Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM EDISI KHAS RAMADAN SIRI KE 257: HUKUM MEMBAYAR FIDYAH SEKALIGUS PADA AWAL RAMADAN BAGI YANG TIDAK MAMPU BERPUASA

HUKUM_MEMBAYAR_FIDYAH_SEKALIGUS_PADA_AWAL_RAMADAN_BAGI_YANG_TIDAK_MAMPU_BERPUASA.jpg

 

SOALAN

Assalamualaikum ustaz. Saya ada soalan, jika seseorang itu tak mampu untuk berpuasa kerana sudah terlalu tua, adakah boleh untuk selesaikan bayaran fidyah untuk sebulan pada awal Ramadan?

Mohon pencerahan. Terima kasih.

RINGKASAN JAWAPAN

Bayaran fidyah bagi orang yang tua renta yang tidak mampu berpuasa dan orang sakit yang tiada harapan sembuh tidak boleh diawalkan sekaligus sebelum masuk Ramadan atau pada awal Ramadan, tetapi hendaklah dibayar pada setiap hari bulan Ramadan atau dibayar sekaligus pada akhir Ramadan atau selepas Ramadan. WaAllahu a’lam.

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Pertama, terdapat dua golongan orang yang dibenarkan untuk tidak berpuasa dan wajib untuk membayar fidyah tanpa qada, iaitu:

  1. Orang tua renta yang tidak mampu berpuasa.
  2. Orang sakit yang tiada harapan sembuh.

Bagi dua golongan ini, mereka tidak diwajibkan untuk qada puasa mereka tetapi wajib untuk membayar fidyah[1].

Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَعَلَى ٱلَّذِينَ يُطِيقُونَهُۥ فِدۡيَةٞ طَعَامُ مِسۡكِينٖۖ

Maksudnya: Dan wajib atas orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin.

(Al-Baqarah: 184)

Imam al-Bukhari meriwayatkan bahawa Ibn Abbas RA mentafsirkan ayat ini, kata beliau:

“Golongan itu ialah lelaki tua renta dan wanita tua renta, yang masing-masing tidak mampu untuk berpuasa, maka mereka hendaklah memberi makan setiap hari seorang miskin.”[2]

(Riwayat al-Bukhari, no. 4235).

Di sisi mazhab syafie, waktu untuk membayar fidyah bagi dua golongan tersebut adalah pada setiap hari bulan Ramadan sama ada sebelum terbit fajar atau selepas terbit fajar, dan diharuskan juga untuk membayar fidyah secara sekaligus pada akhir Ramadan atau selepas berakhirnya Ramadan. Adapun membayar fidyah secara sekaligus sebelum masuk bulan Ramadan atau pada awal bulan Ramadan adalah tidak sah menurut mazhab syafi'i. Hal ini sepertimana disebutkan oleh Imam al-Nawawi:

لا يجوز للشيخ العاجز والمريض الذي لا يرجى برؤه ‌تعجيل ‌الفدية قبل دخول رمضان، ويجوز بعد طلوع فجر كل يوم.[3]

Maksudnya: Orang tua renta, dan orang sakit yang tiada harapan sembuh tidak diharuskan mendahulukan bayaran fidyah sebelum masuk bulan Ramadan, dan diharuskan (untuk membayar fidyah) selepas terbit fajar pada setiap hari Ramadan.

Imam al-Ramli ketika ditanyakan tentang keharusan membayar fidyah sebulan Ramadan secara sekaligus bagi orang tua renta, beliau berkata:

ويتخير في إخراجها بين تأخيرها وبين إخراج فدية كل يوم فيه أو بعد فراغه ولا يجوز تعجيل شيء منها لما فيه من تقديمها على وجوبه.[4]

Maksudnya: Dan (orang tua renta itu) diberi pilihan untuk mengeluarkan fidyah sama ada menangguhkannya (pada akhir Ramadan), atau membayar fidyah pada setiap hari Ramadan, atau selepas berakhirnya Ramadan, dan tidak diharuskan untuk mendahulukan sedikit pun bayaran itu (sebelum Ramadan) kerana ia dikira mendahulukan fidyah sebelum ia diwajibkan.

Selain itu, jika fidyah bagi dua golongan di atas dilewatkan sehingga tiba Ramadan seterusnya, maka ia tidak akan dikenakan apa-apa kerana ia merupakan kewajipan yang boleh ditangguhkan. Fakta ini dinyatakan oleh Sheikhul Islam Zakaria al-Ansari:

ولا شيء على الهرم ‌لتأخير ‌الفدية إن أخر ‌الفدية عن السنة الأولى[5].

Maksudnya: Dan tidak dikenakan apa-apa bagi orang tua renta kerana melewatkan bayaran fidyahnya dari tahun pertama.

Walaupun begitu, dinasihatkan agar golongan yang berkeuzuran ini melangsaikan bayaran fidyah secepat mungkin setelah tiba waktu yang dibolehkan supaya tidak terlupa pada masa akan datang.

Kesimpulan

Fidyah bagi orang yang tua renta sehingga tidak mampu berpuasa dan orang sakit yang tiada harapan sembuh tidak boleh diawalkan sekaligus sebelum masuk Ramadan atau pada awal Ramadan menurut mazhab syafi'i, tetapi hendaklah dibayar pada setiap hari dalam bulan Ramadan atau dibayar secara sekaligus pada akhir Ramadan atau selepas Ramadan.

WaAllahua’lam.

 

Rujukan: 

[1] Hasan Al-Kaf, Hasan bin Ahmad bin Muhammad, 2003, al-Taqrirat al-Sadidah fi al-Masail al-Mufidah, Tarim, Dar al-Ilmi wa al-Dakwah, hlmn 456

[2] سَمِعَ ابْنَ عَبَّاسٍ يَقْرَأُ: {وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ}. قَالَ ابْنُ عَبَّاسٍ: لَيْسَتْ بِمَنْسُوخَةٍ، هُوَ الشَّيْخُ الْكَبِيرُ، وَالْمَرْأَةُ الْكَبِيرَةُ، لَا يَسْتَطِيعَانِ أَنْ يَصُومَا، فيطعمان مَكَانَ كُلِّ يَوْمٍ مِسْكِينًا

[3] Al-Nawawi, Yahya bin Sharaf, 1347H, al-Majmuk Syarh al-Muhazzab, Kaherah, al-Tiba’ah al-Muniriah, jld 6, hlmn 260

[4] Syihab al-Din Al-Ramli, Ahmad bin Hamzah, t.t, Fatawa al-Ramli, Kaharah, al-Maktabah al-Islamiah, jld 2, hlmn 74.

[5] Zakaria al-Ansari, Zakaria bin Muhammad bin Zakaria, t.t, Asna al-Matalib fi Syarh Raudh al-Talib, Dar al-Kitab al-Islami, jld 1, hlmn 430.