Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM KHAS HAJI DAN KORBAN SIRI KE-84: HUKUM MEMOTONG GILIRAN TUNAI HAJI

HUKUM_MEMOTONG_GILIRAN_TUNAI_HAJI.jpg

Soalan

Assalamualaikum SS Datuk. Saya ingin bertanya, apakah hukumnya memotong giliran orang lain untuk menunaikan haji dengan mengupah orang dalam untuk mempercepatkan giliran saya? Adakah perbuatan itu berdosa? Mohon pencerahan Datuk.

Ringkasan jawapan

Hukum memotong giliran haji dengan menggunakan cara yang salah dari sudut undang-undang seperti membayar rasuah kepada orang dalam adalah haram dan berdosa kerana menzalimi orang lain yang telah mempunyai giliran haji masing-masing. Tambahan pula, perbuatan ini jelas menyalahi objektif pelaksanaan ibadah haji yang bertujuan mengabdikan diri kepada Allah SWT, mengagungkan kebesaran-Nya, menyucikan diri daripada kekotoran dosa dan maksiat. Walau bagaimanapun, membuat permohonan dengan cara yang terhormat seperti memohon budi bicara dan mengemukakan rayuan kepada pihak berautoriti adalah diharuskan. Oleh itu, mana-mana individu yang berhasrat untuk menunaikan haji namun masih belum mencapai tahun giliran agar mematuhi prosedur yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa dalam memastikan pelaksanaan ibadah haji dapat berjalan dengan lancar.

Huraian jawapan

Haji merupakan salah satu ibadah yang menjadi kefarduan ke atas semua umat Islam. Namun begitu, pelaksanaan ibadah haji mempunyai perbezaan dengan ibadah yang lain. Hal ini demikian kerana, ibadah haji turut mempertimbangkan aspek kemampuan (al-Istito’ah) sebagai salah satu syarat yang mewajibkan. Allah SWT berfirman:

وَلِلَّهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا

Maksudnya: “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya.”

(Surah Ali Imran: 97)

Berdasarkan dalil di atas, terdapat perbincangan dalam kalangan fuqaha mengenai hukum wajib menunaikan ibadah haji sama ada ia adalah wajib yang bersifat segera ( الفور ) ataupun wajib yang boleh ditangguhkan seketika ( التراخي ). Sebahagian fuqaha berpendapat bahawa hukum menunaikan haji dengan kadar yang segera adalah wajib kerana kewajipannya hanyalah sekali sahaja dalam hidup. Manakala sebahagian yang lain pula berpandangan bahawa boleh menangguhkan seketika pelaksanaan ibadah haji kerana salah satu daripada syarat wajib haji ialah memiliki lebihan harta untuk menampung perbelanjaan pergi dan pulang.

Menurut pandangan fuqaha dalam mazhab Syafi’i seperti al-Rafi’i, beliau menegaskan bahawa kewajipan haji bersifat tertangguh iaitu boleh dilakukan pada waktu yang lain berdasarkan waktu pensyariatan ibadah tersebut yang hanya bermula selepas daripada tahun kelima Hijrah[1]. Walaupun seseorang telah memenuhi syarat-syarat wajib haji pada tahun berkenaan, namun ibadah haji tetap boleh dilaksanakan pada tahun-tahun yang lain[2]. Sejajar dengan itu, pelaksanaan haji boleh ditangguhkan terlebih dahulu sehinggalah seorang memenuhi syarat kemampuan.

Dalam konteks pengurusan haji semasa, antara definisi kemampuan juga meliputi syarat-syarat kelayakan seperti mempunyai jumlah simpanan yang mencukupi, tersenarai dalam kuota panggilan haji, lulus pemeriksaan kesihatan dan menerima visa kebenaran untuk menunaikan haji[3]. Oleh itu, dapat difahami bahawa individu yang belum mendapat giliran untuk menunaikan haji bererti belum memenuhi syarat kemampuan dari sudut pengurusan pada waktu tersebut.

