Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD FATWA EDISI KHAS RAMADHAN SIRI KE 222: STATUS PUASA WANITA YANG MERAGUI WAKTU KELUAR DARAH HAID

STATUS PUASA WANITA YANG MERAGUI WAKTU KELUAR DARAH HAID

 

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t. Saya ada satu persoalan, saya meyakini bahawa  haid pada bulan ini sepatutnya keluar pada jam 5 petang. Namun, darah tidak keluar pada waktu itu dan saya telah memeriksanya beberapa kali sebelum sampai waktu berbuka puasa. Ketika saya hendak menunaikan solat maghrib lalu mendapati terdapat darah yang keluar, maka saya meragui adakah darah tersebut keluar sebelum atau selepas berbuka puasa dan apakah status puasa pada hari tersebut. Mohon penjelasan SS Datuk Mufti.

Ringkasan Jawapan

Wanita berpuasa yang meragui sama ada darah yang dilihat ketika hendak menunaikan solat maghrib tersebut keluar sebelum maghrib atau selepas maghrib, dalam keadaan ia tidak boleh membuktikannya. Maka, hukumnya mestilah berpandukan andaian waktu yang paling hampir, iaitu darah tersebut dikira keluar selepas waktu maghrib. Puasanya pada siang hari berkenaan sah dan tidak wajib diqada.

Huraian Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Salah satu syarat sah puasa ialah suci daripada haid dan nifas iaitu wanita yang diwajibkan berpuasa adalah mereka yang berada dalam keadaan suci sepanjang tempoh siang harinya[1]. Allah SWT memerintahkan ke atas wanita haid untuk menahan diri mereka daripada melakukan ibadah - ibadah tertentu seperti puasa. Ini bersandarkan kepada hadis riwayat Abu Said RA, Nabi SAW bersabda[2]:

أَلَيْسَ إِذَا حَاضَتْ لَمْ تُصَلِّ وَلَمْ تَصُمْ، فَذَلِكَ نُقْصَانُ دينها

Maksudnya: “Bukankah seorang wanita apabila dia dalam keadaan haid, dia tidak boleh solat dan berpuasa? Maka yang demikian itu adalah kekurangan pada agamanya”.

(Riwayat al-Bukhari)

Berdasarkan hadis ini, para ulama telah bersepakat bahawa wanita yang dalam keadaan haid diharamkan solat dan berpuasa. Imam Nawawi dan Ibnu Munzir menyatakan solat yang ditinggalkan itu juga tidak wajib diganti semula berbeza dengan puasa yang wajib diganti selepas itu. Hal ini kerana solat merupakan ibadah yang dilakukan berulang kali dalam kuantiti yang banyak dan ia akan menyukarkan wanita untuk menggantinya semula. Berbeza halnya dengan puasa yang hanya dilakukan setahun sekali, berkemungkinan ada wanita yang hanya didatangi haid selama satu atau dua hari sahaja dalam sebulan[3].

Wanita yang pernah didatangi haid pada bulan sebelumnya, maka  dia perlu mengambil kira tempoh minimum suci untuk menetapkan haidnya pada bulan terkini. Tempoh minimum suci antara dua kali kitaran haid adalah sebanyak 15 hari kerana kebiasaannya seseorang wanita tidak akan sunyi daripada kedatangan haid dan suci dalam masa sebulan. Ini kerana jika tempoh maksimum haid adalah 15 hari, maka lazimlah juga tempoh minimum suci sebanyak 15 hari[4]. Bacaan lanjut berkenaan tempoh suci antara dua haid boleh dibaca pada pautan ini (AL-KAFI 1476: TEMPOH SUCI ANTARA DUA HAID).

https://muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/3881-al-kafi-1476-tempoh-suci-antara-dua-haid

Imam Nawawi ada menjelaskan mengenai waktu seseorang wanita itu boleh dihukumkan sebagai haid, iaitu apabila mereka berada dalam tempoh yang memungkinkan dirinya didatangi haid lalu keluar darah, maka ketika itu dihukumkan kepadanya dengan hukum-hukum wanita haid. Manakala, sekiranya wanita itu berada dalam tempoh yang memungkinkan dirinya suci, maka dihukumkan kepadanya dengan hukum-hukum wanita suci[5].

