Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA KHAS RAMADAN SIRI-198: HUKUM PESAKIT COVID-19 TIDAK BERPUASA KETIKA BULAN RAMADAN

 

HUKUM PESAKIT COVID 19 TIDAK BERPUASA KETIKA BULAN RAMADAN GAMBAR 1 .docx

Soalan

Assalamualaikum S.S Datuk, saya ingin bertanya adakah kita dibolehkan untuk tidak berpuasa jika kita disahkan positif Covid-19 dan mengalami demam?

Ringkasan Jawapan

Pesakit Covid-19 yang tidak bergejala dan tidak memerlukan ubat-ubatan maka dia tidak boleh untuk berbuka puasa. Adapun bagi mereka yang bergejala teruk atau bergejala ringan namun memerlukan ubatan untuk mengelakkan daripada penyakitnya manjadi semakin parah maka dia dibenarkan untuk tidak berpuasa. Untuk memastikan penyakit tersebut benar-benar boleh mendatangkan kemudaratan perlu disahkan oleh pegawai perubatan yang beragama Islam dan merupakan seorang yang dipecayai.

Huraian Jawapan

Allah SWT mewajibkan untuk setiap orang beriman berpuasa. Meskipun begitu Allah SWT memberikan pengecualiaan kepada beberapa golongan untuk tidak berpuasa. Firman Allah SWT:

فَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ

Maksudnya: “Sesiapa di antara kamu yang sakit atau dalam musafir (bolehlah dia berbuka puasa) kemudian wajiblah dia menggantikan puasanya sebanyak (hari yang dia tidak berpuasa) pada hari-hari yang lain.”

Surah al-Baqarah: 18

Jika seseorang mengalami sakit dia dibenarkan untuk tidak berpuasa berdasarkan nas al-Quran di atas dan ijmak para ulama. Namun para ulama berbeza pandangan mengenai penyakit yang membenarkan seseorang itu untuk berbuka puasa. Imam Fakruddin al-Razi menyebutkan bahawa majoriti fuqaha berpandangan penyakit yang membenarkan seseorang untuk berbuka puasa ialah penyakit yang boleh memberi mudarat kepada diri atau menyebabkan penyakit yang dialami semakin teruk[1].  

Ini juga merupakan pandangan yang muktamad dalam mazhab Syafi’i. Perkara ini telah dinyatakan oleh Imam Khatib al-Syirbini:

(وَيُبَاحُ تَرْكُهُ) بِنِيَّةِ التَّرَخُّصِ (لِلْمَرِيضِ) بِالنَّصِّ وَالْإِجْمَاعِ (إذَا وَجَدَ بِهِ ضَرَرًا شَدِيدًا)

Maksudnya: “Diharuskan untuk tidak berpuasa dengan niat mengambil rukhsah(keringanan) bagi orang yang sakit berdasarkan nas dan ijmak(sepakat para ulama) apabila dia mendapati kemudaratan yang besar[2].”

Orang yang mengalami sakit yang ringan seperti pening atau sakit gigi maka dia tidak dibenarkan untuk berbuka puasa. Imam al-Ramli menukilkan bahawa di dalam kitab al-Anwar disebutkan:

وَلَا أَثَرَ لِلْمَرَضِ الْيَسِيرِ كَصُدَاعٍ وَوَجَعِ الْأُذُنِ وَالسِّنِّ إلَّا أَنْ يَخَافَ الزِّيَادَةَ بِالصَّوْمِ فَيُفْطِرَ

Maksudnya: “Tiada kesan (yang mengharuskan untuk berbuka) bagi penyakit yang ringan seperti pening kepala, sakit telinga atau gigi melainkan jika dia khuatir apabila dia meneruskan berpuasa penyakitnya akan bertambah buruk maka ketika itu dia dibolehkan untuk berbuka puasa.”

Namun begitu menurut Imam al-Nawawi tidak disyaratkan penyakit yang dialaminya itu mestilah sampai kepada tahap tidak mampu lansung untuk berpuasa. Memadai jika penyakitnya boleh menyebabkan dia menjadi amat sukar untuk meneruskan puasanya[3]. Syeikh al-Syabramallisi pula mensyaratkan bahawa penyakit tersebut mestilah disahkan oleh pakar perubatan yang beragama Islam dan merupakan seorang yang dipercayai. Jika penyakit tersebut tidak disahkan boleh membawa kepada kemudaratan maka dia tidak boleh untuk berbuka puasa[4]

Ulama mazhab Syafi’i menegaskan bahawa terdapat beberapa keadaan yang dialami oleh orang yang sakit ketika bulan Ramadan:

Pertama: dia mengalami sakit yang berpanjangan maka dia tidak perlu untuk melakukan niat pada malam hari.

