Soalan
Assalammualaikum. Adakah bapa biologi masih bertanggung jawab membayar zakat fitrah anak hasil perbuatan zina. Mohon pencerahan SS Mufti. Terima kasih
Ringkasan Jawapan
Pembayaran zakat fitrah bagi anak tidak sah taraf adalah kewajipan ibu yang menanggung nafkahnya.
Huraian Jawapan
Alhamdulillah bersyukur kehadrat Allah S.W.T dengan kurniaan nikmat Iman dan Islam. Selawat dan Salam ke atas junjungan Nabi Muhammad S.A.W serta keluarga,sahabat-sahabat Baginda, serta seluruh kaum Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah SWT sekalian.
Zakat fitrah wajib dikeluarkan oleh setiap individu Muslim sama ada untuk dirinya sendiri atau bagi pihak orang lain yang berada di bawah tanggungan nafkahnya. [1]
Hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar RA:
أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَرَضَ زَكَاةَ الْفِطْرِ مِنْ رَمَضَانَ عَلَى النَّاسِ، صَاعًا مِنْ تَمْرٍ، أَوْ صَاعًا مِنْ شَعِيرٍ، عَلَى كُلِّ حُرٍّ أَوْ عَبْدٍ، ذَكَرٍ أَوْ أُنْثَى، مِنَ الْمُسْلِمِينَ
Maksudnya: “Rasulullah SAW mewajibkan zakat fitrah pada bulan Ramadan ke atas umat Islam dengan satu gantang tamar, satu gantang tepung barli sama ada yang merdeka atau hamba sahaya, lelaki atau perempuan dalam kalangan umat Islam.”
(Riwayat Muslim: 984)
Sementara itu, bapa biologi tidak wajib membayar zakat fitrah anak tidak sah taraf kerana ia bukan menjadi tanggungannya untuk menafkahi anak tersebut.[2] Oleh yang demikian, pembayaran zakat fitrah anak zina adalah kewajipan ibu yang menanggung nafkahnya.[3] Perkara ini dinyatakan oleh Sheikh Al-Dimyati:
وفطرة ولد الزنا على أمه.
Maksudnya : “Kewajipan zakat fitrah bagi anak zina ditanggung oleh ibunya “
Hal ini jelas menunjukkan bahawa sesiapa yang menanggung nafkah seseorang, dia juga wajib menunaikan zakat fitrah bagi orang tersebut. Ini berdasarkan kaedah fiqh yang dinyatakan oleh Syeikh Zakaria al-Ansari dalam Asna al-Matalib:
أَمَّا مَنْ لَا تَجِبُ عَلَيْهِ نَفَقَتُهُ فَلَا تَجِبُ عَلَيْهِ فِطْرَتُهُ
Maksudnya: “Adapun sesiapa yang nafkahnya tidak diwajibkan ke atas seseorang, maka tidak wajib baginya menunaikan zakat fitrah”.[4]
Oleh yang demikian, pembayaran zakat fitrah bagi anak tidak sah taraf adalah kewajipan ibunya selagi tanggungjawab menafkahi anak tersebut terletak di atas bahunya.
Kesimpulan:
- Sesiapa yang menanggung nafkah seseorang, dia juga wajib untuk menunaikan zakat fitrah bagi orang tersebut.
- Ibu wajib mengeluarkan zakat fitrah bagi anak luar nikah selagi nafkah anak tersebut masih di bawah tanggungannya.
Wallahu a'lam
Rujukan:
[1] Muhammad ibn Qasim al-Ghazzi, Fath al-Qarib al-Mujib Fi Syarh Al-Faz al-Taqrib (Beirut: Dar Ibn Al-Hazm. 2005) hlm 131
(ويزكي) الشخص (عن نفسه وعمن تلزمه نفقته من المسلمين)؛
[2] Abu 'Abd al-Mu'ti Muhammad Nawawi bin al-Syeikh Umar bin Ali al-Jawi, al-Bantani al-Tanari, Nihayah al-Zain ( Beirut: Dar al-Fikr, tth ) Jild 1 hlm 176
لَا تجب على الْأَب فطرته لعدم وجوب نَفَقَته وفطرة ولد الزِّنَا والمنفي بِاللّعانِ على أمهما لوُجُوب نفقتهما عَلَيْهَا
[3]: Al-Dimyathi, ‘Uthman bin Muhammad Shata, I‘anah al-Talibin fi Hil Alfaz Fath al-Mu‘in. ( Dar al-Fikr, 1997)
Jld : 2 hlm 193
(قوله: وفطرة ولد الزنا على أمة) أي لأنها يلزمها نفقته.
[4] Zakariyya al-Ansari, Asna al-Matalib Fi Syarh Raud al-Thalib, (Dar al-Kutub al-Islami. ) Jld :1 Hlm: 388