Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-322: APAKAH STATUS BAGI PERKAHWINAN “SUAMI MURTAD YANG MENCERAIKAN ISTERINYA”

untitled-5c-20i_34101614 (2).jpg

 

SOALAN

Assalamualaikum Dato’ Seri Mufti, maaf saya ingin bertanya, kami adalah pasangan suami isteri Melayu Muslim. Pada suatu ketika dahulu, kami permah murtad daripada agama Islam kerana kami mengikut seorang individu yang mengaku sebagai jelmaan tuhan. Ketika dalam keadaan tersebut suami saya telah menceraikan saya dengan talak 3. Adakah sah lafaz talak tersebut?

Saya berharap sangat Dato’ Seri Mufti dapat membantu saya dalam hal ini. Sekarang kami sudah bertaubat dan kembali ke pangkal jalan. Kami juga mempunyai 2 org anak perempuan dan ingin untuk menyambung semula perkahwinan. Terima kasih.

JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji dan syukur diucapkan kepada Allah SWT, selawat dan salam kami panjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, kepada ahli keluarga Baginda, para sahabat, serta golongan yang mengikuti jejak langkah Baginda Rasulullah SAW sehingga hari kiamat.

Status beragama Islam merupakan perkara yang penting di dalam syarat sah sesebuah pernikahan. Justeru, jika sesuatu pasangan yang mahu bernikah, kedua-dua individu tersebut hendaklah beragama Islam kerana tidak sah pernikahan jika salah satu daripada pasangan itu bukan beragama Islam. Beragama Islam bukan hanya dikira ketika atau semasa bernikah sahaja, begitu juga kekal keIslamannya pada selepas dan sepanjang perkahwinan pasangan tersebut. Maka apabila berlaku kes murtad dalam sesebuah perkahwinan, sudah pasti struktur kekeluargaan tersebut akan berlaku kebobrokan.

Bagi menjawab isu ini, berikut merupakan beberapa pandangan daripada sebahagian ulama’ dalam membincangkan masalah tersebut.

Kata Imam Ibnu Hajar al-Haitami:

ولو انفسخ أي النكاح بردة بعد وطء فالمسمى أي فالواجب هو المهر المسمى

Maksudnya: Terfaskh pernikahan atas sebab murtad jika sekiranya pasangan tersebut telah melakukan hubungan intim maka isteri berhak mendapat mahar atau mas kahwin (sekiranya mahar masih belum dibayar). Perpisahan suami-isteri disebabkan murtad disebut fasakh.

(Rujuk Kitab Tuhfatul Muhtaj, m/s 259)

Jika difahami menerusi pandangan tersebut, sekiranya suami sahaja atau isteri sahaja atau kedua-duanya sekali telah mengaku keluar daripada agama Islam atau murtad, maka secara langsung pernikahan tersebut akan terbatal.

Menurut Imam Syirazi di dalam kitabnya al-Tanbih menyatakan:

 وإن ارتد الزوجان المسلمان ، أو أحدهما ، قبل الدخول : تعجلت الفرقة . وإن كان بعد الدخول : وقفت الفرقة على انقضاء العدة ، فإن اجتمعا على الإسلام قبل انقضائها: فهما على النكاح, وإن لم يجتمعا قبل انقضاء العدة : حكم بالفرقة

Maksudnya: Sekiranya murtad suami isteri yang beragama Islam atau salah seorang daripada mereka, jika ia berlaku sebelum suami dan isteri tersebut melakukan hubungan intim, maka berlakulah perpisahan ketika itu. Jika sekiranya selepas melakukan hubungan intim, perpisahan terjadi selepas tamatnya iddah[1]. Sekiranya kedua-duanya kembali memeluk agama Islam sebelum tamatnya iddah, mereka masih di dalam pernikahan dan sekiranya mereka tidak kembali dan memeluk agama Islam sebelum tamatnya iddah maka mereka perlu berpisah.

