Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM EDISI KHAS RAMADAN SIRI KE 283: HUKUM WANITA MERUANG (CUCI BAHAGIAN DALAM KEMALUAN) KETIKA BERPUASA

HUKUM_WANITA_MERUANG_CUCI_BAHAGIAN_DALAM_KEMALUAN_KETIKA_BERPUASA.jpg

Soalan

Assalamualaikum ustaz/ustazah, apakah hukumnya meruang bagi perempuan untuk mengeluarkan saki-baki cairan seperti air mani/mazi/keputihan dari faraj? Adakah perlu meruang atau cukup sekadar cuci bahagian zahir faraj terutamanya ketika berpuasa disebabkan tidak boleh mencuci sehingga had batin faraj?

Ringkasan Jawapan

Menurut pandangan muktamad mazhab Syafi’i, hukum meruang atau mencuci bahagian dalam kemaluan ketika berpuasa adalah membatalkan puasa kerana memasukkan jari ke dalam rongga badan melalui saluran yang terbuka (faraj) dan sampai ke bahagian batin faraj. Wallahu a’lam.

Huraian Jawapan

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah SWT. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Meruang mengikut Dewan Bahasa dan Pustaka bermaksud mengeluarkan kotoran seperti mengeluarkannya dari dalam perut mayat atau senjata.[1] Merujuk kepada soalan, meruang yang dimaksudkan adalah mengeluarkan kotoran di bahagian dalam kemaluan wanita atau melepasi had zahir sehingga had batin faraj. Ia bertujuan membersihkan ruang dalaman faraj.

Allah SWT telah mensyariatkan puasa kepada umat Islam dengan menahan diri daripada makan, minum dan melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa sepanjang siang hari Ramadan. Antara perkara yang membatalkan puasa adalah memasukkan sesuatu ain walaupun sedikit ke dalam rongga badan yang terbuka[2] termasuklah faraj. Imam al-Nawawi menyatakan bahawa:

لَوْ أَدْخَلَ الرَّجُلُ أُصْبُعَهُ أَوْ غَيْرَهَا دُبُرَهُ أَوْ أَدْخَلَتْ الْمَرْأَةُ أُصْبُعَهَا أَوْ غَيْرَهَا دُبُرَهَا أَوْ قُبُلَهَا وَبَقِيَ الْبَعْضُ خَارِجًا بَطَلَ الصَّوْمُ بِاتِّفَاقِ أَصْحَابِنَا

Maksudnya: Jika seorang lelaki memasukkan jarinya atau selain daripada itu ke dalam duburnya atau wanita memasukkan jarinya atau selain daripada itu ke dalam lubang duburnya atau qubulnya (faraj) walaupun lebihan tangannya berada di luar, maka terbatal puasa mengikut sepakat para ulama kami (mazhab Syafi’i).

Oleh yang demikian, wanita yang berpuasa tidak perlu membasuh berlebihan sehingga kawasan batin faraj seperti perbuatan meruang ketika beristinjak.[3] Menurut mazhab Syafi’i, faraj wanita mempunyai had zahir dan batin dengan menjelaskan bahawa had zahir bagi faraj wanita ialah kawasan yang terlihat sekiranya dia duduk dalam keadaan mencangkung manakala had batin faraj ialah apa yang melebihi had tersebut. Perkara ini sebagaimana yang dinukilkan berikut[4]:

فَاَلَّذِي ‌يَظْهَرُ ‌مِنْ ‌فَرْجِهَا ‌إذَا ‌قَعَدَتْ ‌لِقَضَاءِ ‌الْحَاجَةِ ‌لَهُ ‌حكم ‌الظاهر فيلزمها تطهيره ولا يلزمها مجاورته فَإِنْ جَاوَزَتْهُ بِإِدْخَالِ أُصْبُعِهَا زِيَادَةً عَلَيْهِ بَطَلَ صَوْمُهَا

Maksudnya: Bahagian faraj yang zahir ialah bahagian yang kelihatan apabila dia duduk (mencangkung) ketika membuang air, maka dia hendaklah membersihkannya dan jangan ia melebihi had tersebut. Sekiranya dia melepasi had tersebut dengan memasukkan jarinya (untuk membersihkannya), maka puasanya terbatal.

Oleh itu, puasa tidak terbatal sekiranya wanita membasuh kemaluannya dengan air atau meletakkan kapas pada bahagian had zahir faraj sahaja. Tetapi puasa akan terbatal sekiranya dia memasukkan sesuatu ke dalam faraj sehingga melepasi had zahir faraj. Hal ini kerana kawasan faraj yang wajib dibasuh ketika mandi junub hanyalah had zahir sahaja manakala kawasan yang melepasi had itu tiada keperluan untuk dibasuh bahkan terbatal puasa sekiranya memasukkan sesuatu ke dalam kawasan tersebut.[5]

Selain itu, Imam Ibn Hajar al-Haitami berkata:

‌وَإِنْ ‌كَانَتْ ‌صَائِمَةً ‌تَرَكَتْ ‌الْحَشْوَ ‌نَهَارًا ‌وَاقْتَصَرَتْ ‌عَلَى ‌الْعَصْبِ ‌مُحَافَظَةً ‌عَلَى ‌الصَّوْمِ ‌لَا ‌الصَّلَاةِ

