Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA KHAS RAMADHAN SIRI KE 112: HUKUM MEMULAKAN IBADAH PUASA DAN MENYAMBUT HARI RAYA MENGIKUT ANAK BULAN YANG KELIHATAN DI NEGARA LAIN

Puasa ikut negara lain

 

SOALAN

Bolehkah kita mula berpuasa dan menyambut hari raya mengikut hasil cerapan hilal di negara Arab Saudi berbanding dengan hasil cerapan di negara kita?

 

JAWAPAN

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, ahli keluarga Baginda, para sahabat, serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke hari Kiamat.

Persoalan ini sering berlegar di kalangan masyarakat yang terkeliru tentang perkara ini dan mempersoalkan mengapa kita tidak bersama dengan negara-negara lain dalam penentuan tarikh masuk dan keluarnya bulan-bulan Islam, terutamanya bulan Ramadhan dan bulan Syawal.

Dua bulan tersebut sangat istimewa bagi umat Islam kerana terdapat padanya perkara-perkara khusus yang tidak terdapat pada bulan-bulan lain seperti ibadah puasa, qiam, iktikaf, lailatul qadar dan Hari Raya Aidilfitri.

Kami pernah menjawab isu seumpama ini yang membabitkan penentuan hari Arafah dan perbezaan yang berlaku antara negara kita dengan negara Arab Saudi dalam menetapkan hari tersebut dalam artikel yang bertajuk:

IRSYAD AL-FATWA HAJI DAN KORBAN SIRI 17: PERBEZAAN PENENTUAN HARI ARAFAH DAN JUGA PUASA PADA HARI TERSEBUT[1] dan;

BAYAN AL-FALAK SIRI 2: IDUL ADHA DAN PUASA HARI ARAFAH[2]

 

Asas kepada perkara ini adalah berdasarkan sabda Nabi SAW :

صُومُوا لِرُؤْيَتِهِ وأَفْطِرُوا لِرُؤْيَتِهِ

Maksudnya: “Berpuasalah jika kamu melihatnya (anak bulan), dan berbukalah (berhari raya) jika kamu melihatnya (anak bulan)”

Riwayat al-Bukhari (1909) dan Muslim (1081)

 

إِذَا رَأَيْتُمْ الْهِلالَ فَصُومُوا وَإِذَا رَأَيْتُمُوهُ فَأَفْطِرُوا

Maksudnya: “Jika kamu melihat anak bulan, maka berpuasalah, dan berbukalah (berhari raya) jika kamu melihatnya.

Riwayat Muslim (1081)

Dalam mazhab Imam asy-Syafi’e Rahimahullah, penentuan masuknya bulan Ramadhan atau bulan Syawal adalah berdasarkan anak bulan yang kelihatan di negara yang mempunyai matla’ yang sama. Rujuk al-Mu’tamad fi Fiqh asy-Syafi’e (2/161)

Matla’ bermaksud kawasan yang berada pada jangka masa waktu terbit dan terbenam matahari serta bulan yang hampir sama, atau lebih mudah difahami, ia bermaksud negara yang berkongsi waktu siang dan malam mereka. Negara Malaysia adalah terletak dalam matla’ Asia Tenggara.

Imam al-Khatib al-Syarbini Rahimahullah telah menjelaskan perkara ini dengan berkata: “Dan apabila dilihat anak bulan di sesuatu negara, maka hukumnya adalah sama seperti negara yang berhampiran dengannya, sebagaimana kota Baghdad dengan kota Kufah kerana kedua-duanya seolah-olah seperti satu negeri, bukannya (hukum yang berbeza) bagi negeri yang jauh seperti Hijaz dan ‘Iraq pada pendapat yang lebih tepat”. Rujuk Mughni al-Muhtaj Ila Ma’rifati Alfaz al-Minhaj (2/144-145)

Pandangan ini adalah bersandarkan kepada hadith sahih yang telah diriwayatkan daripada Kuraib:

