Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM EDISI KHAS RAMADAN SIRI KE 278: HUKUM ZAKAT FITRAH YANG TERTUNGGAK

HUKUM_ZAKAT_FITRAH_YANG_TERTUNGGAK.jpg

Soalan

Assalamualaikum w.b.t, saya ada satu persoalan. Saya tidak mengeluarkan zakat fitrah sudah hampir 10 tahun sedangkan saya berkemampuan untuk membayarnya dan telah mencukupi syarat-syarat wajib zakat fitrah. Adakah saya wajib mengeluarkan zakat fitrah pada tahun-tahun sebelumnya ? Mohon penjelasan SS Datuk Mufti

Ringkasan Jawapan

Hukum bagi orang yang sengaja melewatkan pembayaran zakat fitrah sehingga berlalunya aidil fitri adalah haram dan berdosa. Pelakunya wajib mengqada zakat fitrah (membayar semula) sebanyak jumlah yang tertunggak. Hal ini kerana zakat fitrah merupakan ibadah yang terikat dengan waktu tertentu maka wajib diqada dengan segera.

Huraian Jawapan

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, ahli keluarga Baginda, para sahabat, serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke hari Kiamat.

Allah SWT telah mensyariatkan kewajipan zakat fitrah ke atas setiap umat Islam yang hidup pada bulan Ramadan sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Umar RA, katanya:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فَرَضَ زَكَاةَ الْفِطْرِ مِنْ رَمَضَانَ عَلَى النَّاسِ صَاعًا مِنْ تَمْرٍ أَوْ صَاعًا مِنْ شَعِيرٍ عَلَى كُلِّ حُرٍّ أَوْ عَبْدٍ ذَكَرٍ أَوْ أُنْثَى مِنَ الْمُسْلِمِينَ ‏

Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW telah mewajibkan zakat fitrah pada bulan Ramadhan ke atas setiap manusia sebanyak satu gantang tamar dan satu gantang gandum (makanan asasi) bagi setiap orang yang merdeka atau hamba lelaki mahupun perempuan.”

(Riwayat Muslim)

Syarat wajib zakat fitrah

Kewajipan zakat fitrah terikat dengan syarat-syarat berikut[1]:

  1. Islam.
  2. Terbenam matahari pada akhir Ramadan (malam raya Aidilfitri) iaitu sesiapa yang meninggal selepas terbenam matahari akhir Ramadan, maka diwajibkan keluar zakat fitrah bagi pihaknya. Begitu juga anak yang lahir sebelum matahari jatuh pada akhir Ramadan dan hidup selepas terbenam matahari. Tetapi tidak diwajibkan zakat fitrah sesiapa yang lahir selepas terbenam matahari akhir Ramadan.
  3. Mempunyai lebihan makanan atau harta dari keperluannya dan tanggungannya pada malam dan pagi raya Aidilfitri.

Melewatkan Zakat Fitrah

Imam al-Nawawi menyatakan bahawa haram dan berdosa hukumnya jika seseorang itu melewatkan zakat fitrah selepas hari raya:[2]

وَإِنْ أَخَّرَهَا عَنْ يَوْمِ الْفِطْرِ أَثِمَ

Maksudnya: “Dan sekiranya seseorang melewatkan zakat fitrah selepas hari raya fitrah, maka dia berdosa”

Syeikh al-Bujairimi menjelaskan lagi bahawa pengharaman itu berlaku apabila dilakukan dengan sengaja tanpa sebarang keuzuran seperti tidak memiliki harta atau tiada individu yang berhak menerima zakat. Hal ini kerana, tujuan pensyariatan zakat fitrah itu sendiri adalah untuk mencukupkan keperluan penerima zakat bagi mengelakkan mereka daripada meminta-minta pada hari raya.[3]

Qada Zakat Fitrah

Ibadah yang dilaksanakan selepas berlalu waktu yang ditetapkan dianggap sebagai qada seperti yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi seperti berikut:

وَهَذَا مَعْنَى الْقَضَاءِ فِي الِاصْطِلَاحِ وَهُوَ فِعْلُ الْعِبَادَةِ بَعْدَ وَقْتِهَا الْمَحْدُودِ

Maksudnya: Inilah pengertian qada dari sudut istilah iaitu melakukan ibadah selepas waktunya yang ditetapkan.

Sepakat ulama mazhab Syafi’i menyatakan bahawa mengeluarkan zakat fitrah selepas berlalu hari raya tahun tersebut, maka wajib membayarnya semula (qada zakat fitrah). Sebagaimana yang sedia maklum bahawa zakat fitrah merupakan ibadah yang terikat dengan waktu. Justeru apabila ia dilaksanakan di luar waktunya, maka ia akan dianggap qada seperti mana ibadah solat. Berbeza dengan zakat harta yang lain, jika sengaja dilewatkan selepas tercapai tamakkun(sampai nisab dan haulnya) maka ia dianggap berdosa dan wajib mengeluarkannya segera serta bukanlah dianggap sebagai qada. Hal ini kerana zakat harta tidak terikat dengan waktu pelaksanaan yang tertentu.[4]

Manakala, bagi mereka yang meninggalkan zakat fitrah dengan sengaja tanpa keuzuran, maka wajib mengqadanya semula dengan segera. Namun, Imam al-Zarkasyi dan al-Azrai’e tidak membezakan sama ada ia dilakukan secara sengaja atau tidak, maka tetap wajib mengqada zakat fitrah dengan segera kerana hal ini berkait dengan hak-hak manusia.[5]

Kesimpulan

Hukum bagi orang yang sengaja melewatkan pembayaran zakat fitrah sehingga berlalunya aidil fitri adalah haram dan berdosa.

