Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM KHAS HAJI DAN KORBAN SIRI KE-100: HUKUM TERTIDUR SELEPAS MENGERJAKAN TAWAF WADA‘

APAKAH_HUKUM_TERTIDUR_SELEPAS_MENGERJAKAN_TAWAF_WADA.jpg

Soalan:

Assalamualaikum SS Datuk. Saya ada soalan yang nak ditanyakan berkaitan umrah bab tawaf wida‘. Adakah sah tawaf wada‘ seseorang sekiranya dia tidur selepas melaksanakan tawaf wada‘ untuk menunggu kenderaan yang ada pada waktu petang selepas zohor sedangkan dia sudah selesai tawaf wida‘ pada belah pagi. Mohon pencerahan daripada SS Mufti dan para asatizah. Terima kasih.

Ringkasan Jawapan:

Jemaah haji yang telah selesai menyempurnakan tawaf wada’ wajib bersegera meninggalkan Makkah serta dilarang untuk membuat sebarang urusan yang boleh melambatkan urusan keluar dari Makkah seperti bersantai atau membeli belah. Adapun bagi jemaah yang tertidur disebabkan menunggu kenderaan tiba, tidak perlu mengulangi semula tawaf wada‘nya kerana situasi tersebut tidak memenuhi kriteria menetap dengan tempoh yang lama di tanah haram dan tawaf wada‘nya masih sah. Namun sekiranya diketahui bahawa jadual ketibaan kenderaan pada waktu yang lewat, sebaiknya dilewatkan sedikit tawaf wada‘ tersebut.

Huraian Jawapan:

Hukum mengerjakan tawaf wada‘ bagi jemaah haji atau umrah adalah wajib menurut pandangan yang paling yang kuat dalam mazhab Syafi‘i. Sabda Rasulullah SAW:

‌لَا ‌يَنْفِرَنَّ ‌أَحَدٌ حَتَّى يَكُونَ آخِرُ عَهْدِهِ بِالْبَيْتِ

Maksudnya: “Jangan sesekali daripada kamu meninggalkan Makkah sehinggalah akhir keberadaannya di al-Bait (Tawaf Wada‘).”

(Riwayat Muslim)

Merujuk kepada hadis di atas, Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa hukum mengerjakan tawaf wada’ dalam ibadat haji adalah wajib dan kepada sesiapa yang meninggalkannya perlu membayar dam.[1] Secara mudahnya, tawaf ini termasuk dalam perkara wajib dalam ibadat haji.

Dalam permasalahan bagi mereka yang tertidur selepas selesai mengerjakan tawaf wada‘, ia perlu dilihat dalam beberapa keadaan. Secara umumnya, para jemaah perlu bersegera meninggalkan Makkah setelah selesai mengerjakan tawaf wada‘. Menurut Imam al-Nawawi dalam kitabnya al-Majmu‘:

من فرغ من مناسكه وأراد المقام بمكة ليس عليه ‌طواف ‌الوداع وهذا لا خلاف فيه سواء كان من أهلها أو غريبا وإن أراد الخروج من مكة إلى وطنه أو غيره طاف للوداع

Maksudnya: “Sesiapa yang selesai ibadat hajinya dan ingin menetap di Makkah tiada baginya tawaf wada‘. Perkara ini tiada khilaf sama ada dia itu penduduk sekitarnya atau bukan. Sekiranya dia ingin keluar dari Makkah ke tanah airnya atau seumpamanya dia hendaklah mengerjakan tawaf wada‘.”[2]

Manakala menurut Imam Khatib al-Syirbini di dalam kitabnya Mughni al-Muhtaj menjelaskan bahawa apabila seseorang ingin meninggalkan tanah suci Makkah hendaklah dia mengerjakan tawaf wada’ dan tidak boleh menetap lagi selepas melakukannya.[3] Dengan kata lain, jemaah yang telah selesai mengerjakan tawaf wada‘ perlu bersegera meninggalkan kota Makkah supaya dapat mengelakkan diri dari kewajipan mengulangi tawaf tersebut dan membayar dam.

