Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE- 383 : HUKUM HAKAM BERKAITAN HUJAN

 

IF383

Soalan :

Assalamu’alaikum w.b.t. Bolehkah tuan Mufti jelaskan berkenaan dengan hukum-hakam berkaitan hujan untuk panduan kami dalam beramal. Terima kasih.

Jawapan :

Wa’alaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Hujan merupakan salah satu rahmat yang diturunkan dari atas langit oleh Allah S.W.T kepada sekalian hamba-Nya. Ia juga disifatkan sebagai salah satu keberkatan yang membawa bersamanya kebaikan yang banyak Allah S.W.T berfirman :

وَنَزَّلْنَا مِنَ السَّمَاءِ مَاءً مُبَارَكًا

Maksudnya : Dan Kami telah menurunkan daripada langit air yang berkat.

Surah Qaf (9)

Imam Al-Baghawi dalam tafsiran beliau terhadap ayat di atas berkata : Iaitu (air yang berkat) dari sudut padanya kebaikan yang begitu banyak serta padanya juga kehidupan setiap sesuatu, dan ia adalah air hujan. Rujuk Ma’alim al-Tanzil, Al-Baghawi (4/271).

Terdapat beberapa hukum-hakam tertentu yang berkaitan dengan hujan yang perlu diketahui oleh umat Islam. Berikut kami kongsikan beberapa perbahasan hukum tersebut agar bermanfaat buat semua.

Hukum Bersuci Dengan Air Hujan

Hujan disifatkan sebagai salah satu ejen penyuci di dalam Islam. Dari sudut hujan merupakan sebahagian daripada air mutlak yang membolehkan seseorang itu mengangkat hadas kecil dengan cara berwuduk dan juga mengangkat hadas besar dengan cara mandi wajib. Demikian juga air hujan juga boleh digunakan untuk membersihkan najis. Hakikat hujan ini seperti yang disebutkan dalam beberapa nas syarak, antaranya adalah firman Allah S.W.T :

وَأَنزَلْنَا مِنَ السَّمَاء مَاء طَهُورًا

Maksudnya : Dan Kami turunkan daripada langit air yang suci.

Surah Al-Furqan (48)

وَيُنَزِّلُ عَلَيْكُمْ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً لِيُطَهِّرَكُمْ به

Maksudnya : Dan Dia menurunkan ke atas kamu air dari langit supaya kamu dapat bersuci dengannya.

Surah Al-Anfaal (11)

Oleh itu, berdasarkan kedua nas di atas dapat kita fahami bahawa harus hukumnya buat seseorang itu untuk menggunakan air hujan dalam berwuduk, mandi wajib, mandi-mandi sunat, serta membersihkan najis menggunakan air hujan. Ini kerana ia termasuk dalam kalangan air mutlak yang tujuh serta bersifat suci lagi menyucikan.

Hukum Berdoa Ketika Hujan

Ketika hujan turun ia termasuk salah satu waktu yang dianjurkan untuk berdoa. Umumnya, seseorang itu disunatkan untuk berdoa sebaik sahaja hujan turun sebagaimana yang disebut dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ummu Al-Mu’minin A’isyah R.Anha beliau berkata :

فَإِنْ مُطِرَ قَالَ‏ اللَّهُمَّ صَيِّبًا هَنِيئًا

Maksudnya : Adalah Rasulullah S.A.W apabila hujan baginda akan membaca : Ya Allah jadikanlah ia sebagai hujan yang bermanfaat.

Riwayat Al-Nasa’ie (1523)

Manakala apabila hujan telah berhenti, disunatkan kepada kita membaca sebagaimana yang disebutkan dalam riwayat Zaid bin Khalid al-Juhani R.A :

 مُطِرْنَا بِفَضْلِ اللَّهِ وَرَحْمَتِهِ

Maksudnya : Kami dilimpahkan hujan dengan fadhilat dan rahmat daripada Allah.

Riwayat Muslim (71)

Ucapan sebegini menzahirkan keimanan yang jitu seseorang hamba yang mukmin kepada Allah S.W.T. serta menjauhi kefahaman menyeleweng sebahagian manusia yang disifatkan oleh Rasulullah S.A.W bahawa ada dari kalangan manusia yang menyatakan bahawa hujan turun disebabkan bintang-bintang tertentu, maka jadilah mereka itu beriman dengan bintang-bintang lalu kufur dengan Allah S.W.T.

Adapun nas yang menyebutkan tentang anjuran dan galakan untuk berdoa semasa hujan adalah berdasarkan sebuah hadis bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :

اُطْلُبُوا إجَابَةَ الدُّعَاءِ عِنْدَ الْتِقَاءِ الْجُيُوشِ، وَإِقَامَةِ الصَّلَاةِ وَنُزُولِ الْغَيْثِ

Maksudnya : Tuntutlah kemustajaban doa ketika berlakunya pertempuran tentera, ketika solat hendak didirikan, dan ketika turunnya hujan.

Kata Imam Al-Syafi’e : Aku menghafal dari lebih seorang tokoh bahawa diharapkan kemustajaban doa ketika turunnya hujan serta ketika solat hendak didirikan. Rujuk Al-Umm, Al-Syafi’e (1/289).

