Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM EDISI KHAS RAMADAN SIRI KE 280: ADAKAH NEBULIZER MEMBATALKAN PUASA?

ADAKAH_NEBULIZER_MEMBATALKAN_PUASA.jpg

Soalan

Assalamualaikum, Saya mendapatkan rawatan nebulizer di klinik bagi rawatan lelah (asma) apabila inhaler saya sudah tidak lagi memberikan kesan yang baik. Persoalannya, adakah penggunaan nebulizer pada siang hari Ramadan boleh membatalkan puasa ? Mohon pencerahan SS Mufti. Terima kasih

Ringkasan Jawapan

Hukum menggunakan nebulizer di siang hari Ramadan dilihat pada dua situasi berikut :

  1. Penggunaan nebulizer pada siang hari Ramadan bagi penyakit yang tidak mencapai tahap darurat, maka ia membatalkan puasa. Justeru, dalam hal ini pesakit wajib menggantikan puasanya.
  2. Jika nebulizer digunakan dalam keadaan darurat kerana serangan penyakit paru-paru kronik maka ia tidak membatalkan puasa. Namun, sebagai langkah berhati-hati, pesakit disarankan untuk membayar fidyah bagi hari hari penggunaan nebulizer.

Persamaan nebulizer dan inhaler adalah alat yang menghantar ubat terus ke dalam paru-paru. Perbahasan mengenai hukum penggunaan inhaler ketika berpuasa boleh dirujuk pada pautan berikut: https://rb.gy/d18age

Huraian Jawapan

Alhamdulillah bersyukur kehadrat Allah S.W.T dengan kurniaan nikmat Iman dan Islam. Selawat dan Salam ke atas junjungan Nabi Muhammad S.A.W serta keluarga,sahabat-sahabat Baginda, serta seluruh kaum Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah S.W.T sekalian.

Nebulizer

Nebulizer ialah sebuah mesin atau alat yang berfungsi menukarkan ubat berbentuk cecair kepada wap untuk memudahkan penyerapan oksigen terus ke dalam paru-paru. Ia digunakan oleh individu yang menghidap penyakit paru-paru kronik termasuk asma, penyakit pulmonari obstruktif kronik (COPD), fibrosis sista (cystic fibrosis) dan bronkiektasis (bronchiectasis). Pesakit yang menggunakan nebulizer perlu bernafas melalui penutup mulut atau topeng muka supaya semua cecair ubat masuk ke dalam paru-paru. Ia dilakukan selama 15 sehingga 20 minit bergantung pada jenis peranti dan ubat yang digunakan.[1] Kebiasaannya, nebuliser diberikan kepada Individu yang mempunyai masalah paru-paru kronik di mana penggunaan inhaler tidak lagi memberikan kesan yang baik. Jumlah dos ubatan yang terdapat pada nebulizer juga adalah lebih tinggi daripada inhaler.[2] Nebulizer sesuai digunakan untuk pesakit yang tidak mampu menyedut inhaler seperti bayi, kanak-kanak, dan penghidap asma teruk.[3] Persamaan nebulizer dan inhaler adalah alat yang direka untuk menghantar ubat terus ke dalam paru-paru. [4]

Hukum Penggunaan Nebulizer Ketika Ramadan

Salah satu perkara yang membatalkan puasa adalah memasukkan sesuatu (ain) walaupun sedikit seperti biji bijan ke dalam rongga (jauf) secara sengaja melalui saluran terbuka (al-manfaz al-maftuh). [5] Menurut pandangan ulama mazhab Syafi’i, sesuatu itu dianggap sebagai ‘ain apabila ia boleh dilihat dengan mata kasar. Manakala rongga(jauf) bermaksud ruang selepas halkum hingga usus dan tali perut. Sementara, ruang yang sedia terbuka (al-manfaz al-maftuh) ialah mulut, telinga, kemaluan dan dubur bagi lelaki dan perempuan[[6]

Syeikh Khatib al-Syirbini menyatakan bahawa sesuatu yang tidak dianggap ‘ain itu adalah kesan pada sesuatu perkara seperti bauan yang dihidu atau rasa panas dan sejuk yang dirasai melalui lidah.[7] Oleh itu, kesan sesuatu yang tidak boleh dilihat dengan mata seperti bau, sejuk dan panas, maka ia tidak termasuk dalam perkara yang membatalkan puasa.

Berdasarkan perbahasan mengenai perkara yang dianggap sebagai 'ain, maka dapat disimpulkan bahawa cecair ubat (‘ain) yang berubah menjadi wap dan disedut terus ke paru-paru ketika menggunakan nebulizer termasuk dalam perkara yang membatalkan puasa.

