Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM EDISI KHAS RAMADAN SIRI KE 258: BILAKAH WAKTU UNTUK MEMBAYAR FIDYAH PUASA BAGI ORANG TUA DAN PESAKIT YANG TIADA HARAPAN UNTUK SEMBUH

BILAKAH_WAKTU_UNTUK_MEMBAYAR_FIDYAH_PUASA_BAGI_ORANG_TUA_DAN_PESAKIT_YANG_TIADA_HARAPAN_UNTUK_SEMBUH.jpg

 

Soalan

Assalamualaikum Datuk Mufti, datuk saya sudah lanjut usianya, jadinya dia tidak lagi mampu untuk berpuasa, dan setahu saya, saya perlu membayar fidyah, jadinya saya ingin bertanya, bagaimana cara untuk saya membayar fidyah tersebut, adakah bayar setiap hari atau boleh bayar sekaligus pada permulaan bulan Ramadan? Mohon penjelasan Datuk Mufti. Terima kasih.

Ringkasan Jawapan

Orang yang diwajibkan membayar fidyah kerana terlalu tua atau kerana ditimpa sakit yang tiada harapan sembuh sehingga tidak mampu untuk berpuasa boleh membayar fidyah pada hari yang ditinggalkan tersebut atau melewatkannya pada hari lain. Namun, umat Islam digalakkan untuk menyegerakannya kerana dikhuatiri ia tidak dapat dilaksanakan sekiranya bertangguh. Adapun menyegerakan pembayaran fidyah untuk sebulan penuh sebelum tibanya bulan Ramadan, maka haram hukumnya. Begitu juga sekiranya zakat dibayar dua hari awal atau lebih hukumnya juga adalah haram.

Huraian Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke Hari Akhirat.

Allah SWT berfirman:

أَيَّامًا مَّعْدُودَاتٍ ۚ فَمَن كَانَ مِنكُم مَّرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ ۚ وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ ۖ فَمَن تَطَوَّعَ خَيْرًا فَهُوَ خَيْرٌ لَّهُ ۚ وَأَن تَصُومُوا خَيْرٌ لَّكُمْ ۖ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ ‎﴿١٨٤﴾

Maksudnya:(Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui.”

Surah al-Baqarah (184)

Berdasarkan kepada ayat ini, Ibn Abbas R.Anhuma memberikan tafsiran dan komentarnya bahawa ia tidaklah dimansukhkan sebaliknya ia ditujukan kepada lelaki dan perempuan yang sangat tua dan tidak terdaya untuk berpuasa. Mereka hendaklah memberi makan seorang miskin bagi setiap hari puasa yang ditinggalkan[1].

Kedua-dua orang ini tidak diwajibkan berpuasa atas kekurangan kemampuan diri mereka. Oleh yang demikian, Allah SWT memberikan keringanan kepada mereka untuk membayar fidyah bagi setiap hari puasa yang ditinggalkan. Firman Allah SWT:

وَجَاهِدُوا فِي اللَّهِ حَقَّ جِهَادِهِ ۚ هُوَ اجْتَبَاكُمْ وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِي الدِّينِ مِنْ حَرَجٍ ۚ

Maksudnya:Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya. Dialah yang memilih kamu (untuk mengerjakan suruhan agamanya); dan Dia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama.”

Surah al-Hajj (78)

Begitu juga berdasarkan kepada kalam Ibn Umar R.Anhuma yang menyebut bahawa sekiranya seseorang itu tidak mampu langsung untuk berpuasa, maka dia perlu memberi makan satu mud (cupak) bagi setiap hari yang ditinggalkan[2].

Berkenaan hal waktu yang ditetapkan untuk bayaran fidyah wajib puasa bagi orang tua dan pesakit yang tiada harapan untuk sembuh, ia bermula sebaik sahaja ibadah berkenaan tidak dapat disempurnakan. Walau bagaimanapun, waktunya tidak terhad pada satu tempoh waktu yang tertentu.

Menurut mazhab Syafi‘i, pembayaran fidyah boleh dilakukan sedari terbitnya fajar pada hari puasa yang ditinggalkan dan boleh juga diawalkan ke malam hari tersebut yakni sebelum terbit fajar. Bukan itu sahaja, pembayaran fidyah juga boleh ditangguhkan ke penghujung bulan Ramadan[3].

Meskipun begitu, mendahulukan pembayaran fidyah untuk sebulan penuh sebelum tiba bulan Ramadan adalah tidak dibenarkan sebagaimana menyegerakan pembayaran zakat untuk dua tahun sekaligus, malah haram juga hukumnya sekiranya zakat dibayar dua hari awal atau lebih[4]. Hal ini kerana tiada kewajipan atas perkara yang belum lagi berlaku dan di sini sekiranya dia berbuat sedemikian, dia telah mendahulukan sesuatu ke atas kewajipan[5].

