Soalan
Assalamualaikum, saya ada satu persoalan. Seorang suami dipenjara selama beberapa tahun dan meninggalkan isteri dan anak-anak untuk dinafkahi. Persoalannya, adakah suami tersebut wajib membayar zakat fitrah bagi keluarganya atau isteri wajib membayar zakat bagi pihak dirinya sendiri ? Mohon penjelasan SS Datuk Mufti
Ringkasan Jawapan
Seorang suami yang dipenjarakan wajib mengeluarkan zakat fitrah bagi dirinya dan orang yang berada di bawah tanggungannya sekiranya dia menepati syarat-syarat wajib zakat fitrah. Sekiranya suami tidak berkemampuan, maka kewajipan zakat bagi diri dan tanggungannya telah tergugur. Begitu juga menurut mazhab Syafi’i bahawa isteri tidak wajib membayar zakat fitrah dirinya sendiri jika suaminya tidak berkemampuan. Namun, si isteri disunatkan untuk mengeluarkan zakat fitrah bagi dirinya sendiri sekiranya dia mampu sekalipun suaminya berada di dalam penjara.
Huraian Jawapan
Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.
Allah SWT telah mensyariatkan kewajipan zakat fitrah ke atas setiap umat Islam yang hidup pada bulan Ramadan sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Umar RA, katanya:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فَرَضَ زَكَاةَ الْفِطْرِ مِنْ رَمَضَانَ عَلَى النَّاسِ صَاعًا مِنْ تَمْرٍ أَوْ صَاعًا مِنْ شَعِيرٍ عَلَى كُلِّ حُرٍّ أَوْ عَبْدٍ ذَكَرٍ أَوْ أُنْثَى مِنَ الْمُسْلِمِينَ
Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW telah mewajibkan zakat fitrah pada bulan Ramadan ke atas setiap manusia sebanyak satu gantang tamar dan satu gantang gandum (makanan asasi) bagi setiap orang yang merdeka atau hamba lelaki mahupun perempuan.”
(Riwayat Muslim)
Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa sesiapa yang diwajibkan untuk mengeluarkan zakat fitrah bagi dirinya sendiri, maka dia juga wajib untuk mengeluarkan zakat fitrah bagi orang yang berada di bawah tanggungannya (yang wajib dinafkahi). Kewajipan ini adalah sekiranya mereka itu beragama Islam serta mempunyai lebihan harta selepas memberikan nafkah kepada orang yang berhak menerima.[1] Tanggungan nafkah boleh berlaku disebabkan oleh tiga perkara:[2]
- Hubungan kekeluargaan.
- Hubungan perkahwinan.
- Hubungan pemilikan (seperti hamba).
Oleh yang demikian, menjadi kewajipan ke atas suami untuk mengeluarkan zakat fitrah bagi isterinya sekiranya isteri itu berhak menerimanya. Imam al-Nawawi menyebutkan:[3]
وَيَجِبُ عَلَى الزَّوْجِ فِطْرَةُ زَوْجَتِهِ إذَا وَجَبَتْ عَلَيْهِ نَفَقَتُهَا لِحَدِيثِ ابْنِ عُمَرَ وَلِأَنَّهُ مِلْكٌ تَسْتَحِقُّ بِهِ النَّفَقَةُ فَجَازَ أَنْ تَسْتَحِقَّ بِهِ الْفِطْرَةُ
Maksudnya: “Dan suami wajib membayar zakat fitrah isterinya sekiranya dia wajib memberikan nafkah kepada isterinya berdasarkan hadis Ibn Umar. Hal ini kerana, perkahwinan adalah pemilikan (ikatan yang sah) yang melayakkan isteri untuk mendapatkan nafkah, maka zakat fitrah juga adalah hak isteri yang wajib ditunaikan oleh suami.”
