Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM EDISI KHAS RAMADAN SIRI KE 259: KURMA MENTEGA MAKANAN SUNNAH?

KURMA_MENTEGA.jpg

 

Soalan

Ustaz, Ramai yang mendedahkan hadis tentang Rasulullah SAW memakan kurma dan butter adakah hadith itu sahih? Adakah kurma butter itu Sunnah Nabi SAW?

Ringkasan Jawapan

Setiap makanan dan pemakanan Nabi SAW adalah sesuatu perkara yang merujuk kepada tabiat Nabi SAW sebagai seorang manusia dan ia termasuk dalam kategori Sunnah Ghayr Tasyriʻiyyah yang bersifat luas. Antara sunnah Nabi SAW ialah memakan makanan yang sihat. Kurma dan mentega merupakan makanan yang pernah dimakan oleh Nabi SAW. Namun mungkin sifat mentega pada zaman Rasulullah SAW sedikit berbeza dengan yang berada di pasaran sekarang. Sesiapa yang memakan kurma dan mentega dengan niat mengikut Nabi SAW maka ia mendapat pahala dengan sebab kecintaannya kepada Nabi SAW.

Huraian Jawapan

Baru-baru ini kurma mentega sering menjadi perbualan dalam kalangan masyarakat terutamanya di media sosial. Apabila tiba bulan Ramadan maka antara makanan utama yang tidak akan ditinggalkan ialah kurma. Oleh itu, apabila tular berkenaan kurma yang diapit dengan mentega maka ia menjadi satu topik yang menarik ramai orang untuk mengetahuinya. Lebih-lebih lagi ia juga dikaitkan dengan sunnah Nabi SAW, hal ini diriwayatkan oleh ‘Abdullah dan ‘Atiyyah anak kepada Busr al-Sulami, mereka berdua meriwayatkan bahawa:

دَخَلَ عَلَيْنا رَسُول اللَّهِ -صلى اللَّه عليه وسلم- فقَدَّمْنا زُبْدًا وَتَمْرًا، وَكانَ يُحِبُّ ‌الزُّبْدَ ‌والتَّمْرَ

Maksudnya: Rasulullah SAW datang bertandang ke rumah kami, kemudian kami pun menjamu Baginda SAW mentega dan kurma kering. Baginda menyukai mentega dan kurma kering.

(Riwayat Abu Daud)

Menurut Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut hadis ini sanadnya adalah sahih.[1] Imam Abu Daud juga tidak memberikan sebarang komentar terhadap hadis ini menunjukkan bahawa hadis ini adalah boleh untuk diamalkan.[2]

Imam Abu Daud meletakkan hadis ini di bawah tajuk bab menggabungkan dua jenis makanan.[3] Dalam bab ini banyak beliau masukkan riwayat-riwayat yang menceritakan tentang Nabi SAW menggabungkan dua makanan antaranya tembikai dengan kurma, timun dengan kurma dan lain-lain. Justeru, bagaimana pula dengan kurma dengan mentega?

Dalam hal ini, Imam Ibn Ruslan menyebutkan bahawa maksud “زُبْد” dalam hadis tersebut ialah:

وهو ما يستخرج بالمخض من لبن البقر والغنم، وأما لبن الإبل فلا يسمى ما يستخرج منه زبدًا، بل يقال له: جُبَاب بضم الجيم وتخفيف الباء الموحدة الأولى، وأجود الزبد الطري من لبن الضأن.

Maksudnya: Bahan mentega yang dikeluarkan dengan cara mengaduk susu lembu atau kambing. Meskipun begitu, susu unta tidak dinamakan sebagai zubd tetapi ia disebut sebagai jubab. Bahkan, sebaik-baik mentega ialah yang diambil secara terus daripada susu kambing biri-biri.[4]

Menurut Muhammad Mansur Hamzah, “مخض” dalam bahasa Melayu bermaksud mengaduk susu untuk mengeluarkan bahan mentega.[5] Syeikh Idris al-Marbawi menterjemahkan perkataan “زبد” dengan maksud kepala susu.[6] Kepala susu dalam Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka diertikan sebagai bahagian air susu yang kental (pekat).[7]

Dalam Encyclopedia of Food and Health menyebutkan mentega dihasilkan dengan cara mengaduk susu segar atau ditapai. Perubahan lemak susu kepada mentega adalah kaedah tradisional untuk mengekalkan lemak susu. Mentega mengandungi sebahagian besar nutrisi daripada susu. Mentega juga terdiri daripada lemak, air dan protein susu. Kebanyakan mentega dihasilkan daripada susu lembu. Selain itu, mentega juga boleh dihasilkan daripada susu biri-biri, kambing, kerbau, unta dan seladang. Sumber utama bagi pengeluaran mentega pada masa kini ialah susu lembu.[8]

Abu al-Hasan al-Sindi menyebutkan bahawa kurma kering dan mentega sesuai dimakan bersama kerana tekstur mentega yang berlemak dapat memberikan kelembutan ketika mengunyah kurma kering.[9]

