Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA KHAS RAMADAN SIRI KE-204: PETANDA LAILATULQADAR SERTA DOANYA

 

IFR204

 

SOALAN

Assalamualaikum, Datuk Mufti, saya ada persoalan yang ingin diajukan kepada pihak Datuk mengenai Lailatulqadar.  Apakah tanda-tanda Lailatulqadar? Dan apakah doa yang dianjurkan untuk dibaca pada malam tersebut?

Sekian terima kasih.

 

RINGKASAN JAWAPAN

Terdapat beberapa tanda yang menunjukkan kepada kejadian Lailatulqadar. Tanda-tanda ini boleh diketahui oleh sebahagian hamba Allah SWT yang terpilih dengan keizinan-Nya. Tanda-tanda Lailatulqadar antaranya ialah ia berlaku pada 10 malam terakhir yang ganjil di bulan Ramadan, malam yang tenang dan nyaman tidak terlalu panas pada keesokkannya. Selain itu, tanda-tandanya ialah matahari yang terbit pada keesokkannya tidak terlalu terik dan panas serta air masin (laut) menjadi tawar. Kita juga disunatkan untuk membaca doa ‌اللَّهُمَّ ‌إِنَّكَ ‌عَفُوٌّ ‌تُحِبُّ ‌الْعَفْوَ ‌فَاعْفُ ‌عَنِّي  pada malam tersebut di samping membaca doa serta zikir yang lain.

 

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Ramadan merupakan bulan yang mulia. Ia merupakan bulan yang mempunyai banyak keistimewaan serta kelebihan daripada bulan-bulan Islam yang lain. Salah satunya adalah Allah SWT menganugerahkan satu malam yang lebih baik daripada kebaikan seribu bulan. Malam yang dimaksudkan itu adalah Lailatulqadar. Ia berlaku pada sepuluh malam terakhir di bulan Ramadan. Namun apakah tanda-tanda Lailatulqadar serta apakah amalan yang boleh dilakukan pada malam tersebut?.

Menurut sebahagian para ulama telah menyebut berkenaan sebahagian tanda Lailatulqadar yang mungkin dapat dilihat oleh sebahagian hamba Allah SWT pada setiap tahun dalam bulan Ramadan. Ini kerana banyak hadis dan pengkhabaran orang soleh serta riwayat mereka yang telah membincangkan tanda-tanda tersebut, antaranya:

  • Berlaku pada malam sepuluh terakhir dalam bulan Ramadan

Hal ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah R.Anha:

تَحَرَّوْا لَيْلَةَ الْقَدْرِ فِي الْوِتْرِ مِنَ الَعَشْرِ الأوَاخِرِ مِنْ رَمَضانَ

Bermaksud: Berusahalah mencari Lailatulqadar pada malam terakhir yang ganjil di bulan Ramadan.

Riwayat al-Bukhari (2017)

Selain itu, terdapat hadis yang diriwayatkan oleh Muawiyah RA:

‌التمسوا ‌ليلة ‌القدر ‌آخر ‌ليلة ‌من ‌رمضان

Bermaksud: Carilah malam Qadar pada akhir malam Ramadan.

Riwayat al-Nasr (1238)

  • Berlaku pada malam yang ganjil dalam bulan Ramadan

Hal ini berdasarkan riwayat yang dinukilkan oleh Imam al-Baihaqi daripada Ibnu Abbas bahawa Rasulullah SAW bersabda:

التَمِسوها ‌في ‌العَشرِ ‌الأواخِرِ ‌وِترًا

Bermaksud: Carilah malam al-Qadar pada sepuluh malam terakhir yang ganjil.

Al-Sunan al-Kubra (8559)

  • Malam tersebut tenang dan terang serta tidak panas pada keesokkan paginya.

Hal ini menurut riwayat daripada Ubadah bin al-Somit R.A berkata secara marfu’:

"أَنَّهَا صَافِيَة بلجة كَأَن فِيهَا قمرا ساطعا، سَاكِنة ضاحية لَا حر فِيهَا وَلَا برد، وَلَا يحل لكوكب يَرْمِي بِهِ فِيهَا، وَأَن من أمارتها أَن الشَّمْس فِي صبيحتها تخرج مستوية لَيْسَ لَهَا شُعَاع، مثل الْقَمَر لَيْلَة الْبَدْر، لَا يحل للشَّيْطَان أَن يخرج مَعهَا يَوْمئِذٍ".

Bermaksud: “Sesungguhnya malam tersebut bersih terang, seolah-olah bulan yang menerangi tenang, nyaman tidak terlalu sejuk pada malam tersebut dan tidak terlalu panas dan tiada tempat bagi bintang untuk dilihat dengannya hingga ke waktu pagi. Antara tanda-tandanya adalah matahari pada waktu paginya keluar dalam keadaan tidak bercahaya dengan kepanasan seperti bulan penuh purnama dan syaitan tidak ada tempat untuk keluar bersamanya pada hari tersebut.