Fatwa Berkaitan Penyedut Asma :

Syeikh ‘Atiyyah Saqar, Mantan Mufti Negara Mesir menyebutkan dalam fatwanya bahawa:[8]

ولا مانع من الأخذ برأى العلماء فى أن نقط الأنف والبخار الذى يشم من أصبع الربو يبطل بهما الصيام. وإذا كان المريض لا يستغنى عنهما فى الصيام جاز له الفطر وعليه القضاء بعد الشفاء من المرض، فإن كان مزمنا لا يرجى شفاؤه كان له الفطر وعليه الإطعام عن كل يوم مسكينا

Maksudnya: “Tiada halangan untuk mengambil pandangan para ulama bahawa ubat titis hidung dan wap yang disedut daripada alat penyedut asma membatalkan puasa. Sekiranya pesakit perlu menggunakannya ketika berpuasa, maka dia dibenarkan untuk berbuka dan wajib menggantikannya semula selepas sembuh daripada penyakit. Namun, jika sakit itu berpanjangan sehingga tiada harapan untuk sembuh, maka dibolehkan untuk berbuka dan wajib memberi makan orang miskin bagi setiap hari puasa yang ditinggalkannya.”

Oleh yang demikian, sebarang alatan perubatan yang digunakan untuk menyampaikan ubat terus ke dalam paru-paru yang disedut melalui mulut atau hidung termasuk perkara yang membatalkan puasa.

Hukum penggunaan nebulizer adalah sama seperti hukum pengambilan inhaler bagi orang yang berpuasa, sebagaimana yang telah dinyatakan dalam penulisan terdahulu. Perbahasan mengenai hukum penggunaan inhaler ketika berpuasa boleh dirujuk pada pautan berikut:

https://muftiwp.gov.my/en/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum-cat/6149-irsyad-hukum-siri-ke-887-hukum-penggunaan-inhaler-ketika-siang-ramadan

Penutup

Hukum menggunakan nebulizer di siang hari Ramadan dilihat pada dua situasi berikut :

  1. Penggunaan nebulizer pada siang hari di bulan Ramadan       bagi penyakit yang tidak mencapai tahap darurat, maka ia adalah membatalkan puasa. Justeru, dalam hal ini pesakit wajib menggantikan puasanya.
  2. Jika nebulizer digunakan kerana serangan penyakit paru-paru kronik dalam keadaan darurat, maka ia tidak membatalkan puasa. Namun, sebagai langkah berhati-hati, pesakit disarankan untuk membayar fidyah bagi hari hari penggunaan nebulizer.

Wallahu a'lam.

 

Rujukan: 

[1]https://medlineplus.gov/ency/patientinstructions/000006.htm#:~:text=A%20nebulizer%20is%20a%20small,Asthma

[2] University of Worcester.Rujuk pautan: chrome-extension://efaidnbmnnnibpcajpcglclefindmkaj/https://www.worcester.ac.uk/documents/Nebuliser-types-and-use.pdf

[3]https://www.hopkinsmedicine.org/health/conditions-and-diseases/inhalers-and-nebulizers#:~:text=Several%20types%20of%20devices%20are,as%20chronic%20obstructive%20lung%20disease.

[4] https://www.homage.com.my/health/nebulizer/

[5]Muhammad bin Ahmad al-Khatib al-Syirbini, Mughni al-Muhtaj Ila Ma‘rifat Ma‘ani Alfaz al-Minhaj, (t.tp: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, cetakan pertama, 1415H), 2/155.

(وَ) الْإِمْسَاكِ (عَنْ وُصُولِ الْعَيْنِ) وَإِنْ قَلَّتْ كَسِمْسِمَةٍ أَوْ لَمْ تُؤْكَلْ كَحَصَاةٍ. (إلَى مَا يُسَمَّى جَوْفًا) ؛ لِأَنَّ الصَّوْمَ هُوَ الْإِمْسَاكُ عَنْ كُلِّ مَا يَصِلُ إلَى الْجَوْفِ، وَخَرَجَ بِالْعَيْنِ الْأَثَرُ، كَالرِّيحِ بِالشَّمِّ، وَحَرَارَةِ الْمَاءِ وَبُرُودَتِهِ بِالذَّوْقِ

[6] Dr. Mustafa al-Khin, Dr. Mustafa al-Bugha & ‘Ali al-Syirbiji. al-Fiqh al-Manhaji. (Damsyiq: Dar al-Qalam, 1992). Jld 2. Hlm 451.

والمقصود بالعين: أي شيء تراه العين. والجوف: هو الدماغ أو ما وراء الحلق إلى المعدة والأمعاء. والمنفذ المفتوح: هو الفم والأذن والقبل والدبر من الذكر والأنثى.

[7] Muhammad bin Ahmad al-Khatib al-Syirbini, Mughni al-Muhtaj Ila Ma‘rifat Ma‘ani Alfaz al-Minhaj, (t.tp: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, cetakan pertama, 1415H), 2/155.

وَخَرَجَ بِالْعَيْنِ الْأَثَرُ، كَالرِّيحِ بِالشَّمِّ، وَحَرَارَةِ الْمَاءِ وَبُرُودَتِهِ بِالذَّوْقِ،

[8] Fatawa Dar al-Ifta’ al-Misriyyah. Jld 9. Hlm 258.