Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM KHAS HAJI DAN KORBAN SIRI KE-107: SEDIH TENGOK HAIWAN DIKORBANKAN - IBADAH KORBAN BUKANLAH SATU PENGANIAYAAN TERHADAP HAIWAN KORBAN

SEDIH_TENGOK_HAIWAN_DIKORBANKAN_-_IBADAH_KORBAN_BUKANLAH_SATU_PENGANIAYAAN_TERHADAP_HAIWAN_KORBAN.jpg

Soalan

Assalamualaikum, viral baru-baru ini kenyataan yang menyataankan sedih melihat haiwan yang dikorbankan dan selain itu terdapat juga dakwaan yang lain tentang sembelih haiwan korban merupakan satu penganiayaan terhadap haiwan. Bolehkan pihak Jabatan Mufti mengeluarkan satu kenyataan terhadap isu ini. Terima kasih.

Ringkasan Jawapan

Ibadah korban merupakan satu lambang kebesaran dalam Islam yang mendidik umatnya agar mendekatkan diri kepada Allah SWT. Selain itu, falsafah ibadah korban juga mengajar agar umat Islam sentiasa bantu-membantu serta menjaga dan mengeratkan hubungan silaturrahim sesama masyarakat.

Ibadah korban bukan sahaja merupakan salah satu syiar dalam Islam, tetapi turut mencerminkan nilai-nilai kemanusiaan dan etika yang tinggi yang dituntut oleh agama ini. Melalui pelaksanaan ibadah korban, Islam mendidik umatnya agar sentiasa bersifat ihsan dan berbuat baik bukan sahaja kepada manusia malah terhadap haiwan. Ini dapat dilihat dalam saranan agar proses penyembelihan dilakukan dengan segera dan penuh belas kasihan termasuk larangan menajamkan pisau di hadapan haiwan korban. Pendekatan ini memperlihatkan bahawa Islam adalah agama yang menekankan keadilan, kasih sayang, dan etika dalam setiap aspek kehidupan.

Sikap belas kasihan terhadap haiwan sememangnya mencerminkan jiwa yang luhur dan berakhlak. Namun, Islam tidak menganggap rasa simpati tersebut sebagai penghalang untuk mengambil manfaat daripada haiwan, selagimana ia dilakukan dalam batas syarak dan dengan tujuan yang sah. Dalam konteks pembangunan manusia, pemanfaatan haiwan dari sudut makanan, pekerjaan dan keperluan hidup lain perlu dinilai melalui neraca maslahah umum serta prinsip kelestarian. Oleh itu, keprihatinan terhadap haiwan harus seimbang dengan keperluan manusia untuk terus hidup, berkembang dan memakmurkan bumi sesuai dengan prinsip Maqasid al-Shariyyah.

Huraian Jawapan

Ibadah korban merupakan syiar dan lambang kebesaran dalam agama Islam dengan mengambil ibrah pengorbanan Nabi Ibrahim AS dan anaknya Nabi Ismail AS. Ibadah korban merupakan satu ibadah untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan mengorbankan segala nikmat harta benada bagi membersihkan hati dan jiwa supaya cinta kepada Allah SWT. Saidatina Aisyah RA meriwayatkan sebuah hadis daripada Nabi SAW yang bersabda:

مَا عَمِلَ آدَمِيٌّ مِنْ عَمَلٍ يَوْمَ النَّحْرِ أَحَبَّ إِلَى اللَّهِ مِنْ إِهْرَاقِ الدَّمِ إِنَّهَا لَتَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِقُرُونِهَا وَأَشْعَارِهَا وَأَظْلاَفِهَا وَإِنَّ الدَّمَ لَيَقَعُ مِنَ اللَّهِ بِمَكَانٍ قَبْلَ أَنْ يَقَعَ مِنَ الأَرْضِ فَطِيبُوا بِهَا نَفْسًا

Maksudnya: “Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak adam pada hari al-Nahr (Hari Raya Aidiladha) yang lebih dicintai oleh Allah selain daripada menumpahkan darah (binatang korban). Sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat dengan tanduknya, bulunya dan kukunya dan sesungguhnya darah tersebut akan sampai kepada redha Allah SWT sebelum ia jatuh ke bumi. Maka, bersihkanlah jiwa kamu (dengan berkorban).”

