Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM KHAS HAJI DAN KORBAN SIRI KE 76: BOLEHKAH DISEDEKAHKAN BAHAGIAN KORBAN YANG TIDAK MEMPUNYAI PENAMA

BOLEHKAH_DISEDEKAHKAN_BAHAGIAN_KORBAN_YANG_TIDAK_MEMPUNYAI_PENAMA.jpg

 

Soalan

Assalamualaikum Dr. Saya ingin bertanya mengenai hukum ibadah korban, saya adalah penjual lembu. Seekor lembu ada 7 bahagian, tapi kami hanya ada pembeli untuk 4 bahagian sahaja. Adakah boleh jika 3 bahagian lagi kami sedekahkan sahaja tanpa ada nama di dalam senarai korban tersebut?

Ringkasan Jawapan

Ibadah korban yang berkongsi bahagian pada seekor lembu dengan bahagian yang tidak diniat korban adalah harus menurut mazhab al-Syafi’i. Bahagian yang diniat korban pada haiwan tersebut sah ibadahnya. Oleh itu, pengagihan daging pada bahagian tersebut  wajib mengikut apa yang disyaratkan dalam pembahagian daging korban.

Manakala bahagian lembu yang tidak ada penama atau tidak diniatkan untuk korban dikira sebagai sedekah secara umum dan tidak dikira sebagai ibadah korban kerana tidak diniatkan untuk korban. Daging pada bahagian tersebut boleh disedekah atau digunakan tanpa perlu mengikut cara pembahagian daging korban.

Huraian jawapan

Ibadah korban merupakan ibadah yang dikhususkan pada hari yang tertentu iaitu pada hari raya Aidiladha dan hari Tasyrik. Ibadah korban hendaklah dilakukan mengikut syarat-syarat tertentu agar diterima oleh Allah SWT.

Antara syarat dalam melakukan ibadah korban, niat merupakan perkara yang paling penting, ini kerana niat yang akan menentukan sesuatu ibadah[1]. Niat ketika menyembelih haiwan akan membezakan antara sembelihan untuk mengambil daging sebagai makanan dan sembelihan untuk ibadah korban bertujuan mendekatkan diri kepada Allah SWT[2] seperti membezakan antara korban wajib, korban sunat, akikah dan seumpamanya. Hadis yang diriwayatkan oleh Saidina Umar bin al-Khattab RA, beliau berkata aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ، وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى

Maksudnya: “Sesungguhnya setiap amalan berdasarkan dengan niat, Dan sesungguhnya setiap perkara akan dibalas dengan apa yang diniatkan”.

Riwayat al-Bukhari, (1)

Perkongsian Bahagian Korban Pada Seekor Lembu

Kategori haiwan korban yang boleh dikongsi mestilah haiwan yang mempunyai tujuh bahagian sepertimana yang telah ditetapkan syarak sebagai contoh unta dan lembu. Manakala haiwan yang mempunyai satu bahagian seperti kambing dan kibas tidak boleh dikongsi. Hal ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Saidina Jabir bin Abdullah RA, katanya:

نَحَرْنَا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم عَامَ الْحُدَيْبِيَةِ الْبَدَنَةَ عَنْ سَبْعَةٍ وَالْبَقَرَةَ عَنْ سَبْعَةٍ

Maksudnya: “Kami melakukan korban bersama Rasulullah SAW pada tahun Hudaibiyah (perjanjian damai) dengan unta dikongsi dengan tujuh bahagian dan lembu dikongsi dengan tujuh bahagian”.

Riwayat Muslim (1318)

Imam Nawawi dalam menjelaskan hadis di atas bahawa bahagian pada seekor unta adalah tujuh bahagian begitu juga dengan lembu dan setiap bahagian itu bersamaan dengan seekor kambing. Ini seperti yang dinyatakan dalam kitabnya al-Minhaj:

أَنَّ الشَّاةَ لَا يَجُوزُ الِاشْتِرَاكُ فِيهَا وَفِي هَذِهِ الْأَحَادِيثِ أَنَّ الْبَدَنَةَ تُجْزِي عَنْ سَبْعَةٍ وَالْبَقَرَةَ عَنْ سَبْعَةٍ وَتَقُومُ كُلُّ وَاحِدَةٍ مَقَامَ سَبْعِ شِيَاهٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya seekor kambing tidak boleh dikongsi bahagiannya. Hadis ini menjelaskan bahawa sesungguhnya haiwan al-Badanah (unta atau lembu) dibahagikan daripada tujuh bahagian. Seekor lembu terdiri daripada tujuh bahagian dan setiap seekor haiwan (unta dan lembu) itu bersamaan tujuh ekor kambing.”[3]