Selain itu, Abu Bakr Ibn al-Sunni al-Dainuri juga menyebut bahawa antara manfaat mentega ialah ia dapat merawat penyakit kulit dan boleh melegakan sakit tekak.[10]

Pemakanan kurma dengan mentega memang disebutkan dalam hadis Nabi SAW namun kaedah pemakanannya tidak dijelaskan oleh Nabi SAW. Perlu difahami bahawa makanan dan pemakanan Nabi SAW adalah sesuatu perkara yang amat luas dan ia termasuk dalam kategori Sunnah Ghayr Tasyriʻiyyah[11]. Syeikh Muhammad Mustafa al-Zuhaili menyebutkan bahawa setiap perbuatan yang bersumberkan Nabi SAW berupa tabiat sebagai seorang manusia seperti cara bangun, duduk, berjalan, tidur, makan, minum dan lain-lain tidak dikira sebagai satu pensyariatan. Hal ini kerana, perbuatan tersebut lahir disebabkan sifat kemanusiaan Baginda SAW dan bukannya daripada sifat pensyariatan. Para ulama menamakan perbuatan seperti ini dengan perbuatan (sunnah) al-Jibiliyyah, melainkan jika terdapat dalil dalam memerintahkan untuk melakukan sedemikian maka pada waktu itu ia menjadi pensyariatan dengan sebab tersebut dan bukannya semata-mata ia dilakukan oleh Nabi SAW. Contohnya makan dengan tangan kanan di mana terdapat hadis yang memerintahkan berbuat demikian seperti hadis Ibn Umm Salamah RA:

يا غلام، سم الله، وكل بيمينك، وكل مما يليك

Maksudnya: Wahai budak! Sebutlah nama Allah (ucapan basmalah), makanlah dengan tangan kanan dan makanlah yang paling hampir dengan kamu terlebih dahulu.”[12]

Apabila Nabi SAW makan sesuatu makanan atau minum sesuatu minuman maka yang perlu dititikberatkan oleh umat Islam bukanlah pada jenis makanan atau minuman Baginda SAW tersebut tetapi apa yang perlu difokuskan ialah kenapa Nabi SAW makan sedemikian, apakah hikmah disebalik menggabungkan antara mentega dan kurma kering? Kenapa Nabi SAW makan tembikai dengan kurma basah (ruttab)? adakah sesuatu makanan itu mempunyai aspek kesihatan yang baik terhadap badan? dan sebagainya.

Bahasa mudahnya, apakah tujuan yang dapat diambil daripada pemakanan Nabi SAW itu dan bagaimana cara untuk dimanfaatkan dalam kehidupan seharian. Dalam hal ini, Imam al-Bajuri menyebutkan ketika menghuraikan bab buah-buahan Nabi SAW dalam al-Syamail al-Muhammadiyyah, kata beliau:

وهذا يدل على أنه صلى الله عليه وسلم كان يراعي في أكله صفات الأطعمة، واستعمالها على قانون الطب.

Maksudnya: “Perkara ini menunjukkan bahawa Nabi SAW memberikan perhatian terhadap pemakanannya dan ciri-ciri makanan dan menyesuaikan pemakanannya dengan aspek perubatan.”[13]

Oleh itu, perkara yang patut dititikberatkan dalam aspek pemakanan Nabi SAW ini ialah tujuan disebalik pemakanan itu. Jadi sesiapa yang tidak melampaui batas dalam pemakanan, tidak melakukan pembaziran, menjaga kuantiti, memakan makanan yang sihat atau seumpamanya maka perkara tersebut adalah selari dengan sunnah Nabi SAW. Jika seseorang ingin mengikuti setiap yang dibawa oleh Nabi SAW maka ia merupakan satu sifat yang terpuji dan bukti kecintaannya kepada Baginda SAW. Bahkan dengan mencintai dan mentaati Nabi SAW akan melahirkan kecintaan dan ketaatan kepada Allah SWT sebagaimana yang dinyatakan di dalam al-Quran:

مَّن يُطِعِ الرَّسُولَ فَقَدْ أَطَاعَ اللَّـهَ ۖ وَمَن تَوَلَّىٰ فَمَا أَرْسَلْنَاكَ عَلَيْهِمْ حَفِيظًا

Maksudnya: “Sesiapa yang taat kepada Rasulullah SAW, maka sesungguhnya dia telah taat kepada Allah SWT dan sesiapa yang berpaling ingkar, maka (janganlah kamu berdukacita wahai Muhammad), kerana Kami tidak mengutuskanmu untuk menjadi pengawal (yang memelihara mereka daripada melakukan kesalahan).”