رَأَيْتُ الْهِلَالَ بِالشَّامِ ثُمَّ قَدِمْتُ الْمَدِينَةَ فَقَالَ ابْنُ عَبَّاسٍ: مَتَى رَأَيْتُمْ الْهِلَالَ؟ قُلْتُ: لَيْلَةَ الْجُمُعَةِ، قَالَ: أَنْتَ رَأَيْتَهُ؟ قُلْتُ: نَعَمْ وَرَآهُ النَّاسُ وَصَامُوا، وَصَامَ مُعَاوِيَةُ فَقَالَ: لَكِنَّا رَأَيْنَاهُ لَيْلَةَ السَّبْتِ فَلَا نَزَالُ نَصُومُ حَتَّى نُكْمِلَ الْعِدَّةَ. فَقُلْتُ: أَوَلَا تَكْتَفِي بِرُؤْيَةِ مُعَاوِيَةَ وَصِيَامِهِ؟ قَالَ: لَا، هَكَذَا أَمَرَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Maksudnya: “Aku melihat anak bulan di Syam pada malam Jumaat, kemudian aku pulang ke Madinah, lalu ibn ‘Abbas bertanya kepadaku: ‘Bilakah kamu melihat anak bulan?’ Aku menjawab: ‘Kami melihat pada malam Jumaat’, ibn ‘Abbas bertanya lagi: ‘Adakah engkau sendiri melihat anak bulan itu?’, Aku menjawab: ‘Ya, orang lain pun melihatnya dan mereka juga berpuasa, Mu’awiyah turut berpuasa.’ Ibn ‘Abbas berkata, ‘Kami di sini melihat anak bulan pada malam Sabtu, oleh itu kami terus berpuasa sehingga kami sempurnakan 30 hari Ramadhan’, Aku bertanya, ‘Tidakkah memadai bagi kamu dengan anak bulan yang dilihat oleh Mu’awiyah dan puasanya?’ Ibn ‘Abbas menjawab, ‘Tidak! Beginilah caranya Rasulullah SAW menyuruh kami berbuat demikian.”

Riwayat Muslim (1087), at-Tirmizi (693), Abu Daud (2332), an-Nasai’e (2110)

Kesimpulan

Matla’ negara Malaysia adalah berbeza dengan matla’ Arab Saudi kerana kedudukan kedua-dua negara ini adalah berbeza. Jarak antara Malaysia dan Arab Saudi adalah dianggarkan dalam 7000 kilometer dan jarak masa antara kedua negara ini adalah lebih kurang 5 jam.

Kedudukan Arab Saudi yang berada pada kedudukan yang lebih barat berbanding negara kita menyebabkan peluang untuk anak bulan kelihatan di negara berkenaan adalah lebih tinggi berbanding di negara kita. Justeru, ketika anak bulan dicerap pada waktu matahari terbenam di Arab Saudi, kedudukan anak bulan tersebut adalah lebih tinggi berbanding di Malaysia. Oleh itu, kemungkinan peluang untuk anak bulan dapat dilihat adalah lebih tinggi di Arab Saudi berbanding di negara kita.

Kesimpulannya, kita wajib mengikut hasil cerapan anak bulan di negara kita bagi menentukan masuknya bulan Ramadhan dan bulan Syawal, bukan mengikut hasil cerapan anak bulan di negara Arab Saudi kerana faktor perbezaan matla’ di antara dua negara yang boleh menyebabkan perbezaan hasil cerapan anak bulan.

Semoga Allah SWT memberikan kita kebaikan dan kefahaman yang sahih dalam memahami syariat-Nya seterusnya memberikan kekuatan kepada kita untuk mengamalkannya. Amiin.

 

[1] http://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-fatwa/edisi-haji-korban/1063-irsyad-al-fatwa-haji-dan-korban-siri-17-perbezaan-penentuan-hari-arafah-dan-juga-puasa-pada-hari-tersebut?highlight=WyJhbmFrIiwiJ2FuYWsiLCJidWxhbiIsIididWxhbiIsImFuYWsgYnVsYW4iXQ==

[2] http://www.muftiwp.gov.my/ms/falak/bayan-al-falak/2564-bayan-al-falak-siri-2-idul-adha-dan-puasa-hari-arafah?highlight=WyJhbmFrIiwiJ2FuYWsiLCJidWxhbiIsIididWxhbiIsImFuYWsgYnVsYW4iXQ==