Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE 357 : HUKUM MENGGADAIKAN EMAS BAGI TUJUAN PELABURAN EMAS YANG BARU

 

IF357.PNG

SOALAN

Assalamualaikum wbt Dato’ Seri Mufti. Saya mendapat tahu bahawa emas adalah pelaburan terbaik untuk jangka masa panjang. Saya juga telah mula membeli emas dan menyimpannya sebagai satu pelaburan pada masa hadapan. Persoalan saya ialah, adakah dibolehkan untuk saya gadaikan emas yang ada dalam simpanan saya dan membeli emas yang baru bagi tujuan menambahkan lagi aset pelaburan yang sedia ada? Mohon penjelasan. Terima kasih.

JAWAPAN

Waalaikussalam wbt.

Alhamdulillah kami panjatkan kesyukuran kepada Allah SWT. Selawat dan salam kepada junjungan Nabi SAW, para isteri dan keluarga baginda SAW, seterusnya golongan yang mengikut jejak langkah baginda SAW hingga ke hari akhirat.

Setiap orang Islam mestilah menanam cita-cita untuk menjadi seorang yang kaya. Keinginan terhadap perkara tersebut perlulah diselari dengan tekad dan kesungguhan dalam mengangkat taraf ekonomi kehidupan seharian ke tahap yang lebih baik. Sememangnya telah terbukti bahawa individu yang mempunyai harta kekayaan disulami dengan takwa kepada Allah SWT akan menghasilkan seorang muslim yang cukup hebat disisi Allah SWT. Dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa Nabi SAW telah bersabda:

الْمُؤْمِنُ القَوِيُّ، خَيْرٌ وَأَحَبُّ إلى اللهِ مِنَ المُؤْمِنِ الضَّعِيفِ، وفي كُلٍّ خَيْرٌ احْرِصْ علَى ما يَنْفَعُكَ، وَاسْتَعِنْ باللَّهِ وَلَا تَعْجَزْ

Maksudnya: “Orang mukmin yang kuat (segalanya) itu, lebih baik dan lebih dikasihi Allah daripada mukmin yang lemah sedang setiap (mukmin) itu semuanya baik. Utamakanlah (berusahalah) terhadap perkara yang menjamin kemanfaatanmu dan sentiasa bermohon pertolongan Allah tanpa rasa lemah semangat.”

Riwayat Muslim (2664) dan Ibn Majah (4168)

Allah SWT menyukai hambanya yang kuat berbanding hambanya dari kalangan yang lemah. Kekayaan yang dimiliki oleh seorang hamba akan menjadikannya seorang yang mempunyai kekuatan dari sudut ekonomi seterusnya dalam membantu dalam mengembangkan syiar agama Islam itu sendiri. Ianya adalah perkara yang disukai oleh Allah SWT. Perkataan “Qawiy” dalam hadith di atas merupakan lafaz umum yang membawa maksud semua perkara yang membawa kepada kekuatan. Hal ini bertepatan dengan satu kaedah fiqh berikut:

الْعِبْرَةُ بِعُمُومِ الْلفظِ لاَ بِخُصُوصِ السببِ

Maksudnya: “Pengajaran diambil dengan umum lafaz bukan sebab yang khusus.” (Lihat al-Asybah wa al-Nazhair, al-Subki, 2/134)

Melihat kepada persoalan di atas, gadaian (al-rahn) bermaksud suatu akad yang menjadikan sesatu barang yang bernilai sebagai cagaran kepada hutang dan akan digunakan untuk melangsaikan hutang jika hutang tersebut tidak dapat dibayar. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 7/111) (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, Qasm al-Buyu’, hlm. 51)

Hukum akad gadaian adalah harus dan dibenarkan disisi syarak. Ini berdasarkan kepada nas daripada al-Quran dan hadith berikut:

Firman Allah SWT:

وَإِن كُنتُمْ عَلَىٰ سَفَرٍ وَلَمْ تَجِدُوا كَاتِبًا فَرِهَانٌ مَّقْبُوضَةٌ

Maksudnya: “Dan jika kamu berada dalam musafir (lalu kamu berhutang atau memberi hutang yang bertempoh), sedang kamu tidak mendapati jurutulis, maka hendaklah diadakan barang gadaian untuk dipegang (oleh orang yang memberi hutang).”

