Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA KE-52: KASYAF

SOALAN

Bagaimana pendapat di sisi al-Ghazali dengan kasyaf(كشف)?

 

JAWAPAN

Perkataan kasyaf adalah daripada bahasa Arab (كشف). Di dalam kitab Mu’jam al-Mustalahat al-Sufiyah menyebut makna kasyaf dengan beberapa definisi:

  • Kasyaf dengan maksud penjelasan apa yang tertutup dari kefahaman sehingga terdedah seperti melihat pada zahir.
  • Kasyaf mata dengan penglihatan sedangkan kasyaf hati dengan hubungan.
  • Kasyaf ialah terangkatnya hijan antara roh jasmani dengan yang tidak mungkin mendapatinya berdasarkan pancaindera zahir.

 

Al-Ghazali mengakui kasyaf tidak diperolehi melalui jalan biasa, ia didapati melalui jalan takwa dan mujahadah, namun menurutnya tidak semua orang berjaya mendapatkannya. Al-Ghazali menyatakan bahawa ilmu kasyaf tidak boleh ditulis di dalam kitab, disebabkan jelas bertentangan dengan hukum syarak. Hakikat ini dibayangkan dalam kitabnya minhaj al-Abidin menerusi dua rangkap syair yang dihubungkan kepada Ali Zainal Abidin yang bermaksud: kadangkala ilmu ini kalau aku hebahkan rahsianya, nanti aku dituduh penyembah berhala. Orang Islam akan menghalakan darahku keran menganggap baiknya perkara keji yang mereka lakukan itu.

Kebimbangan al-Ghazali memang beralaskan apabila dituduh sebagai penyembah berhala dan layak dibunuh kerana perbuatan itu jelas bertentangan dengan syariat.

Al-Ghazali menjelaskan kasyaf, dengan katanya: “Hendaklah duduk dengan hati yang kosong, penuh keinginan kepada Allah, fikirannya tidak dipisahkan dengan bacaan al-Quran dan tidak juga meneliti tafsir, tidak menulis hadis dan sebagainya, cukup dengan lisan menyebut Allah Allah Allah.”

Limpahan ilmu kasyaf ke dalam hati sehingga mendengar suara hak, berlaku melalui khulwah berikut: “Khulwah itu hanya berlaku dalam rumah yang gelap maka masuklah kepalanya dalam baju atau selimutnya dengan kain. Dalam keadaan ini ia akan mendengar seruan al-Hak dan menyaksikan keagungan Rububiyyah.”

Selanjutnya Imam al-Ghazali berkata: “Apabila Allah menjaga urusan hati, nescaya melimpah-limpah rahmat atasnya. Terangkan cahaya pada hati, lapanglah dada dan terbukalah baginya rahsia pada alam malakut.”

Walaubagaimanapun, Iman al-Ghazali tidak pernah menyebut malaikat turun kepada kaum sufi, kerana beliau sedar sesiapa mendakwa wahyu masih turun selepas kewafatan nabi, maka ia kafir. Atas sebab ini beliau menolak dakwaan yang mengatakan bahawa hati para wali dan kaum sufi dilimpahkan ilmu yang mereka dakwa ke atas mereka. Dalam penegasan mengenai kasyaf sufi, al-Ghazali cukup dengan mengatakan limpah ilmu ke dalam hati dan juga pendengaran suara.

Semoga Allah memberi kefahaman kepada kita dalam agama ini. Amin.

 

 

Akhukum fillah,

Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

11 Syawal 1436H