Soalan
Assalamualaikum Datuk Mufti, saya ingin bertanya, setahu saya perbuatan jimak pada bulan Ramadan wajib dikenakan kaffarah, tapi bagaimana pula dengan mengeluarkan mani dengan sengaja, adakah ia turut dikenakan kaffarah? Mohon pandangan Datuk Mufti. Terima kasih.
Ringkasan Jawapan
Perbuatan istimna’(mengeluarkan mani dengan sengaja) pada bulan Ramadan merupakan salah satu perkara yang membatalkan puasa namun tidak diwajibkan kaffarah puasa ke atasnya.
Huraian Jawapan
Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke Hari Akhirat.
Pada dasarnya, perbuatan mengeluarkan air mani atau dalam bahasa arabnya istimna’, yang melibatkan sentuhan seperti onani dengan tangan sendiri atau isteri, tanpa lapik atau berlapik, yang disengajakan, tanpa dipaksa dan diketahui merangsang pengeluaran air mani, adalah membatalkan puasa[1].
Ibn Hajar al-Haitami menyatakan bahawa istimna’ yakni mengeluarkan mani dengan sengaja merupakan perkara yang membatalkan puasa secara mutlak meskipun berlapik[2]. Jelas di sini bahawa ia membatalkan puasa, namun adakah ia sampai kepada tahap sebagaimana persetubuhan yang diwajibkan kaffarah puasa?
Menurut mazhab Syafi‘i, tidak diwajibkan kaffarah ke atasnya. Imam al-Nawawi berkata:
إذَا اسْتَمْنَى مُتَعَمِّدًا بَطَلَ صَوْمُهُ وَلَا كَفَّارَةَ
Maksudnya: “Jika seseorang beristimna’ secara sengaja, maka batallah puasanya dan tiada kaffarah ke atasnya.[3]”
Beliau berkata lagi bahawa sekiranya puasa seseorang itu terbatal oleh sebab selain daripada jimak(persetubuhan) seperti makan, minum, istimna’ atau pergaulan yang membawa kepada keluarnya air mani, maka tiada kaffarah ke atasnya. Hal ini kerana nas kewajipan kaffarah tersebut hanya diturunkan buat mereka yang melakukan jimak dan kesemua perkara ini tidak termasuk dalam konteks hadis.[4]
Kesimpulan
Dapat kita simpulkan di sini bahawa perbuatan istimna’ (mengeluarkan mani dengan sengaja) pada bulan Ramadan merupakan salah satu perkara yang membatalkan puasa namun tidak diwajibkan kaffarah puasa ke atasnya.
Wallahu A‘lam.
Rujukan:
[1] Sa‘id bin Muhammad Ba‘aliy Ba‘isyn, Busyra al-Karim bi Syarh Masa’il al-Ta‘lim, (Jeddah: Dar al-Minhaj, cetakan pertama, 1425H/2004M), hlm. 548.
(وعن الاستمناء) أي: بإخراج المني بغير جماع حراماً كان كإخراجه بيده، أو حلالاً في غير نحو صوم كإخراجه بيد حليلته، فيفطر به واضح ومشكل، خرج من فرجيه ولو بحائل إن علم وتعمد واختار؛ لأنه أولى من مجرد إيلاج.
[2] Ahmad bin Muhammad bin ‘Ali bin Hajar al-Haitami, Tuhfat al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, (Mesir: Al-Maktabah al-Tijariyah al-Kubra, t.c, 1357H/1983M), 3/409.