(Surah al-Nisa’ :80)

Kesimpulan

i. Setiap makanan dan pemakanan Nabi SAW adalah sesuatu perkara yang merujuk kepada tabiat Nabi SAW sebagai seorang manusia dan ia termasuk dalam kategori Sunnah Ghayr Tasyriʻiyyah yang bersifat luas.

ii. Antara sunnah Nabi SAW ialah memakan makanan yang sihat. Kurma dan mentega merupakan makanan yang pernah dimakan oleh Nabi SAW. Namun mungkin sifat mentega pada zaman Rasulullah SAW sedikit berbeza dengan yang berada di pasaran sekarang.

iii. Sesiapa yang memakan kurma dan mentega dengan niat mengikut Nabi SAW maka ia mendapat pahala dengan sebab kecintaannya kepada Nabi SAW. Wallahuaʻlam.

 

Rujukan:

[1] Abu Daud Sulaiman bin al-Asyʻath, Sunan Abi Daud, ed. Syu‘aib al-Arna’ut (t.tp.: Dar al-Risalah al-‘Alamiyyah, 2009), jld. 5: hlm. 648.

إسناده صحيح

[2] Muhammad Asyraf al-‘Azim al-Abadi, ‘Aun al-Maʻbud Syarh Sunan Abi Daud, ed. ‘Abd al-Rahman ‘Imad (Kaherah: Syarikah al-Quds, 2011), jld. 1: hlm. 19.

وما لم أذكر فيه شيئا فهو صالح

[3] Abu Daud Sulaiman bin al-Asyʻath, Sunan Abi Daud, ed. Muhammad Muhy al-Din ‘Abd al-Hamid (Beirut: al-Maktabah al-ʻAsriyyah, t.t.), jld. 3: hlm. 363.

باب في الجَمْعِ بَيْن لَوْنَيْنِ في الأَكْلِ

[4] Ibn Ruslan al-Syafi’I, Syarh Sunan Abi Daud (Mesir: Dar al-Fallah li al-Bahth al-‘Ilm wa Tahqiq al-Turath, 2016), jld. 15: hlm. 493-494.

[5] Qomusika: Arab-Melayu-Inggris: Kamus Klasik Kontemporer, entri “مخض” (Kaherah: Madina, 2013), hlm. 1200.

[6] Qamus Idris al-Marbawi: ‘Arabi-Melayu, entri “زبد”, (Beirut: Dar al-Fikr, 1354), hlm. 260.

[7] Rujuk https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=kepala+susu.

[8] Deosarkar S.S., Khedkar C.D. and Kalyankar S.D. Butter: Manufacture. In: Caballero, B., Finglas, P., and Toldrá, F. (eds.) The Encyclopedia of Food and Health vol. 1, (Oxford: Academic Press, 2016), pp. 529.

Butter is a dairy product made by churning fresh or fermented cream or milk. Conversion of milk fat into butter is a very old way of preserving milk fat. Butter accounts for a major portion of the nutritive value of milk…Butter consists of butterfat, water, and milk proteins. Most frequently made from cow milk, butter can also be manufactured from the milk of other mammals, including sheep, goats, buffalo, camels, and yaks. The most dominant source for production of butter today is bovine milk.

[9] Abu al-Hasan al-Sindi, Fath al-Wadud fi Syarh Sunan Abi Daud, ed. Muhammad Zaki al-Khauli (Damanhur: Makabah Layyinah, 2010), jld. 3: hlm. 755.

يجب الجمع بينهما لأن دسومة الزبد تذهب عضوضة التمر

[10] Abu Bakr Ibn al-Sunni al-Dainuri, al-Tibb al-Nabawi, ed. ‘Abdullah bin ‘Abd al-‘Aziz bin Amin al-Syabrawi (Kaherah: Dar al-Risalah, 2012), hlm. 160.

الزبد نافع للقوباء ولخشونة الحلق

[11] Sunnah yang tidak disyariatkan berupa tabiat Nabi SAW sebagai seorang manusia seperti cara bangun, duduk, berjalan, tidur, makan, minum dan lain-lain.

[12] Muhammad Mustafa al-Zuhaili, al-Wajiz fi Usul al-Fiqh al-Islami (Syria: Dar al-Khair li al-Tibaʻah wa al-Nasyr wa al-Tauziʻ, 2006), jld. 1: hlm. 189.

ما صدر عن رسول الله بمقتضى طبيعته الإنسانية من قيام وقعود ومشي ونوم وأكل وشرب وغير ذلك من الأفعال فلا تعتبر تشريعًا؛ لأن هذه الأعمال صدرت عنه بصفته الإنسانية وليس بصفته التشريعية، ويطلق عليها العلماء الأفعال الجبلية، إلا إذا قام الدليل على أن المقصود من فعله الاقتداء فتكون تشريعًا بهذا الدليل، وليس بمجرد صدوره عنه، كالأكل باليد اليمنى الذي ورد في حديث ابن أم سلمة "يا غلام، سم الله، وكل بيمينك، وكل مما يليك"

[13] Ibrahim bin Muhammad al-Bajuri, al-Mawahib al-Laduniyyah ‘ala al-Syama’il al-Muhammadiyyah, ed. ‘Imad Zaki al-Barudi (Kaherah: Dar Mustafa li al-Tibaʻah, 2015), hlm. 292.