Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM KHAS RAMADAN SIRI KE-205: HUKUM WANITA BERIKTIKAF DI MASJID

IFR205

 

SOALAN

Assalamualaikum, Datuk Mufti, saya ada persoalan yang ingin diajukan kepada pihak Datuk mengenai iktikaf.  Adakah wanita dibenarkan beriktikaf di masjid?

Sekian terima kasih.

 

RINGKASAN JAWAPAN

Wanita dibenarkan melakukan ibadah iktikaf di masjid meskipun terdapat pendapat yang menyatakan makruh bagi wanita yang mempunyai rupa paras yang cantik. Namun begitu, wanita tersebut perlu memastikan bahawa keadaan selamat daripada berlaku fitnah ketika hendak beriktikaf. Selain itu, wanita tersebut perlu berada dalam keadaan suci daripada hadas besar(haid, nifas dan junub). Hal ini kerana wanita yang ditimpa haid dan nifas diharamkan menetap di dalam masjid. Selain itu juga, wanita tersebut perlu mendapatkan izin daripada suaminya. Jika wanita tersebut beriktikaf tanpa keizinan daripada suaminya maka ia dikira sebagai perbuatan haram.

 

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Iktikaf merupakan antara amalan ibadah yang yang disunatkan terutamanya apabila menjelang bulan Ramadan. Iktikaf bermaksud menetap di dalam masjid dengan tujuan qurbah (mendekatkan diri kepada Allah) yang dilakukan oleh seorang Muslim, mumayyiz, berakal, suci tubuh badan daripada junub, haid, serta nifas, dan dia menghalang dirinya daripada sebarang syahwat kemaluan.[1]

(Rujuk: Nihayah al-Muhtaj, 3/213)

Setiap amal ibadah perlu disandarkan dengan rukun untuk memastikan ibadah itu sah di sisi syarat. Para ulama telah menjelaskan bahawa rukun iktikaf ialah masjid, menetap, niat dan muktakif (orang yang beriktikaf).

(Rujuk: Nihayah al-Muhtaj, 3/215)

Berbalik kepada soalan, perbahasan hukum wanita beriktikaf di masjid dinyatakan dalam penerangan syarat-syarat muktakif (orang yang beriktikaf). Para wanita dibenarkan untuk beriktikaf di masjid. Hal ini berdasarkan hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Ummul Mukminin A’isyah R.Anha:

كَانَ يَعْتَكِفُ الْعَشْرَ الأَوَاخِرَ مِنْ رَمَضَانَ حَتَّى تَوَفَّاهُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ ثُمَّ اعْتَكَفَ أَزْوَاجُهُ مِنْ بَعْدِهِ

Maksudnya: Baginda SAW beriktikaf pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan sehinggalah baginda wafat. Kemudian para isteri Baginda SAW turut beriktikaf selepas kewafatan baginda.

Riwayat Muslim (1172)

Menurut Syeikh Abdul Aziz al-Rajihi menyatakan bahawa hadis ini merupakan dalil dalil yang menunjukkan bahawa golongan wanita disyariatkan untuk beriktikaf. Hal ini seperti wanita tersebut beriktikaf bersama suaminya atau bersama mahramnya dan ada ruang yang tersembunyi untuk mereka di dalam masjid atau bilik. Jika wanita khuatir bakal berlakunya fitnah jika dia keluar beriktikaf, maka dia tidak dibenarkan untuk beriktikaf di masjid.[2]

(Rujuk: Taufiq al-Rabb al-Mun’im bi Syarh Sahih Muslim, 3/367)

Selain itu, Imam Ibnu Hajar al-Haitami menyatakan kanak-kanak yang sudah mumayyiz, hamba sahaya dan wanita juga boleh beriktikaf:

‌وَيَصِحُّ ‌مِنْ ‌الْمُمَيَّزِ ‌وَالْعَبْدِ ‌وَالْمَرْأَةِ وَإِنْ كُرِهَ لِذَوَاتِ الْهَيْئَةِ

Bermaksud: Sah iktikaf bagi kanak-kanak mumaiyiz, hamba sahaya dan wanita meskipun makruh disebabkan mempunyai rupa paras yang cantik. 

(Rujuk: Tuhfah al-Muhtaj, 3/474)

Namun begitu, Imam Ibnu Hajar al-Haitami menjelaskan bahawa terdapat beberapa perkara yang perlu dipenuhi oleh wanita tersebut. Antaranya wanita itu wajib berada dalam keadaan suci daripada haid dan nifas. Hal ini kerana wanita yang sedang haid atau nifas haram untuk menetap dalam masjid.[3]

(Rujuk: Tuhfah al-Muhtaj, 3/474)

Selain itu, wanita tersebut perlu mendapatkan izin terlebih dahulu daripada suaminya untuk beriktikaf di masjid. Sekiranya dia keluar melakukan ibadah iktikaf di masjid tanpa keizinan suaminya maka haram ibadah iktikafnya itu. Hal ini berdasarkan kenyataan Syeikh Sulaiman al-Ujaili al-Azhari:

وَيَحْرُمُ) اعْتِكَافُ الْعَبْدِ، وَالْمَرْأَةِ (بِغَيْرِ إذْنِ السَّيِّدِ وَالزَّوْجِ))

Bermaksud: Haram iktikaf seorang hamba sahaya dan wanita yang dilakukan tanpa izin tuannya dan suaminya.

(Rujuk: Hasyiah al-Jamal ala Syarh al-Manhaj, 2/359)

 

KESIMPULAN

Wanita dibenarkan melakukan ibadah iktikaf di masjid meskipun terdapat pendapat yang menyatakan makruh bagi wanita yang mempunyai rupa paras yang cantik. Namun begitu, wanita tersebut perlu memastikan bahawa keadaan selamat daripada berlaku fitnah ketika hendak beriktikaf. Selain itu, wanita tersebut perlu berada dalam keadaan suci daripada hadas besar(haid, nifas dan junub). Hal ini kerana wanita yang ditimpa haid dan nifas diharamkan menetap di dalam masjid. Selain itu juga, wanita tersebut perlu mendapatkan izin daripada suaminya. Jika wanita tersebut beriktikaf tanpa keizinan daripada suaminya maka ia dikira sebagai perbuatan haram.

 [1] لُبْثٌ فِي مَسْجِدٍ بِقَصْدِ الْقُرْبَةِ مِنْ مُسْلِمٍ مُمَيِّزٍ عَاقِلٍ طَاهِرٍ عَنْ الْجَنَابَةِ وَالْحَيْضِ وَالنِّفَاسِ صَاحٍ كَافٍ نَفْسَهُ عَنْ شَهْوَةِ الْفَرْجِ مَعَ الذِّكْرِ وَالْعِلْمِ بِالتَّحْرِيمِ

 [2] في هذا الحديث: مشروعية اعتكاف المرأة في المسجد إذا أمنتِ الفتنة؛ بأن يكون معها زوجها، وبعض محارمها، ويكون لهم خباء في المسجد، أو غرفة، أما إذا خافتِ الفتنة فلا.

وَالنَّقَاءُ عَنْ الْحَيْضِ) وَالنِّفَاسِ (وَالْجَنَابَةِ) لِحُرْمَةِ الْمُكْثِ بِالْمَسْجِدِ) [3]