Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM EDISI KHAS RAMADAN SIRI KE 262: BENARKAH BATAL PUASA SEKIRANYA NAJIS YANG KELUAR KEMUDIAN MASUK SEMULA

BENARKAH_BATAL_PUASA_SEKIRANYA_NAJIS_YANG_KELUAR_KEMUDIAN_MASUK_SEMULA.jpg

 

Soalan

Assalamualaikum saya ada satu kemusykilan. Saya ada melihat satu video berkenaan boleh membatalkan puasa sekiranya seseorang itu membuang najis kemudian najis tersebut masuk semula. Perkara ini mungkin boleh berlaku sekiranya najis tersebut keras disebabkan sembelit. Bolehkah Jabatan Mufti Wilayah terangkan. Terima kasih.

Ringkasan Jawapan

Menurut mazhab al-Syafi‘i, batal puasa sekiranya najis yang keluar kemudian masuk semula selepas dikemut sehingga sampai ke kawasan dalam dubur.

Huraian Jawapan

Salah satu perkara yang boleh membatalkan puasa adalah dengan masuknya sesuatu jirim(ain) ke dalam rongga yang terbuka(manfaz maftuh). Rongga terbuka adalah mulut, telinga, kemaluan, dubur bagi lelaki atau perempuan.[1] Menurut Imam al-Khatib al-Syirbini, memasukkan sesuatu ke dalam rongga terbuka walaupun hanya sebesar biji bijan secara sengaja sehingga masuk ke dalam had batin maka batal puasanya.[2]

Menurut Syeikh Abu Bakar Syata al-Dimyati, batal puasa sekiranya memasukkan hujung jari ke dalam lubang duburnya. Kenyataannya seperti berikut:

يفطر وصول بعض الأنملة إلى المسربة وهي مجرى الغائط ومخرجه وقيل حلقة الدبر

Maksudnya: Batal puasa dengan memasukkan sedikit hujung jari ke dalam lubang dubur, iaitu saluran najis dan tempat keluarnya. Disebut juga lingkaran lubang dubur.[3]

Isu najis yang keluar kemudian masuk semula ke dalam lubang dubur pernah dibahaskan oleh Imam al-Bujairimi bahawa najis yang tidak terputus keluar melalui lubang dubur kemudian diputuskan dengan mengemut duburnya kemudian sebahagian najis tersebut masuk semula ke dalam duburnya secara pasti, maka batal puasanya. Kata beliau:

قَوْلُهُ: (دُخُولُ طَرْفِ أُصْبُعٍ) وَمِثْلُهُ غَائِطٌ خَرَجَ مِنْهُ وَلَمْ يَنْفَصِلْ ثُمَّ ضَمَّ دُبُرَهُ وَدَخَلَ شَيْءٌ مِنْهُ إلَى دَاخِلِ دُبُرِهِ حَيْثُ تَحَقَّقَ دُخُولُ شَيْءٍ مِنْهُ بَعْدَ بُرُوزِهِ؛

Maksudnya: (Batal puasa) Masuk hujung jari, sebagai contoh najis yang keluar daripadanya (lubang dubur) dan tidak terputus lalu dikemut duburnya kemudian sebahagian daripada najis masuk semula ke dalam duburnya sekiranya dipastikan najis tersebut masuk sehingga melepasi lingkaran lubang dubur.[4]

Imam al-Bujairimi menjelaskan lagi, bahawa had masuk najis tersebut mestilah melalui bahagian rongga terbuka dubur masuk sehingga kawasan dalam yang tidak wajib dibasuh maka batal puasa. Beliau berkata:

وَضَابِطُ الدُّخُولِ الْمُفْطِرِ أَنْ يُجَاوِزَ الدَّاخِلُ مَا لَا يَجِبُ غَسْلُهُ فِي الِاسْتِنْجَاءِ، بِخِلَافِ مَا يَجِبُ غَسْلُهُ فِي الِاسْتِنْجَاءِ فَلَا يُفْطِرُ إذَا أَدْخَلَ أُصْبُعَهُ لِيَغْسِلَ الطَّيَّاتِ الَّتِي فِيهِ.

Maksudnya: Had penentuan “masuknya sesuatu (pada dubur)” yang boleh membatalkan puasa apabila seseorang basuh melebihi bahagian yang bukan wajib dibasuh ketika beristinjak berbeza dengan bahagian yang wajib dibasuh ketika beristinjak. Oleh itu, sekiranya seseorang memasukkan jarinya untuk membasuh lipatan dubur (kotoran), ia tidak membatalkan puasa.[5]

Kesimpulan

Batal puasa sekiranya najis yang keluar kemudian masuk semula selepas dikemut sehingga sampai ke kawasan dalam dubur.

Wallahu’alam

 

Rujukan: 

[1] Dr. Mustafa al-Khin, Dr. Mustafa al-Bugha & ‘Ali al-Syirbiji. al-Fiqh al-Manhaji. (Damsyiq: Dar al-Qalam, 1992). Jld 2. Hlm 84.

وصول عين إلى الجوف من منفذ مفتوح: والمقصود بالعين: أي شيء تراه العين. والجوف: هو الدماغ أو ما وراء الحلق إلى المعدة والأمعاء. والمنفذ المفتوح: هو الفم والأذن والقبل والدبر من الذكر والأنثى. فالقطرة من الأذن مفطرة، لأنها منفذ مفتوح. والقطرة في العين مفطرة، لأنه منفذ غير مفتوح

[2] Al-Khatib al-Syirbini, al-Iqna’ fi Hal Alfaz Abi Syuja’. (Beirut: Dar al-fikr, t.tp) Jld. 1 Hlm. 237

(وَاَلَّذِي يَفْطُرُ بِهِ الصَّائِمُ عَشَرَةُ أَشْيَاءَ) الْأَوَّلُ (مَا وَصَلَ) مِنْ عَيْنٍ، وَإِنْ قَلَّتْ كَسِمْسِمَةٍ (عَمْدًا) مُخْتَارًا عَالِمًا بِالتَّحْرِيمِ (إلَى) مُطْلَقِ (الْجَوْفِ) مِنْ مَنْفَذٍ مَفْتُوحٍ سَوَاءٌ كَانَ يُحِيلُ الْغِذَاءَ أَوْ الدَّوَاءَ أَمْ لَا كَبَاطِنِ الْحَلْقِ وَالْبَطْنِ وَالْأَمْعَاءِ.

[3] Abu Bakr ‘Usman bin Muhammad Syata al-Dimyati, I’anah al-Talibin ala Hal Alfaz Fath al-Mu’in. (Beirut: Dar al-Fikr, 1418) Jld. 2 Hlm. 258

[4] Sulaiman bin Muhammad al-Bujairimi, Hasyiah al-bujairimi ala al-Khatib. (t.t: Dar al-Fikr, 1415) Jld.2 Hlm. 380

[5] Ibid.