Kedua: dia mengalami sakit hanya pada waktu-waktu tertentu maka jika dia mengalami demam pada waktu pagi dia tidak perlu berniat untuk berpuasa pada malam hari namun jika pada waktu pagi dia tidak mengalami demam maka dia perlu berniat pada waktu malam dan jika penyakitnya datang kembali maka dia boleh untuk berbuka puasa[5].

Mengenai pesakit Covid-19, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam Panduan Hukum Ujian Saringan dan Prosedur Rawatan Pesakit Covid-19 Pada Bulan Ramadan[6] membahagikan pesakit Covid-19 kepada dua bahagian:

  • Pesakit tahap 1: Tidak bergejala – dalam pemantauan dan tiada ubat-ubatan.
  • Pesakit tahap 2 hingaa 5: Bergejala dan memerlukan kepada ubat-uabatan.

Pesakit Covid-19 yang tidak bergejala dan tidak memerlukan ubat-ubatan maka dia tidak boleh untuk berbuka puasa. Adapun bagi mereka yang bergejala teruk atau bergejala ringan namun memerlukan ubatan untuk mengelakkan daripada penyakitnya manjadi semakin parah maka dia dibenarkan untuk tidak berpuasa. Untuk memastikan penyakit tersebut benar-benar boleh mendatangkan kemudaratan perlu disahkan oleh pegawai perubatan yang beragama Islam dan merupakan seorang yang dipecayai.

 

[1] Imam Fakhruddin al-Razi, Mafatih al-Ghaib, Beirut: Dar Ihya’ al-Thurast al-Arabi (1420H), jld. 5, hlm. 243.

وَثَالِثُهَا: وَهُوَ قَوْلُ أَكْثَرِ الْفُقَهَاءِ: أَنَّ الْمَرَضَ الْمُبِيحَ لِلْفِطْرِ هُوَ الَّذِي يُؤَدِّي إِلَى ضَرَرِ النَّفْسِ أَوْ زِيَادَةٍ فِي الْعِلَّةِ،

[2] Khatib al-Syirbini, Mughni al-Muhtaj, Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyah (1994), jld. 2,Hlm. 169.

[3] Imam al-Nawawi, al-Majmu’ Syarrh al-Muhazab, Beirut: Dar al-Fikr (t.t), jld. 6, Hlm. 258.

وَلَا يُشْتَرَطُ أَنْ يَنْتَهِيَ إلَى حَالَةٍ لَا يُمْكِنُهُ فِيهَا الصَّوْمُ بَلْ قَالَ أَصْحَابُنَا: شَرْطُ إبَاحَةِ الْفِطْرِ أَنْ يَلْحَقَهُ بِالصَّوْمِ مَشَقَّةٌ يُشَقُّ احْتِمَالُهَا

[4] Imam al-Ramli, Nihayah al-Muhtaj m’a Hasyiah al-Syabramallisi, Beirut:  Dar al-Kutub al-Ilmiah (2003), jld. 3, hlm. 185.

(قَوْلُهُ: وَيُبَاحُ تَرْكُهُ) وَيَنْبَغِي قِيَاسًا عَلَى مَا تَقَدَّمَ فِي التَّيَمُّمِ أَنَّهُ لَا يَجُوزُ لَهُ ذَلِكَ إلَّا بِإِخْبَارِ طَبِيبٍ عَدْلٍ مُسْلِمٍ وَإِلَّا فَلَا يُبَاحُ لَهُ التَّرْكُ،

[5] Imam Khatib al-Syirbini, Op.cit.

ثُمَّ إنْ كَانَ الْمَرَضُ مُطْبِقًا فَلَهُ تَرْكُ النِّيَّةِ بِاللَّيْلِ أَوْ مُتَقَطِّعًا كَأَنْ كَانَ يُحَمُّ وَقْتًا دُونَ وَقْتٍ نَظَرَ إنْ كَانَ مَحْمُومًا وَقْتَ الشُّرُوعِ جَازَ لَهُ تَرْكُ النِّيَّةِ، وَإِلَّا فَعَلَيْهِ أَنْ يَنْوِيَ، وَإِنْ عَادَ الْمَرَضُ وَاحْتَاجَ إلَى الْإِفْطَارِ أَفْطَرَ،

[6] Rujuk: http://mycare.islam.gov.my/images/documents/PANDUAN_HUKUM_UJIAN_SARINGAN_DAN_PROSEDUR_RAWATAN_COVID19.pdf