(Rujuk: Umdah al-Qari, 11/134)

  • Matahari terbit tidak terang dan tidak panas

Daripada Ubay bin Kaab R.A menyatakan daripada Nabi SAW, sabdanya:

أَن الشَّمْس تطلع فِي صبيحتها لَا شُعَاع لَهَا

Bermaksud: “Sesungguhnya matahari terbit pada hari tersebut tidak mempunyai cahaya dan kepanasan.”

Sementara itu, menurut riwayat daripada Ibn Mas’ud berkata: “Sesungguhnya matahari keluar setiap hari antara dua tanduk syaitan, kecuali pagi malam qadar.”

(Rujuk: Umdah al-Qari, 11/134)

  • Air masin (laut) bertukar menjadi tawar

Imam Ibnu Hajar menukilkan riwayat al-Baihaqi daripada Abdah bin Abi Lubabah:

إِن الْمِيَاه المالحة تعذب تِلْكَ اللَّيْلَة

Bermaksud: Sesungguhnya air masin (laut) menjadi tawar pada malam itu.

(Rujuk: Fathu al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, 260/4)

Selain itu, menurut riwayat daripada Imam al-Baihaqi menyatakan bahawa:

عَنِ الْأَوْزَاعِيِّ، عَنْ عَبْدَةَ بْنِ أَبِي لُبَابَةَ، قَالَ: ‌ذُقْتُ مَاءَ الْبَحْرِ لَيْلَةَ سَبْعٍ وَعِشْرِينَ مِنْ رَمَضَانَ، فَإِذَا هُوَ عَذْبٌ

Bermaksud: Aku telah merasa air laut pada malam ke 27 Ramadan maka rasanya tawar.

(Rujuk: Fadail al-Awqat, 247)

 

Doa ketika berjumpa Lailatulqadar

Terdapat hadis yang menceritakan tentang doa yang dianjurkan untuk dibaca pada Lailatulqadar seperti yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah R.Anha:

عَنْ عَائِشَةَ، أَنَّهَا قَالَتْ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، أَرَأَيْتَ إِنْ وَافَقْتُ لَيْلَةَ الْقَدْرِ مَا أَدْعُو؟ قَالَ: تَقُولِينَ: ‌اللَّهُمَّ ‌إِنَّكَ ‌عَفُوٌّ ‌تُحِبُّ ‌الْعَفْوَ ‌فَاعْفُ ‌عَنِّي

Maksudnya: Aisyah RA meriwayatkan, beliau bertanya Nabi SAW: “Wahai Nabi Allah, jika aku bertemu dengan malam al-Qadar maka apa yang sepatutnya aku ucapkan. Nabi SAW bersabda: “Ya Allah Ya Tuhan Kami, sesungguhnya Kamu Maha Pengampun dan amat suka akan keampunan, maka berikanlah keampunan kepadaku”

Riwayat Ibn Majah (3850)

Imam al-Nawawi menukilkan pendapat para ulama kami(mazhab Syafi’i) mengatakan bahawa sunat memperbanyakkan membaca doa ini pada Lailatulqadar. Begitu juga, disunatkan membaca al-Qur’an, zikir-zikir dan doa-doa yang disunatkan pada tempat-tempat yang mulia. 

(Rujuk: Al-Azkar, 317)

 

KESIMPULAN

Berdasarkan perbahasan dan perbincangan ulama di atas, maka dapat disimpulkan bahawa terdapat beberapa tanda yang menunjukkan kepada kejadian Lailatulqadar. Tanda-tanda ini boleh diketahui oleh sebahagian hamba Allah SWT yang terpilih dengan keizinan-Nya. Tanda-tanda Lailatulqadar antaranya ialah ia berlaku pada 10 malam terakhir yang ganjil di bulan Ramadan, malam yang tenang dan nyaman tidak terlalu panas pada keesokkannya. Selain itu, tanda-tandanya ialah matahari yang terbit pada keesokkannya tidak terlalu terik dan panas serta air masin (laut) menjadi tawar. Kita juga disunatkan untuk membaca doa ‌اللَّهُمَّ ‌إِنَّكَ ‌عَفُوٌّ ‌تُحِبُّ ‌الْعَفْوَ ‌فَاعْفُ ‌عَنِّي  pada malam tersebut disamping membaca doa serta zikir yang lain. Oleh itu, kita sebagai Muslim digalakkan untuk mencari Lailatulqadar pada 10 malam terakhir pada bulan Ramadan agar beroleh kebaikan dan ganjaran yang lebih baik daripada ibadah 1000 bulan seperti yang telah dijanjikan oleh Allah SWT. Allah SWT berfirman:

لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ

Bermaksud:  Lailatul Qadr itu lebih baik daripada seribu bulan.”

Surah Al-Qadr (3)