Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD FATWA EDISI KHAS RAMADAN SIRI KE 235: PENGGUNAAN MENSTRUAL CUP BAGI WANITA MUSTAHADAH YANG BERPUASA

PENGGUNAAN MENSTRUAL CUP BAGI WANITA MUSTAHADAH YANG BERPUASA

 

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t. Saya ada satu persoalan, apakah hukum wanita mustahadah memakai “menstrual cup” ketika berpuasa? Adakah penggunaannya boleh membatalkan puasa indinvidu berkenaan. Mohon penjelasan SS Datuk Mufti.

                                                  

Ringkasan Jawapan

Menstrual cup melibatkan proses memasukkan dalam bahagian dinding faraj (vagina) wanita yang bertujuan untuk mengumpul dan menadah cecair darah. Kaedah ini menyebabkan batal puasa  bagi wanita mustahadah (wanita beristihadah). Hal ini kerana  had batin bahagian faraj yang membatalkan puasa hanya pada kadar memasukkan sedikit bahagian hujung jari dalam rongga faraj. Bahkan, wanita istihadah turut perlu membersihkannya setiap kali menunaikan solat fardu yang perlu melibatkan proses keluar masuk menstrual cup ke dalam rongga faraj.

 

Huraian Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Menstrual cup adalah sejenis alat kewanitaan yang diperbuat daripada silikon gred perubatan, berbentuk loceng dan bersifat tidak menyerap cairan. Ia digunakan oleh sebahagian golongan wanita ketika kedatangan darah bagi menggantikan penggunaan tuala wanita pakai buang, tampon dan lain-lain. Sifat alatan ini yang lebih mesra alam sekitar lebih digemari oleh wanita kerana satu penggunaan menstrual cup boleh menampung lebih banyak darah sehingga tiga kali ganda lebih daripada penggunaan tuala wanita biasa.

Ia juga mengambil masa lebih kurang 5 hingga 10 tahun untuk dilupuskan. Berbeza kelebihannya berbanding tuala wanita yang hanya boleh digunakan selama sekitar beberapa jam dan perlu ditukar dengan yang baharu untuk menjaga kebersihan alat sulit wanita. Kaedah penggunaannya adalah dengan memasukkan menstrual cup ke dalam bahagian dinding faraj (vagina) wanita yang bertujuan untuk mengumpul dan menadah cecair darah. Selepas tempoh 6 hingga ke-12 jam ia perlu dikeluarkan semula, dibasuh dan dimasukkan semula ke dalam vagina[1]. Namun, timbul satu persoalan apabila wanita yang mengalami istihadah memakai menstrual cup ketika sedang berpuasa. Adakah penggunaannya boleh membatalkan puasa seseorang?

Menurut mazhab al-Syafi’i, had zahir bagi faraj wanita ialah kawasan yang terzahir sekiranya ia duduk dalam keadaan mencangkung manakala had batin faraj ialah apa yang sebaliknya. Batal puasa seseorang wanita sekiranya dia memasukkan sesuatu ke dalam faraj sehingga melepasi had zahir faraj. Hal ini kerana kawasan faraj yang zahir wajib dibasuh ketika mandi junub dan tidak membatalkan puasa sekiranya wanita menyampaikan sesuatu seperti air sehingga pada sebahagian had zahir sahaja. Ini berdasarkan kenyataan dalam kitab al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab[2]:

فالذي يظهر من فرجها إذا قعدت لقضاء الحاجة له حكم الظاهر فيلزمها تطهيره ولا يلزمها مجاورته فإن جاوزته بإدخال أصبعها زيادة عليه بطل صومها 

Maksudnya:Maka bahagian faraj yang zahir ialah bahagian yang dapat dilihat apabila dia duduk (mencangkung) ketika membuang air, maka hendaklah dia membersihkannya dan jangan ia melebihi had tersebut. Sekiranya dia melepasi had tersebut dengan memasukkan jarinya (untuk membersihkannya), maka puasanya terbatal.”

