Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM EDISI KHAS RAMADAN SIRI KE 260: ADAKAH BOLEH SI ANAK MEMBAYAR ZAKAT FITRAH UNTUK IBU BAPANYA?

ADAKAH_BOLEH_SI_ANAK MEMBAYAR_ZAKAT_FITRAH_UNTUK_IBU_BAPANYA.jpg

 

Soalan:

Assalamualaikum SS Mufti. Di sini saya ada satu soalan berkaitan dengan zakat fitrah. Sebagai seorang anak, bolehkah saya mengeluarkan zakat bagi pihak kedua ibu bapa saya sedangkan mereka kedua-duanya masih mampu untuk membayar zakat. Mohon pencerahan daripada pihak Datuk Mufti dan asatizah. Terima Kasih.

Ringkasan Jawapan:

Zakat fitrah diwajibkan ke atas diri sendiri dan mereka yang berada di bawah tanggungan nafkah seperti isteri, anak-anak serta ibu bapa yang berada di bawah tanggungannya. Oleh yang demikian, seorang anak tidak wajib mengeluarkan zakat fitrah untuk ibu bapanya yang berkemampuan. Bahkan zakat yang dikeluarkan itu tidak sah melainkan dengan mendapat keizinan daripada kedua-duanya.

Huraian Jawapan:

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT tuhan semesta alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar nabi Muhammad SAW, para sahabat serta mereka yang mengikut jejak langkah baginda hingga hari kiamat.

Secara asasnya, individu yang telah diwajibkan untuk mengeluarkan zakat fitrah diwajibkan juga membayar zakat bagi mereka yang berada di bawah tanggungan nafkahnya. Perkara ini berasaskan kepada kaedah fiqh sebagaimana yang dinyatakan oleh ibn Naqib yang berbunyi:

ومنْ ‌لزمتهُ ‌فطرتُهُ ‌لزمتهُ فطرةُ كلِّ منْ تلزمُهُ ‌نفقتهُ

Maksudnya: “Sesiapa yang diwajibkan membayar zakat fitrah, maka diwajibkan juga untuk membayar zakat fitrah untuk setiap individu yang wajib diberi nafkah (di bawah tanggungannya).”[1]

Berdasarkan kaedah di atas, golongan berada di bawah tanggungan seseorang individu itu ialah seseorang yang diwajibkan nafkah dengan sebab perkahwinan atau hubungan pertalian yang terdekat atau berkhidmat di bawahnya. Oleh itu, wajib mengeluarkan zakat fitrah bagi isteri dan anak-anak dibawah tanggungannya.[2]  

Adapun bagi situasi anak yang ingin membayar zakat bagi pihak kedua ibu bapanya yang berkemampuan, seorang anak tidak wajib mengeluarkan zakat fitrah untuk ibu bapa kerana bukan di bawah tanggungannya. Menurut al-Dimyathi:

الابن - لا يلزمه فطرة زوجة أبيه، أو مستولدته

Maksudnya: “Seorang anak tidak diwajibkan baginya zakat fitrah bagi isteri ayahnya (ibu) atau ibu kandung.”[3]

(Rujuk I‘anah al-Talibin fi Hil Alfaz Fath al-Mu‘in: 2/191)

Oleh yang demikian, tidak wajib bagi seorang anak mengeluarkan zakat fitrah untuk ibu bapanya yang berharta bahkan zakatnya tidak sah. Hal ini sama seperti hukum bapa yang tidak diwajibkan mengeluarkan zakat bagi anak yang mempunyai harta, bahkan perlu kepada keizinan untuk mengeluarkan zakat bagi pihak mereka.[4] Namun sekiranya kedua ibu bapa berada di bawah tanggungannya seperti ibu bapa yang miskin maka ia boleh mengeluarkan zakat fitrah bagi kedua-duanya.

Kesimpulan:

  1. Zakat fitrah diwajibkan ke atas diri sendiri dan mereka yang berada di bawah tanggungan nafkah seperti isteri, anak-anak serta ibu bapa yang berada di bawah tanggungannya.
  2. Tidak diwajibkan bagi seorang anak mengeluarkan zakat fitrah untuk ibu bapanya berkemampuan dan berharta. Bahkan zakat yang dikeluarkan itu tidak sah melainkan dengan mendapat keizinan daripada kedua-duanya.

WallahuA’lam

 

Rujukan:

[1] Ibn al-Naqib, Ahmad. ‘Umdah al-Salik wa ‘Umdah al-Nasik. (Qatar: al-Syuun al-Diniyyah, Ed 1, 1982) hlm 107

[2] Al-Zuhayli, Muhammad. Al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i. (Damsyik: Dar al-Qalam, Ed 4, 2013) Jld 2 hlm 99.

كما يجب عليه أن يخرجها عمَّن تلزمه نفقته بسبب النكاح أو القرابة أو الخدمة، فيلزمه زكاة الفطر عن زوجته، وأبويه، وأبنائه الذين ينفق عليهم.

[3] Al-Dimyathi, ‘Uthman bin Muhammad Shata, I‘anah al-Talibin fi Hil Alfaz Fath al-Mu‘in. (Dar al-Fikr, Ed 1, 1997) Jld 2, hlm 191.

[4] Al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i. Jld 2 hlm 9.

أما الابن البالغ القادر على الاكتساب فلا يجب على الأب أن يخركها عنه, كما لا يخرجها عن قريبه الذي يكلف بالانفاق عليه, ولا يصح أن يخرجها هؤلاء إلا بإذنهم