Para ulama berbeza pandangan tentang hukum suami yang tidak berkemampuan untuk mengeluarkan zakat bagi isterinya. Jika suami tidak berkemampuan untuk mengeluarkan zakat fitrah sama ada disebabkan faktor kemiskinan atau dirinya itu adalah seorang hamba, maka isterinya yang merdeka wajib mengeluarkan zakat fitrah bagi dirinya sendiri jika dia mampu membayarnya. Pandangan ini merupakan pandangan yang kuat di sisi Imam al-Syafi’i. Namun, pandangan kedua yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi adalah isteri tidak wajib membayar zakat fitrah dirinya sendiri jika suami itu tidak berkemampuan. Pandangan ini merupakan pandangan yang kuat (muktamad) di sisi ulama mazhab Syafi’i. Walau bagaimanapun, isteri yang merdeka disunatkan untuk membayar zakat fitrah bagi dirinya sendiri. Hal ini supaya dapat keluar daripada perbezaan pandangan antara ulama di samping dapat menyucikan jiwanya.[4]
Syeikh Qalyubi juga menjelaskan bahawa isteri yang mengeluarkan zakat bagi dirinya tidak boleh meminta semula bayaran itu daripada suami sekalipun suaminya berkemampuan selepas itu. Begitu juga halnya bagi sesiapa yang mengeluarkan zakat untuk orang lain dengan keizinan tuannya atau mengeluarkan zakat bagi dirinya sendiri sedangkan dia berada di bawah tanggungan orang lain, maka mereka tidak disyaratkan untuk meminta kembali bayaran sesudah itu.[5]
Berhubung hukum zakat fitrah bagi orang yang dipenjarakan, maka para ulama mazhab Syafi’i berbeza pandangan berkaitan hal ini. Imam al-Nawawi menyatakan bahawa seseorang yang ditawan atau dipenjara serta terhalang daripada menguruskan hartanya, maka dia tetap diwajibkan untuk mengeluarkan zakat fitrah kerana dia masih mempunyai hak kepemilikan untuk menguruskan hartanya.[6]
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-60 yang bersidang pada 23 Oct 2003 telah membincangkan Zakat Fitrah Ke Atas Orang Tahanan Dan Banduan Islam Di Institusi Penjara. Muzakarah telah memutuskan bahawa hukum zakat fitrah ke atas orang tahanan dan banduan Islam di Institusi Penjara adalah wajib sekiranya cukup syarat wajib zakat fitrah iaitu :[7]
- Individu yang mempunyai lebihan makanan atau hartanya dari keperluan tanggungannya pada malam dan pagi hari raya.
- Anak yang lahir sebelum matahari jatuh pada akhir bulan Ramadhan dan hidup selepas terbenam matahari.
- Memeluk Islam sebelum terbenam matahari pada akhir bulan Ramadhan dan berkekalan Islamnya.
- Seseorang yang meninggal selepas terbenam matahari akhir Ramadhan.
Kesimpulan
i. Seorang suami yang dipenjarakan wajib mengeluarkan zakat fitrah bagi dirinya dan orang yang berada di bawah tanggungannya sekiranya dia menepati syarat-syarat wajib zakat fitrah. Sekiranya suami tidak berkemampuan, maka kewajipan zakat bagi diri dan tanggungannya telah tergugur.
ii. Menurut pandangan yang kuat di sisi mazhab bahawa isteri tidak wajib membayar zakat fitrah dirinya sendiri jika suaminya tidak berkemampuan. Namun, disunatkan bagi isteri untuk mengeluarkan zakat fitrah bagi dirinya sendiri sekiranya dia mampu sekalipun suaminya berada di dalam penjara.
[1] Al-Nawawi, Yahya bin Syaraf. Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab. (Kaherah: Idarah al-Tiba’ah al-Muniriyyah, 1347H). Jld 6.Hlm 113.
وَمَنْ وَجَبَتْ عَلَيْهِ فِطْرَتُهُ وَجَبَتْ عَلَيْهِ فِطْرَة مِنْ تَلْزَمُهُ نَفَقَتُهُ إذَا كَانُوا مُسْلِمِينَ وَوَجَدَ مَا يُؤَدِّي عَنْهُمْ فَاضِلًا عَنْ النَّفَقَةِ
[2] Al-Khatib al-Syirbini, Muhammad bin Muhammad. Mughni al-Muhtaj ila Ma’rifah Ma’ani Alfaz al-Minhaj. (t.tp: Dar al-Kutub al-’Ilmiyyah, 1994). Jld 2. Hlm 114.
