Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM EDISI KHAS RAMADAN SIRI KE 254: CARA BERNIAT BAGI DUA RAKAAT PERTAMA SOLAT WITIR YANG DILAKUKAN DENGAN DUA SALAM

CARA_BERNIAT_BAGI_DUA_RAKAAT_PERTAMA_SOLAT_WITIR_YANG_DILAKUKAN_DENGAN_DUA_SALAM.jpg

 

Soalan

Assalamualaikum tuan, saya ingin bertanya. Apakah niat untuk 2 rakaat pertama solat sunat witir jika dilakukan sebanyak 3 rakaat dengan dua salam.

Ringkasan Jawapan

Cara yang terbaik untuk berniat bagi 2 rakaat pertama solat witir adalah diniatkan sebagai 2 rakaat daripada witir. Namun, dibolehkan juga dengan niat lain seperti mukadimah witir atau solat sunat witir atau solat malam, bahkan jika diniatkan sebagai solat witir sahaja pun tetap sah.

Huraian Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Solat witir merupakan solat sunat yang sangat dituntut oleh syarak berdasarkan sabda Nabi SAW:

يا أهلَ القرآن ‌أوترُوا، فإن الله وترٌ يُحِبُّ الوترَ

Maksudnya:Wahai ahli al-Quran, dirikanlah solat witir! Sesungguhnya Allah itu witir (Esa) dan Dia menyukai (solat) witir.”

(Riwayat Abu Daud)

Solat witir adalah solat sunat yang disunatkan berjemaah pada bulan Ramadan[1], namun pada bulan lain ia tidak disunatkan berjemaah[2]. Ia boleh dilakukan cukup dengan satu rakaat, tetapi lebih sempurna untuk dilakukan sebanyak tiga rakaat, lima rakaat, tujuh rakaat, sembilan rakaat atau sebelas rakaat[3]. Di samping itu, ia juga boleh dilakukan secara bersambung semua rakaat dengan satu salam atau dipisahkan setiap dua rakaat dengan salam dan diakhiri dengan satu rakaat. Walau bagaimanapun, cara yang lebih baik adalah dengan memisahkan setiap dua rakaat dengan salam seperti yang telah diterangkan dalam Al-Kafi #1393: Tatacara Solat Witir Yang Afdal[4].

Berbalik kepada persoalan, jika seseorang itu melakukan solat sunat witir tiga rakaat dengan satu salam, maka cukup dengan berniat berniat “sahaja aku solat witir 3 rakaat” seperti yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi:

فإن أوتر باكثر من ركعة نوى بالجميع الوتر إن كان بتسليمة[5]

Maksudnya: “Jika seseorang itu melakukan witir lebih daripada satu rakaat, maka dia hendaklah niat semua rakaat itu sebagai witir jika dilakukan dengan satu salam.”

Namun, seringkali menjadi kemusykilan tentang niat pada 2 rakaat yang pertama jika seseorang itu melakukan solat witir 3 rakaat dengan dua salam. Hal ini kerana maksud perkataan ‘witir’ ialah ganjil, jadi melakukan solat dengan 2 rakaat yang merupakan bilangan genap dilihat bercanggah dengan niat untuk melakukan solat yang ganjil. Dalam hal ini, Imam al-Nawawi menyebutkan beberapa pandangan tentang cara untuk berniat bagi dua rakaat yang pertama, kata beliau:

وإن كان بتسليمات نوى بكل تسليمة ركعتين ‌من ‌الوتر وقيل ينوي بما قبل الاخيرة صلاة الليل وقيل ينوي به سنة الوتر وقيل مقدمة الوتر[6]

Maksudnya: “Jika (solat witir itu dilakukan) dengan lebih daripada satu salam, hendaklah dia berniat bagi setiap salam itu daripada witir, dan dikatakan hendaklah dia berniat bagi (rakaat-rakaat) sebelum rakaat terakhir sebagai solat malam, dan dikatakan (hendaklah dia berniat) sunat witir, dan dikatakan (hendaklah dia berniat) mukadimah witir.”

Berdasarkan kenyataan Imam al-Nawawi di atas, dapat disimpulkan bahawa terdapat 4 pandangan tentang niat bagi setiap dua rakaat sebelum rakaat terakhir solat witir iaitu:

  1. Berniat: “Sahaja aku solat 2 rakaat daripada witir”.
  2. Berniat: “Sahaja aku solat mukadimah witir 2 rakaat”.
  3. Berniat: “Sahaja aku solat sunat witir 2 rakaat”.
  4. Berniat: “Sahaja aku solat malam 2 rakaat”.