Riwayat al-Tirmizi

Salah satu hikmah ibadah korban dapat mendidik individu muslim berkongsi sebahagian hartanya sesama saudara Islamnya, sehubungan dengan itu dapat mengerat dan memperkukuhkan lagi hubungan tali persaudaraan sesama Islam. Bahkan tidak sah ibadah korban sekiranya tidak dikongsi dengan golongan fakir miskin yang tidak berkemampuan kerana perkongsian daging korban merupakan syarat dalam ibadah korban sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Khatib al-Syirbini:

Korban itu sendiri adalah merupakan suatu jenis sedekah yang mesti diberikan kepada fakir miskin. Malah tidak sah korban jika tidak diberikan bahagian daging dengan kadar yang mengenyangkan kepada sekurang-kurangnya seorang fakir miskin[1]

Di samping itu, aktiviti gotong-royong dalam melaksanakan ibadah korban juga dapat melahirkan rasa mahabbah dan semangat kerjasama antara masyarakat setempat. Hal ini bertepatan dengan saranan dalam al-Quran dan falsafah ibadah korban itu sendiri sebagaimana Firman Allah SWT:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۖ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

Maksudnya: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya)

(Surah al-Maidah, 2)

Saban tahun menjelang musim perayaan Aidiladha, sering kali tular dakwaan ibadah korban digambarkan sebagai satu bentuk penganiayaan terhadap haiwan. Umum mengetahui bahawa haiwan korban disyariatkan ke atas haiwan ternakan seperti lembu, kerbau dan kambing yang merupakan makanan bagi manusia. Bahkan bertepatan dengan firman Allah SWT:

أُحِلَّتْ لَكُم بَهِيمَةُ الْأَنْعَامِ إِلَّا مَا يُتْلَىٰ عَلَيْكُمْ

Makudnya: “Dihalalkan bagi kamu (memakan) binatang-binatang ternak (dan sebagainya), kecuali apa yang akan dibacakan (tentang haramnya) kepada kamu”.

(Surah al-Maidah, 1)

Dalam hal ini, Islam mendidik umatnya agar bersifat ihsan dan berbuat baik bukan sahaja sesama manusia, bahkan terhadap haiwan terutama ketika ingin membunuh dan menyembelihnya untuk dijadikan makanan. Hal ini sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Syaddad bin Aus bahawa Nabi SAW bersabda:

إِنَّ اللهَ كَتَبَ الْإِحْسَانَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ، فَإِذَا قَتَلْتُمْ فَأَحْسِنُوا الْقِتْلَةَ، وَإِذَا ذَبَحْتُمْ فَأَحْسِنُوا الذَّبْحَ، وَلْيُحِدَّ أَحَدُكُمْ شَفْرَتَهُ، فَلْيُرِحْ ذَبِيحَتَهُ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah S.W.T mewajibkan berbuat ihsan ke atas setiap sesuatu. Maka apabila kamu membunuh, berlaku ihsanlah dalam membunuh. Dan apabila kamu menyembelih, maka berlaku ihsanlah semasa menyembelih. Hendaklah seseorang itu menajamkan pisaunya, dan merehatkan haiwan sembelihannya”.

Riwayat Muslim

Imam al-Nawawi mensyarahkan hadis in dengan menyatakan bahawa “Hendaklah direhatkan haiwan sembelihan itu dengan cara menajamkan pisau dan menyegerakan proses sembelihan ke atas haiwan itu. Di samping itu, sunat untuk tidak menajamkan pisau di hadapan haiwan yang ingin disembelih serta disunatkan juga agar tidak menyembelih haiwan dengan keberadaan haiwan yang lain”.[2]

Segala kehidupan dan alam yang diciptakan oleh Allah SWT adalah untuk dimanfaatkan oleh manusia sebagai makhluk yang istimewa diciptakan Allah SWT dengan akal berbanding dengan makhluk lain. Prinsip asas dalam Islam terdapat konsep tasykir dalam memahami hubungan antara manusia dan alam sekitar, secara hakikatnya alam sekitar diciptakan oleh Allah SWT untuk kegunaan dan kemaslahatan manusia sebagaimana firman Allah SWT:

 اللَّهُ الَّذِي خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ وَأَنزَلَ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً فَأَخْرَجَ بِهِ مِنَ الثَّمَرَاتِ رِزْقًا لَّكُمْ ۖ وَسَخَّرَ لَكُمُ الْفُلْكَ لِتَجْرِيَ فِي الْبَحْرِ بِأَمْرِهِ ۖ وَسَخَّرَ لَكُمُ الْأَنْهَارَ

Maksudnya: “Allah jualah yang menciptakan langit dan bumi, dan menurunkan hujan dari langit lalu mengeluarkan dengan air hujan itu buah-buahan untuk menjadi makanan bagi kamu; dan Ia yang memberi kemudahan kepada kamu menggunakan kapal-kapal untuk belayar di laut dengan perintahNya, juga yang memudahkan sungai-sungai untuk kamu (mengambil manfaat darinya)”.

