Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD FATWA EDISI KHAS RAMADHAN SIRI KE 228: PERSOALAN AL-QURAN DITURUNKAN PADA MALAM NUZUL AL-QURAN ATAU MALAM LAILATULQADAR

PERSOALAN AL QURAN DITURUNKAN PADA MALAM NUZUL AL QURAN ATAU MALAM LAILATULQADAR

 

Soalan:

Assalamualaikum Mufti, seperti yang kita ketahui bahawa malam nuzul al-Quran merupakan malam turunnya al-Quran. Tetapi ada juga yang mengatakan al-Quran diturunkan pada malam lailatul Qadar. Mohon pencerahan dalam hal ini. Terima kasih.

Ringkasan Jawapan:

Malam nuzul al-Quran dan malam lailatulqadar kedua-duanya adalah malam berlaku penurunan al-Quran mengikut peringkatnya tersendiri. Malam 17 Ramadan yang masyhur dengan malam nuzul al-Quran ialah malam permulaan turunnya al-Quran dari Baitul ‘izzah (langit dunia) kepada Rasulullah SAW secara berperingkat. Adapun penurunan al-Quran pada malam lailatulqadar adalah malam al-Quran diturunkan dari luh mahfuz ke Baitul ‘izzah secara serentak 30 juzuk.

Huraian Jawapan:

Alhamdulillah segala puji bagi Allah tuhan semesta alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar nabi Muhammad SAW para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah baginda hingga hari kiamat.

Sesungguhnya antara kemuliaan bulan Ramadan adalah berlakunya peristiwa penurunan mukjizat agung Rasulullah SAW pada bulan tersebut dan peristiwa ini dikenali sebagai nuzul al-Quran. Peristiwa ini telah dirakam oleh Allah SWT dalam firmannya:

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِّنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ

Maksudnya: “(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.”

(Surah al-Baqarah;185)

Berdasarkan ayat di atas, Ibn Kathir mentafsirkan bahawa Allah SWT memuliakan bulan puasa berbanding bulan yang lain yang mana bulan tersebut terpilih sebagai bulan turunnya al-Quran berbanding bulan-bulan yang lain.[1] .

Perbezaan antara penurunan al-Quran pada malam nuzul al-Quran dan malam lailatulqadar adalah perbezaan dari segi kaedah penurunan al-Quran . Sesungguhnya al-Quran diturunkan secara berperingkat yang mana ia bermula dari luh mahfuz ke baitul ‘izzah (langit dunia)dan seterusnya,dari baitul ‘izzah turun kepada Rasulullah SAW.[2]

Oleh yang demikian, perbezaan penurunan al-Quran di antara dua malam ini adalah seperti berikut:

Pertama, penurunan al-Quran pada malam lailatulqadar ialah proses penurunan dari luh mahfuz ke baitul ‘izzah atau dikenali sebagai langit dunia sepertimana yang telah dirakamkan oleh Allah SWT dalam firmannya:

إِنَّا أَنزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatulqadar,”

(Surah al-Qadr: 1)

Berdasarkan firman Allah di atas, Ibn kathir menafsirkan ayat ini dengan menukilkan pandangan Ibn Abbas tentang perkara ini yang mana Allah SWT menurunkan al-Quran secara serentak pada malam tersebut. Kemudian, Allah SWT menurunkan  wahyu secara berperingkat kepada Rasulullah SAW selama 23 tahun.[3] 

Kedua, penurunan pada hari nuzul al-Quran atau pada tanggal 17 Ramadan adalah merupakan penurunan wahyu pertama yang diturunkan ke gua Hira’ yang mana ia melibatkan permulaan surah al-‘Alaq sekali gus bermulanya penurunan wahyu secara beransur-ansur dari Baitul ‘izzah kepada Rasulullah SAW. Perkara ini telah dijelaskan oleh Ibn Kathir dengan menukilkan riwayat Abu Jaafar al-Baqi[4]:

كَانَ ابْتِدَاءُ الْوَحْيِ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وسلَّم يوم الِاثْنَيْنِ، لِسَبْعَ عَشْرَةَ لَيْلَةً خَلَتْ مِنْ رَمَضَانَ

Maksudnya: “Permulaan wahyu bagi Rasulullah SAW pada hari Isnin bersamaan malam 17 dari bulan Ramadan.”

(Rujuk al-Bidayah wa al-Nihayat: 3/11)

Kesimpulan:

Malam nuzul al-Quran dan malam lailatulqadar kedua-duanya adalah malam berlaku penurunan al-Quran mengikut peringkatnya tersendiri. Malam 17 Ramadan yang masyhur dengan malam nuzul al-Quran ialah malam permulaan turunnya al-Quran dari Baitul ‘izzah (langit dunia) kepada Rasulullah SAW secara berperingkat. Adapun penurunan al-Quran pada malam lailatulqadar adalah malam al-Quran diturunkan dari luh mahfuz ke Baitul ‘izzah secara serentak 30 juzuk.

Wallhu A’lam.

 

Rujukan:

[1]  Al-Qarsyi, Abu al-Fida’ Ismail bin Umar bin Kathir. 1999M. Tafsir al-Quran al-‘Azim. Editor: Sami bin Muhammad Salamah. Dar al-Tiibah. Jilid 1, hlm 501. Teks asal:

[2] Al-Qattan, Mana’ Khalil. 2011M/1433H. Mabahis Fi ‘Ulum al-Quran. Cet 3. Riyadh: Maktabah al-Ma’arif. Hlm 105. Teks asal:

 ثم نزل من اللَّوح المحفوظ جملة كذلك إلى بيت العزة أن القرآن نزل أولًا جملة إلى اللَّوح المحفوظ...

[3] Al-Qarsyi, Abu al-Fida’ Ismail bin Umar bin Kathir. 1999M. Tafsir al-Quran al-‘Azim. Editor: Sami bin Muhammad Salamah. Dar al-Tiibah. Jilid 8 hlm 441. Teks asal:

 أَنْزَلَ اللَّهُ الْقُرْآنَ جُمْلَةً وَاحِدَةً مِنَ اللَّوْحِ الْمَحْفُوظِ إِلَى بَيْتِ العِزّة مِنَ السَّمَاءِ الدُّنْيَا، ثُمَّ نَزَلَ مُفَصَّلًا بِحَسْبِ الْوَقَائِعِ فِي ثَلَاثٍ وَعِشْرِينَ سَنَةً على رسول الله صلى الله عليه وسلم 

[4] Al-Qarsyi, Abu al-Fida’ Ismail bin Umar bin Kathir. 1988M. Al-Bidayah wa Al-Nihayat. Editor: Mustafa ‘Abd al-Wahid. Beirut: Dar al-Ma’rifat . Jilid 3 hlm 11.