Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA KHAS RAMADAN SIRI KE - 193: ADAKAH SOLAT TARAWIH YANG DIDIRIKAN PADA 1/3 MALAM DIANGGAP QIAMULLAIL

IF KHAS RAMADAN 193 

Soalan

Assalamualaikum, mohon pandangan Sahibus Samahah Datuk Mufti berkenaan solat sunat tarawih yang dilakukan pada 1/3 malam adakah dianggap melaksanakan qiamullail juga? Kerana sering orang yang bekerja kepenatan selepas berbuka dan solat isyak akan tidur kerana terlalu ngantuk lalu terjaga malam dan mendirikan solat sunat tarawih.

Ringkasan Jawapan

Menunaikan solat tarawih pada 1/3 malam atau akhir malam pada bulan Ramadan adalah digalakkan. Bukan itu sahaja, sesetengah ulama berpandangan bahawa ia adalah sesuatu yang afdal untuk dilakukan. Solat tarawih yang dilakukan tidak kira pada awal waktu mahupun akhir malam dianggap membangunkan malam-malam pada malam bulan Ramadan atau disebut sebagai Qiamullail.

Adapun perbuatan menunaikan solat tarawih selepas tidur para ulama tidak membahaskan secara terperinci namun perbuatan tersebut merupakan suatu perkara yang dibolehkan dan lebih baik melakukannya berdasarkan daripada kenyataan Umar RA di dalam hadis sahih bukhari.

Huraian Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat dan salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Secara umum, qiamullail yang bermaksud berjaga pada waktu malam untuk beribadat[1] adalah merupakan suatu ibadah yang amat dianjurkan di dalam Islam untuk mempertingkatkan ketakwaan seperti mendirikan solat-solat sunat, baca al-Quran, berzikir dan sebagainya. Terdapat banyak nas-nas yang jelas menggalakkan umat Islam untuk melakukan qiamullail. Firman Allah SWT:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلْمُزَّمِّلُ ‎﴿١﴾‏ قُمِ ٱلَّيْلَ إِلَّا قَلِيلًا ‎﴿٢﴾‏ نِّصْفَهُۥٓ أَوِ ٱنقُصْ مِنْهُ قَلِيلًا ‎﴿٣﴾‏ أَوْ زِدْ عَلَيْهِ وَرَتِّلِ ٱلْقُرْءَانَ تَرْتِيلًا ‎﴿٤﴾‏

Maksudnya: Wahai orang yang berselimut!. (1) Bangunlah sembahyang Tahajjud pada waktu malam, selain dari sedikit masa (yang tak dapat tidak untuk berehat), (2) Iaitu separuh dari waktu malam, atau kurangkan sedikit dari separuh itu, (3) Ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya; dan bacalah Al-Quran dengan "Tartil"

Surah al-Muzammil (1-4)

Selain itu Firman Allah SWT:

وَمِنَ ٱلَّيْلِ فَٱسْجُدْ لَهُۥ وَسَبِّحْهُ لَيْلًا طَوِيلًا

Maksudnya: Dan (dengan apa keadaan pun maka) pada sebahagian dari waktu malam sujudlah kepada Tuhan (dengan mengerjakan sembahyang), dan (seboleh-bolehnya) bertasbihlah memuji-Nya (dengan mengerjakan sembahyang Tahajjud), pada sebahagian yang panjang dari waktu malam.

Surah al-Insan (26)

Seterusnya di dalam hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda:

أَفْضَلُ الصِّيَامِ، بَعْدَ رَمَضَانَ، شَهْرُ اللهِ الْمُحَرَّمُ، وَأَفْضَلُ الصَّلَاةِ، بَعْدَ الْفَرِيضَةِ، صَلَاةُ اللَّيْلِ

Maksudnya: Sebaik-baik puasa setelah puasa Ramadan adalah puasa pada bulan Allah iaitu bulan Muharram, dan sebaik-baik solat setelah solat fardu adalah solat pada waktu malam.

