَيْرِ إذْنِهِ( ؛ لِأَنَّهَا عِبَادَةٌ، وَالْأَصْلُ أَنْ لَا تُفْعَلَ عَنْ الْغَيْرِ إلَّا مَا خَرَجَ بِدَلِيلٍ لَا سِيَّمَا مَعَ عَدَمِ الْإِذْنِ.

[3] Al-Khatib al-Syirbini, Syamsuddin Muhammad bin Muhammad. Mughni al-Muhtaj ila Ma’rifah Maani Alfaz al-Minhaj. Ed: Ali Muhammad Ma’wad. (t.tp: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 1994). Jld 6. Hlm 137.

تَضْحِيَةُ الْوَلِيِّ مِنْ مَالِهِ عَنْ مَحَاجِيرِهِ كَمَا ذَكَرَهُ الْبُلْقِينِيُّ وَالْأَذْرَعِيُّ وَهُوَ مَا أَشْعَرَ بِهِ قَوْلُ الْمَاوَرْدِيُّ وَالْأَصْحَابِ، وَلَا تَصِحُّ التَّضْحِيَةُ عَنْ الْحَمْلِ كَمَا لَا يُخْرَجُ عَنْهُ الْفِطْرَةُ، وَلَا يَجُوزُ لِوَلِيِّ الطِّفْلِ وَالْمَجْنُونِ وَالْمَحْجُورِ أَنْ يُضَحِّيَ عَنْهُ مِنْ مَالِهِ فَأَفْهَمَ جَوَازَهَا عَنْهُمْ مِنْ مَالِ الْوَلِيِّ

[4] Syamsuddin al-Ramli, Muhammad bin Abi al-Abbas Ahmad bin Hamzah Syihabuddin. Nihayah al-Muhtaj ila Syarh al-Minhaj. (Beirut: Dar al-Fikr, 1984). Jld 8. Hlm 143.

[5] Ibnu Hajar al-Haitami, Ahmad bin Muhammad bin Ali. Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj. (Mesir: al-Maktabah al-Tijariyyah al-Kubra, 1983). Jld 9. Hlm 367.

)قَوْلُهُ: مِنْ مَالِهِ( أَيْ الْوَلِيِّ )قَوْلُهُ: عَنْ مَحْجُورِهِ( أَيْ وَكَانَ مِلْكُهُ لَهُ وَذَبْحُهُ عَنْهُ بِإِذْنِهِ فَيَقَعُ ثَوَابُ التَّضْحِيَةِ لِلصَّبِيِّ وَلِلْأَبِ ثَوَابُ الْهِبَةِ