Imam al-Nawawi menjelaskan lagi bahawa hadis di atas menggambarkan tentang keharusan untuk kongsi bahagian-bahagian pada seekor haiwan korban yang mempunyai tujuh bahagian. Beliau berkata:

وَفِي الْمَسْأَلَةِ خِلَافٌ بَيْنَ الْعُلَمَاءِ فَمَذْهَبُ الشَّافِعِيِّ جَوَازُ الِاشْتِرَاكِ فِي الْهَدْيِ سَوَاءٌ كَانَ تَطَوُّعًا أَوْ وَاجِبًا وَسَوَاءٌ كَانُوا كُلُّهُمْ مُتَقَرِّبِينَ أَوْ بَعْضُهُمْ يُرِيدُ الْقُرْبَةَ وَبَعْضُهُمْ يُرِيدُ اللَّحْمَ

Maksudnya: “Pada permasalahan ini (berkongsi bahagian haiwan korban iaitu unta dan lembu) para ulama berbeza pendapat, menurut mazhab al-Syafi’i harus berkongsi bahagian pada binatang korban. Perkongsian tersebut sama ada korban sunat atau korban wajib, begitu juga sekiranya kesemua bahagian itu diniatkan untuk korban atau sebahagian daripadanya untuk korban dan sebahagian yang lain untuk mendapatkan daging”.[4]

Kesimpulan

Ibadah korban yang berkongsi bahagian pada seekor lembu dengan bahagian yang lain adalah harus menurut mazhab al-Syafi’i. Bahagian yang diniatkan untuk korban pada haiwan tersebut sah ibadahnya. Oleh itu, pengagihan daging pada bahagian tersebut hendaklah mengikut apa yang disyaratkan dalam pembahagian daging korban sebagai contoh, sekiranya korban wajib maka hendaklah disedekah keseluruhan dagingnya[5], manakala korban sunat disedekahkan sebahagian daripadanya[6]. Firman Allah SWT:

فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْبَائِسَ الْفَقِيرَ

Maksudnya: “Dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin”.

(Surah al-Hajj, 28)

Manakala bahagian lembu yang tidak ada penama atau tidak diniatkan untuk korban dikira sebagai sedekah secara umum dan tidak dikira sebagai ibadah korban kerana tidak diniatkan untuk korban. Daging pada bahagian tersebut boleh disedekah atau digunakan tanpa perlu mengikut cara pembahagian daging korban.

Wallahua’lam

 

Rujukan: 

[1] Muhammad bin Ahmad al-Khatib al-SYirbini, Mughni al-Muhtaj ila Ma’rifah Alfaz al-Minhaj. (Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1415) Jld. 6 Hlm. 133

(وَتُشْتَرَطُ النِّيَّةُ) لِلتَّضْحِيَةِ (عِنْدَ الذَّبْحِ) لِلْأُضْحِيَّةٍ (إنْ لَمْ يَسْبِقْ تَعْيِينٌ) أَمَّا اشْتِرَاطُ النِّيَّةِ فَلِأَنَّهَا عِبَادَةٌ وَالْأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ،

[2] Dr. Wahbah bin Mustafa al-Zuhaili, al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh li Zuhaili. (Damsyik: Dar al-Fikr) Jld. 4 Hlm.2713

ويشترط لجواز إقامة التضحية على المكلف بها: نية الأضحية، فلا تجزئ الأضحية بدونها، لأن الذبح قد يكون للحم، وقد يكون للقربة، والفعل لا يقع قربة بدون النية

[3] Abu Zakaria Mahyuddin Yahya bin Syarf al-Nawawi, al-Minhaj Syarh Sahih Muslim bin Hajjaj. (Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabiy, 1392) Jld. 9 Hlm. 67

[4] Ibid.

[5] Muhammad bin Ahmad al-Khatib al-SYirbini, Mughni al-Muhtaj ila Ma’rifah Alfaz al-Minhaj. (Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1415) Jld. 6 Hlm. 134

وَالْأُضْحِيَّةُ الْوَاجِبَةُ لَا يَجُوزُ لَهُ الْأَكْلُ مِنْهَا

[6] Ibid. Jld. 6 Hlm. 135

)وَالْأَصَحُّ وُجُوبُ التَّصَدُّقِ بِبَعْضِهَا) وَلَوْ جُزْءًا يَسِيرًا مِنْ لَحْمِهَا بِحَيْثُ يَنْطَلِقُ عَلَيْهِ الِاسْمُ عَلَى الْفُقَرَاءِ