Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM EDISI KHAS RAMADAN SIRI KE 277: BOLEHKAH SENGAJA BERMUSAFIR UNTUK MENDAPATKAN RUKHSAH BERBUKA PUASA?

BOLEHKAH_SENGAJA_BERMUSAFIR_UNTUK_MENDAPATKAN_RUKHSAH_BERBUKA_PUASA.jpg

Soalan 

Nak tanya, bolehkah kita sengaja naik kereta pergi jalan jauh melebihi 2 marhalah semata-mata untuk mendapatkan rukhsah untuk berbuka puasa Ramadan? Terima kasih.

Ringkasan Jawapan

Secara asasnya, seorang yang bermusafir diberikan keringanan untuk berbuka puasa pada hari musafirnya di bulan Ramadan dan menggantikannya pada hari yang lain. Namun, rukhsah ini tidak terpakai kepada mereka yang bermusafir hanya semata-mata kerana ingin mendapatkan rukhsah tersebut. Oleh yang demikian, seseorang itu diharamkan untuk berbuka puasa, sebaliknya dia wajib untuk meneruskan puasanya sehingga selesai.

Huraian Jawapan

Berpuasa pada bulan Ramadan adalah merupakan salah satu daripada rukun Islam. Setiap orang Islam yang mukalaf wajib untuk menunaikan puasa pada bulan Ramadan. Perintah untuk menunaikan puasa adalah bersandarkan kepada firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Terjemahan:Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa”.

(Al-Baqarah: 183)

Walaupun secara asasnya puasa diwajibkan ke atas mereka yang memenuhi syarat-syarat wajib berpuasa, namun syariat Islam yang merupakan syariat yang tidak bertujuan untuk menyusahkan umat Islam telah menetapkan beberapa keadaan tertentu yang diberikan keringanan untuk tidak berpuasa dan menggantikannya pada hari yang lain. Hal ini adalah seperti yang difirmankan oleh Allah SWT:

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِّنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ ۚ فَمَن شَهِدَ مِنكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ ۖ وَمَن كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ ۗ يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ

Terjemahan:(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, Kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran...”.

(Al-Baqarah: 185)

Keringanan Bagi Musafir Untuk Tidak Berpuasa

Berdasarkan kepada ayat ke-185 daripada Surah al-Baqarah di atas, dapat difahami bahawa orang yang bermusafir diberikan keringanan untuk tidak berpuasa pada hari tersebut dan menggantikannya semula pada hari yang lain. Syeikh al-Khaṭīb al-Shirbīniy menghuraikan mengenai keringanan bagi orang yang bermusafir untuk berbuka puasa seperti berikut:[1]

(وَ) يُبَاحُ تَرْكُهُ (لِلْمُسَافِرِ سَفَرًا طَوِيلًا مُبَاحًا) وَقَدْ تَقَدَّمَ الْكَلَامُ عَلَى هَذِهِ الْمَسْأَلَةِ فِي صَلَاةِ الْمُسَافِرِ، وَأَنَّ الْفِطْرَ أَفْضَلُ إنْ تَضَرَّرَ وَإِلَّا فَالصَّوْمُ

Terjemahan:Dibolehkan (hukum harus) untuk meninggalkannya (puasa) [bagi musafir yang melakukan perjalanan jauh yang dibolehkan]. Perbincangan mengenai isu ini telah disebut sebelum ini dalam bab solat musafir. Berbuka puasa lebih afdal jika berpuasa boleh mendatangkan kemudaratan. Namun, jika tidak mendatangkan kemudaratan, maka berpuasa adalah lebih baik”.

Sungguhpun orang yang bermusafir diberikan keringanan untuk berbuka puasa dan menggantikannya pada hari yang lain, namun rukhsah ini tidak diberikan kepada mereka yang sengaja bermusafir dengan niat untuk mendapatkan rukhsah semata-mata. Hal ini dijelaskan oleh Imam Ibn Hajar seperti berikut:[2]

وَلَا يُبَاحُ الْفِطْرُ حَيْثُ لَمْ يَخْشَ مُبِيحَ تَيَمُّمٍ لِمَنْ قَصَدَ بِسَفَرِهِ ‌مَحْضَ ‌التَّرَخُّصِ كَمَنْ سَلَكَ الطَّرِيقَ الْأَبْعَدَ لِلْقَصْرِ

Terjemahan:Haram berbuka puasa jika tidak dikhuatiri berlaku sesuatu yang membolehkan tayammum; bagi seseorang yang bermusafir semata-mata untuk mendapatkan rukhsah, seperti seseorang yang sengaja memilih jalan yang lebih jauh dengan tujuan untuk menqasarkan solat”.

Huraian Imam Ibn Hajar di atas menunjukkan bahawa seseorang yang bermusafir tidak boleh berbuka puasa sekiranya dia bermusafir dengan niat semata-mata untuk mendapatkan rukhsah. Justeru, dalam keadaan ini dia diharamkan untuk berbuka puasa, dan hendaklah meneruskan puasanya sehingga selesai.

Kesimpulan

Berdasarkan kepada penjelasan dan perincian yang diberikan di dalam artikel ini, maka perkara-perkara berikut boleh dirumuskan sebagai kesimpulan:

  1. Pemusafiran adalah merupakan salah satu sebab yang membolehkan kepada seseorang untuk tidak berpuasa. Namun, seseorang yang berbuka puasa hendaklah menggantikannya semula pada hari lain.
  1. Rukhsah untuk berbuka puasa ini tidak diberikan kepada orang yang bermusafir dengan semata-mata ingin mendapatkan rukhsah tersebut.
  1. Orang yang bermusafir dengan semata-mata untuk mendapatkan rukhsah adalah diharamkan berbuka puasa. Sebaliknya, dia dianggap sebagai orang yang tidak bermusafir dan wajib untuk meneruskan puasanya sehingga selesai.

WaLlāhu A’lam

 

Rujukan: 

[1] Shams al-Dīn Muḥammad al-Khaṭīb al-Shirbīniy (1994), Mughnī al-Muḥtāj ilā Maʻrifah Maʻāni al-Minhāj, Beirut: Dār al-Kutub al-'Ilmiyyah, 2:169.

[2] Aḥmad bin Muḥammad bin ‘Aliy bin Ḥajar al-Haythamiy (1983), Tuḥfah al-Muḥtāj fī Sharḥ al-Minhāj. Kaherah: Al-Maktabah al-Tijāriyyah al-Kubrā, 3:430.