Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM KHAS HAJI DAN KORBAN SIRI KE-85: STATUS LARANGAN MEMOTONG KUKU DAN RAMBUT ORANG YANG MELAKUKAN KORBAN SERTA HIKMAHNYA

STATUS_LARANGAN_MEMOTONG_KUKU_DAN_RAMBUT_ORANG_YANG_MELAKUKAN_KORBAN_SERTA_HIKMAHNYA.jpg

 

SOALAN

Assalamualaikum Dato’ Mufti , saya ada persoalan yang ingin diajukan berkenaan ibadah korban. Saya ada membaca tentang larangan memotong kuku dan rambut bagi mereka yang ingin melaksanakan ibadah tersebut, apakah larangan tersebut membawa maksud haram? Bagaimana jika orang yang ingin melakukan korban itu memotong kuku dan rambut, adakah ia akan mengurangkan kesempurnaan ibadah korban tersebut?

Sekian, terima kasih Dato’.

RINGKASAN JAWAPAN

Larangan memotong kuku dan rambut bagi mereka yang ingin melaksanakan ibadah korban adalah makruh menurut pandangan mazhab Syafi’i. Sementara itu, hikmah larangan memotong kuku dan rambut ialah supaya anggota badannya itu akan dibebaskan daripada api neraka. Menurut pendapat yang lain, hikmahnya untuk menyerupai orang yang berada dalam keadaaan ihram yang diharamkan bergunting, mencukur, memotong kuku.

 

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Apabila tiba bulan Zulhijah (1 Zulhijah), orang yang ingin berkorban disunatkan untuk tidak memotong rambut di kepalanya, wajahnya atau badannya, tidak juga memotong kukunya sehingga selesai sembelihan korbannya. Hal ini berdasarkan hadis daripada Ummu Salamah R.Anha bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ كَانَ لَهُ ذِبْحٌ يَذْبَحُهُ فَإِذَا أُهِلَّ هِلَالُ ذِي الْحِجَّةِ، فَلَا يَأْخُذَنَّ مِنْ شَعْرِهِ، وَلَا مِنْ أَظْفَارِهِ شَيْئًا حَتَّى يُضَحِّيَ

Maksudnya: Sesiapa yang mempunyai binatang korban untuk disembelih, maka apabila terlihatnya anak bulan Zulhijah, janganlah dia mengambil satu apa pun (memotong) daripada rambutnya, mahupun daripada kukunya sehingga dia selesai berkorban.

Riwayat Muslim (1977), Abu Daud (2791)

Menurut Imam al-Syawkani menyatakan hadis ini adalah dalil larangan memotong kuku dan mencukur rambut bagi orang yang hendak melaksanakan ibadah korban.[1]

(Rujuk: Nail al-Awtar, 5/133)

Syeikh Khalil al-Saharanfuri menukilkan pandangan Imam Syafi’i bahawa larangan yang dimaksudkan dalam hadis ialah makruh bukan haram berpandukan hadis yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah R.Anha:

أن النبي - صلى الله عليه وسلم - كان يبعثُ بهَدْيهِ ولا يحرمُ عليه شيء أحلَّه الله له حتى ينْحَرَ هدْيَه

Bermaksud: Sesungguhnya Nabi SAW dikirimkan dengan binatang korban dan tidak diharamkan ke atasnya sesuatu yang telah dihalalkan oleh Allah SWT sehingga dia menyembelih binatang korbannya.

Riwayat al-Bukhari (1700)[2], Muslim (1321)[3]

Sementara itu, ulama mazhab Syafi’i menyatakan hikmah larangan memotong kuku dan rambut bagi orang yang melakukan korban supaya anggota-anggota tubuh badan akan dibebaskan daripada api neraka. Menurut pendapat yang lain, hikmahnya untuk menyerupai orang yang sedang berihram yang mana dia diharamkan untuk bergunting, mencukur, memotong kuku dan beberapa larangan lain.[4]

(Rujuk: Syarh al-Nawawi ala Muslim, 13/139)

Untuk bacaan lain berkenaan larangan memotong kuku dan rambut bagi mereka yang ingin melaksanakan ibadah korban boleh ikuti pautan berikut:

https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-fatwa/edisi-haji-korban/1061-irsyad-al-fatwa-haji-dan-korban-siri-11-anjuran-untuk-tidak-memotong-kuku-dan-rambut-bagi-yang-ingin-melakukan-ibadah-korban-apabila-tibanya-1-Zulhijah

KESIMPULAN

Berdasarkan perbahasan dan perbincangan ulama di atas, maka dapat disimpulkan bahawa larangan memotong kuku dan rambut bagi mereka yang ingin melaksanakan ibadah korban adalah makruh menurut pandangan mazhab Syafi’i. Sementara itu, hikmah larangan memotong kuku dan rambut adalah supaya anggota-anggota badan itu semuanya akan dibebaskan daripada api neraka. Menurut pendapat yang lain, hikmahnya untuk menyerupai orang yang berada dalam keadaaan ihram yang diharamkan untuk bergunting, mencukur, memotong kuku dan beberapa larangan lain.

Wallahu A'lam

 

Rujukan: 

[1] الْحَدِيثُ اُسْتُدِلَّ بِهِ عَلَى مَشْرُوعِيَّةِ تَرْكِ أَخْذِ الشَّعْرِ وَالْأَظْفَارِ بَعْدَ دُخُولِ عَشْرِ ذِي الْحِجَّةِ لِمَنْ أَرَادَ أَنْ يُضَحِّيَ.

[2] «أَنَا فَتَلْتُ قَلَائِدَ هَدْيِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِيَدَيَّ، ثُمَّ قَلَّدَهَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِيَدَيْهِ، ثُمَّ بَعَثَ بِهَا مَعَ أَبِي، فَلَمْ يَحْرُمْ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ شَيْءٌ أَحَلَّهُ اللَّهُ لَهُ حَتَّى نُحِرَ الهَدْيُ»

[3] «كُنْتُ أَفْتِلُ قَلَائِدَ هَدْيِ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِيَدَيَّ، ثُمَّ يَبْعَثُ بِهَا وَمَا يُمْسِكُ عَنْ شَيْءٍ، مِمَّا يُمْسِكُ عَنْهُ الْمُحْرِمُ، ‌حَتَّى ‌يُنْحَرَ ‌هَدْيُهُ»

[4] قَالَ أَصْحَابُنَا وَالْحِكْمَةُ فِي النَّهْيِ أَنْ يَبْقَى كَامِلَ الْأَجْزَاءِ لِيُعْتِقَ مِنَ النَّارِ وَقِيلَ التَّشَبُّهُ بِالْمُحْرِمِ.