Merujuk situasi berdasarkan persoalan di atas, perbuatan memotong giliran boleh difahami sebagai usaha untuk mempercepat giliran bagi menunaikan ibadah haji dengan melangkaui giliran jemaah lain yang sepatutnya menunaikan haji pada tahun tersebut. Antaranya menggunakan kaedah seperti mengupah orang dalam untuk mengubah senarai nama, memalsukan dokumen peribadi, rekod kesihatan dan seumpamanya. Dengan perkataan yang lain, perbuatan ini telah mencabuli hak individu lain yang sepatutnya berpeluang untuk menunaikan haji. Allah SWT telah menegaskan larangan mencabuli hak orang lain berdasarkan firman-Nya:

وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).”

(Surah al-Baqarah: 188)

Selain itu, Rasulullah SAW juga telah menjelaskan larangan ke atas muslim daripada menzalimi saudara muslim yang lain. Abdullah bin ‘Amr RA meriwayatkan hadis bahawa Baginda SAW bersabda:

المُسْلِمُ أخُو المُسْلِمِ لا يَظْلِمُهُ ولَا يُسْلِمُهُ، ومَن كانَ في حَاجَةِ أخِيهِ كانَ اللَّهُ في حَاجَتِهِ، ومَن فَرَّجَ عن مُسْلِمٍ كُرْبَةً، فَرَّجَ اللَّهُ عنْه كُرْبَةً مِن كُرُبَاتِ يَومِ القِيَامَةِ، ومَن سَتَرَ مُسْلِمًا سَتَرَهُ اللَّهُ يَومَ القِيَامَةِ.

Maksudnya: “Seorang muslim ialah saudara bagi muslim yang lain. Oleh itu, dia dilarang untuk menzalimi saudaranya dan menyerahkan kepada orang lain untuk menyakiti saudaranya. Allah SWT akan menunaikan hajat seorang muslim yang membantu dalam menunaikan hajat saudara muslimnya yang lain. Selain itu, Allah SWT juga akan meringankan kesusahan seorang muslim pada hari akhirat apabila dia meringankan kesusahan saudara muslimnya yang lain. Bahkan, Allah SWT juga akan menutup keaiban seorang muslim pada hari Kiamat apabila dia menutup keaiban saudara muslimnya yang lain di dunia.”

(Riwayat al-Bukhari)

Sementara dari sudut siasah, pemerintah di sesebuah negara memiliki autoriti dalam menyelaras hal ehwal berkaitan ibadah haji bagi umat Islam di negara tersebut. Dalam mengulas berkenaan hal ini, Imam al-Mawardi telah menggariskan tanggungjawab utama pemerintah yang meliputi persediaan fasa sebelum, semasa dan selepas daripada menunaikan haji[4]. Antaranya seperti menguruskan aspek pendaftaran jemaah yang bakal menunaikan haji, memastikan keselamatan jemaah haji sewaktu perjalanan pergi dan pulang dan memelihara kebajikan jemaah setelah pulang daripada menunaikan haji[5]. Sehubungan dengan itu, rakyat di sesebuah negara juga wajib mentaati keputusan pemerintah mereka berkaitan haji terutamanya mengikuti giliran tunai haji yang telah ditetapkan. Hal ini bagi memastikan pelaksanaan ibadah haji dapat berjalan dengan lancar dan mengelakkan daripada sebarang mudarat yang bakal timbul kesan daripada pengabaian terhadap ketetapan daripada pihak pemerintah.

Perkara ini bertepatan dengan kaedah fiqh[6]:

تَصَرُّفُ الْإِمَامِ عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوطٌ بِالْمَصْلَحَةِ

Maksudnya: “Pengurusan hal ehwal rakyat oleh pemimpin berteraskan kepada maslahat.”

Kesimpulan

Hukum memotong giliran haji dengan menggunakan cara yang salah dari sudut undang-undang adalah haram dan berdosa kerana menzalimi orang lain yang telah mempunyai giliran haji masing-masing. Perbuatan ini jelas menyalahi objektif pelaksanaan ibadah haji yang bertujuan mengabdikan diri kepada Allah SWT, mengagungkan kebesaran-Nya, menyucikan diri daripada kekotoran dosa dan maksiat.