Contohnya, jika wanita tersebut adalah wanita mu’tadah (iaitu wanita yang pernah didatangi haid dan suci) maka dihukumkan darah itu sebagai haid sekiranya ia keluar setelah berlalu tempoh 15 hari suci ataupun lebih. Namun, jika darah keluar sebelum selesai tempoh 15 hari suci maka darah itu adalah darah istihadah[6].

Terdapat satu permasalahan dalam memahami bab ni. Sekiranya wanita itu telah memenuhi kedua-dua syarat tersebut di mana dirinya telah melepasi tempoh minimum suci dan dia juga telah berada di dalam tempoh yang memungkinkan dirinya didatangi haid. Namun, dia merasa ragu-ragu bilakah sebenarnya waktu bermula haid kerana tidak ada bukti yang  mensabitkannya.

Berdasarkan persoalan ini, Imam al-Suyuti ada menyebutkan satu kaedah fiqah iaitu[7]:

الْأَصْلُ فِي كُلِّ حَادِثٍ تَقْدِيرُهُ بِأَقْرَبِ زَمَنٍ

Maksudnya: “Hukum asal bagi setiap perkara adalah diandaikan dengan waktu yang paling hampir.”

 

Kaedah ini bermaksud sekiranya berlaku perselisihan pendapat dalam menentukan hukum bagi perkara yang sedang terjadi (dalam keadaan tiada bukti yang boleh menetapkan), maka ketika itu hukum tersebut perlu dinisbahkan kepada masa yang terdekat kerana pensabitannya lebih diyakini. Walau bagaimanapun, jika terdapat sesuatu yang boleh dibuktikan dan dinisbahkan dengan masa yang paling jauh, maka pada ketika itu hukum tersebut perlu bersandarkan kepada masa yang paling jauh[8].

Permasalahan yang hampir sama ada disebutkan dalam kitab al-Asybah wa al-Nazair bahawasanya seseorang yang melihat air mani pada pakaian selepas ia bangun daripada tidur dalam keadaan dia tidak mengingati sama ada air mani tersebut keluar disebabkan dia bermimpi ataupun tidak. Maka dia perlulah melaksanakan mandi wajib, mengulangi solatnya yang dilakukan sebelum tidur dan mengulangi puasanya jika dia berpuasa[9].Al-Dusuqi menyatakan jika seorang wanita melihat adanya darah haid pada pakaian namun tidak diketahui waktu bermula terjadinya haid tersebut, maka hukum wanita ini adalah seperti hukum orang yang melihat air mani selepas ia bangun daripada tidur[10].

KESIMPULAN

Merujuk kepada pertanyaan di atas, wanita ini jelas berada pada fasa yang memungkinkan dirinya didatangi haid kerana dia telah melepasi tempoh minimum suci 15 hari. Akan tetapi dia meragui akan darahnya yang dilihat ketika hendak menunaikan solat maghrib sama ada darah tersebut keluar sebelum maghrib atau selepas maghrib sedangkan dia tidak mempunyai bukti yang boleh mengesahkan keadaannya. Oleh yang demikian, penentuan hukum adalah berdasarkan andaian waktu yang paling hampir, iaitu darah itu dianggap keluar selepas waktu maghrib. Puasanya sepanjang siang  hari tersebut adalah sah dan puasa tersebut tidak wajib diqada.

Wallahu A'lam.

 

Rujukan:

[1] Hassan bin Ahmad bin Muhammad al-Kaff. Taqrirat al-Sadidah. (Tarim: al-Jumhuriyyah al-Yamaniyyah, 2003). Hlmn 438.

شروط صحة الصوم : النقاء من الحيض والنفاس, فيشترط أن تكون المرأة طاهرا جميع النهار

[2] Al-Bukhari, Abu Abdullah Muhammad bin Ismail. Sahih al-Bukhari. Ed: Mustafa Dib al-Bugha. (Damsyiq: Dar Ibnu Kathir, 1994). Jld 2. Hlmn 589. No hadis 1850.