Hukum Berdoa Minta Dialihkan Hujan Lebat

Sekiranya berlaku mudharat disebabkan hujan yang turun tanpa henti, maka dianjurkan sebuah doa yang dibacakan dengan tujuan untuk meredakan hujan lebat yang turun secara berterusan, maka perbuatan sebegini ada perbahasannya di sisi syarak. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A beliau berkata :

بَيْنَا النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم يَخْطُبُ يَوْمَ الْجُمُعَةِ فَقَامَ رَجُلٌ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ ادْعُ اللَّهَ أَنْ يَسْقِيَنَا‏ فَتَغَيَّمَتِ السَّمَاءُ وَمُطِرْنَا، حَتَّى مَا كَادَ الرَّجُلُ يَصِلُ إِلَى مَنْزِلِهِ، فَلَمْ تَزَلْ تُمْطَرُ إِلَى الْجُمُعَةِ الْمُقْبِلَةِ، فَقَامَ ذَلِكَ الرَّجُلُ أَوْ غَيْرُهُ فَقَالَ ادْعُ اللَّهَ أَنْ يَصْرِفَهُ عَنَّا، فَقَدْ غَرِقْنَا‏.‏ فَقَالَ ‏اللَّهُمَّ حَوَالَيْنَا وَلاَ عَلَيْنَا فَجَعَلَ السَّحَابُ يَتَقَطَّعُ حَوْلَ الْمَدِينَةِ، وَلاَ يُمْطِرُ أَهْلَ الْمَدِينَةِ

Maksudnya : Ketika Nabi S.A.W sedang menyampaikan khutbah pada hari Jumaat maka berdirilah seorang lelaki lalu berkata : Wahai Rasulullah, berdoalah kepada Allah agar Dia menurunkan hujan kepada kami. (Maka Rasulullah pun berdoa kepada Allah). Kemudian langit pun menjadi gelap gelita dan hujan turun. Sehinggalah apabila lelaki tersebut sampai ke rumahnya, maka hujan tetap turun secara berterusan sehinggalah pada hari Jumaat yang berikutnya. Maka lelaki tersebut atau selainnya sekali lagi bangun lalu berkata : (Wahai Rasulullah) berdoalah kepada Allah agar Dia mengalihkan hujan dari kamu kerana sesungguhnya kami telah tenggelam (disebabkan hujan lebat yang berterusan). Lalu kata Nabi S.A.W : Ya Allah, turunkan lah ke kawasan sekitar kami dan janganlah Kau turunkan ia ke atas kami. Maka awan pun berpecah-pecah di kawasan sekitar Madinah, dan tidak diturunkan hujan kepada penduduk Madinah.

Riwayat Al-Bukhari (6432)

Justeru, berdasarkan hadis di atas dapat difahami bahawa dibolehkan untuk seseorang itu berdoa supaya Allah S.W.T mengalihkan hujan ke kawasan yang lain sekiranya keadaan hujan turun dengan lebat dengan kadar yang berterusan.

Hukum Mencela Hujan

Mencela hujan pada hakikatnya merupakan suatu celaan pada musim atau waktu tertentu. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :

قَالَ اللَّهُ تَعَالَى يُؤْذِينِي ابْنُ آدَمَ، يَسُبُّ الدَّهْرَ وَأَنَا الدَّهْرُ، بِيَدِي الأَمْرُ، أُقَلِّبُ اللَّيْلَ وَالنَّهَارَ

Maksudnya: Allah S.W.T berfirman: Anak Adam menyakiti Aku. Dia mencela masa sedangkan Aku adalah masa. Di tangan-Ku ada segala urusan. Aku lah yang membolak-balikkan siang dan juga malam.

Riwayat Al-Bukhari (7491)

Imam Al-Hafiz Ibn Hajar Al-Asqalani apabila dalam syarahan beliau ke atas hadis ini menukilkan kata-kata Imam Al-Khattabi yang menyebut: Maksud hadis ini adalah: ‘’Aku (Allah) merupakan pemilik kepada masa serta pentadbir segala perkara yang mereka nisbahkan kepada masa’’. Maka sesiapa yang mencela masa dengan sebab ia yang melakukan perkara-perkara ini, maka celaannya itu tadi kembali kepada Tuhan masa yang melakukan hal tersebut. Sesungguhnya Al-Dahr adalah masa yang dijadikan zharaf bagi perkara-perkara yang berlaku. Rujuk Fath Al-Bari, Ibn Hajar (8/437).

Hadis ini adalah petunjuk yang jelas bahawasanya mencela masa adalah sama seperti mencela Tuhan kepada masa iaitu Allah. Maka hukum perbuatan ini adalah jelas akan keharamannya. Riwayat yang lebih jelas dalam menyatakan keharaman perbuatan ini adalah sebuah hadis riwayat Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

لاَ تَسُبُّوا الدَّهْرَ فَإِنَّ اللَّهَ هُوَ الدَّهْرُ

Maksudnya: Janganlah kamu mencela masa kerana sesungguhnya Allah merupakan masa.

Riwayat Muslim (2246)

Pada hadis ini La Al-Nahiyah (larangan) yang membawa hukum haram di sisi ilmu usul feqh. Maka haram hukumnya seseorang itu mencela hujan, dan kami nasihatkan supaya seseorang itu sentiasa bersangka baik dengan Allah S.W.T serta memperbanyakkan doa kebaikan semasa turunnya hujan.

Penutup

Sebagai kesimpulan, kami menyatakan bahawa sebagai seorang muslim kita wajib memastikan diri kita dididik dengan acuan dan panduan Islam dalam setiap urusan kehidupan. Semoga pencerahan di atas membantu kita dalam mengetahui hukum-hakam yang berkaitan ketika turunnya hujan.

Akhir kalam, kami berdoa kepada Allah S.W.T agar memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.