(Rujuk Kitab al-Tanbih, m/s 232)

Ibnu Qudamah menyatakan di dalam penulisannya:

فإن ارتد الزوجان معا، فحكمهما حكم ما لو ارتد أحدهما؛ إن كان قبل الدخول تعجلت الفرقة، وإن كان بعده، فهل تتعجل، أو يقف على انقضاء العدة. وهذا مذهب الشافعي 

Maksudnya: Sekiranya suami dan isteri murtad bersama, maka hukumnya sama seperti murtad bagi salah satu diantara pasangan, sama ada suami atau isteri. Sekiranya ia berlaku sebelum melakukan hubungan intim maka pasangan maka berlakulah perpisahan ketika itu. Jika sekiranya selepas melakukan hubungan intim, perpisahan akan berlaku selepas tamatnya iddah. Ini merupakan pandangan menurut mazhab Syafie.

(Rujuk kitab al-Mughni, m/s 7/174)

Rumusan daripada pendapat para ulama’ tersebut, hanyasanya dengan asbab murtad itu sendiri, maka ia akan menyebabkan dan membuatkan sesebuah perkahwinan menjadi terbatal dan ini adalah jelas.

Namun begitu, soalan yang diajukan adalah berkenaan, adakah sah jika sekiranya suami yang murtad menceraikan isterinya yang murtad dengan talak 3?. Merujuk kepada isu ini, kami nukilkan 2 jawapan dalam menjawab persoalan tersebut.

Pertama, talak yang dilakukan ketika murtad adalah tidak sah atau tergantung atas sebab murtad, kecuali jika suami dan isteri tersebut kembali kepada agama Islam maka lafaz talak 3 suaminya itu adalah sah. Ini adalah sebagaimana jawapan yang diambil melalui penulisan Imam Syafie di dalam kitabnya Al-Umm yang menyatakan berkenaan isu tersebut.

Imam Syafie berkata:

ولو ارتد الزوج فطلقها في حال ردته... ففعل ذلك وقف على ما فعل منه... فإن رجع إلى الإسلام وهي في العدة وقع ذلك

Maksudnya: Jika sekiranya suami yang murtad lalu menceraikan isterinya dalam keadaan suaminya itu murtad…maka perbuatan itu tergantung pada perbuatan suaminya itu daripada berlaku…namun begitu, jika suami itu kembali kepada Islam dan bertaubat semasa tempoh iddah maka jatuh talak tersebut…

(Rujuk kitab Al-Umm, 6/173)

Begitu juga pendapat ini ada dinyatakan oleh Imam Nawawi yang menyatakan pendapat beliau melalui kitab Raudhah at-Tholibin:

(فإن طلقها ثلاثا في مدة التوقف أو خالعها جاز له ذلك لأنها إن لم تعد إلى الإسلام فقد بانت بنفس الردة وإلا فبالطلاق (أو الخلع

Maksudnya: Sekiranya suami menceraikan isterinya dengan talak 3 pada waktu iddahnya atau menghulu’kannya maka harus baginya melakukan demikian, kerana sekiranya beliau tidak kembali kepada agama Islam maka ia akan terpisah dengan sendirinya dengan sebab kemurtadannya, sekiranya dia kembali kepada agama Islam maka talak tersebut akan terlaksana (atau khulu’).

(Rujuk kitab Raudhah at-Tholibin, 7/142)

Jelas dalam petikan tersebut menyatakan bahawa tidak ada kesan ke atas isteri jika diceraikan oleh suami yang murtad kecuali jika suami kembali bertaubat kepada Islam dalam tempoh iddah maka talak yang dilafazkan adalah sah. Dengan maksud yang mudah, tidak sah talak yang dibuat oleh suami yang murtad kecuali jika suami bertaubat dan pulang memeluk agama Islam ketika dalam waktu iddah, maka talak yang dilafazkan adalah sah.

Kedua, sah lafaz talak suami kepada isteri walaupun dalam keadaan murtad, jika sekiranya suami dan isteri murtad bersama.

Kata Sheikh Burhanuddin al-Marghinani di dalam kitabnya al-Hidayah fi Fiqh Hanafi:

اعلم أن تصرفات المرتد على أقسام : نافذ بالاتفاق الطلاق، لأنه لا يفتقر إلى تمام الولاية

Maksudnya: Ketahuilah bahawasanya perbuatan yang dilakukan ketika murtad terbahagi kepada beberapa perkara: Berlakunya talak secara sepakat ulama’ kerana talak tidak memerlukan kepada kesempurnaan wilayah.

