Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA EDISI KHAS RAMADAN SIRI KE-200: KEPERCAYAAN MALAM 7 LIKUR KETIKA RAMADAN

Screenshot 2022 04 28 at 2.41.32 PM

Soalan

Assalamualaikum wrt. wbt. Selalu orang-orang tua mengatakan malam 7 likur kita kena pasang pelita, bagi makanan kepada saudara-mara dan jiran-jiran, sebagai simbol hendak sambut malam lailatulqadar pada 10 malam terakhir Ramadan.  Bahkan terdapat   masyarakat kita akan mula memasang pelita pada malam terakhir Ramadan atau malam raya dengan beberapa kepercayaan seperti memudahkan malaikat nampak  jalan ke rumah atau memudahkan roh si mati pulang ke rumah. Apakah hukum kita mengamalkan kepercayaan malam 7 likur ini? Mohon pencerahan Mufti.

 

Ringkasan Jawapan

Mengamalkan malam 7 likur dengan cara memasang pelita untuk kemeriahan, memberi makan kepada jiran tetangga adalah diharuskan menurut Islam. Namun ia dilarang dan diharamkan  apabila amalan tersebut dilakukan berasaskan iktikad tertentu atau kepercayaan ghaib, seperti memasang pelita untuk memudahkan malaikat masuk ke dalam rumah atau menyambut roh orang yang telah mati. Wallahua’lam.

 

Huraian

Alhamdulilah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, keluarga Baginda, para sahabat, serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga hari akhirat.

Malam 7 likur merupakan adat kepercayaan masyarakat melayu pada 10 malam terakhir Ramadan, dan lebih spesifiknya ketika malam ke 27. Pada malam 7 likur ini, masyarakat melayu secara tradisinya memeriahkan persiapan raya dengan menyalakan pelita di sepanjang jalan perumahan, menyerikan kemeriahan dengan aktiviti sesama jiran seperti mengacau dodol, membuat wajik, bermain bunga api dan mercun dan sebagainya. Ada yang mengatakan juga bahawa pemasangan pelita memudahkan orang setempat untuk pulang ke rumah masing-masing setelah beribadah, kerana ramai yang pulang lewat dari masjid pada 10 malam terakhir Ramadan untuk meluangkan lebih banyak masa beribadat di rumah Allah.[1]

Keistimewaan yang terdapat pada 10 malam terakhir ini kerana adanya malam yang disebut sebagai lailatul qadr, seperti yang disebutkan melalui firman Allah SWT:

إِنَّا أَنزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ (١) وَمَا أَدْرَاكَ مَا لَيْلَةُ الْقَدْرِ (٢) لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِّنْ أَلْفِ شَهْ (٣)

تَنَزَّلُ الْمَلَائِكَةُ وَالرُّوحُ فِيهَا بِإِذْنِ رَبِّهِم مِّن كُلِّ أَمْرٍ (٤) سَلَامٌ هِيَ حَتَّىٰ مَطْلَعِ الْفَجْرِ (٥) 

Maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar (1) Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? (2) Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. (3) Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut; (4) Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar! (5)

 Surah al-Qadr (1-5)

 

Imam al-Qurtubi menjelaskan dalam tafsirnya bahawa lailatulqadar mempunyai kelebihan dan kemuliaan yang tinggi. Sesuatu masa itu dikatakan mulia apabila banyak manfaat yang diberikan dalam tempoh waktu yang singkat, dan begitulah lailatulqadar di mana kebaikan dan manfaat pahala padanya terlalu banyak dan tidak dapat dijumpai semisalnya yang bersamaan dengan kebaikan seribu malam.[2]

[Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran: 20/131]

 

Sheikh Wahbah al-Zuhaili di dalam tafsirnya mengatakan bahawa malam lalilatulqadar ini merupakan malam yang aman dan tenang, penuh kebaikan dan keberkatan daripada Allah SWT. Pada malam itu juga Allah SWT tidak menurunkan apa-apa melainkan jaminan keselamatan serta keharmonian. Malam lailatulqadar juga merupakan malam di mana syaitan tidak mampu berbuat apa-apa untuk menggoda lelaki dan perempuan yang beriman, bahkan tidak mampu juga untuk melakukan kerosakan dan kejahatan. Ia adalah malam yang paling mulia yang mana tidak ada padanya keburukan, sehinggalah tiba keesokan paginya. Secara kesimpulan, malam lailatulqadar merupakan malam yang mempunyai kebaikan, keberkatan, menjemput rezeki, dan manfaat kerohanian mahupun keduniaan.[3]

[Lihat Tafsir al-Munir: 30/336]

 

Berdasarkan penjelasan tafsir di atas, kita dapat memastikan bahawa malam lailatulqadar adalah sangat mulia dan penuh keberkatan. Apatah lagi jika dihidupkan dengan amalan ibadah, tolong menolong sesama jiran, mengeratkan silaturahim sesama saudara dan lain-lain. 