Imam al-Nawawi juga menyebutkan bahawa sekiranya seorang lelaki memasukkan jarinya atau selain daripada itu ke dalam duburnya, atau seorang perempuan yang memasukkan jarinya atau selain daripada itu ke dalam dubur atau qubulnya dalam keadaan sesuatu yang dimasukkan itu masih ada sebahagiannya yang lain di luar (qubul atau dubur), maka   terbatal puasa menurut pendapat yang disepakati oleh ulama-ulama kami (fuqaha mazhab al-Syafi’i)[3].

Selain itu, Imam Ibnu Hajar al-Haithami ada menyebutkan bahawa wanita mustahadah yang sedang berpuasa tidak boleh membersihkan dirinya sebelum solat dengan cara memasukkan jari, kapas atau seumpanya ke dalam batin faraj sehingga melepasi had batin faraj (al-hasywu). Memadai bagi mereka untuk membalut faraj dengan kain atau seumpanya (al-asbu) untuk menjaga puasa berbanding solatnya. Hal ini kerana, istihadah merupakan penyakit yang panjang tempohnya dan jika dia menjaga maslahah solatnya maka dikhuatiri susah bagi wanita tersebut untuk mengqada puasa[4].

Permasalahan yang sama turut dinyatakan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan berkenaan panduan berpuasa bagi pesakit. Ia menyebutkan bahawa antara perkara yang membatalkan puasa ialah:

“Memasukkan sebarang tiup kecil (pessary) atau ubat ke dalam faraj (vaginal suppository) termasuk prosedur cucian (wash), pemeriksaan dalaman vaginal (vaginoscope), atau pegawai perubatan memasukkan jari untuk melakukan pemeriksaan dalaman vagina wanita[5].”

Kesimpulan

Rumusannya, seorang wanita yang didatangi darah istihadah tidak diharuskan untuk memakai menstrual cup pada siang hari puasanya. Hal ini kerana kaedah penggunaan alat tersebut adalah ia perlu dimasukkan ke dalam dinding faraj (vagina) untuk menanggung darah istihadah dan juga perlu dikeluarkan ketika hendak menunaikan solat. Justeru, perbuatan ini dianggap membatalkan puasa seseorang kerana telah memasukkan sesuatu ke bahagian qubul wanita sehingga melepasi had batin faraj.

Wallahu A'lam

 

Rujukan: 

[1] United Nation Children’s Fund (UNICEF). Mei 2019. New York. Rujuk Pautan : https://www.unicef.org/media/91346/file/UNICEF-Guide-menstrual-hygiene-materials-2019.pdf

[2] Al-Nawawi, Abu Zakaria Muyhiddin bin Syaraf. Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab. (Beirut: Dar al-Fikr, t.t). Jld 6. Hlmn 314.

[3] Al-Nawawi, Abu Zakaria Muyhiddin bin Syaraf. Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab. (Beirut: Dar al-Fikr, t.t). Jld 6. Hlmn 314.

لَوْ أَدْخَلَ الرَّجُلُ أُصْبُعَهُ أَوْ غَيْرَهَا دُبُرَهُ أَوْ أَدْخَلَتْ الْمَرْأَةُ أُصْبُعَهَا أَوْ غَيْرَهَا دُبُرَهَا أَوْ قُبُلَهَا وَبَقِيَ الْبَعْضُ خَارِجًا بَطَلَ الصَّوْمُ بِاتِّفَاقِ أَصْحَابِنَا

[4] Ibnu Hajar al-Haitami, Ahmad bin Muhammad bin Ali. Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj. (Mesir: al-Maktabah al-Tijariyyah al-Kubra, 1983H). Jld 1. Hlmn 394-395.

 وإن كانت صائمة تركت الحشو نهارا واقتصرت على العصب محافظة على الصوم لا الصلاة ... لأن الاستحاضة علة مزمنة الظاهر دوامها فلو روعيت الصلاة ربما تعذر قضاء الصوم ولا كذلك

[5] Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan. Panduan Berpuasa bagi Pesakit. 2009. Rujuk pautan: http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/assets/files/old-site/garis_panduan_berpuasa_bagi_pesakit.pdf