(Rujuk Hidayah fi Fiqh Hanafi, 1/461)

(وتمام الولاية) ش: يرجع إلى الطلاق ، أي لأن الطلاق لا يفتقر إلى تمام الولاية، ألا ترى أن العبد يصح طلاقه مع أنه لا ولاية له على نفسه أصلاً

Maksudnya: Kesempurnaan wilayah: ini menerangkan kepada maksud bagi perkataan talak, kerana talak tidak memerlukan kepada kesempurnaan wilayah. Sebagai contoh: Tidakkah anda melihat bahawa seorang hamba sah penceraiannya, walaupun dia tidak mempunyai hak terhadap dirinya sendiri.

(Rujuk kitab Al-Binayah Syarh Hidayah, 7/282)

إذا ارتد الزوج ثم طلق ضمن العدة وقع الطلاق بلا خلاف، وكذلك الحكم إن ارتدت الزوجة فطلقها ضمن العدة

Maksudnya: Jika seorang suami yang murtad kemudian menceraikan isterinya pada waktu iddah maka jatuh talak tersebut secara sepakat. Maka ini adalah hukum bagi seorang yang murtad menceraikan isterinya pada waktu iddah dan ini adalah pendapat bagi mazhab Hanafi.

Kesimpulannya, berdasarkan fakta dan keterangan di atas, kami cenderung dan berpendapat dengan pandangan pertama iaitu suami murtad yang menceraikan isterinya dengan talak 3 adalah jatuh sekiranya suami dan isteri tersebut kembali kepada agama Islam dalam tempoh iddah. Ini bermakna jika melepasi waktu iddah, talak 3 tersebut tidak jatuh tetapi perkahwinan hanya terfasakh dengan sebab murtad.  Maka ini adalah sebagaimana pendapat yang muktamad di dalam mazhab Syafie.

Namun begitu, pandangan kedua sebagaimana yang dikemukan oleh mazhab Hanafi adalah boleh dipertimbangkan bagi pihak mahkamah berdasarkan situasi setiap kes yang diterima. Justeru, ini merupakan taghlizhon alahi iaitu hukuman berat keatas pelaku terhadap apa yang telah dilakukan. Pesanan kami, isu ini perlulah dinilai dengan penuh tekun dan teliti kerana ia bukan sahaja berobjektif untuk mempertahankan sebuah keluarga tetapi ia berkait rapat kepada pembangunan sesebuah bangsa, masyarakat, negara dan yang paling penting adalah kesucian agama Islam itu sendiri. Sepertimana kaedah fiqh yang dinyatakan oleh Imam al-Suyuti di dalam kitabnya al-Ashbah Wa al-Naza’ir iaitu:

إذا تعارض مفسدتان روعي أعظمهما ضررا بارتكاب أخفهما

Maksudnya: Apabila bertembung dua mafsadah (keburukan), maka diraikan mafsadah yang lebih besar daripada melakukan mafsadah yang lebih ringan”.

Ini adalah penting, supaya tidak ada ruang kepada mereka untuk mengambil mudah bagi memperlekehkan agama Islam, hanyasanya untuk membetulkan kesalahan yang telah dilakukan dengan kesalahan yang lain. Bahkan Allah SWT menyuruh menjauhkan diri dari golongan tersebut.

Firman Allah SWT:

وَذَرِ الَّذِينَ اتَّخَذُوا دِينَهُمْ لَعِبًا وَلَهْوًا وَغَرَّتْهُمُ الْحَيَاةُ الدُّنْيَا

Maksudnya: “Dan jauhkanlah diri dari orang-orang yang menjadikan agama mereka sebagai permainan dan hiburan dan mereka pula telah diperdayakan oleh kehidupan dunia”.

(Surah Al-An’am; 70)

WallahuA’lam.

 

[1] Iddah (waktu menunggu, tempoh masa) murtad adalah selama 3 kali suci atau 3 bulan.