Malam 7 likur juga kebiasaannya mula dihidupkan secara meriah menjelang tanggal 27 Ramadan. Ini kerana banyaknya  dalil menunjukkan bahawa lailatulqadar jatuh pada malam tersebut. Imam Ahmad meriwayatkan sebuah hadis daripada Ibn Umar RA:

مَنْ كَانَ مُتَحَرِّيَهَا، فَلْيَتَحَرَّهَا فِي لَيْلَةِ سَبْعٍ وَعِشْرِينَ، وَقَالَ: "تَحَرَّوْهَا لَيْلَةَ سَبْعٍ وَعِشْرِينَ" يَعْنِي لَيْلَةَ الْقَدْر

Maksudnya: “Sesiapa yang mencarinya (lailatulqadar), maka carilah ia pada malam ke-27”, dan Nabi SAW berkata lagi: “Carilah malam lailatul qadar pada malam ke-27”

Riwayat Ahmad (4808)

Dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh Ubai bin Kaab, Nabi SAW bersabda:

إِنَّهَا لَفِي رَمَضَانَ - يَحْلِفُ مَا يَسْتَثْنِي - وَوَاللَّهِ إِنِّي لأَعْلَمُ أَىُّ لَيْلَةٍ هِيَ، هِيَ اللَّيْلَةُ الَّتِي أَمَرَنَا بِهَا رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم بِقِيَامِهَا هِيَ لَيْلَةُ صَبِيحَةِ سَبْعٍ وَعِشْرِينَ وَأَمَارَتُهَا أَنْ 

تَطْلُعَ الشَّمْسُ فِي صَبِيحَةِ يَوْمِهَا بَيْضَاءَ لاَ شُعَاعَ لَهَا‏.‏

Maksudnya: “Sesungguhnya ia (Lailatul qadar) pada bulan ramadan, dan demi Allah aku tahu pada bilakah malam itu akan muncul. Ia adalah malam di mana Rasulullah SAW mengingatkan kita agar membangunkannya (dengan ibadah), ia adalah malam yang mendatangi siang ke-27 dalam bulan ramadan, dan tandanya adalah matahari terbit keputih-putihan pada waktu pagi tersebut tanpa sinaran cahaya.”

Riwayat Muslim (672)

 

Manakala dalam satu lagi hadis yang diriwayatkan oleh Zirr bin Hubaish ketika perbualan bersama Ubai bin Kaab, ada disebutkan berkenaan tanda-tanda lailatulqadar pada 27  Ramadan:

وَاللَّهِ إِنَّهَا لَفِي رَمَضَانَ لَيْلَةُ سَبْعٍ وَعِشْرِينَ لاَ يَسْتَثْنِي‏.‏ قُلْتُ يَا أَبَا الْمُنْذِرِ أَنَّى عَلِمْتَ ذَلِكَ قَالَ بِالآيَةِ الَّتِي أَخْبَرَنَا رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم‏.‏ قُلْتُ لِزِرٍّ مَا الآيَةُ قَالَ تُصْبِحُ الشَّمْسُ صَبِيحَةَ تِلْكَ اللَّيْلَةِ مِثْلَ الطَّسْتِ لَيْسَ لَهَا شُعَاعٌ حَتَّى تَرْتَفِعَ

Maksudnya: “Demi Allah sesungguhnya ia (Lailatul Qadar) pada malam Ramadan yang ke-27 tanpa tertinggal sekalipun. Aku berkata: “Bagaimanakah engkau tahu mengenainya wahai Abu Munzir?”, dia berkata: “Dengan tanda-tanda yang telah dikhabarkan oleh Rasul SAW”. Aku bertanya kepada Zirr: “Apakah tanda-tandanya?”, dia membalas: Matahari terbit pada keesokan paginya seperti bekas bejana yang tidak bersinar sehinggalah ia (matahari) tegak memancar”

Riwayat Abu Daud (1378)

 

Memasang Pelita Pada Malam 7 Likur

Memasang pelita menjadi amalan tradisi masyarakat melayu sejak berzaman apabila menjelang 10 Ramadan terakhir atau Malam 7 Likur.  Namun, tidak dinafikan ada terdapat segelintir kepercayaan berkaitan tujuan pelita dipasang agar malaikat nampak  jalan ke rumah atau memudahkan roh si mati pulang ke rumah. Walau bagaimanapun kesemua kisah dan kepercayaan  karut ini adalah rekaan serta tiada asas dalil.