[3] Al-Syaukani, Muhammad bin Ali bin Muhammad. Nail al-Awtar. (Mesir: Dar al-Hadis, 1994). Jld 1. hlmn 348.

والحديث يدل على عدم وجوب الصوم والصلاة على الحائض حال حيضها وهو إجماع . نقل ابن المنذر والنووي وغيرهما إجماع المسلمين على أنه لا يجب على الحائض قضاء الصلاة ويجب عليها قضاء الصيام . قال النووي في شرح مسلم: قال العلماء: والفرق بينهما: يعني الصوم والصلاة أن الصلاة كثيرة متكررة فيشق قضاؤها، بخلاف الصوم فإنه يجب في السنة مرة واحدة، وربما كان الحيض يوما أو يومين.

[4] Syamsuddin al-Ramli, Muhammad bin Abi al-Abbas Ahmad bin Hamzah Syihabuddin. Nihayah al- Muhtaj ila Syarh al-Minhaj. (Beirut: Dar al-Fikr, 1984). Jld 1. Hlmn 326.

(وأقل طهر بين الحيضتين) زمنا (خمسة عشر يوما) إذ الشهر لا يخلو غالبا عن حيض وطهر، فإذا كان أكثر الحيض خمسة عشر لزم أن يكون أقل الطهر كذلك

[5] Al-Nawawi, Abu Zakaria Muhyiddin Yahya bin Syarif. Raudah al-Tolibin. (Beirut: al-Maktab al-Islami, 1991).  Jld 1. Hlmn 160.

وضابطه، أن كل زمن تيقن فيه الحيض، ثبت فيه أحكام الحيض كلها. وكل زمن تيقن فيه الطهر، ثبت في حكم الطهر. 

[6] Al-Saqqaf, Abdul Rahman bin Abdullah bin Abdul Qadir. Al-Ibanah wa al-Ifadah fi Ahkam al-Haid wa al-Nifas wa al-istihadah.  Hlmn 30.

فمثلا : إذا كانت معتادة – أي : سبق لها حيض وطهر – فيحكم بأنه حيض إذا أتاها بعد طهر خمسة عشر فأكثر, وإلا بأن اتى قبله فيعد هزا الدم دم فساد, فتكمل أقل الطهر , وما زاد فهو حيض جديد.

[7] Al-Suyuti, Jalaluddin Abdul Rahman. Al-Asybah wa al-Nazair fi Qawaid wa Furu’ Fiqh al-Syafiiyah. (t.t: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 1983). Hlmn 59.

[8] Ahmad bin Syeikh Muhammad al-Zarqa. Syarh al-Qawaid al-Fiqhiyyah. (Damsyiq: Dar al-Qalam, 1989). Hlmn 125.

يعني أنه إذا وقع الاختلاف في زمن حدوث أمر فحينئذ ينسب إلى أقرب الأوقات إلى الحال، ما لم تثبت نسبته إلى زمن بعيد فإذا ثبتت نسبته إلى الزمن البعيد يحكم بذلك

[9]Ibid. Al-Suyuti. Hlmn 9.

قاعدة: الأصل في كل حادث تقديره بأقرب زمن. ومن فروعها: رأى في ثوبه منيا ولم يذكر احتلاما لزمه الغسل على الصحيح. قال في الأم: وتجب إعادة كل صلاة صلاها من آخر نومة نامها فيه.

[10] Muhammad bin Ahmad bin Urfah al-Dasuqi. Hasyiah al-Dasuqi ala al-Syarh al-Kabir. Dar al-Fikr. Jld 1. Hlmn 132.

إذا رأت المرأة حيضا في ثوبها ولم تدر وقت حصوله وحكمها حكم من رأى منيا في ثوبه ولم يدر وقت حصوله فتغتسل وتعيد الصلاة من آخر نومة وتعيد الصوم من أول يوم صامته فيه