(عَنْ الِاسْتِمْنَاءِ) أَيْ: وَلَوْ بِحَائِلٍ كَمَا هُوَ ظَاهِرٌ بَصْرِيٌّ وع ش عِبَارَةُ سم عِبَارَةُ الْمَنْهَجِ وَاسْتِمْنَاؤُهُ وَلَوْ بِنَحْوِ لَمْسٍ بِلَا حَائِلٍ اهـ قَالَ فِي شَرْحِهِ بِخِلَافِ مَا لَوْ كَانَ ذَلِكَ بِحَائِلٍ اهـ وَقَضِيَّتُهُ أَنَّ مَنْ عَبِثَ بِذَكَرِهِ بِحَائِلٍ حَتَّى أَنْزَلَ لَمْ يُفْطِرْ وَفِيهِ نَظَرٌ ظَاهِرٌ اهـ وَعِبَارَةُ شَيْخِنَا، وَالْحَاصِلُ أَنَّ الِاسْتِمْنَاءَ وَهُوَ طَلَبُ خُرُوجِ الْمَنِيِّ مَعَ نُزُولِهِ مُفْطِرٌ مُطْلَقًا وَلَوْ بِحَائِلٍ اهـ.
[3] Yahya bin Syaraf al-Nawawi, al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, (t.tp: Dar al-Fikr, t.c, t.t), 6/342. Lihat juga: Muhammad bin Ahmad al-Khatib al-Syirbini, Mughni al-Muhtaj Ila Ma‘rifat Ma‘ani Alfaz al-Minhaj, (t.tp: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, cetakan pertama, 1415H/1994M), 2/178.
ثُمَّ شَرَعَ فِي مُحْتَرَزِ بَقِيَّةِ الْقُيُودِ السَّابِقَةِ بِقَوْلِهِ (فَلَا كَفَّارَةَ عَلَى نَاسٍ) أَوْ مُكْرَهٍ أَوْ جَاهِلِ التَّحْرِيمِ، فَهُوَ مُحْتَرَزُ قَوْلِهِ بِإِفْسَادٍ؛ لِأَنَّ صَوْمَهُ لَمْ يَفْسُدْ بِذَلِكَ كَمَا مَرَّ، وَمَنْ نَسِيَ النِّيَّةَ وَأُمِرَ بِالْإِمْسَاكِ فَجَامَعَ لَا كَفَّارَةَ عَلَيْهِ قَطْعًا (وَلَا) عَلَى (مُفْسِدٍ غَيْرَ رَمَضَانَ) مِنْ نَفْلٍ أَوْ نَذْرٍ أَوْ قَضَاءٍ أَوْ كَفَّارَةٍ، وَهَذَا مُحْتَرَزُ قَوْلِهِ رَمَضَانَ؛ لِأَنَّ النَّصَّ وَرَدَ فِيهِ، وَهُوَ أَفْضَلُ الشُّهُورِ، وَمَخْصُوصٌ بِفَضَائِلَ لَمْ يُشَارِكْهُ فِيهَا غَيْرُهُ، فَلَا يَصِحُّ قِيَاسُ غَيْرِهِ عَلَيْهِ (أَوْ) مُفْسِدِ رَمَضَانَ (بِغَيْرِ الْجِمَاعِ) كَالْأَكْلِ وَالشُّرْبِ وَالِاسْتِمْنَاءِ بِالْيَدِ وَالْمُبَاشَرَةِ فِيمَا دُونَ الْفَرْجِ الْمُفْضِيَةِ إلَى الْإِنْزَالِ وَهَذَا مُحْتَرَزُ قَوْلِهِ بِجِمَاعٍ؛ لِأَنَّ النَّصَّ وَرَدَ فِي الْجِمَاعِ وَمَا عَدَاهُ لَيْسَ فِي مَعْنَاهُ
[4] Al-Nawawi, al-Majmu‘, 6/341.
{فَرْعٌ} إذَا أَفْسَدَ صَوْمَهُ بِغَيْرِ الْجِمَاعِ كَالْأَكْلِ وَالشُّرْبِ وَالِاسْتِمْنَاءِ وَالْمُبَاشَرَاتِ الْمُفْضِيَاتِ إلَى الْإِنْزَالِ فَلَا كَفَّارَةَ لِأَنَّ النَّصَّ وَرَدَ فِي الْجِمَاعِ وَهَذِهِ الْأَشْيَاءُ لَيْسَتْ فِي مَعْنَاهُ هَذَا هُوَ الْمَذْهَبُ وَالْمَنْصُوصُ