Namun bagi situasi yang terdapatnya keuzuran atau halangan untuk meninggalkan tanah suci dengan lebih awal, terdapat beberapa perbincangan dalam kalangan ulama-ulama fiqh, institusi yang berautoriti dan badan fatwa tentang permasalahan ini seperti:

1)     Nihayat al-Muhtaj

Menurut Imam al-Ramli, seseorang yang telah selesai tawaf wada‘ serta perkara-perkara yang seumpamanya seperti solat sunat tawaf, berdoa di Multazam atau bergerak mendapatkan air Zam Zam dan meminum tidak boleh lagi menetap di tanah haram.[4] Namun terdapat beberapa keadaan yang beliau nyatakan iaitu:

‌فَإِنْ ‌مَكَثَ لِغَيْرِ ‌حَاجَةٍ أَوْ ‌حَاجَةٍ لَا تَتَعَلَّقُ بِالسَّفَرِ كَالزِّيَارَةِ وَالْعِيَادَةِ وَقَضَاءِ الدَّيْنِ فَعَلَيْهِ إعَادَتُهُ، لَا إنْ اشْتَغَلَ بِرَكْعَتَيْ الطَّوَافِ أَوْ بِأَسْبَابِ الْخُرُوجِ كَشِرَاءِ الزَّادِ وَأَوْعِيَتِهِ وَشَدِّ الرَّحْلِ أَوْ أُقِيمَتْ الصَّلَاةُ فَصَلَّاهَا مَعَهُمْ

Maksudnya: “Jika dia menetap tanpa ada sebarang hajat atau hajat yang berkaitan dengan urusan pemusafirannya seperti pergi berziarh, mendapatkan rawatan dan menyelesaikan hutang maka dia perlu mengulangi tawaf wada‘nya. Namun tidak perlu mengulangi tawafnya jika sibuk mengerjakan dua rakaat solat tawaf atau urusan-urusan keluarnya seperti membeli bekalan makanan kemudian bergerak keluar.”[5]

2)     Jabatan Fatwa Mesir (Dar al-Ifta’ al-Misriyah)

Jabatan Fatwa Mesir turut menjelaskan bahawa seseorang yang menetap selepas tawaf wada’ kerana menyelesaikan perkara-perkara yang melibatkan perjalanan keluar tidak memenuhi syarat menetap tempoh yang lama di tanah haram. Oleh itu, Jabatan Fatwa Mesir dalam fatwanya menyatakan:

“Setiap perkara yang besangkut paut dengan urusan keluar dan persiapan perjalanan seperti kembali ke tempat penginapan di hotel, menunggu rombongan atau jemaah yang berjalan bersama serta menunggu waktu penerbangan atau pengangkutan perjalanan tidaklah membawa kepada kewajipan mengulangi tawaf wada‘ walaupun mengambil masa sehari atau lebih.”[6]

3)     Resolusi Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan kali ke-35 Tahun 1439H/ 9-11 November 2018

Kaedah Menentukan kategori perbuatan atau aktiviti Jemaah Haji Malaysia dalam tempoh menunggu selepas tawaf wada‘ hendaklah ditentukan kepada penilaian ‘uruf semasa.

Walau bagaimanapun perbuatan atau aktiviti tersebut mestilah tidak terkeluar daripada sifatnya sebagai safar dan mazannat al-iqamat (anggapan menetap di Mekah).

Setelah jemaah selesai melakukan semua urusan safar maka perbuatan yang dilakukan dalam tempoh menunggu tidak lagi dikategorikan sebagai mazannat al-iqamah.[7]  

Oleh yang demikian, bagi jemaah haji yang tertidur disebabkan menunggu kenderaan sampai selepas mengerjakan tawaf wada‘ tidak perlu mengulangi ibadat tawaf tersebut. Hal ini kerana terdapat keuzuran pada situasi berkenaan dan situasi tersebut tidak termasuk dalam perihal keinginan untuk menetap di Makkah.