Riwayat Muslim

Hadis di atas menjelaskan bahawa solat pada waktu malam yang merupakan sebahagian daripada qiamullail itu didahulukan selepas solat fardu.  Sebahagian ulama seperti al-Nawawi menyatakan bahawa solat pada waktu malam itu lebih baik daripada solat rawatib.[2]

          Secara asas, solat tarawih merupakan qiamullail di dalam bulan Ramadan dan dinamakan ‘membangunkan malam’ atau qiamulllail. Oleh itu setiap amalan yang dilakukan pada setiap malam bulan Ramadan khususnya solat sunat tarawih dianggap sebagai menghidupkan malam-malam dibulan Ramadan. Ini dijelaskan di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda:

مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Maksudnya: Sesiapa yang membangunkan bulan Ramadan (menghidupkan) dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran serta keampunan, akan diampunkan buatnya dosa-dosa yang terdahulu.

Riwayat Muslim

Al-Nawawi menjelaskan yang dimaksudkan dengan membangunkan atau menghidupkan bulan Ramadan adalah solat tarawih. Para ulama bersepakat bahawa ianya adalah sunat namun mereka berselisih mengenai kedudukan yang lebih baik untuk dilakukan sama ada di rumah atau di masjid. Imam al-Syafi’, Abu Hanifah, Imam Ahmad dan sebahagian ulama bermazhab maliki mengatakan bahawa sunat untuk dilakukan secara berjemaah di masjid.[3]

Waktu bermula untuk mendirikan solat sunat tarawih sama seperti solat sunat witir iaitu didirikan bermula selepas waktu isyak dan sehingga sebelum terbit fajar.[4] Adapun menunaikan solat tarawih pada 1/3 malam atau pertengahan malam selepas tidur terdapat beberapa pandangan di dalam mazhab Syafii. Pandangan pertama  menyatakan adalah lebih afdal menunaikan solat sunat tarawih pada awal waktunya daripada  menunaikannya selepas daripada tidur.[5]

          Manakala pandangan seterusnya menurut al-Dimyati di dalam I’anah al-Talibin menukilkan daripada kitab Busyra al-Karim bahawa tidak afdal menunaikan solat tarawih pada awal waktu kerana dianggap sebagai suatu bidaah bagi orang pemalas.

Adapun bagi keadaan yang tidur terlebih dahulu sebelum menunaikan solat tarawih disebut di dalam sahih bukhari dan Umar RA berkata:

نِعْمَ الْبِدْعَةُ هَذِهِ، وَالَّتِي يَنَامُونَ عَنْهَا أَفْضَلُ مِنَ الَّتِي يَقُومُونَ‏.‏ يُرِيدُ آخِرَ اللَّيْلِ، وَكَانَ النَّاسُ يَقُومُونَ أَوَّلَهُ‏.‏

Maksudnya: Ini merupakan sebaik-baik bid’ah. mereka yang tidur daripada mendirikan solat sunat tarawih adalah lebih baik. Umar bermaksud iaitu mendirikannya pada akhir malam. (Pada Ketika itu) kebiasaannya mereka melakukan solat di awal waktu.[6]

Ulama menjelaskan hadis yang menyatakan perkataan Umar RA tersebut adalah orang yang menunaikan solat tarawih pada akhir malam lebih baik daripada awal waktu bagi mereka yang tidur terlebih dahulu.[7] Namun di dalam kitab syarah hadis yang lain menambah bahawa perbuatan tersebut tidak menafikan kelebihan atau fadilat solat tarawih berjemaah pada awal waktu.[8]

Kesimpulan

Diharuskan untuk menunaikan solat tarawih pada 1/3 malam atau akhir malam pada bulan Ramadan. Bukan itu sahaja, sesetengah ulama berpandangan bahawa ia adalah sesuatu yang afdal untuk dilakukan. Solat tarawih yang dilakukan tidak kira pada awal waktu mahupun akhir malam dianggap membangunkan malam-malam pada malam bulan Ramadan atau disebut sebagai Qiamullail.

Adapun perbuatan menunaikan solat tarawih selepas tidur para ulama tidak membahaskan secara terperinci namun perbuatan tersebut merupakan suatu perkara yang dibolehkan dan lebih baik melakukannya daripada kenyataan Umar RA di dalam hadis sahih bukhari.