Pelakunya wajib mengqada zakat fitrah (membayar semula) sebanyak jumlah yang tertunggak. Hal ini kerana zakat fitrah merupakan ibadah yang terikat dengan waktu tertentu maka wajib diqada dengan segera.

Wallahu a'lam

 

Rujukan: 

[1] Mustafa al-Khin, Mustafa al-Bugha, ‘Ali al-Syarbaji. Al-Fiqh al-Manhaji ‘ala mazhab al-Imam al-Syafi’i. (Damsyik: Dar al-Qalam,1992). Jld 1. Hlm 229.

الأول - الإسلام

الثاني- غروب شمس آخر يوم من رمضان

فمن مات بعد غروب ذلك اليوم، وجبت زكاة الفطر عنه، سواء مات بعد أن تمكن من إخراجها، أم مات قبله، بخلاف من ولد بعده. ومن مات قبل غروب شمسه لم تجب في حقه، بخلاف من ولد قبله.

الثالث- أن يوجد لديه فضل من المال، يزيد عن قوته وقوت عياله ف يوم العيد وليلته

[2] Al-Nawawi, Muhyiddin bin Syaraf. Majmu’ Syarh al-Muhazzab. (Beirut: Dar al-Fikr, t.t). Jld 6. Hlm 42.

[3] Sulaiman bin Muhammad. Hasyiah al-Bujairimi ‘ala Syarh al-Minhaj.(t.tp: Matba’ah al-Halabi, 1950). Jld 2. Hlm 46.

(وَحَرُمَ تَأْخِيرُهُ عَنْ يَوْمِهِ) أَيْ يَوْمِ الْعِيدِ بِلَا عُذْرٍ كَغَيْبَةِ مَالِهِ أَوْ الْمُسْتَحِقِّينَ، لِأَنَّ الْقَصْدَ إغْنَاؤُهُمْ عَنْ الطَّلَبِ فِيهِ

[4] Al-Nawawi, Muhyiddin bin Syaraf. Majmu’ Syarh al-Muhazzab. (Beirut: Dar al-Fikr, t.t). 6/128

وَاتَّفَقَتْ نُصُوصُ الشَّافِعِيِّ وَالْأَصْحَابِ عَلَى أَنَّ الْأَفْضَلَ أَنْ يُخْرِجَهَا يَوْمَ الْعِيدِ قَبْلَ الْخُرُوجِ إلَى صَلَاةِ الْعِيدِ وَأَنَّهُ يَجُوزُ إخْرَاجُهَا فِي يَوْمِ الْعِيدِ كُلِّهِ وَأَنَّهُ لَا يَجُوزُ تَأْخِيرُهَا عَنْ يَوْمِ الْعِيدِ وَأَنَّهُ لَوْ أَخَّرَهَا عَصَى وَلَزِمَهُ قَضَاؤُهَا وَسَمُّوا إخْرَاجَهَا بَعْدَ يَوْمِ الْعِيدِ قَضَاءً وَلَمْ يَقُولُوا فِي الزَّكَاةِ إذَا أَخَّرَهَا عَنْ التَّمَكُّنِ إنَّهَا قَضَاءٌ بَلْ قَالُوا يَأْثَمُ وَيَلْزَمُهُ إخْرَاجُهَا وَظَاهِرُهُ أَنَّهَا تَكُونُ أَدَاءً وَالْفَرْقُ أَنَّ الْفِطْرَةَ مُؤَقَّتَةٌ بِوَقْتٍ مَحْدُودٍ فَفِعْلُهَا خَارِجَ الْوَقْتِ يَكُونُ قَضَاءً كَالصَّلَاةِ وَهَذَا مَعْنَى الْقَضَاءِ فِي الِاصْطِلَاحِ وَهُوَ فِعْلُ الْعِبَادَةِ بَعْدَ وَقْتِهَا الْمَحْدُودِ بِخِلَافِ الزَّكَاةِ فَإِنَّهَا لَا تُؤَقَّتُ بِزَمَنٍ مَحْدُودٍ وَاَللَّهُ أَعْلَمُ

[5] Sulaiman bin Muhammad. Hasyiah al-Bujairimi ‘ala Syarh al-Minhaj.(t.tp: Matba’ah al-Halabi, 1950). Jld 2. Hlm 46.

فَمَنْ أَخَّرَهَا عَنْهُ أَثِمَ وَقَضَى وُجُوبًا فَوْرًا إنْ أَخَّرَهَا بِلَا عُذْرٍ خِلَافًا لِلزَّرْكَشِيِّ كَالْأَذْرَعِيِّ حَيْثُ اعْتَمَدَا وُجُوبَ الْفَوْرِيَّةِ مُطْلَقًا نَظَرًا إلَى تَعَلُّقِ الْآدَمِيِّ بِهَا