Kesimpulan

Jemaah haji yang telah selesai menyempurnakan tawaf wada’ wajib bersegera meninggalkan Makkah serta dilarang untuk membuat sebarang urusan yang boleh melambatkan urusan keluar dari Makkah seperti bersantai atau membeli belah.

Adapun bagi jemaah yang tertidur disebabkan menunggu kenderaan tiba, tidak perlu mengulangi semula tawaf wada‘nya kerana situasi tersebut tidak memenuhi kriteria menetap dengan tempoh yang lama di tanah haram dan tawaf wada‘nya masih sah. Namun sekiranya diketahui bahawa jadual ketibaan kenderaan pada waktu yang lewat, sebaiknya dilewatkan sedikit tawaf wada‘ tersebut.

Wallahu A’lam.

 

Rujukan: 

[1] Al-Nawawi, Abu Zakaria Muhyiddin Yahya bin Sharf, al-Minhaj Syarh Sahih Muslim. (Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabiy, Ed 2, 1312H) Jld 9 hlm 79.

فِيهِ دَلَالَةٌ لِمَنْ قَالَ بِوُجُوبِ طَوَافِ الْوَدَاعِ وَأَنَّهُ إِذَا تَرَكَهُ لَزِمَهُ دَمٌ وَهُوَ الصَّحِيحُ فِي مَذْهَبِنَا

[2] Al-Nawawi, Abu Zakaria Muhyiddin bin Sharf, al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab. (Kaherah: Idarah al-Taba‘ah al-Muniriyah, 1347H) Jld: 8 hlm:254.

[3] Al-Syirbini, Syams al-Din Muhammad bin Muhammad al-Khatib, Mughni al-Muhtaj ila Ma’rifat Ma‘ani Alfaz al-Minhaj. (Dar al-Kutub al-‘Ilmiyah, Ed 1, 1994) Jld:2 hlm:280.

وَإِذَا أَرَادَ الْخُرُوجَ مِنْ مَكَّةَ طَافَ لِلْوَدَاعِ، وَلَا يَمْكُثُ بَعْدَهُ

[4] al-Ramli, Syams al-Din Muhammad bin Abi al-‘Abbas Ahmad, Nihayat al-Muhtaj ila Syarh al-Minhaj. (Beirut: Dar al-Fikr, 1984M), Jld 3, hlm 316

(وَلَا يَمْكُثُ بَعْدَهُ) مِمَّا يَتَعَلَّقُ بِهِ مِنْ رَكْعَتَيْهِ وَالدُّعَاءِ الْمَحْبُوبِ عَقِبَهُ عِنْدَ الْمُلْتَزِمِ وَإِتْيَانِ زَمْزَمَ وَالشُّرْبِ مِنْ مَائِهَا

[5] Ibid: Jld 3, hlm 316.

[6] https://www.dar-alifta.org/ar/fatawa/15413/ diakses pada 20/5/2024

اتفق الفقهاء على أن المكث بمكَّة بعد طواف الوداع بسبب الاشتغال بأسباب الخروج لا يتحقق به معنى الإقامة الذي يوجب إعادته؛ فكل ما يتعلق بالخروج واستعدادات السفر -من الرجوع إلى مكان الإقامة بالفندق، وانتظار الفوج أو الرفقة التي يسير معها، وانتظار وقت رحلة الطائرة أو المواصلات التي يسافر عليها- لا يوجب إعادة الطواف وإن استغرق ذلك يومًا أو أكثر؛ لأن هذا لا يخرج عن كونه خروجًا ووداعًا في العادة.

[7] Rujuk Resolusi Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan kali ke-35:

https://www.tabunghaji.gov.my/ms/haji/bimbingan/resolusi-muzakarah-haji-0 diakses pada: 20/5/2024