Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM KHAS HAJI DAN KORBAN SIRI KE 78: ADAKAH MEMAKAI HAND SANITIZER DIANGGAP MEMAKAI WANGIAN BAGI ORANG YANG SEDANG BERIHRAM?

ADAKAH_MEMAKAI_HAND_SANITIZER_DIANGGAP_MEMAKAI_WANGIAN_BAGI_ORANG_YANG_SEDANG_BERIHRAM.jpg

 

Soalan

Assalamualaikum ketika dalam ihram adakah boleh untuk memakai hand sanitizer yang mengeluarkan bau yang wangi?

Ringkasan Jawapan

Penggunaan hand senitizer yang memiliki bau yang wangi tidak dianggap melanggar batasan ihram dan tidak dikenakan dam. Hal ini kerana penggunaan hand senitizer bukanlah pada asalnya untuk tujuan wangian. Penggunaan hand senitizer tersebut mestilah dengan niat membersihkan diri dan bukannya untuk berwangi-wangian. Namun kami menasihatkan orang ramai agar mencari alternatif lain dengan menggunakan hand senitizer yang tidak memiliki bau yang wangi untuk langkah lebih berhati-hati dalam urusan berkaitan ibadat.

Huraian Jawapan

Antara perkara yang dilarang bagi orang yang sedang berada dalam keadaan berihram ialah memakai wangi-wangian. Memakai wangi-wangian atau deodoran ketika dalam ihram adalah termasuk di dalam pantang larang berihram. Hal ini berdasarkan sabda Nabi SAW:

لاَ يَلْبَسُ الْقُمُصَ وَلاَ الْعَمَائِمَ وَلاَ السَّرَاوِيلاَتِ وَلاَ الْبَرَانِسَ وَلاَ الْخِفَافَ، إِلاَّ أَحَدٌ لاَ يَجِدُ نَعْلَيْنِ فَلْيَلْبَسْ خُفَّيْنِ، وَلْيَقْطَعْهُمَا أَسْفَلَ مِنَ الْكَعْبَيْنِ، وَلاَ تَلْبَسُوا مِنَ الثِّيَابِ شَيْئًا مَسَّهُ الزَّعْفَرَانُ أَوْ وَرْسٌ

Maksudnya : “Jangan dipakai baju, serban, seluar, jubah yang ada penutup kepala, khuf (stoking kulit) kecuali jika seseorang tidak mendapati selipar maka pakailah khuf yang telah dipotong apa yang menutup bahagian buku lali dan janganlah memakai pakaian yang telah terkena za’faran atau wars (sejenis minyak wangi).” 

(Riwayat al-Bukhari) 

Walau bagaimanapun ulama mazhab Syafi’i menyatakan bahawa wangian yang dilarang ialah sesuatu yang kebiasaannya digunakan untuk berwangi-wangian. Manakala jika tujuan utama daripada perkara tersebut ialah untuk perubatan atau makanan maka ia tidak termasuk dalam perkara yang dilarang bagi orang yang sedang berihram. Perkara ini sebagaimana yang dijelaskan dalam kitab I’anah al-Talibin:

والمراد: بما تقصد منه رائحة الطيب غالبا، أما ما كان القصد منه الأكل والتداوي، أو الإصلاح كالفواكه، والأبازير، ونحوهما وإن كان فيه رائحة طيبة كالتفاح، والسفرجل، والأترج، والهيل، والقرنفل، والمصطكي، والسنبل، والقرفة، وحب المحلب فلا شئ فيه أصلا.

Maksudnya: “Wangian yang dimaksudkan ialah apa-apa yang kebiasaannya diniatkan untuk baunya yang wangi manakala apa-apa yang diniatkan untuk makan dan berubat atau pembaikan seperti buah-buahan, rempah dan yang seumpamanya , sekalipun ia memiliki bau yang wangi seperti buah epal, buah safarjal, buah atruj, buah Sitron, rempah pelaga, cengkih, damar mastik, bunga Hyacinthus, kayu manis dan bunga Prunus maka tidak diwajibkan apa-apa dam keatasnya[1].”

Melihat kepada hand senitizer yang biasa digunakan walaupun sebahagiannya memiliki bau yang wangi namun wangian itu bukanlah merupakan tujuan utamanya. Hal ini kerana pada asalnya penggunaan sanitizer adalah bertujuan untuk membunuh bakteria yang terdapat pada permukaan kulit. Ia juga merupakan bahan yang efektif dalam membunuh kuman dan bakteria berbanding mencuci tangan menggunakan air dan sabun. Manakala bauan wangi tersebut hanyalah sebagai sampingan sahaja. Dalam sebuah kaedah fiqh disebutkan:

يُغْتَفَرُ فِي الشَّيْءِ ضِمْنًا مَا لَا يُغْتَفَرُ فِيهِ قَصْدًا

Maksudnya: “Dimaafkan pada perkara yang terkandung, apa yang tidak dimaafkan pada perkara yang sama jika menjadi tujuan[2].”

Kesimpulannya, penggunaan hand senitizer yang memiliki bau yang wangi tidak dianggap melanggar batasan ihram dan tidak dikenakan dam. Hal ini kerana penggunaan hand senitizer bukanlah pada asalnya untuk tujuan wangian. Penggunaan hand senitizer tersebut mestilah dengan niat membersihkan diri dan bukannya untuk berwangi-wangian. Namun kami menasihatkan orang ramai agar mencari alternatif lain dengan menggunakan hand senitizer yang tidak memiliki bau yang wangi untuk lebih berhati-hati dalam urusan berkaitan ibadat. Kami juga telah bincangkan isu yang hampir dengan isu ini dalam artikel bertajuk Hukum Menggunakan Sabun Wangi Semasa Ihram.

Wallahu A'lam.

 

Rujukan. 

[1] Al-Dimyati, Ianah al-Talibin ala Hill al-Alfaz Fath al-Muin, (Beirut: Dar al-Fikr, 1997), jld 2, hlm. 361.

[2] Imam al-Suyuti, al-Asybah wa al-Nazair, Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah (1983), hlm. 120.