Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-382: TERSALAH KIBLAT KETIKA SOLAT

irsyad382

Soalan

Assalamualaikum w.b.t. Datuk Mufti, saya ada satu soalan berkenaan solat. Bagaimanakah jika seseorang itu menyedari bahawa dia tersalah kiblat ketika solat? Apakah caranya seseorang itu ingin menegur seseorang yang tersalah kiblat ketika sedang menunaikan solat? Mohon penjelasan Datuk. Terima kasih.

Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah atas segala limpahan nikmat dan kurniaNya. Selawat dan salam ke atas Rasul junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W, ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda, dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda S.A.W hingga ke Hari Akhirat.

Kami mulakan kalam ini dengan firman Allah S.W.T:

﴿وَمِنْ حَيْثُ خَرَجْتَ فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ وَحَيْثُ مَا كُنْتُمْ فَوَلُّوا وُجُوهَكُمْ شَطْرَه﴾

Maksudnya: Maka hadapkanlah mukamu ke arah Masjid al-Haram (Kaabah), dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya.

Surah al-Baqarah: 150

Pada dasarnya, menghadap kiblat merupakan syarat sah solat dan hukumnya adalah wajib. Ini dikuatkan lagi dengan hadith Nabi Muhammad S.A.W:

إِذَا قُمْتَ إِلَى الصَّلاَةِ فَأَسْبِغِ الوُضُوءَ، ثُمَّ اسْتَقْبِلِ القِبْلَةَ فَكَبِّرْ

Maksudnya: Apabila engkau hendak bersolat berwudhu’lah dengan sempurna, kemudian menghadaplah ke kiblat dan bertakbir.

Riwayat al-Bukhari (6251), Muslim (397)

Maksud Masjid al-Haram dalam ayat al-Quran dan lafaz kiblat dalam hadith di atas bermaksud ka’bah. [Lihat: al-Fiqh al-Manhaji; 1/127]. Berbalik kepada persoalan yang diajukan di atas, kami akan perhalusinya dengan beberapa noktah penting yang perlu dilihat bersama.

Cara Penentuan Arah Kiblat

Orang yang berhampiran dengan Kaabah wajib menghadap Kaabah tersebut dengan yakin manakala yang jauh dari Kaabah wajib menghadapnya dengan berpandukan petunjuk-petunjuk yang kukuh sekiranya tidak terdapat petunjuk yang pasti dan tepat. [Lihat: al-Fiqh al-Manhaji; 1/128]. Maka, seseorang itu jika ingin menunaikan solat, hendaklah dirinya memastikan terlebih dahulu bahawa dia telah menghadap ke arah kiblat dengan yakin, dan jika dia terpaksa berijtihad disebabkan jauhnya kaabah dari penglihatannya maka perlulah ijtihadnya itu berpandukan petunjuk-petunjuk yang kukuh dan telah berusaha mencarinya dan seterusnya yakin dengannya.

Tersedar salah kiblat ketika solat

Jika seseorang itu sedang menunaikan solat, kemudian dia tersedar bahawa dia tersalah arah kiblat, maka di sini ulama’ mazhab Syafi’i ada dua qaul padanya:

Pertama: Memulakan semula solatnya ke arah ijtihadnya yang baharu

Kedua: Tidak memulakan semula solatnya malah cukup dengan hanya memalingkan diri atau beralih arah ke ijtihadnya yang baharu dan meneruskan solat (menghadap ijtihadnya yang baharu). Ini merupakan pendapat yang paling shahih dalam mazhab Syafi’i. Sekalipun jika seseorang itu solat menghadap ke empat arah yang berbeza dalam satu solat disebabkan ijtihad, maka sah solatnya.

[Lihat: al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab; 3/221]

Menegur seseorang yang tersalah kiblat ketika solat (melalui Perkataan)

Jika dalam satu situasi, dilihat seseorang itu sedang menunaikan solat namun dia menghadap ke arah kiblat yang salah. Maka, sebaiknya untuk orang yang menyedarinya menegur orang yang sedang bersolat itu untuk mengubah kiblatnya sama ada ke kanan atau ke kiri dan sebagainya. Perkara ini ada disebut oleh Imam al-Buhuti dalam kitabnya:

ولو أخبر من يصلي باجتهاد أو تقليد وهو في الصلاة بالخطأ في القبلة يقيناً، وكان المخبر ثقة لزمه قبوله بأن يعمل به ويترك الاجتهاد أو التقليد.

