Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM EDISI KHAS RAMADAN SIRI KE 253: HUKUM WANITA HAID BERNIAT PUASA SEBELUM SUCI

HUKUM_WANITA_HAID_BERNIAT_PUASA_SEBELUM_SUCI.jpg

 

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t, saya ada satu persoalan. Seorang wanita kebiasaannya didatangi haid tujuh hari dalam sebulan. Apakah hukumnya jika dia berniat puasa sedangkan dirinya belum suci. Dia sudah menjangkakan bahawa haidnya akan berhenti pada malam hari dan sebagai langkah berjaga-jaga kerana khuatir dirinya terlepas waktu sahur, maka dia berniat puasa. Apakah niat puasa tersebut sah ? Mohon pencerahan SS Datuk Mufti.

Ringkasan Jawapan 

Seorang wanita yang pernah didatangi haid dan suci serta adatnya pada setiap bulan adalah sama dan teratur boleh berniat puasa pada malam hari sekalipun dirinya belum suci atau darahnya belum berhenti. Selagi mana dia meyakini bahawa darahnya akan berhenti sebelum masuknya waktu solat subuh.

Huraian Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Salah satu antara syarat wajib puasa adalah tiada sebarang keuzuran yang menghalang seseorang daripada berpuasa atau mengharuskannya berbuka. Haid atau nifas termasuk dalam keuzuran yang menghalang sah puasa. Oleh itu, puasa seseorang wanita itu akan terbatal jika mendapati dirinya didatangi haid atau nifas pada waktu siang, dan wajib mengqada puasa tersebut.

Persoalan yang timbul adalah ketika mana seorang yang sedang haid ingin berniat puasa pada malam hari kerana dia yakin bahawa darahnya akan berhenti pada malam tersebut. Permasalahan ini telah disebutkan oleh Imam al-Nawawi sebagaimana berikut:

ولو ‌نوت ‌الحائض ‌صوم غد قبل انقطاع دمها ثم انقطع ليلا صح إن تم لها في الليل أكثر الحيض وكذا قدر العادة في الأصح

Maksudnya: “Dan jika wanita haid berniat puasa esok hari sebelum putus darahnya, kemudian darah terputus  pada malam hari, maka sah ia(niat puasa) jika sempurna baginya pada malam itu sebanyak-banyak haid. Begitu juga kadar adatnya menurut pandangan yang paling sahih.”

Menurut pandangan al-Baghawi, al-Mutawalli dan sebahagian ulama mazhab Syafi‘i, seseorang wanita yang pertama kali didatangi haid (mubtadaah) wajib menyempurnakan sebanyak-banyak haid (15 hari 15 malam) pada malam hari tersebut. Begitu pula wanita yang pernah didatangi haid dan suci (mu’tadah), maka dia juga wajib menyempurnakan sebanyak-banyak haid. Justeru, sah puasa dengan niat tersebut apabila mereka telah menyempurnakan hari-hari haid kerana dihukumkan bahawa keesokan siangnya adalah suci secara yakin.

Syeikh Khatib al-Syirbini ada memperjelaskan berkenaan keadaan wanita yang pernah didatangi haid dan suci (wanita beradat haid). Situasi pertama, sekiranya wanita beradat haid yang teratur dan kurang daripada 15 hari 15 malam, maka sah puasanya dengan niat tersebut apabila dia telah menyempurnakan hari-hari haid mengikut kiraan adatnya menurut pandangan yang sahih. Hal ini kerana, secara zahirnya adat itu akan kekal berterusan pada bulan terkini, sama ada haid bulan terkini sama dengan bulan sebelumnya atau tidak sama dengan dengan bulan sebelumnya. Dalam pada masa yang sama, wanita tersebut mengingati kiraan hari-hari haidnya.

Situasi seterusnya adalah wanita yang mempunyai adat haid berubah-ubah sama ada perubahannya itu bersifat konsisten ataupun tidak, serta mereka juga tidak mengingati kiraan hari-hari tersebut. Justeru, tidak sah niat puasanya selagi mana mereka tidak menyempurnakan hari-hari haid mengikut bilangan hari adat yang paling banyak.

Kesimpulan

Seorang wanita yang pernah didatangi haid dan suci serta adatnya pada setiap bulan adalah sama dan teratur boleh berniat puasa pada malam hari sekalipun dirinya belum suci atau darahnya belum berhenti. Selagi mana dia meyakini bahawa darahnya akan berhenti sebelum masuknya waktu solat subuh.