Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM EDISI KHAS RAMADAN SIRI KE 263: ZAKAT FITRAH BAGI ANAK YATIM KEMATIAN BAPA

ZAKAT_FITRAH_BAGI_ANAK_YATIM_KEMATIAN_AYAH.jpg

SOALAN

Assalamualaikum. Siapa yang dipertanggungjawab untuk membayar zakat fitrah bagi anak yatim yang kematian ayah? Adakah si ibu yang perlu membayar zakat tersebut?

Mohon penjelasan. Terima kasih.

RINGKASAN JAWAPAN

Sekiranya anak yatim bapa, maka si ibu wajib untuk memberi nafkah kepadanya jika tidak mempunyai usul yang lain daripada datuk dan ke atas. Justeru itu, si ibu wajib untuk mengeluarkan zakat fitrah bagi anak yang berada di dalam tanggungan kewajipan nafkahnya tersebut.

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Hukum zakat fitrah adalah wajib kepada setiap individu muslim yang cukup syarat iaitu Islam, masuknya waktu wajib dan mempunyai lebihan harta pada siang dan malam hari raya. Selain itu, seseorang yang mempunyai tanggungan yang wajib diberikan nafkah, maka dia juga bertanggungjawab terhadap tanggungannya tersebut seperti anak-anak yang masih kecil, ibu bapa yang dijaganya dan isteri. Hal ini sepertimana yang disebutkan oleh Imam Zakariyya al-Ansari bahawa:

(فَصْلٌ كُلُّ مَنْ وَجَبَتْ نَفَقَتُهُ) عَلَى غَيْرِهِ (بِزَوْجِيَّةٍ أَوْ مِلْكٍ أَوْ قَرَابَةٍ وَجَبَتْ فِطْرَتُهُ) عَلَيْهِ أَمَّا فِي الْمِلْكِ فَلِخَبَرِ مُسْلِمٍ «لَيْسَ عَلَى الْمُسْلِمِ فِي عَبْدِهِ وَلَا فَرَسِهِ صَدَقَةٌ إلَّا صَدَقَةُ الْفِطْرِ فِي الرَّقِيقِ» وَأَمَّا فِي الْبَاقِي فَبِالْقِيَاسِ عَلَيْهِ بِجَامِعِ وُجُوبِ النَّفَقَةِ

Maksudnya: Fasal: Setiap orang yang wajib memberi nafkah kepada orang lain seperti isteri, hamba sahaya, kaum kerabat yang dinafkahinya, maka wajib ke atasnya untuk mengeluarkan zakat fitrah bagi mereka. Adapun berkaitan kewajipan membayar zakat bagi pihak hamba adalah berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Muslim, sabda Baginda SAW, ‘Tidak dikenakan zakat terhadap seorang muslim terhadap apa yang dimilikinya daripada kuda dan hamba kecuali hanya zakat fitrah bagi hamba sahaja’. Adapun dalil bagi yang lain maka diqiaskan kepada dalil yang mewajibkan nafkah ke atas mereka.[1] (Rujuk Asna al-Matalib, 1:388)

Justeru itu, jika anak yatim mempunyai penjaga yang wajib untuk menafkahinya, maka wajib atas penjaga tersebut untuk membayarkan zakat fitrah bagi anak tersebut. Penjaga yang wajib menafkahinya bagi situasi anak yatim yang kematian bapa ialah datuk dan ke atas jika ada, ibu atau nenek dan ke atas jika ada. Hal ini sepertimana yang disebutkan dalam kitab al-Mu’tamad fi Fiqh al-Syafie bahawa:

يجب على الأصل وهو الوالد والجد وان علا و الأم والجدة وان علت نفقة الولد: الابن و ابن الابن وان نزل، والبنت و بنت الابن و ابن البنت وبنت البنت وان نزلت.

Maksudnya: Wajib ke atas usul iaitu bapa dan datuk ke atas dan juga ibu dan nenek ke atas untuk memberi nafkah kepada anak iaitu merangkumi anak lelaki dan cucu lelaki daripada anak lelaki hingga ke bawah, anak perempuan dan cucu perempuan daripada anak lelaki dan cucu lelaki daripada anak perempuan, cucu perempuan daripada anak perempuan sehingga ke bawah.[2] (Rujuk al-Mu’tamad fi Fiqh al-Syafie, 15:125)

Oleh yang demikian, dalam situasi yang disebutkan di dalam soalan, si ibu wajib memberi nafkah kepada anaknya yang masih kecil dan wajib mengeluarkan zakat fitrah baginya, berdasarkan kewajipan memberi nafkah kepadanya.

Manakala bagi orang anak yatim piatu yang tiada penjaga yang wajib menafkahinya dan orang yang kurang akal (gila) yang berharta pula, maka dikeluarkan zakat fitrah daripada hartanya sendiri sekiranya ada. Ini berdasarkan apa yang disebut oleh al-Mawardi bahawa:

وَيَجِبَ ‌أَنْ ‌يُخْرِجَ ‌زَكَاةَ ‌الْفِطْرِ عَنْهُمَا مِنْ أَمْوَالِهِمَا

Maksudnya: Wajib untuk dikeluarkan zakat fitrah daripada kedua-duanya (iaitu orang gila dan kanak-kanak) daripada harta kedua-duanya. (Rujuk al-Hawi al-Kabir, 15:125)

Kesimpulan

Jika anak yatim bapa, si ibu wajib untuk memberi nafkah kepadanya jika tidak mempunyai usul yang lain daripada datuk dan ke atas. Justeru itu, si ibu juga wajib untuk mengeluarkan zakat fitrah bagi anak yang berada di dalam tanggungan kewajipan nafkahnya tersebut.

Manakala anak yatim piatu yang mempunyai harta dan mencukupi syarat yang diwajibkan untuk dikeluarkan zakat fitrah, maka penjaganya yang lain bertanggungjawab untuk mengeluarkan zakat bagi pihak kanak-kanak dengan harta kanak-kanak tersebut kerana mereka tidak boleh melakukannya sendiri.

Waallahu a’lam.

 

Rujukan: 

[1] Al-Ansari, Zakaria, Asna al-Matalib fi Syarh Raudh al-Talib, (Beirut: Dar al-Kitab al-Islami, t.t), 1: 388.

[2] Muhammad al-Zuhaili, al-Mu’tamad fi al-fiqh al-Syafi’e. (Damsyik: Dar al-Qalam,1434h) Jld. 4 hlm. 286.