Maksudnya: Jikalau dikhabarkan kepadanya yang solat berdasarkan ijtihad ataupun taqlid (mengikut) dan dalam keadaan dia solat itu bahawa dia salah dengan yakinnya (oleh seseorang yang boleh dipercayai), maka perlulah dia mengikutinya (menghadap ke arah yang baharu) dan meninggalkan ijtihad dan juga taqlidnya yang sebelum ini.

[Lihat: Kasyaf al-Qanna’; 1/312]

Perbuatan menegur ini termasuk dalam bab memberikan nasihat dan juga petunjuk. Maka, jika seseorang itu tidak mampu untuk menegurnya ketika solat, perlulah dia menegurnya setelah solat itu.

Menegur dengan Perbuatan

Teguran terhadap orang yang sedang menunaikan solat boleh juga dilakukan dengan cara perbuatan selain dari mengungkapkan perkataan kepadanya. Ini kerana dikhuatiri orang yang sedang solat itu tidak sedar ataupun menyangka teguran itu tidak ditujukan kepadanya. Maka dalam hal ini perlunya kepada teguran berbentuk perbuatan dengan cara orang yang melihatnya hendaklah mengalihkan arah orang yang sedang solat tersebut ke arah kiblat yang dia (orang luar solat) pasti.

Namun, jika ia merupakan ijtihad juga, maka tidaklah boleh dialihkan arah orang yang sedang solat tersebut. Kerana berpandukan kepada kaedah Fiqh:

الاجتهاد لا ينقض بالاجتهاد

Maksudnya: Ijtihad tidak boleh dibatalkan dengan ijtihad yang lain.

Teguran dengan cara perbuatan ini boleh diqiaskan kepada athar Nabi Muhammad S.A.W bersama-sama ‘Abdullah Ibn ‘Abbas, ada dinukilkan di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Abbas R.A:

بِتُّ عِنْدَ خَالَتِي «فَقَامَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّي مِنَ اللَّيْلِ، فَقُمْتُ أُصَلِّي مَعَهُ، فَقُمْتُ عَنْ يَسَارِهِ، فَأَخَذَ بِرَأْسِي، فَأَقَامَنِي عَنْ يَمِينِهِ»

Maksudnya: "Aku pernah menginap di rumah makcikku. Kemudian Rasulullah S.A.W solat malam. Maka aku datang untuk ikut solat bersama beliau, aku berdiri di samping kirinya, lalu beliau memegang kepalaku dan menggeserku (menarikku) ke sebelah kanannya."

Riwayat al-Bukhari (699)

Berdasarkan hadith ini, dapatlah kita fahami secara tersiratnya bahawa diperboleh untuk seseorang itu menarik orang lain yang sedang solat dengan tujuan menasihatinya atau memberi petunjuk kepadanya supaya dirapatkan saf. Maka, ia boleh diqiaskan kepada perbuatan orang luar untuk mengalihkan arah kiblat orang yang sedang solat (ijtihadnya) ke arah kiblat yang telah pasti. Atas sebab ‘illah yang sama iaitu untuk menasihatinya atau memberi petunjuk kepadanya.

Penjelasan lanjut mengenai isu yang berkaitan dengan arah kiblat ada dibahas dalam artikel di laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

AL-KAFI 1103: SOLAT YANG TERSASAR SEDIKIT KIBLATNYA

BAYAN LINNAS SIRI KE-96: ISU KESALAHAN PENENTUAN KIBLAT DALAM SOLAT

Penutup

Kesimpulannya, jika seseorang itu menyedari bahawa dia telah tersalah kiblat ketika sedang menunaikan solat (kerana wujudnya petunjuk yang pasti), maka hendaklah dia memalingkan dirinya ke arah yang baharu. Kemudian, jika ada yang menyedari seseorang itu salah dalam arah kiblatnya dan dia mengetahui dengan pasti arah kiblat yang betul, maka perlulah dia menegur orang yang sedang solat tersebut dan dia (orang yang bersolat itu) wajib beralih jika dia yakin bahawa teguran itu adalah benar dan dipercayai.

Dan jika teguran berbentuk perkataan tersebut tidak memberi kesan kepada orang yang solat itu, maka diperboleh ke atasnya untuk mengalihkannya dengan perbuatan ke arah kiblat yang betul namun mestilah dengan berhati-hati sehingga tidak menyebabkan solatnya terbatal. Akhir kalam, semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman kepada kita dalam memahami agamaNya, menetapkan hati kita, mengukuhkan keimanan kita dan memberkati segala amal kebajikan kita.

Wallahua’lam.