(Surah Ibrahim, 32)

Dalam kerangka ini, mizan dan timbangan yang digunakan untuk menilai manusia tidak sama seperti haiwan. Perbezaan ini bukan sahaja dari sudut fizikal dan biologi, malah merangkumi aspek tanggungjawab, keupayaan moral dan peranan dalam pembangunan dunia. Firman Allah SWT:

لَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنسَانَ فِي أَحْسَنِ تَقْوِيمٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya)”.

(Surah al-Tin. 4)

Sebagai kesimpulan, ibadah korban merupakan satu lambang kebesaran dalam Islam yang mendidik umatnya agar mendekatkan diri kepada Allah SWT. Selain itu, falsafah ibadah korban juga mengajar agar umat Islam sentiasa bantu-membantu serta menjaga dan mengeratkan hubungan silaturrahim sesama masyarakat.

Ibadah korban bukan sahaja merupakan salah satu syiar dalam Islam, tetapi turut mencerminkan nilai-nilai kemanusiaan dan etika yang tinggi yang dituntut oleh agama ini. Melalui pelaksanaan ibadah korban, Islam mendidik umatnya agar sentiasa bersifat ihsan dan berbuat baik bukan sahaja kepada manusia malah terhadap haiwan. Ini dapat dilihat dalam saranan agar proses penyembelihan dilakukan dengan segera dan penuh belas kasihan termasuk larangan menajamkan pisau di hadapan haiwan korban. Pendekatan ini memperlihatkan bahawa Islam adalah agama yang menekankan keadilan, kasih sayang, dan etika dalam setiap aspek kehidupan.

Sikap belas kasihan terhadap haiwan sememangnya mencerminkan jiwa yang luhur dan berakhlak. Namun, Islam tidak menganggap rasa simpati tersebut sebagai penghalang untuk mengambil manfaat daripada haiwan, selagimana ia dilakukan dalam batas syarak dan dengan tujuan yang sah. Dalam konteks pembangunan manusia, pemanfaatan haiwan dari sudut makanan, pekerjaan dan keperluan hidup lain perlu dinilai melalui neraca maslahah umum serta prinsip kelestarian. Oleh itu, keprihatinan terhadap haiwan harus seimbang dengan keperluan manusia untuk terus hidup, berkembang dan memakmurkan bumi sesuai dengan prinsip Maqasid al-Shariyyah.

Wallahu’alam

 

Rujukan: 

[1] Al-Khatib al-Syirbini, Mughni al-Muhtaj ila Ma’rifah Maani Alfaz al-Minhaj. (T.tp: Dar al-Kutub al’Ilmiyyah,1415H), Jld. 4 Hlm. 291

[2] Abu Zakaria Mahyuddin Yahya bin Syarf al-Nawawi, al-Minhaj Syarh Sahih Muslim bin al-Hajjaj. (Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabiy, 1392H) Jld. 13 Hlm. 107

وَلْيُرِحْ ذَبِيحَتَهُ بِإِحْدَادِ السِّكِّينِ وَتَعْجِيلِ إِمْرَارِهَا وَغَيْرِ ذَلِكَ وَيُسْتَحَبُّ أن لا يحد السكين بحضرة الذبيحة وأن لا يَذْبَحَ وَاحِدَةً بِحَضْرَةِ أُخْرَى وَلَا يَجُرَّهَا إِلَى مَذْبَحِهَا وَقَوْلُهُ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَحْسِنُوا الْقِتْلَةَ عَامٌّ فِي كُلِّ قَتِيلٍ مِنَ الذَّبَائِحِ وَالْقَتْلُ قِصَاصًا وَفِي حَدٍّ وَنَحْوِ ذَلِكَ وَهَذَا الْحَدِيثُ مِنَ الْأَحَادِيثِ الْجَامِعَةِ لِقَوَاعِدِ الْإِسْلَامِ وَاللَّهُ أعلم