Maka di sini jelas pada kita bahawasanya bagi mereka yang diwajibkan membayar fidyah kerana terlalu tua atau pesakit yang tiada harapan sembuh sehingga tidak mampu untuk berpuasa, adanya pilihan sama ada ingin membayar fidyah pada hari yang ditinggalkan tersebut atau melewatkannya pada hari lain. Namun, umat Islam digalakkan untuk menyegerakannya kerana dikhuatiri ia tidak dapat dilaksanakan sekiranya bertangguh.

Wallahu A‘lam.

 

Rujukan:

[1] Riwayat al-Bukhari (4235).

لَيْسَتْ بِمَنْسُوخَةٍ، هُوَ الشَّيخُ الْكَبِيرُ، وَالْمَرْأَةُ الْكَبِيرَةُ، لاَ يَسْتَطِيعَانِ أَنْ يَصُومَا، فَيُطْعِمَانِ مَكَانَ كُلِّ يَوْمٍ مِسْكِينًا

[2] Yahya bin Syaraf al-Nawawi, al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, (t.tp: Dar al-Fikr, t.c, t.t), 6/257.

وقال ابن عمر رضى الله عنهما " إذا ضعف عن الصوم أطعم عن كل يوم مدا "

[3] Al-Nawawi, al-Majmu‘, 6/260.

وَيَجُوزُ بَعْدَ طُلُوعِ فَجْرِ كُلِّ يَوْمٍ وَهَلْ يَجُوزُ قَبْلَ الْفَجْرِ فِي رَمَضَانَ قَطَعَ الدَّارِمِيُّ بِالْجَوَازِ وَهُوَ الصَّوَابُ وَقَالَ صَاحِبُ الْبَحْرِ فِيهِ احْتِمَالَانِ لِوَالِدِهِ وليس بشئ ودليله القياس علي تعجيل الزكاة

[4] Muhammad bin Ahmad al-Khatib al-Syirbini, Mughni al-Muhtaj Ila Ma‘rifat Ma‘ani Alfaz al-Minhaj, (t.tp: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, cetakan pertama, 1415H/1994M), 2/176.

وَلَيْسَ لَهُمْ وَلَا لِلْحَامِلِ وَلَا لِلْمُرْضِعِ تَعْجِيلُ فِدْيَةِ يَوْمَيْنِ فَأَكْثَرَ كَمَا لَا يَجُوزُ تَعْجِيلُ الزَّكَاةِ لِعَامَيْنِ بِخِلَافِ مَا لَوْ عَجَّلَ مَنْ ذُكِرَ فِدْيَةَ يَوْمٍ فِيهِ أَوْ فِي لَيْلَتِهِ فَإِنَّهُ جَائِزٌ.

Lihat juga: Al-Nawawi, al-Majmu‘, 6/260.

اتفق أصحابنا على أنه لا يجوز للشيخ العاجز والمريض الذي لا يُرجى برؤه تعجيل الفدية قبل دخول رمضان

[5] Ahmad bin Hamzah al-Ansori al-Ramli, Fatawa al-Ramli, (t.tp: Al-Maktabah al-Islamiyyah, t.c, t.t), 2/74.

(سُئِلَ) هَلْ يَلْزَمُ الشَّيْخَ الْهَرِمَ إذَا عَجَزَ عَنْ الصَّوْمِ وَأَخْرَجَ الْفِدْيَةَ النِّيَّةُ أَمْ لَا وَمَا كَيْفِيَّتُهَا وَمَا كَيْفِيَّةُ إخْرَاجِ الْفِدْيَةِ هَلْ يَتَعَيَّنُ إخْرَاجُ فِدْيَةِ كُلِّ يَوْمٍ فِيهِ أَوْ يَجُوزُ إخْرَاجُ فِدْيَةِ جَمِيعِ رَمَضَانَ دَفْعَةً سَوَاءٌ كَانَ فِي أَوَّلِهِ أَوْ فِي وَسَطِهِ أَوْ لَا؟

(فَأَجَابَ) بِأَنَّهُ تَلْزَمُهُ النِّيَّةُ لِأَنَّ الْفِدْيَةَ عِبَادَةٌ مَالِيَّةٌ كَالزَّكَاةِ وَالْكَفَّارَةِ فَيَنْوِي بِهَا الْفِدْيَةَ لِفِطْرِهِ وَيَتَخَيَّرُ فِي إخْرَاجِهَا بَيْنَ تَأْخِيرِهَا وَبَيْنَ إخْرَاجِ فِدْيَةِ كُلِّ يَوْمٍ فِيهِ أَوْ بَعْدَ فَرَاغِهِ وَلَا يَجُوزُ تَعْجِيلُ شَيْءٍ مِنْهَا لِمَا فِيهِ مِنْ تَقْدِيمِهَا عَلَى وُجُوبِهِ لِأَنَّهُ فِطْرَةٌ.