(Surah al-Baqarah: 283)

Menurut Qadhi Husain kalimah (فَرِهَانٌ مَّقْبُوضَةٌ) dalam ayat di atas bermaksud gadain dan penerimaan. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, Qasm al-Buyu’, hlm. 52)

Demikian dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Saidatina ‘Aisyah R.Anha, beliau telah berkata:

أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم اشْتَرَى طَعَامًا مِنْ يَهُودِيٍّ إِلَى أَجَلٍ، وَرَهَنَهُ دِرْعًا مِنْ حَدِيدٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi SAW membeli makanan daripada seorang yahudi dengan cara hutang dan Baginda SAW menggadaikan baju besinya.”

Riwayat al-Bukhari (2386)

Demikian juga dalam satu hadith yang lain diriwayatkan oleh Saidatina ‘Aisyah, beliau telah berkata:

تُوُفِّيَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم وَدِرْعُهُ مَرْهُونَةٌ عِنْدَ يَهُودِيٍّ بِثَلاَثِينَ صَاعًا مِنْ شَعِيرٍ

Maksudnya: “Rasulullah SAW telah wafat sedang baju besinya sedang digadaikan kepada seorang Yahudi dengan nilai tiga puluh gantang dari gandum.”

Riwayat al-Bukhari (2916)

Menjawab kepada persoalan di atas, setiap individu berkuasa dan berhak melakukan apa sahaja terhadap harta yang dimilikinya. Ini bermaksud, pemilik adalah sah dan dibenarkan untuk menggadai, menjual, menghadiahkan emas yang dimilikinya kepada sesiapa sahaja. Namun demikian, dalam keadaan yang dinyatakan di atas, kita tidak digalakkan untuk berhutang atau menambahkan hutang dalam keadaan yang tidak perlu. Perbuatan menggadaikan emas yang dimiliki bagi mendapatkan wang tunai untuk membeli emas yang baru secara tidak langsung akan menggalakkan aktiviti berhutang di dalam keadaan yang tidak perlu. Walhal Nabi SAW telah mengajarkan kepada kita tentang doa menjauhi hutang. Nabi SAW telah bersabda:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْكُفْرِ وَالْفَقْرِ

Maksudnya: “Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung kepadaMu daripada kekufuran dan kefakiran.”

Riwayat al-Nasai’e (5485)

 

Syor dan cadangan

Isu jutang dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya telah banyak kami kupas dalam artikel-artikel terdahulu. Sebagai cadangan dan syor kepada aktiviti seperti di atas, kami nyatakan seperti berikut:

  1. Seorang yang ingin menceburkan diri dalam pelaburan perlu memastikan wang yang dilaburkan tersebut adalah daripada portion wang lebihan yang tidak digunakan. Jangan sesekali menggunakan wang komitmen bulanan dan jangan sesekali berhutang dengan mana-mana individu, ahlong, badan atau agensi bagi tujuan pelaburan.
  2. Sebelum terjun ke bidang pelaburan, lengkapkanlah diri dengan ilmu pelaburan yang berkaitan daripada mentor-mentor yang diperakui keberhasilannya dalam bidang pelaburan. Ini bagi mengelakkan daripada terjerumus ke lembah kegagalan dengan memperjudikan nasib tanpa ilmu yang mantap.
  3. Setiap amalan dan aktiviti yang dilakukan perlulah disulami dengan takwa kepada Allah SWT. Pilihlah pelaburan yang halal dan ingatlah Allah SWT sentiasa memerhatikan kita.

 

KESIMPULAN

Sebagai kesimpulan, kami cenderung mengatakan perbuatan menggadaikan (al-rahn) emas yang sedia ada bagi tujuan membeli emas yang baru untuk tujuan pelaburan adalah makruh. Ini kerana perbuatan tersebut akan menggalakkan amalan berhutang dalam situasi yang tidak perlu dan tidak mendesak. Selain itu, kemampuan pembayaran hutang perlu diambil kira bagi mengelakkan ketidakmampuan individu dalam melangsaikan hutang yang ada.

Kami sudahi penjelasan ini dengan sepotong doa yang diajarkan oleh Baginda Nabi SAW:

اللهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، اللهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْمَأْثَمِ وَالْمَغْرَمِ

Maksudnya: “Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung dengan Engkau dari azab kubur, dan aku berlindung dengan Engkau dari fitnah Dajjal, dan aku berlindung dengan Engkau dari fitnah semasa hidup dan saat kematian. Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung dengan Engkau dari dari perbuatan dosa dan kesusahan hutang.”

Riwayat al-Bukhari (832) dan Muslim (129)

Semoga penjelasan yang diberikan ini membuka fikiran dan minda kita semua dalam menjauhi hutang dan mengamalkan syariat Islam berlandaskan kepada konsep Islam yang sebenar. Amin.