(وَمَنْ لَزِمَهُ فِطْرَتُهُ) أَيْ فِطْرَةُ نَفْسِهِ (لَزِمَهُ فِطْرَةُ مَنْ تَلْزَمُهُ نَفَقَتُهُ) بِمِلْكٍ أَوْ قَرَابَةٍ أَوْ زَوْجِيَّةٍ
[3] Al-Nawawi, Yahya bin Syaraf. Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab. (Kaherah: Idarah al-Tiba’ah al-Muniriyyah, 1347H). Jld 6.Hlm 113.
[4] Al-Khatib al-Syirbini, Muhammad bin Muhammad. Mughni al-Muhtaj ila Ma’rifah Ma’ani Alfaz al-Minhaj. (t.tp: Dar al-Kutub al-’Ilmiyyah, 1994). Jld 2. Hlm 115.
(وَلَوْ أَعْسَرَ الزَّوْجُ) وَقْتَ الْوُجُوبِ (أَوْ كَانَ عَبْدًا فَالْأَظْهَرُ أَنَّهُ يَلْزَمُ زَوْجَتَهُ الْحُرَّةَ فِطْرَتُهَا) إذْ أَيْسَرَتْ بِهَا (وَكَذَا) يَلْزَمُ (سَيِّدَ الْأَمَةِ) فِطْرَتُهَا، وَالثَّانِي: لَا يَلْزَمُهُمَا، …(قُلْتُ: الْأَصَحُّ الْمَنْصُوصُ لَا يَلْزَمُ الْحُرَّةَ) وَتَلْزَمُ سَيِّدَ الْأَمَةِ (وَاَللَّهُ أَعْلَمُ) ……وَيُسْتَحَبُّ لِلْحُرَّةِ الْمَذْكُورَةِ أَنْ تُخْرِجَ الْفِطْرَةَ عَنْ نَفْسِهَا كَمَا فِي الْمَجْمُوعِ لِلْخُرُوجِ مِنْ الْخِلَافِ وَلِتَطْهِيرِهَا.
[5] Ahmad Salamah al-Qalyubi & Ahmad al-Barlisi ‘Umairah. Hasyiata Qalyubi wa ‘Umairah. (Beirut: Dar al-Fikr, 1995). Jld 2. Hlm 43.
نَعَمْ يُنْدَبُ لَهَا الْإِخْرَاجُ وَلَا تَرْجِعُ بِهَا عَلَيْهِ لَوْ أَيْسَرَ بَعْدُ. وَكَذَا كُلُّ مَنْ أَدَّى عَنْ غَيْرِهِ بِإِذْنِهِ وَلَمْ يَشْتَرِطْ رُجُوعًا أَوْ أَدَّى عَنْ نَفْسِهِ مَعَ كَوْنِهَا عَلَى غَيْرِهِ وَيَعْمَلُ كُلٌّ مِنْ الزَّوْجَيْنِ فَاعْتِقَادُهُ لَوْ اخْتَلَفَا فِيهِ،
[6] Al-Nawawi, Yahya bin Syaraf. Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab. (Kaherah: Idarah al-Tiba’ah al-Muniriyyah, 1347H). Jld 5. Hlm 342.
إذَا أُسِرَ رَبُّ الْمَالِ وَحِيلَ بَيْنَهُ وَبَيْنَ مَاشِيَتِهِ فَطَرِيقَانِ ذَكَرَ الْمُصَنِّفُ دَلِيلَهُمَا وَهُمَا مَشْهُورَانِ (أَصَحُّهُمَا) عِنْدَ الْأَصْحَابِ الْقَطْعُ بِوُجُوبِ الزَّكَاةِ لِنُفُوذِ تَصَرُّفِهِ
[7] http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/fatwa/fatwa/find/pr/10122