Wallahu’alam

 

[1] Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka

[2] Al-Suyuti, al-Dibaj ‘ala Sahih Muslim, Saudiyyah: Dar Ibn ‘Affan Li Nasyr Wa al-Tauzi’, Jld.3, Hlm.252

وَأفضل الصَّلَاة بعد الْفَرِيضَة صَلَاة اللَّيْل اسْتدلَّ بِهِ لقَوْل بعض أَصْحَابنَا أَن صَلَاة اللَّيْل أفضل من الرَّوَاتِب وَإِن كَانَ أَكْثَرهم على خِلَافه قَالَ النَّوَوِيّ وَالْأول أقوى وأوفق للْحَدِيث

[3] Al-Nawawi, al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi, Jld.6, Hlm.39

وَالْمُرَادُ بِقِيَامِ رَمَضَانَ صَلَاةُ التَّرَاوِيحِ وَاتَّفَقَ الْعُلَمَاءُ عَلَى اسْتِحْبَابِهَا وَاخْتَلَفُوا فِي أَنَّ الْأَفْضَلَ صَلَاتُهَا مُنْفَرِدًا فِي بَيْتِهِ أَمْ فِي جَمَاعَةٍ فِي الْمَسْجِدِ فَقَالَ الشَّافِعِيُّ وَجُمْهُورُ أَصْحَابِهِ وَأَبُو حَنِيفَةَ وَأَحْمَدُ وَبَعْضُ الْمَالِكِيَّةِ وَغَيْرُهُمْ الْأَفْضَلُ صَلَاتُهَا جَمَاعَةً كَمَا فَعَلَهُ عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ وَالصَّحَابَةُ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ وَاسْتَمَرَّ عَمَلُ الْمُسْلِمِينَ عَلَيْهِ لِأَنَّهُ مِنَ الشَّعَائِرِ الظَّاهِرَةِ فَأَشْبَهَ صَلَاةَ الْعِيدِ وَقَالَ مَالِكٌ وَأَبُو يُوسُفَ وَبَعْضُ الشَّافِعِيَّةِ وَغَيْرُهُمْ الْأَفْضَلُ فُرَادَى فِي الْبَيْتِ لِقَوْلِهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَفْضَلُ

[4] Zakaria al-Ansori, Asna al-Matolib, Dar al-Kutub al-Islami, Jld.1, Hlm.203

(فَرْعٌ وَوَقْتُ الْوِتْرِ، وَالتَّرَاوِيحِ مِنْ بَعْدِ أَنْ يُصَلِّيَ الْعِشَاءَ) وَإِنْ جَمَعَهَا تَقْدِيمًا (إلَى الْفَجْرِ الثَّانِي)

[5] Al-Malibari, Fath al-Mu’in, Beirut: Dar Ibn Hazm, Jld.1, Hlm.168

وينوي بها التراويح أو قيام رمضان وفعلها أول الوقت أفضل من فعلها أثناءه بعد النوم خلافا لما وهمه الحليمي.

[6] Al-Bukhari, Sahih Bukhari, No. Hadis: 2010

[7] Al-‘Aini Badr al-Din, ‘Umdah al-Qari, Beirut: Dar Ihya al-Turath al-‘Arabiy, Jld.11, Hlm.126

قَوْله: (وَالَّتِي ينامون عَنْهَا) أَي: الْفرْقَة الَّتِي ينامون عَن صَلَاة التَّرَاوِيح أفضل من الْفرْقَة الَّتِي يقومُونَ. يُرِيد آخر اللَّيْل. وَفِيه تَصْرِيح أَن الصَّلَاة فِي آخر اللَّيْل أفضل من أَوله

[8] Ibrahim al-‘Iraqi, Torhu al-Tathrib, Beirut: Dar Ihya al-Turath al-‘Arabiy, Jld.3, Hlm.96

وَقَوْلُهُ وَاَلَّتِي يَنَامُونَ عَنْهَا أَفْضَلُ لَيْسَ فِيهِ تَرْجِيحُ الِانْفِرَادِ وَلَا تَرْجِيحُ فِعْلِهَا فِي الْبَيْتِ وَإِنَّمَا فِيهِ تَرْجِيحُ آخِرِ اللَّيْلِ عَلَى أَوَّلِهِ