Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM KHAS HAJI DAN KORBAN SIRI KE-93: HUKUM MENGGUNAKAN DAGING KORBAN UNTUK MAJLIS KENDURI

HUKUM_MENGGUNAKAN_DAGING_KORBAN_UNTUK_MAJLIS_KENDURI.jpg

 

Soalan

Assalamualaikum Datuk Mufti, saya ingin bertanya, bersempena hari raya aidiladha yang tiba, maka saya menyertai aktiviti ibadah korban, namun bolehkah saya menggunakan daging korban untuk majlis kenduri anak saya? Terima kasih Datuk.

Ringkasan Jawapan.

Hukum menggunakan daging korban untuk majlis kenduri adalah harus, namun mestilah diperuntukkan sebahagian daging korban dengan cara ia disedekahkan dalam keadaan mentah kepada golongan fakir miskin, dan baki selebihnya bolehlah digunakan untuk masakan majlis kenduri dan dihidangkan kepada orang ramai.

Huraian Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke Hari Akhirat.

Pada dasarnya, hukum mengerjakan ibadah korban adalah sunat muakkad, melainkan ia diwajibkan pada dua keadaan iaitu:

  1. Korban dengan nazar yang disandarkan pada sesuatu hajat.
  2. Korban yang telah ditentukan iaitu korban yang diniatkan ke atas haiwan tertentu. Contohnya; seseorang telah berkata: ”Lembu ini adalah khusus untuk ibadah korbanku.” Maka wajib disembelih lembu tersebut dengan niat korban[1].

Dalam mazhab Syafie, daging korban wajib disedekahkan sebahagiannya biarpun sedikit kepada fakir miskin dan juga disyaratkan ia wajib diberikan kepada mereka dalam keadaan daging mentah agar mereka dapat menggunakannya dengan bebas sama ada untuk memasak, berjual beli dan sebagainya[2].

Dan perkara yang paling afdal adalah bersedekah dengan kesemua daging korban tersebut melainkan sesuap makanan agar dapat mengambil keberkatan daripadanya di samping mengikuti sunnah Nabi SAW[3].

Berkenaan perihal cara pengurusan dan pembahagian terbaik bagi daging korban ada kami perjelaskan melalui artikel kami yang bertajuk Irsyad al-Fatwa Edisi Haji dan Korban Siri ke-23: Pembahagian yang Afdhal Bagi Daging Korban[4].

Maka, tidak memadai memberi sedekah dengan menjadikannya sebagai makanan yang dimasak kemudian diajak golongan fakir miskin untuk memakannya[5]. Justeru itu, daging korban itu sebaiknya dan seafdalnya ia disedekahkan dalam bentuk mentah berbanding telah dimasak.

Berhubung isu daging korban yang disediakan untuk dijadikan bahan masakan bagi majlis kenduri. Imam al-Syirbini ada mengulas isu ini, beliau berkata:

فَلَا يَكْفِي جَعْلُهُ طَعَامًا وَدُعَاءُ الْفُقَرَاءِ إلَيْهِ؛ لِأَنَّ حَقَّهُمْ فِي تَمَلُّكِهِ لَا فِي أَكْلِهِ، وَلَا تَمْلِيكُهُمْ لَهُ مَطْبُوخًا،

Maksudnya: “Maka tidak memadai dengan menjadikan (memasak) daging tersebut sebagai makanan dan menjemput orang-orang fakir untuk menjamahnya. Hal ini kerana, hak mereka adalah pada pemilikan dan bukannya pada menjamah makanan, sedangkan mereka tiada pemilikan terhadap makanan yang dimasak itu.[6]

Begitu juga, Syeikh Muhammad al-Zuhaili ada menyebut sekiranya, daging korban tersebut dimasak atau dimakan kesemuanya, maka wajib ke atas tuan korban membayar ganti rugi dengan kadar yang menyerupai nilai sedekah[7].

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada permasalahan menggunakan daging korban untuk majlis kenduri, maka di sini hukumnya adalah harus, namun mestilah diperuntukkan sebahagian daging korban dengan cara ia dibiarkan mentah kepada golongan fakir miskin sebagai sedekah, dan baki selebihnya bolehlah digunakan untuk masakan majlis kenduri dan dihidangkan kepada orang ramai.

Akhir kalam, kami menggalakkan orang ramai yang berkemampuan agar turut sama menyertai ibadah mulia ini supaya dapat memberikan keseronokan dan kelapangan dalam diri golongan fakir miskin di samping turut menceriakan mereka pada hari yang mulia ini[8].

Wallahu A‘lam.

 

Rujukan: 

[1] Muhammad al-Zuhaili, al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, (Damsyik: Dar al-Qalam, cetakan ke-4, 1434H), 2/478.

حكم الأضحية:

التضحية سنة مؤكدة، وشعار ظاهر ينبغي للمسلم القادر المحافظة عليها، لحديث أنس السابق. والتضحية سنة على الكفاية في حق أهل البيت الواحد، فإذا ضحى أحدهم حصلت سنة التضحية في حق الجميع، وإن كانت الشاة الواحدة لا يضحى بها إلا عن واحد، ولكن يتأتى الشعار والسنة لجميعهم. ولا تجب الأضحية، لما ثبت أن أبا بكر وعمر رضي الله عنهما كانا لا يضحيان مخافة أن يرى ذلك واجبًا. وإنما تجب الأضحية في حالتين:

  1. تعيين الأضحية. وذلك أن يقول مثلاً: هذه أضحيتي، لبدنة أو شاة في ملكه، أو سأضحي بهذه الشاة مثلاً، فتصبح واجبة بأن يضحي بها، وتأخذ أحكام الأضحية الواجبة كالمنذورة، ولا تصير أضحية معينة بمجرد النية.
  2. النذر بالأضحية. إذا نذر المسلم أن يضحي، فتصبح الأضحية واجبة عليه، لأنه ألزم نفسه بالتقرب بها إلى الله تعالى، كما لو التزم بأي طاعة أخرى.