Walau bagaimanapun, membuat permohonan dengan cara yang terhormat seperti memohon budi bicara dan mengemukakan rayuan kepada pihak berautoriti adalah diharuskan.

Oleh itu, mana-mana individu yang berhasrat untuk menunaikan haji namun masih belum mencapai tahun giliran agar mematuhi prosedur yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa dalam memastikan pelaksanaan ibadah haji dapat berjalan dengan lancar.

Wallahu a'lam

 

Rujukan: 

[1] Syams al-Din Muhammad bin Muhammad al-Khatib al-Syirbini, Mughni al-Muhtaj ila Ma’rifah Alfaz al-Minhaj (t.tp:Dar al-Kutub al-’Ilmiyyah,1994), 2:206.

وَجَزَمَ بِهِ الرَّافِعِيُّ فِي الْكَلَامِ عَلَى أَنَّ الْحَجَّ عَلَى التَّرَاخِي

[2] Sulaiman bin Muhammad bin Umar al-Bujairimi, Tuhfah al-Habib ‘ala Syarh al-Khatib (t.tp:Dar al-Fikr,1995), 2:422.

وَاعْلَمْ أَنَّهُ حَيْثُ تَحَقَّقَ الْوُجُوبُ بِأَنْ اجْتَمَعَتْ شَرَائِطُهُ الْمَذْكُورَةُ فَهُوَ عَلَى التَّرَاخِي

[3] Lokman Musa, "Konsep Istita’ah dalam Ibadah Haji: Satu Analisis." RABBANICA-Journal of Revealed Knowledge 3, no. 1 (2022): 241-256.

[4] Abu al-Hasan ‘Ali bin Muhammad al-Mawardi, al-Ahkam al-Sultaniyyah (Kaherah:Dar al-Hadith,t.t), 172.

هَذِهِ الْوِلَايَةُ عَلَى الْحَجِّ ضَرْبَانِ:

أَحَدُهُمَا: أَنْ تَكُونَ عَلَى تَسْيِيرِ الْحَجِيجِ.

وَالثَّانِي: عَلَى إقَامَةِ الْحَجِّ، فَأَمَّا تَسْيِيرُ الْحَجِيجِ فَهُوَ وِلَايَةُ سِيَاسَةٍ وَزَعَامَةٍ وَتَدْبِيرٍ

[5] Ibid.

أَحَدُهَا: جَمْعُ النَّاسِ فِي مَسِيرِهِمْ وَنُزُولِهِمْ حَتَّى لَا يَتَفَرَّقُوا، فَيَخَافُ النَّوَى وَالتَّغْرِيرَ.

وَالثَّانِي: تَرْتِيبُهُمْ فِي الْمَسِيرِ وَالنُّزُولِ بِإِعْطَاءِ كُلِّ طَائِفَةٍ مِنْهُمْ مُقَادًا، حَتَّى يَعْرِفَ كُلُّ فَرِيقٍ مِنْهُمْ مُقَادَهُ إذَا سَارَ، وَيَأْلَفَ مَكَانَهُ إذَا نَزَلَ، فَلَا يَتَنَازَعُونَ فِيهِ وَلَا يَضِلُّونَ عَنْهُ.

وَالثَّالِثُ: يَرْفُقُ بِهِمْ فِي السَّيْرِ حَتَّى لَا يَعْجِزَ عَنْهُ ضَعِيفُهُمْ وَلَا يَضِلَّ عَنْهُ مُنْقَطِعُهُمْ، وَرُوِيَ عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم أَنَّهُ قَالَ: "الضَّعِيفُ أَمِيرُ الرُّفْقَةِ" 1، يُرِيدُ أَنَّ مَنْ ضَعُفَتْ دَوَابُّهُ كَانَ عَلَى الْقَوْمِ أَنْ يَسِيرُوا بِسَيْرِهِ

[6] Jalal al-Din ‘Abd al-Rahman al-Suyuti, al-Asybah wa al-Nazho’ir (t.tp:Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah,1983), 121.