Maksudnya: Sekiranya seseorang wanita (mengalami istihadah) berpuasa, dia hendaklah meninggalkan al-hasywu (menyumbat faraj dengan kapas atau seumpamanya) pada siang hari dan cukup sekadar al-asbu (membalut faraj dengan kain atau seumpamanya) untuk menjaga kepentingan puasa berbanding dengan kepentingan solat.[6]

Hal ini kerana istihadah adalah suatu keadaan yang berpanjangan, sekiranya dia menjaga kepentingan solat dengan menyumbat kapas ke dalam faraj agar darah tidak mengalir dan membatalkan solat, dikhuatiri wanita itu mengalami kesusahan untuk menggantikan puasanya kerana menyumbat kapas itu membatalkan puasa.[7]

Kesimpulan

Menurut pandangan muktamad mazhab Syafi’i, hukum meruang atau mencuci bahagian dalam kemaluan ketika berpuasa adalah membatalkan puasa kerana memasukkan jari ke dalam rongga badan melalui saluran yang terbuka (faraj) dan sampai ke bahagian batin faraj.

Wallahu a'lam

Rujukan:

[1] Pusat Rujukan Persuratan Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat. https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=meruang&d=41812&#LIHATSINI

[2] Ibn Hajar al-Haitami, Ahmad bin Muhammad. Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj. (Beirut: Dar Ihya Turath al-Arabi, 1983). 3/400-403.

(وَ) الْإِمْسَاكُ (عَنْ وُصُولِ الْعَيْنِ) أَيِّ عَيْنٍ كَانَتْ، وَإِنْ كَانَتْ أَقَلَّ مَا يُدْرَكُ مِنْ نَحْوِ حَجَرٍ (إلَى مَا يُسَمَّى جَوْفًا)...

(وَشَرْطُ الْوَاصِلِ كَوْنُهُ فِي مَنْفَذٍ) بِفَتْحِ أَوَّلِهِ وَثَالِثِهِ (مَفْتُوحٍ فَلَا يَضُرُّ وُصُولُ الدُّهْنِ بِتَشَرُّبِ الْمَسَامِّ)...

[3] Al-Nawawi, Muhyiddin bin Syaraf. Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab. (Kaherah: Idarah al-Tiba’ah al-Muniriyyah, 1347H). 6/314.

قال أصحابنا وينبغى للصائمة أن لا تُبَالِغَ بِأُصْبُعِهَا فِي الِاسْتِنْجَاءِ

[4] Ibid.

[5] Al-Nawawi. Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab. 2/112.

‌وَيَلْزَمُ ‌الثَّيِّبَ ‌أَنْ ‌تُوَصِّلَ ‌الْحَجَرَ ‌إلَى ‌الْمَوْضِعِ ‌الَّذِي ‌يَجِبُ ‌إيصَالُ ‌الْمَاءِ ‌إلَيْهِ ‌فِي ‌غُسْلِ ‌الْجَنَابَةِ ‌وَيَجِبُ ‌إيصَالُ ‌الْمَاءِ ‌إلَى ‌مَا ‌يَظْهَرُ ‌عِنْدَ ‌جُلُوسِهَا ‌عَلَى ‌قَدَمَيْهَا ‌وَإِنْ ‌لَمْ ‌يَظْهَرْ ‌فِي ‌حَالِ ‌قِيَامِهَا…

قَالَ أَصْحَابُنَا مَا وَرَاءَ هذا فهو في حكم الباطن فلا يكلف إيصَالَ الْمَاءِ وَالْحَجَرِ إلَيْهِ وَيَبْطُلُ الصَّوْمُ بِالْوَاصِلِ إلَيْهِ

[6] Ibn Hajar al-Haitami. Tuhfah al-Muhtaj. 1/394.

[7] Al-Syarwani, ‘Abdul Hamid. Hasyiah al-Syarwani ‘ala Tuhfah al-Muhtaj. (Beirut: Dar Ihya Turath al-Arabi, 1983). 1/394.

(قَوْلُهُ مُحَافَظَةً عَلَى الصَّوْمِ) أَيْ لِأَنَّ الْحَشْوَ يُبْطِلُهُ لِأَنَّ فِيهِ إيصَالَ عَيْنٍ لِلْجَوْفِ سم.

(قَوْلُهُ عَكْسُ مَا قَالُوهُ إلَخْ) وَالْمُرَادُ أَنَّهُمْ رَاعُوا هُنَا مَصْلَحَةَ الصَّوْمِ حَيْثُ أَمَرُوهَا بِتَرْكِ الْحَشْوِ لِئَلَّا يَفْسُدَ بِهِ صَوْمُهَا وَلَمْ يُرَاعُوا مَصْلَحَةَ الصَّلَاةِ حَيْثُ تَرَتَّبَ عَلَى عَدَمِ الْحَشْوِ خُرُوجُ الدَّمِ الْمُقْتَضِي لِفَسَادِهَا