Di samping itu, dapat difahami juga daripada kenyataan tersebut bahawa cara niat yang pertama adalah pandangan muktamad dalam mazhab Syafi’i, manakala cara yang kedua, ketiga dan keempat adalah pandangan yang tidak muktamad. Oleh itu, cara pertama ialah cara yang lebih afdal kerana ia muktamad mazhab, namun tiada halangan untuk beramal dengan cara-cara yang lain. Hal ini juga disebutkan oleh Imam al-Nawawi selepas menerangkan cara-cara niat tersebut, beliau berkata:

وهذه الأوجه في الأفضل والأولوية دون الاشتراط والصحيح الأول

Maksudnya: Dan pendapat-pendapat (yang telah disebutkan) ini adalah daripada segi yang mana paling baik dan paling utama bukanlah disyaratkan, dan pendapat yang tepat adalah yang pertama (iaitu berniat dua rakaat daripada witir).

Oleh yang demikian, dibolehkan untuk berniat mengikut mana-mana cara yang telah disebut di atas[7], bahkan jika seseorang itu berniat “sahaja aku solat witir 2 rakaat”, maka solatnya juga sah seperti yang disebutkan oleh Sheikh al-Qalyubi, beliau berkata:

وَلَهُ فِيهِ أَنْ يَنْوِيَ سُنَّةَ الْوَتْرِ أَوْ مُقَدِّمَةَ الْوَتْرِ أَوْ مِنْ الْوَتْرِ أَوْ الْوَتْرَ أَيْضًا[8]

Maksudnya: “Dan dibolehkan (pada dua rakaat solat witir itu) untuk berniat sebagai sunat witir atau daripada witir atau witir juga.”

Tambahan pula, cara-cara berniat di atas juga terpakai untuk setiap 2 rakaat sebelum rakaat terakhir bagi yang melakukan solat witir lebih daripada 3 rakaat iaitu 5 hingga 11 rakaat.

Kesimpulan

  1. Cara yang terbaik untuk berniat bagi 2 rakaat pertama solat witir adalah diniatkan sebagai 2 rakaat daripada witir.
  2. Dibolehkan juga dengan niat lain seperti mukadimah witir atau solat sunat witir atau solat malam, bahkan jika diniatkan sebagai solat witir sahaja pun hukumnya tetap sah.

WaAllahua’lam.

Rujukan:

[1] Muhammad bin Muhammad al-Khatib al-Syirbini, Al-Iqna’ fi Halli Alfaz Abi Shuja’, (Beirut: Mu’assasah al-Risalah, 2021), 1:306.

ويسن جماعة في وتر رمضان.

[2] Ibid, 1:304

وقول المصنف: "يوتر بواجدة منهن" أشار به إلى أن من القسم الذي لا يسن جماعة الوتر.

[3] Muhammad bin Muhammad al-Khatib al-Syirbini, Mughni al-Muhtaj ila Ma’rifati Ma’ani Alfaz al-Minhaj. (T.tp: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 1994), 1:451-452

(وأقله ركعة) … وأدنى الكمال ثلاث، وأكمل منه خمس، ثم سبع، ثم تسع، ثم إحدى عشرة وهي أكثره

[4] https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/3734-al-kafi-1393-tatacara-solat-witir-yang-afdhal

[5] Yahya bin Sharaf al-Nawawi, al-Majmu’ Sharh al-Muhazzab, (Kaherah: al-Muniriyyah, 1344H) 3:281:

[6] Ibid, 3:281

[7] Ahmad bin Muhammad bin Ali bin Hajar al-Haitami, Tuhfat al-Muhtaj fi Sharh al-Minhaj, (Mesir: al-Maktabah al-Tijariyyah al-Kubra, 1984), 2:10

وَيَتَخَيَّرُ فِي غَيْرِهَا بَيْنَ نِيَّةِ صَلَاةِ اللَّيْلِ وَمُقَدَّمَةِ الْوِتْرِ وَسُنَّتِهِ وَهِيَ أَوْلَى أَوْ رَكْعَتَيْنِ ‌مِنْ ‌الْوِتْرِ عَلَى الْأَصَحِّ

[8] Ahmad Salamah al-Qalyubi, Ahmad al-Barlasi ‘Umairah, Hashiata Qalyubi wa ‘Umairah ‘ala Sharh al-Mahalli ‘ala al-Minhaj, (Beirut: Dar al-Fikr, 1995), 1:243