Justeru, masyarakat yang ingin memasang pelita mestilah menetapkan tujuan pelita dipasang seperti bertujuan untuk memeriahkan suasana  10 malam terakhir  bagi menyambut hari raya dan sebagainya. Ini kerana setiap perkara akan dinilai berdasarkan tujuan perbuatannya berasaskan kaedah tersebut:

الأَمُوْرُ بِمَقَاصِدِهَا

Maksudnya: “Setiap perkara itu dinilai berdasarkan tujuan-tujuannya”.

(Lihat Ashbah wa Nazhair , Imam Suyuthi 1/8)

 

Bahkan, tiada nas larangan dalam perbuatan memasang pelita. Hal ini bertepatan kaedah  berikut :

الأَصْلُ فِي الأَشْيَاءِ الإباحَة حَتَّى يَدُل الدَّلِيل عَلَى التَّحْرِيمِ

Maksudnya: Asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).

(Lihat: al-Asybah wa al-Nazair , Imam Suyuthi .60)

 

 

Tuntutan Menghidupkan 10 Malam Terakhir Ramadan

Umat Islam pada masa yang sama digalakkan mencari malam lailatulqadar pada 10 malam terakhir pada bulan Ramadan. Umar R.Anhuma meriwayatkan  bahwa Rasulullah  SAW bersabda : 

فَمَنْ كَانَ مُتَحَرِّيهَا فَلْيَتَحَرَّهَا مِنْ الْعَشْرِ الْأَوَاخِرِ

Maksudnya :  “Maka, barang siapa yang ingin mendapatkan lailatulqadar, maka carilah pada sepuluh malam terakhir.”

 Riwayat Bukhari (1158)

Aisyah R.Anha meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda : 

تَحَرَّوْا لَيْلَةَ الْقَدْرِ فِي الْوِتْرِ مِنْ الْعَشْرِ الْأَوَاخِرِ مِنْ رَمَضَانَ

Maksudnya “Carilah kamu lailatulqadar pada malam ganjil dari sepuluh malam terakhir Ramadan.”

Riwayat Bukhari (2017)

Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda :

مَنْ قَامَ لَيْلَةَ الْقَدْرِ إيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Maksudnya “Sesiapa yang menghidupkan malam lailatulqadar dengan penuh keimanan dan mengharapkan (pahala), diampuni dosa-dosanya yang terdahulu.

Riwayat al-Bukhari (1901)

 

Kesimpulan

Berdasarkan perbahasan yang dikemukakan, jelas menunujukkan  bahawa amalan Malam 7 Likur seperti menghidupkan dan meningkatkan amal ibadah, memasang pelita dan bergotong-royong sesama jiran membuat persiapan raya adalah dibolehkan selagi ianya diadakan dalam kerangka memeriahkan 10 malam terakhir atau menyambut ketibaan Aidilfitri serta tidak diasaskan atas kepercayaan-kepercayaan karut yang lain. 

 

[1] Nurul Husna Mahmud, Sambut Malam Tujuh Likur, Harian Metro, 2 Jun 2019, 

https://www.hmetro.com.my/rencana/2019/06/461776/sambut-malam-tujuh-likur

[2] Al-Qurtubi, Tafsir al-Jami’ li Ahkam al-Quran li Qurtubi, 1964, Cet. Darul Kutub Misriyyah – Kaherah,

وقد تقدم ((ليلة القدر خير من ألف شهر)) بيّن فضلها وعظمها. وفضيلة الزّمان إنما تكون بكثرة ما يقع فيه من الفضائل. وفي تلك الليلة يقسم الخير الكثير الذي لا يوجد مثله في ألف شهر. والله أعلم..

[3] Wahbah al-Zuhaili, Tafsir al-Munir fil Aqidah wa al-Syariah wa al-Manhaj, 1991, Cet. Darul Fikr Damsyiq, Darul Fikr Maasir Beirut, 

تلك الليلة ليلة أمن وسلام، وخير وبركة من الله تعالى، فلا يقدّره الله في تلك الليلة إلا السلامة، وفي سائر الليالي يقضي بالبلايا والسلامة، وهي ليلة ذات سلامة من أن يؤثر فيها شيطان في مؤمن ومؤمنة. وليلة سالمة لا يستطيع الشيطان أن يعمل فيها سواد ولا أذى. وهي خير كلها ليس فيها شر إلى مطلع الفجر. والخلاصة: اشتملت هذه الليلة على الخيرات والبركات والتقدير الأرزاق> والمنافع الدينية والدنيوية.