[2] Muhammad bin Ahmad al-Khatib al-Syirbini, Mughni al-Muhtaj Ila Ma‘rifat Ma‘ani Alfaz al-Minhaj¸ (t.tp: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, cetakan pertama, 1415H), 6/135.

(وَالْأَصَحُّ وُجُوبُ التَّصَدُّقِ بِبَعْضِهَا) وَلَوْ جُزْءًا يَسِيرًا مِنْ لَحْمِهَا بِحَيْثُ يَنْطَلِقُ عَلَيْهِ الِاسْمُ عَلَى الْفُقَرَاءِ، وَلَوْ وَاحِدًا بِخِلَافِ سَهْمِ الصِّنْفِ الْوَاحِدِ مِنْ الزَّكَاةِ لَا يَجُوزُ صَرْفُهُ لِأَقَلَّ مِنْ ثَلَاثَةٍ؛ لِأَنَّهُ يَجُوزُ هُنَا الِاقْتِصَارُ عَلَى جُزْءٍ يَسِيرٍ لَا يُمْكِنُ صَرْفُهُ لِأَكْثَرَ مِنْ وَاحِدٍ، وَيُشْتَرَطُ فِي اللَّحْمِ أَنْ يَكُونَ نِيئًا لِيَتَصَرَّفَ فِيهِ مَنْ يَأْخُذُهُ بِمَا شَاءَ مِنْ بَيْعٍ وَغَيْرِهِ كَمَا فِي الْكَفَّارَاتِ، فَلَا يَكْفِي جَعْلُهُ طَعَامًا وَدُعَاءُ الْفُقَرَاءِ إلَيْهِ؛ لِأَنَّ حَقَّهُمْ فِي تَمَلُّكِهِ لَا فِي أَكْلِهِ، وَلَا تَمْلِيكُهُمْ لَهُ مَطْبُوخًا، وَلَا تَمْلِيكُهُمْ غَيْرَ اللَّحْمِ مِنْ جِلْدٍ وَكِرْشٍ وَكَبِدٍ وَطِحَالٍ وَنَحْوِهَا،

Lihat juga: Al-Zuhaili, al-Mu‘tamad, 2/485.

والأفضل أن يتصدق بكل الأضحية إلا لقمًا يتبرك بأكلها، لأن التصدق أقرب إلى التقوى، وأبعد عن حظ النفس، ويأكل اللقم منها عملاً بظاهر الآية، واتباعًا لسنة النبي صلى الله عليه وسلم.

[3] Mustafa al-Khin, Mustafa al-Bugha, ‘Ali al-Syarbaji, al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafi‘i, (Damsyik: Dar al-Qalam, cetakan ke-4, 1413H), 1/235.

وإن كانت الأَضحية مسنونة: جاز له أن يأكل قليلاً منها للبركة، ويتصدق بالباقي، وله أن يأكل ثلثها، ويتصدق بثلثها، ويتصدق بثلثها على الفقراء، ويهدي ثلثها لأصحابه وجيرانه وإن كانوا أغنياء. إلا أنّ ما يعطي للغني منها ما يكون على سبيل الهدية للأكل، فليس لهم أن يبيعوها، وما يعطي للفقير يكون على وجه التمليك، يأكلها أو يتصرف بها كما يشاء.

Lihat juga: Ahmad bin Muhammad bin Ali bin Hajar al-Haitami, Tuhfat al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, (Mesir: Al-Maktabah al-Tijariyah al-Kubra, t.c, 1357H), 9/364-365.

(وَالْأَفْضَلُ) أَنْ يَتَصَدَّقَ (بِكُلِّهَا) لِأَنَّهُ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَى (إلَّا لُقَمًا يَتَبَرَّكُ بِأَكْلِهَا) لِلْآيَةِ وَالِاتِّبَاعِ

[4] Lihat: https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-hukum/edisi-haji-korban/5936-irsyad-hukum-khas-haji-dan-korban-siri-ke-92-hukum-menggunakan-daging-korban-untuk-majlis-kenduri, laman web diakses pada 13/6/2022.

[5] Ibn Qasim al-Ghazzi, Hasyiyah al-Syeikh Ibrahim al-Baijuri ‘ala Fath al-Qarib al-Mujib, (Jakarta: Dar al-Kutub al-Islamiyyah, cetakan pertama, 1428H), 2/594.

وَ يُشْتَرَطُ فِي اللَحْمِ أَن يَكُونَ نِيئًا لِيَتَصَرَّفَ فِيهِ مَن يَأْخُذُهُ بِمَا شَاءَ مِن بَيْعٍ وَ غَيْرِهِ كَمَا فِي الكَفَارَاتِ فَلَا يَكْفِي جَعْلُهُ طَعَامًا مَطْبُوخًا وَ دُعَاءَ الفُقَرَاءِ إِليْه لِيَأْكُلُوهُ

[6] Al-Syirbini, Mughni al-Muhtaj, 6/135.

[7] Al-Zuhaili, al-Mu‘tamad, 2/485.

فإن أكل الجميع لزمه الضمان بمقدار ما يطلق عليه اسم الصدقة.

[8] Al-Zuhaili, al-Mu‘tamad, 2/478.

مع ما في الأضحية من تقديم اللحم للأهل ومواساة الفقراء والمساكين وإدخال السرور عليهم يوم العيد الأكبر.